|
ASAS PEMBIAKAN TANAMAN
Dipetik dari majalah Transformasi Pertanian Bil. 2/2007
Pada masa kini kebanyakan tanaman dibiakkan dengan berbagai kaedah menggunakan teknologi yang
berbeza tetapi melalui asas pembiakan yang sama. Asas pembiakan tanaman
yang betul perlu diketahui terlebih dahulu sebelum mengusahakan sesuatu projek
pertanian bagi menjamin hasil dan mutu yang dikeluarkan.
Terdapat beberapa
asas pembiakan tanaman yang boleh dijadikan panduan oleh umum dalam mengusahakan
kultura kebunan. Di bawah ini diterangkan asas pembiakan tanaman yang
sering dipraktikkan mengikut kesesuaian tanaman tersebut.
-
Pembiakan Biji
Benih
Tanaman yang dibiakkan melalui biji benih adalah tanaman semusim seperti padi,
jagung, sayur-sayuran dan juga tanaman hiasan. Biji benih biasanya
mengalami pendebungaan kacuk dan faktor ini tidak menjamin tanaman yang
dibiakkan akan menghasilkan anak yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti
tanaman yang hendak dibiakkan dengan cara ini, pemilihan biji benih perlu
dilakukan untuk mendapatkan baka yang tulen. Pemilihan boleh dibuat dengan
mengambilkira beberapa faktor seperti berikut:-
- pokok induk yang sihat.
- buah yang cukup masak dan tiada serangan penyakit dan perosak.
- buah yang normal.
- buah dipertengahan musim dan terletak di bahagian tengah ladang.
-
Pembiakan
Vegetatif (tampang)
Pembiakan vegetatif atau tampang adalah cara pembiakan dengan menggunakan
bahagian tertentu tanaman seperti keratan batang, pucuk, daun dan rizom.
Ia dilakukan bagi tanaman yang tidak mengeluarkan biji benih atau sukar
berbunga. Kaedah pembiakan ini kerap menjadi pilihan kerana caranya mudah
dan dapat menghasilkan pokok dengan baka tulen. Kaedah ini juga dapat
memendekkan tempoh matang di mana pokok mengambil masa lebih pendek untuk
berbunga atau berbuah, tetapi tumbesaran tanaman dengan cara ini adalah terhad.
Kaedah keratan, tut, cantuman, belahan rumpun dan bebawang selalu dilakukan
tetapi kejayaan pembiakan ini bergantung kepada pemilihan bahan tanaman, keadaan
iklim, tanah, air dan juga kemahiran.
Keratan batang terbahagi kepada keratan batang keras, sederhana dan
lembut. Bahagian tanaman yang sihat serta mempunyai beberapa mata tunas
dipilih. Keratan tanaman sepanjang 15-20 cm digunakan. Keratan
dipotong serong sedikit di bawah mata tunas atau pangkal ruas. Biasanya
daun-daun tanaman dibuang untuk mengelakkan pokok yang disemai kekeringan.
Keratan disemai menggunakan media semaian 2:1:1 (dua bahagian tanah, satu
bahagian bahan organik dan satu bahagian pasir). Kaedah ini selalu
digunakan bagi membiakkan tanaman hiasan.
Keratan pucuk berdaun digunakan bagi tanaman yang berbatang lembut jenis
herba dan renek. Keratan rizom digunakan untuk tanaman seperti kunyit dan
halia. Semaian yang dilakukan perlu disiram dan diletakkan di tempat redup
sehingga tanaman mengeluarkan pucuk.
Kaedah tut merupakan cara pembiakan yang biasa digunakan bagi tanaman
buah-buahan. Tut melalui proses pembuangan kulit kayu untuk tujuan
pengakaran. Kulit ranting atau dahan pokok dengan saiz 1-2 cm garis pusat
dipotong kira-kira 5 cm panjang dan dibuang kulitnya. Bahagian yang
terdedah disapukan dengan hormon penggalak akar dan ditutupkan dengan tanah
campuran. Bahagian tersebut dibalut dengan plastik untuk menghalang
kemasukan air dari luar. Media yang digunakan adalah campuran dua bahagian
tanah atas dan satu bahagian bahan organik bersama sedikit air.
Kaedah cantuman sering digunakan bagi mendapatkan klon pokok yang
dikehendaki. Cara ini dapat menjamin baka tulen diperturunkan kepada anak
oleh induk. Terdapat berbagai kaedah cantuman seperti mata tunas, cantuman
baji dan sanding. Kaedah ini kerap digunakan bagi tanaman buah-buahan
seperti durian, rambutan dan lain-lain lagi.
Kaedah belahan rumpun boleh dilakukan bagi pokok yang hidup berumpun.
Ia dapat menghasilkan tanaman yang banyak daripada satu induk. Pokok
dibelah kepada beberapa belahan yang dikehendaki dan ditanam. Tanaman yang
boleh dibiakkan dengan cara ini kebanyakannya terdiri daripada tanaman hiasan.
Kaedah menanam dengan menggunakan bebawang boleh ditanam terus tanpa
perlu disemai. Bahan tanaman dipilih daripada pokok yang sudah tua atau
matang. Tanaman yang dibiakkan dengan cara ini antaranya mempunyai peratus
hidup yang tinggi. Sayuran jenis bawang dan beberapa pokok hiasan
dibiakkan melalui cara ini.
Berbekalkan pengetahuan tentang bahan
tanaman, kemahiran dan pengalaman pembiakan pelbagai jenis tanaman boleh
dilakukan sendiri yang mampu memberikan kepuasan kepada individu yang menceburi
dalam bidang pertanian sama ada sebagai hobi atau komersial. |