|
2. KAEDAH TUT DAN KAEDAH CANTUMAN BAJI
CIKU
Kaedah tut biasa
digunakan kerana tekniknya mudah dan pokoknya cepat berbuah. Kelemahan
kaedah ini adalah bahan tanaman daripada satu pokok induk tidak banyak
diperolehi. Pokok tut mudah tumbang terutama jika ditanam di kawasan yang
mengalami angin kencang.
Cara Membuat Tut
Pucuk yang sihat
mempunyai saiz dahan berukuran garispusat 1.0-1.2 cm dipilih untuk
ditutkan. Satu lingkaran kira-kira 2 cm panjang dibuat pada batang
pucuk. Lingkaran tersebut dibiarkan 1-2 minggu. Sedikit hormon seperti
Seradix No. 2 disapukan pada lingkaran ini. Kepalan tanah disediakan
dengan menggunakan campuran tanah atas dan tahi lembu dengan kadar 2:1.
Campuran ini ditambah sedikit air sehingga boleh dikepal. Bahagian batang
yang dilingkarkan dibalut dengan kepalan tanah dan seterusnya dibungkus
dengan plastik dan diikat. Dahan akan mengeluarkan akar dalam masa 4-6
bulan. Dahan yang telah berakar ini boleh dipotong dan ditanam di dalam
politen beg yang berisi tanah campuran iaitu tanah atas, pasir dan bahan
organan dengan kadar 3:2:1.
Pokok tut ini disimpan
selama 2-3 bulan di bawah rumah lindungan sebelum dialih ke ladang.
Penyiraman dilakukan sekali sehari dan pastikan tanah di dalam politen beg
tidak terlalu basah atau bertakung air. Proses penyediaan bahan tanaman
ini memakan masa 7-10 bulan.
Kaedah Cantuman Baji
Kaedah penemuan baru
dalam pembiakan ciku.
-
Penyediaan pokok
penanti:
Biji benih matang disemai di dalam kotak semaian berpasir. Percambahan
bermula 3-4 minggu. Anak benih yang mempunyai 2 helai daun dialih ke
dalam beg plastik bersaiz 20 cm x 30 cm berisi tanah campuran 3:2:1
(tanah atas: pasir : baja organan).
Pokok penanti yang sesuai dicantum setelah berumur 10 bulan atau 15 cm
tinggi. Bahagian pucuknya dipotong dengan menggunakan pisau cukur
sepanjang 8-10 cm dari pangkal pokok. Pastikan bahagian pucuk yang
tinggal masih berwarna hijau. Kemudian batang pokok penanti dibelah dua
sepanjang 2 cm dengan pisau cukur tadi.
-
Penyediaan tunas
pucuk:
Pucuk yang sihat berukuran 8-10 cm panjang berwarna hijau keperangan dan
berdaun daripada klon terpilih sebagai sion. Pucuk direndam di dalam
larutan hormon seperti Pantas atau Indole Butyric Acid selama 10-15
minit dan dikeringkan dengan kain bersih. Dengan menggunakan pisau
nipis, pangkal pucuk dipotong berbentuk baji atau V. Permukaan yang
dipotong hendaklah rata dan licin serta berukuran kira-kira 2 cm
panjang. Daun-daun dikerat separuh.
-
Penyisipan pucuk
sion ke pokok penanti
Pucuk akan disisipkan pada pokok penanti yang telah dibelah dengan
kemas. Cantuman ini diikat tali rafia yang halus. Pokok yang telah
dicantum ditutup dengan sarong plastik dan diletakkan di bawah
lindungan. Beg plastik ini boleh ditanggalkan selepas didapati pucuk
baru keluar pada tunas atau 1 bulan selepas cantuman. Ikatan tali boleh
dibukakan selepas 1 1/2 hingga 2 bulan atau apabila didapati percantuman
antara tunas pucuk sion dan pokok penanti telah kukuh. Anak cantuman
baji yang telah berjaya boleh dialih ke ladang setelah berukur 5-6
bulan.
3. KAEDAH
PEMANGKASAN POKOK (CANTAS)
Pemangkasan adalah penting bagi membentuk pokok
menjadi seimbang dan tidak terlalu tinggi supaya mudah diurus ia juga
dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dan berkualiti. Terdapat tiga jenis
cantasan iaitu:-
-
Cantasan Bentuk
Pokok dibiarkan tumbuh dengan satu batang utama setinggi 1.5 m. Di awal
musim hujan, batang utama dipangkas pada paras 1m untuk menggalakkan
pengeluaran cabang. Batang pokok diikat pada kayu pancang supaya pokok
tumbuh tegak. Beberapa tunas akan tumbuh di batang utama. Pilih empat
batang yang agak teguh dan seimbang dan buang yang selebihnya.
Tunas-tunas tadi dibiar tumbuh menjadi cabang pertama dan seterusnya
membentu batang pokok.
(Sila lihat gambarajah).
Apabila kesemua empat cabang pertama telah mencapai 1.5 m panjang, ia
dicantas semula pada jarak 1m dari batang utama. Tunas-tunas baru akan
tumbuh dan pilih tunas-tunas yang menghala keluar untuk disimpan.
Gunting tunas yang tumbuh menghala ke arah dalam pokok untuk memberi
bentuk pokok 'terbuka tengah'. Bentuk pokok yang seimbang dengan ruang
dahan utama yang lapang akan mendapat pengudaraan dan cahaya matahari
yang mencukupi. Ini akan menjamin pertumbuhan pokok yang sihat.
Pemangkasan keseluruhan masih perlu diteruskan dua kali setahun sehingga
pokok menghasilkan buah. Tunas-tunas air serta dahan berpenyakit dan
cedera hendaklah digunting.
(Sila lihat gambarajah).
-
Cantasan Penjagaan (pokok dewasa)
Pemangkasan seterusnya dibuat selepas pengeluaran hasil pertama. Potong
dahan-dahan yang melentur serta mencecah tanah dengan menggunakan
gunting atau gergaji pangkas. Gunting semua tunas air serta dahan yang
menegak ke atas dan yang tumbuh menghala ke dalam pokok. Potongan
hendaklah dibuat rapat ke dahan. Buang dahan-dahan yang mati dan
berpenyakit hingga tanda-tanda mati atau penyakit tiada kelihatan pada
dahan tersebut. Kemudian sapukan cat ke atas keratan tersebut untuk
mengelakkan jangkitan merebak.
(Sila
lihat gambarajah).
-
Pemangkasan Bunga dan Buah
Pada keadaan terentu, pemangkasan bunga dan buah dilakukan untuk
mempertingkatkan saiz dan kualiti buah. Ia dilakukan supaya buah tidak
terlalu lebat dan mengurangkan kesan biennial bearing. Jika
buash terlalu lebat ia akan menjejaskan pertumbuhan dan penghasilan
tahun berikutnya. Kadar pemangkasan buah adalah bergantung kepada
kesuburan pokok dan juga jumlah buah.
Pemangkasan bunga dan buah dibuat dua kali (jika perlu). Pilih ranting
yang matang dan gunting sebelum buku ruas. Berhentikan pengairan kepada
pokok buat sementara bagi menggalakkan pengeluaran bunga. Empat minggu
selepas pemangkasan bunga akan keluar sepenuhnya.
(Sila lihat gambarajah).
|