Kaedah Fertigasi Beri Pulangan Lumayan
Kepada Bakal Pesara
|

PW 1 Zulkifli MOhammad (bersara)
bangga menunjukkan hasil titik peluh |
Menakjubkan ! Kaedah
fertigasi yang dipraktikkan dua bakal pesara TLDM dalam
mengusahakan projek penanaman cili memberi pulangan begitu
lumayan.
Pegawai Waren (PW I)
Zulkifli Mohammad, 41 dan Bintara Kanan (BK) Badrudin
Othman, 44 sedang menjalani latihan peralihan di Pusat
Latihan Pertanian (PLP) Batu 8 Lekir selama setahun
sebelum bersara dari perkhidmatan pada 18 Jun 2009.
Latihan peralihan mereka bedua telah bermula dari 15 Mei
08 dan akan tamat pada 14 Mei 09.
Kedua-dua mereka yang mula
menceburi TLDM pada 19 Jun 1987, dengan kerjasama Jabatan
Pertanian Negeri Perak dan PLP Lekir yang telah memberi
kawasan (tapak) kini sedang mengusahakan ladang cili
dengan menggunakan kaedah fertigasi atau fetigation
(fertilizer and irrigation) di dalam Rumah Perlindungan
Hutan. |
Sistem ini boleh ditakrifkan sebagai satu
kaedah penanaman moden di mana baja (dalam bentuk larutan) yang
mengandungi dua belas unsur seperti Kalsium Nitrat, Zat Besi,
Kalium Nitrat, Solu Potash, Magnesium Sulfat, Mangan Sulfat,
Boron, Kuprum, Zink Sulfat, Mono Kalium Hidrogen Fostat,
Potasium dan Natrum Molibat yang diagihkan ke zon perakaran
tanaman melalui sistem pengairan (penitisan) yang dibina khas
dan tidak menggunakan tanah. Sebaliknya hanya menggunakan
habuk sabut atau sekam padi (bahan buangan) sebagai bahan asas
tanaman. "Istimewanya, kaedah penanaman ini tidak kotor
dan menjijikkan berbanding dengan keadaan konvensional lain,"
ujar PW Zulkifli.
Menurutnya, semua sistem
pengairan yang digunakan untuk pengairan yang digunakan untuk
pengagihan baja, ialah jenis tititsan yang dikawal oleh sistem
jangka masa (timer) yang telah ditetapkan. Sistem
pembajaan tambahan seperti baja organik, semburan hormon dan
makanan tambahan (foliar) serta kawalan serangga dan kulat
menggunakan sistem semburan dalam teknik fertigasi yang
disyorkan.
"Memang mudah menggunakan kaedah
ini kerana ia membuahkan hasil dua kali ganda lebih banyak dari
menggunakan keadah penanaman biasa serta ianya merupakan
satu-satunya aktiviti penanaman yang menyeronokkan serta tidak
membeban dan membosankan,' ujar BK Badruin pula.
Menceritakan pengalaman, kedua-dua mereka mengakui tidak
menyesal memilih bidang pertanian sebagai kerjaya setelah
bersara kelak kerana ianya memberi pulangan yang
memberangsangkan bak kata pepatah, tidak rugi berbudi pada
tanah. "Kami berasal dari kampung dan lahir dari keluarga
petani, sudah tentu asas pertanian sudah sebati dengan jiwa
kami, sebab itu kami tidak kekok untuk terus menceburkan diri
dalam bidang ini," ujar Badrudin bangga.
Kerana minat yang mendalam dalam bidang pertanian, kedua sahabat
karib ini telah menghadiri kursus Teknologi Tanaman Sayuran
Secara Kaedah Fertigasi di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada
bulan Februari lalu di atas pembiayaan sendiri dengan kos
sebanyak RM1,200.00 seorang. Kursus ini menekankan
penanaman Rock Melon, cili, tomato dan terung yang berpotensi di
pasaran.