Sayur-sayuran biasanya dibiakkan melalui dua cara iaitu menggunakan biji
benih dan menggunakan tampang.
Menggunakan Biji Benih
Diamalkan untuk semua sayuran jenis buah, kebanyakan sayuran jenis daun
dan batang serta sayuran kekacang (contoh: cili, terong, tomato, timun,
sawi, kacang panjang dan sebagainya).
Menggunakan Tampang
Cara ini menggunakan keratan sulur, umbisi dan bawang. Kaedah ini
diamalkan untuk kebanyakan sayuran jenis umbisi dan beberapa jenis
sayuran daun (contoh: keladi, halia, cekur manis, bawang dan lain-lain).
BAGAIMANA MENDAPATKAN BENIH YANG BAIK
Benih yang
baik akan menjamin hasil yang tinggi. Oleh itu benih hendaklah dipilih
dan disediakan sebaik-baik sebelum menyemai atau menanam. Oleh itu,
dapatkan jenis yang tulin
pilih dari pokok yang sihat sahaja
ambil benih yang betul-betul matang atau masak di pokok
pilih benih yang sempurna bentuk dan tidak cacat
hendaklah benih yang bernas dan cergas.
Benih
hendaklah dipungut apabila cukup matang. Kelewatan memungut benih akan
menyebabkan gugur sendiri atau rosak dan akan merugikan. Cara menyedia
benih bergantung kepada jenis sayuran dan juga bentuk benih seperti biji
benih, rizom, keratan dan sulur.
BIJI BENIH
Sumber
biji benih selalunya diperolehi daripada buah yang dikelaskan seperti
berikut:-
Buah kering
Pokok/buah dituai apabila daun-daun/buahnya telah kuning dan benih
telah cukup matang. Keringkan/emus di panas matahari. Banting atau
picit ataupun menggunakan mesin untuk meleraikan biji benih. Rawat
biji benih sebelum disimpan (contoh: sawi, bayam, jenis kekacang,
bendi).
Buah berisi
Pungut buah apabila telah matang. Keringkan buah sebelum mengeluarkan
biji benih. Koyak kulit buah atau potong dan keluarkan biji benih
dengan pancutan air. Bersih dan keringkan biji benih. Rawat biji
benih sebelum disimpan (contoh: cili, peria, petola, labu dan
sebagainya).
Buah berisi dan berair
Pungut buah apabila cukup matang. Keluarkan biji benih bersama palpa
dan rendam selama 2-5 hari. Kacau campuran ini bagi menanggalkan
lendir yang menyelaputi bijinya dan cuci hingga bersih. Biji benih
perlulah dikeringkan ke panas matahari (contoh: tomato, timun dan
sebagainya).
Untuk
mengelakkan serangan penyakit dan musuh biji, benih perlu dirawat dengan
racun kulat seperti thiram dan racun serangga seperti gamma BHC. Biji
benih disimpan di dalam bekas yang kedap udara seperti tin, plastik,
botol dan sebagainya.
RIZOM /
BEBAWANG
Pungut
semua rizom/bebawang yang telah tua dan pilih yang elok untuk dicambah.
Simpan rizom bebawang di tempat teduh dan berangin selama 2-3 minggu
untuk percambahan tunas-tunas. Kerat rizom sebelum ditanam dan
tiap-tiap rizom hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua matatunas.
Sayuran yang dibiakkan dengan menggunakan rizom dan bebawang termasuklah
halia, lengkuas, kunyit, bawah merah dan sebagainya.
KERATAN
Keratan hendaklah
mempunyai sekurang-kurangnya tiga buku. Tanam keratan terus ke
ladang/batas atau jika perlu semai dahulu di tapak semaian berpasir
untuk pengeluaran akar. Jenis sayuran termasuklah kangkung, cekur
manis, selom dan sebagainya.
SULUR
Pilih sulur-sulur dari
pokok ibu yang subur. Potong daunnya dan tanam ke batas/ladang dengan
jarak yang disyorkan. Contoh: keladi.
RAWATAN BENIH
Rawatan
benih ialah perlakuan terhadap benih dengan kaedah-kaedah tertentu, untuk
beberapa tujuan seperti memelihara benih daripada serangan perosak dan
mempercepatkan percambahan. Kaedah-kaedah rawatan adalah seperti berikut:
Racun
Kulat / Serangga
Rawatan benih dengan racun kulat/serangga sebelum menanam untuk mengawal
serangan perosak seperti musuh dan penyakit. Racun kulat yang selalu
digunakan ialah thiram (80% WP) dengan kadar 3g/100g biji benih dan
racun serangga iaitu gamma BHC.
Air
Panas
Rawatan dengan air panas boleh juga dilakukan untuk mencegah kerosakan
benih oleh penyakit. Rendam biji benih dalam air panas bersuhu 50
darjah C selama 25 minit sebelum menanam.
Air
Biasa
Biji benih direndam dalam air biasa selama 4-5 jam untuk mempercepatkan
percambahan.
TEKNIK MENYEMAI / MENANAM BENIH
Teknik
menyemai / menanam benih bergantung kepada jenis sayuran. Umumnya teknik
ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:-
menyemai dan mengubah
menanam terus benih ke batas / ke ladang
Menyemai dan Mengubah
Diamalkan
untuk benih yang bersifat seperti berikut:-
- berbiji kecil dan menghasilkan anak pokok yang lembut/lemah.
- jenis sayuran yang lambat pertumbuhannya dan memerlukan jagaan yang sempurna.
- biji benih yang kuantitinya terhad terutama jenis yang diimport.
- bjii benih yang mahal harga.
- keratan yang lambat / sukar mengeluarkan akar.
Bagi yang memerlukan tapak / bekas semaian khas yang mengandungi tanah subur iaitu:-
- kotak kayu / plastik yang dalamnya 10-15 cm atau batas semaian berukuran 1m lebar dan 30-45 cm tinggi
atau beg plastik, kerek daun atau kertas.
- biji benih disemai dalam kotak atau di batas dengan jarak masing-masing 5 cm ataupun
di dalam beg plastik sebanyak 2-3 biji dengan jarak 2-3 cm antara biji benih.
Melibatkan kerja mengubah iaitu:-
- ubah anak benih yang berumur 3-5 minggu ke batas di ladang.
- pilih dan ubah anak benih yang sihat sahaja.
Menanam Terus Benih ke Batas / Ladang
Kenapa menanam terus?
- pertumbuhan pokok akan terjejas jika diubah.
- benih yang murah harganya.
- kekurangan tenaga buruh.
- sayuran yang sistem akarnya lambat pulih.
- benih yang kuantitinya tidak terhad dan mudah didapati.
Bagaimana cara menanam terus?
Ada dua cara iaitu:-
- cara serakan atau tanam jalur.
- cara tugalan.
Cara Serakan atau Tanam Jalur
- cara ini
mudah dan murah.
- boleh digunakan tangan atau mesin.
- selalu diamalkan untuk sayuran tempatan yang berbiji kecil dan
memerlukan kepadatan yang tinggi.
- biji benih perlu digaul dengan pasir halus atau tanah peroi sebelum
ditabur secara serakan atau ditabur ikut
jaluran.
- apabila anak pokok setinggi 5 cm, kerja penjarangan dibuat dengan
mencabut anak-anak pokok yang tumbuh
terlalu tebal. Sulamkan anak-anak pokok yang dicabut ke tempat yang
kosong.
- kelemahan cara ini ialah susah mengawal rumpai dan mudah diserang
penyakit
(contoh: kangkong, bayam, sawi, lobak dan sadri)
Cara Tungal Mengikut Jarak Tertentu
Diamalkan
untuk sayuran yang berbiji benih besar/kasar, keratan, sulur, umbisi
atau bebawang.
Biji benih
besar/kasar.
Tanam 2-3 biji benih selubang. Jarak lebih kurang 2-3 cm antara biji
benih. Buat penjarangan apabila semaian berumur 2-3 minggu. Tinggalkan
hanya sepokok yang sihat pada setiap lubang.
Sulur /
Rizom / Bebawang
Tanam satu benih sahaja pada setiap lubang dengan jarak tertentu. Tanam
biar matatunas menghala ke atas.
Keratan
Tanam 2-3 keratan selubang dengan jarak tanam yang sesuai.
BAGAIMANA CARA MENJAGA DAN MENGURUS SEMAIAN
Jangan semai terlalu rapat untuk mencegah penyakit lecuh anak benih dan memudahkan penjarangan dibuat.
Jangan menyiram terlalu kerap.
Lindungi semaian dari panas terik dan hujan lebat dengan membuat para perlindungan.
Gunakan sungkupan selepas menyemai terutama biji benih yang ditanam terus. Buang sungkupan apabila biji benih telah bercambah.
Bagi semaian kotak/batas, sembur dengan larutan urea (4g/liter air) di minggu kedua.
Kawal rumpai untuk menjauhkan penyakit dan menghindarkan persaingan dengan tanaman.
Kawal musuh dan penyakit dengan amalan pertanian atau dengan racun kimia jika perlu.
Sebelum mengubah semaian ke batas, dedahkan anak-anak pokok ke matahari secara berperingkat-peringkat selama 2-3 hari untuk melatihnya supaya biasa
dengan keadaan di ladang.
Siram kotak atau batas semaian sebelum mengubah bagi memudahkan cabutan anak benih.
Cabut anak benih bersama tanah di kelilingnya bagi mengelakkan kerosakan akar yang teruk
PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
08 July 2009 08:49:35 PM