Kaedah ini menghadkan pertumbuhan akar sekaligus mengecilkan saiz
tanaman. Walaupun kaedah ini telah lama diamalkan pada tanaman
bunga-bungaan, namun konsep tanaman bonsai boleh dimajukan pada tanaman
buah-buahan tanpa menjejaskan pengeluaran hasilnya. Kaedah
pembatasan akar dapat mengawal tumbesaran pokok buah-buahan secara
berkesan dan mengurangkan kejadian "mabuk daun". Pokok yang bersaiz
kecil seperti jenis renek mudah dijaga dan lebih banyak bilangan pokok
dapat ditanam dalam sesuatu kawasan. Kerja-kerja merenek yang mudah
ini memerlukan pengetahuan tentang jenis tanaman, peralatan dan kaedah
yang digunakan.
Jenis tanaman
Semua jenis buah-buahan yang
mempunyai akar tunjang sesuai untuk direnekkan. Umur yang sesuai
bagi tanaman yang hendak direnekkan ialah antara 8 bulan hingga 1 tahun
iaitu tidak terelalu muda atau terlalu tua. Pokok buah-buahan yang
berakar cetek tidak sesuai direnekkan kerana ia akan mudah rebah.
Jenis bekas, bahan dan
kaedah penanaman
Bekas untuk menanam yang
terdapat di pasaran sekarang diperbuat daripada bahan fabrik
geo-tekstil, poliprolina, polietilena dan pembentung simen (culvert).
Bekas daripada bahan fabrik perlu dipotong bersesuaian dengan jenis
tanaman. Sekiranya culvert digunakan, permukaan bawahnya hendaklah
ditutup dengan simen, kecuali lubang-lubang kecil yang perlu dikekalkan
supaya air tidak bertakung. Bekas ini dimasukkan ke dalam lubang
untuk menanam pokok.
Tanaman yang telah dipilih
ditanam dalam bekas yang telah diisi dengan campuran tanah yang baik,
diberi air dan kadar pembajaan yang cukup. Saiz bekas yang
digunakan bergantung pada umur pokok. Biasanya bekas yang digunakan
berbentuk bulat atau segi empat berukuran lebih kurang 1 meter permukaan
atas dan 0.6 meter dalam. Bekas ini akan menentukan saiz pokok.
Pertumbuhan dan perkembangan akar akan terbatas di dalam bekas ini.
Kaedah pembatasan akar ini akan mengurangkan pengambilan makanan dan air,
lantas pokok tertahan daripada menjadi lebih besar lalu menjadi
kerdil/renek.
Faedahnya
Pokok yang direnekkan cepat
berbunga dan berbuah kerana zat makanan disalurkan terus kepada buah dan
pokok tidak 'mabuk daun'. Luas kanopi dan dahannya yang kecil mudah
dipangkas. Rupabentuk pokok lebih menarik, dan buahnya mudah
dibungkus. Namun hasil yang diperolehi pada musim buah yang pertama
tidaklah begitu banyak atau mungkin berkurangan berbanding dengan pokok
biasa. Walau bagaimanapun yang mustahaknya buah tetap ada.
Sekiranya pokok direnekkan,
jumlah atau bilangan tanaman dalam sesuatu kawasan dapat ditambah.
Walaupun buah yang dihasilkan daripada setiap pokok agak kurang, namun
dengan jumlah tanaman yang banyak, secara tidak langsung akan dapat
meningkatkan hasil. Hasil yang diperolehi pula dapat menampung kos
pembajaan, merumput dan meracun. Pokok yang kecil mudah dijaga dan
jumlah penggunaan air dapat dikurangkan. Oleh itu, secara tidak
langsung kos dan tenaga pekerja dapat dijimatkan.
Terdapat kaedah lain bagi
mengawal saiz pokok melalui pengawalan ketinggiannya. Amalan ini
termasuklah mencantas, memangkas, menggunakan klon jenis kerdil dan
menggunakan bahan kimia. Kaedah mencatas masih belum berjaya
sepenuhnya kerana pucuk muda keluar terlalu cepat dan pengawalan saiz
tidak berkesan. Dengan penggunaan klon pula, pokok penanti tidak
mudah diperolehi. Manakala, penggunaan bahan kimia seperti
paclobutrazol pula adalah mahal dan berbahaya kepada kesihatan.
Sekiranya ketinggian pokok
dapat dikawal, pengurusan penjagaan tanaman dapat dilakukan dengan mudah
dan cepat. Peralatan yang ringan boleh digunakan dan tidak banyak
menggunakan tenaga kerja.
Kosnya
Kos yang rendah sangat
penting. Ia bergantung pada banyaknya tanaman dan jenis bekas yang
hendak digunakan. Pembentung simen terpakai atau bahan fabrik
geo-teksil boleh digunakan. Kos untuk satu pembentung simen lebih
kurang RM30.00 manakala fabrik geo-teksil RM5.00 bagi setiap lubang.