|
AMALAN
PERTANIAN BAIK (APB) DALAM
PERSIJILAN SKIM AMALAN LADANG BAIK,
SKIM ORGANIK MALAYSIA (SOM) DAN
SKIM AMALAN LADANG BAIK MALAYSIA (SALM)
Hubungkait APB dan Skim
Persijilan
APB adalah proses
pengurusan dan amalan-amalan yang perlu dilaksanakan dalam sistem
pengeluaran ladang, manakala SALM dan SOM adalah sistem persijilan bagi
mempastikan segala peraturan dan standard APB dipatuhi oleh pengusaha.
SKIM
AMALAN LADANG BAIK MALAYSIA (SALM)
Objektif:
Satu skim persijilan
yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada
ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Yang Baik (APB)
berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan
pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai
dimakan. Skim ini adalah berpandukan Standard (SALM) Skim Amalan Ladang
Baik Malaysia dan berdasarkan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop
Commodities - Good Agricultural Practices (GAP).
Proses Persijilan:
Proses untuk persijilan
melibatkan kerja-kerja pemprosesan permohonan, pemeriksaan ladang dan
kawasan, verfikasi amalan ladang, analisis hasil ladang, penilaian dan
kelulusan oleh Jawatankuasa untuk persijilan.
Pelaksanaan:
Lawatan ke ladang akan
dijalankan oleh pegawai pemeriksa yang dilantik berasaskan maklumat yang
diperolehi mengenai ladang tersebut serta amalan-amalan yang diikuti dan
dinilai berpandukan Standard (SALM) Skim Amalan Ladang Baik Malaysia dan
garispanduan yang telah ditetapkan.
Maklumat-maklumat bagi
penilaian ini diperolehi melalui pemeriksaan tanah dan kawasan
persekitaran ladang, rekod ladang yang disimpan oleh pengusaha, temubual
dengan pengusaha serta pemerhatian tentang amalan-amalannya, pemeriksaan
tempat-tempat tertentu, serta pengambilan hasil ladang yang sedia untuk
dipasar bagi tujuan analisis.
Penilaian mengenai
kesesuaian ladang dan persekitaran mengambilkira lokasi, hakmilik dan
sejarah gunatanah, kesesuaian tanah dan tanaman serta risiko ladang
kepada persekitaran. AMP yang baik mengambilkira pengurusan tanah dan
substrat, penggunaan bahan tanaman dan input, pengurusan pembajaan dan
kawalan perosak, pengendalian lepastuai, pengurusan dan pembuangan sisa
ladang, penggredan, pembungkusan dan perlabelan serta kebajikan,
keselamatan dan kemudahan pekerja.
Syarat Persijilan:
Ladang yang telah
mematuhi syarat-syarat berikut layak diberi pertimbangan untuk persijilan
SALM
- Pengesanan / Traceability
Mempunyai sistem pengesanan produk.
- Penyimpanan Rekod dan Audit Dalaman
Mempunyai rekod ladang yang lengkap, terkini dan melaksanakan Audit
Dalaman
- Bahan Tanaman
Bahan tanaman dari varieti yang disyorkan, bebas penyakit dan tidak
menggunakan bahan tanaman jenis GMO.
- Rekod Sejarah dan Pengurusan Projek
Mempunyai rekod sejarah dan pengurusan tapak
- Pengurusan Tanah dan Subtrat
Mempraktikkan teknik tanaman di ladang yang mengurangkan hakisan tanah
serta menggunakan substrat organik bagi penanaman yang tidak
menggunakan tanah.
- Pengurusan Baja
Penggunaan baja berasaskan keperluan tanaman. Baja dari unsur najis
manusia dan khinzir tidak dibenarkan. Mempunyai tempat penyimpanan
baja yang sesuai.
- Pengairan dan Fertigasi
Tidak menggunakan air buangan (sewage) yang tidak dirawat bagi tujuan
pengairan dan pengairan dari sumber air yang mapan (sustainable)
- Perlindungan Tanaman
Menggunakan racun makhluk perosak yang didaftar di bawah Akta Racun
Makhluk Perosak 1974 untuk mengawal perosak dan mengamalkan pendekatan
Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB)
- Penuaian
Sistem penuaian yang bersesuaian dan menjaga kebersihan hasil.
- Rawatan Pascatuai
Rawatan yang sesuai digunakan jika perlu
- Analisis Hasil
Analisis sisa baki racun makluk perosak bagi hasil dijalankan
- Pengurusan Sisa Ladang
Melibatkan diri dalam program kitar semula atau diguna semula dengan
membuat kompos
- Keselamatan dan Kesihatan Pekerja
Menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja
- Isu-Isu Alam Sekitar
Mematuhi perundangan mengenai alam sekitar
- Rekod Aduan
Merekod aduan mengenai produk yang tidak menepati keperluan standard
- Keperluan Perundangan
Aktiviti di ladang mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasa di
Malaysia
Peringkat Persijilan
Rujuk kepada Standard
(SALM) Skim Amalan Ladang Baik Malaysia.
Di dalam panduan
Standard SALM, terdapat 29 elemen / syarat yang dikategorikan sebagai
syarat Wajib Utama (major must), 76 Wajib Bukan Utama
(minor must) dan 57 syarat di bawah kategori Digalakkan
(encouraged).
Syarat Wajib Utama
ialah syarat yang mesti dipatuhi, jika tidak akan menyebabkan impak yang
serius kepada alam sekitar, keselamatan makanan dan kebajikan pekerja.
Syarat Wajib Bukan
Utama ialah syarat yang mesti dipatuhi, tapi impaknya tidak
begitu serius.
Syarat Digalakkan
ialah syarat yang tidak diwajibkan tetapi adalah disyorkan dalam
standard.
Dua (2) Peringkat
Persijilan:
Peringkat 1:
Ladang-ladang telah mematuhi kesemua syarat wajib utama.
(pada peringkat ini ladang diberi surat perakuan)
Peringkat 2: Ladang mematuhi kesemua syarat wajib utama dan 95% syarat
wajib bukan utama.
(ladang yang mencapai peringkat ini akan dianugerahkan
Sijil)
Ladang yang telah lulus
persijilan SALM boleh menggunakan logo SALM. Persijilan adalah sah untuk
tempoh dua tahun dan pembaharuan persijilan akan dikeluarkan hanya jika
ladang dapat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Persijilan juga
boleh ditarik balik dalam tempoh sahlaku jika dalam tempoh itu ladang
didapati gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
SKIM
ORGANIK MALAYSIA (SOM)
Perladangan Organik
Perladangan
organik merupakan satu sistem pengeluaran yang mengelakkan dari
penggunaan baja dan racun perosak sintetik. Selain dari itu, pengusaha
mengambil langkah-langkah untuk melindungi alam sekitar dan memelihara
biodiversiti. Kompos, najis haiwan, sisa tanaman, tanaman kekacang dan
green manure dan baja organik digunakan bagi meningkatkan kesuburan tanah
dan sebagai pembajaan tanaman. Bagi menangani masalah perosak, penyakit
dan rumpai kaedah-kaedah mekanikal, fizikal, kultura termasuk tanaman
giliran dan kawalan secara biologi diamalkan.
Hasil
tanaman dari ladang yang diusahakan di bawah sistem perladangan organik
selamat dari sisa baki kimia yang tidak diingini.
SOM adalah satu program
persijilan untuk mengiktiraf pemilik ladang yang mengusahakan penanaman
di ladang secara organik mengikut keperluan-keperluan yang ditetapkan
dalam piawaian organik negara.
Skim ini memberi tumpuan
kepada pengeluaran, pengendalian termasuk pembungkusan, penyimpanan,
pengangkutan dan jualan bahan makanan tanaman organik.
Asas Persijilan:
Skim ini adalah
berasaskan pematuhan kepada ciri-ciri yang telah ditetapkan dalam
piawaian organik negara. Piawaian ini menggariskan keperluan yang
berkaitan dengan pengeluaran, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan
jualan bahan makananan tanaman organik. Diantara perkara-perkara yang
diambilkira dalam penilaian skim ini ialah:-
- Kesesuaian tapak penanaman
- Masa peralihan dari sistem pengeluaran konvensional ke sistem
pengeluaran organik
- Sisa baki racun perosak dan logam berat
- Tanaman buffer dan jarak zon buffer
- Pengurusan kesuburan tanah
- Pengurusan air yang baik
- Pengurusan benih dan bahan tanaman
- Pengurusan input seperti baja, soil conditioners dan bahan kawalan
perosak dan penyakit
- Pengurusan rumpai, penyakit dan perosak
- Penggunaan peralatan ladang
- Sistem pemasaran hasil
- Penyimpanan rekod-rekod
Perlaksanaan Skim:
Skim ini dilaksanakan oleh
Jabatan Pertanian. Pemeriksaan ladang dijalankan oleh inspektor dan
keputusan untuk meluluskan sesebuah ladang sebagai organik atau tidak
akan dibuat oleh Jawatankuasa Persijilan.
Faedah-faedah:
Hasil yang dikeluarkan dari
ladang yang telah diberi persijilan boleh dilabelkan sebagai organik dan
berhak menggunakan logo Organik Malaysia di atas produk mereka. Dengan
label ini, produk tersebut boleh dipasarkan sebagai produk organik dengan
harga yang setimpal.
Pengguna mendapat keyakinan
bahawa produk yang dibeli adalah benar-benar organik dan tidak
mengandungi sisa-sisa kimia yang tidak diingini kerana telah mematuhi
piawaian organik Malaysia.
Oleh kerana baja dan racun
perosak kimia dilarang penggunaannya di bawah sistem perladangan organik,
secara langsung pencemaran kepada alam sekitar atau berlaku kes-kes
keracunan di kalangan pengusaha dan pekerja-pekerja dapat dikurangkan.
Skim ini terbuka kepada
semua pengusaha yang terlibat dalam pengeluaran tanaman makanan secara
konvensional untuk persijilan SALM dan pengeluaran secara organik untuk
persijilan SOM.
AMALAN
PERTANIAN BAIK
Amalan Pertanian Baik (APB) didefinasikan
sebagai amalan-amalan yang perlu diikuti dalam sistem pengeluaran
pertanian mapan yang mengambilkira keselamatan alam sekitar, keselamatan
dan kebajikan pekerja serta berdasarkan peraturan-peraturan yang
ditetapkan dan menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai
untuk dimakan.
OBJEKTIF
Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada
pengusaha bahawa kualiti hasil yang baik akan meningkatkan dayasaing
produk-produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih baik dan meluas.
Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada
pengusaha tentang cara-cara penggunaan racun perosak, baja kimia dan
ubat-ubatan yang betul.
Memberi pengetahuan dan kesedaran kepada
orang ramai / pengguna tentang faedah membeli hasil pertanian dikeluarkan
melalui ladang-ladang yang diberi pengiktirafan pensijilan.
Memberi pengetahuan, kesedaran, kemahiran
dan pengikhtirafan kepada pengusaha ladang pertanian yang mengamalkan
Amalan Pertanian Baik melalui program-program Skim Amalan Ladang Baik
Malaysia (SALM), Sijil Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan
Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).
FAEDAH AMALAN
PERTANIAN BAIK
-
Mempastikan produk pertanian dari ladang
memenuhi tahap keperluan piawaian keselamatan yang minimum di peringkat
pasaran domestik dan luar negara.
-
Mempastikan produk dari ladang pertanian
berkualiti.
-
Menggalak dan meyakinkan penerimaan
pengguna ke atas produk-produk pertanian keluaran
ladang domestik.
-
Membantu membangunkan industri pertanian
negara secara mesra alam dan mapan.
-
Meningkatkan produktiviti dan pendapatan
pengusaha.
JENIS-JENIS
PENSIJILAN
Skim Pensijilan yang dilaksanakan dibawah Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani adalah seperti berikut:-
-
Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM)
Skim ini adalah untuk pengusaha ladang tanaman
...(laman
web SALM)
-
Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT)
Skim ini adalah untuk ladang yang mengeluarkan hasilan ternakan.
...(laman
web SALT)
-
Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM)
Skim ini adalah untuk pengusaha ladang akuakultur.
...(laman
web SPLAM ,
Borang SPL-01)
KEGUNAAN PAKEJ AMALAN PERTANIAN BAIK
Pakej Pelaksanaan Amalan Pertanian Baik yang merangkumi garis panduan dan
manual bagi tiga skim pensijilan iaitu Skim Amalan Ladang Baik Malaysia
(SALM). Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan skim Pensijilan Ladang
Akuakultur Malaysia (SPLAM) yang disediakan untuk digunapakai oleh:-
-
Semua pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi Kementerian Pertanian
Industri Asas Tani yang terlibat dan merancang, melaksana dan memantau
projek-projek tanaman, ternakan dan perikanan.
-
Pengusaha projek tanaman, ternakan dan perikanan yang akan memohon untuk
pensijilan SALM, SALT dan SPLAM.
|