|
Harian
Metro, 16 Ogos 2008
|
Teknologi baru tanam padi
ORYZA Mechanique Sdn. Bhd (Oryza Mechanique), syarikat yang terbabit
secara langsung dalam bidang pertanian, melancarkan produk baru khusus untuk
memudahkan kerja penanaman padi dipanggil Knapsack-Powered Paddy Seed Row Seeder.
Syarikat berkenaan diberikan lesen oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(MARDI) untuk memasarkan produk terbabit secara komersial bagi pasaran dalam
dan luar negara.
|
|

|
Memiliki teknologi canggih yang bukan saja
dapat membantu petani membuat tanaman secara teratur, Knapsack-Powered Paddy
Seed Row Seeder juga dapat menjimatkan proses penanaman sehingga 40 kali
lebih cepat berbanding cecara tradisional.
Selain itu, produk berkenaan dapat menjimatkan belanja dikeluarkan petani kerana
tidak memerlukan ramai tenaga kerja selain terbukti menjimatkan biji benih padi
sehingga 150 peratus. Mesin padi buatan tempatan ini juga mampu dimiliki
setiap penanam padi berikutan kosnya sangat berpatutan. Pelbagai aspek
inovatif dan efisien yang dimiliki Knapsack-Powered Paddy Seed Row Seeder turut
diperakui di peringkat antarabangsa apabila berjaya memperoleh pingat perak
dalam Anugerah Ekspo Antarabangsa Geneva ek-34, dua tahun lalu.
Majlis pelancaran produk itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Asas Tani,
Datuk Mustapa Mohamed, di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro
Pertanian Malaysia (Maha) 2008 di Serdang, baru-baru ini.
[ke belakang]
Harian Metro, 16 Ogos 2008
Tiga kilang padi terpaksa henti operasi
SANGLANG: Tiga pengilang padi swasta di sini terpaksa menghentikan
sementara operasinya antara satu hingga dua hari apabila jumlah padi yang
dihantar untuk diproses di kilang itu terlalu banyak. Difahamkan, penghantaran
padi secara serentak ke kilang itu sejak kira-kira seminggu lalu menyebabkan
kilang berkenaan kekurangan tempat untuk menyimpan selain kerja-kerja memproses
padi turut terganggu. Tinjauan di sebuah kilang di sini, semalam mendapati tidak
kurang 20 lori yang sarat dengan muatan padi beratur panjang di luar pintu
kilang itu untuk menghantar padi mereka.
Seorang
petani, Hamzah Kasa, berkata ramai petani cuba menghantar padi mereka secepat
mungkin selepas difahamkan kilang itu menutup operasinya pada jam 1 petang. "Bagi
mengelakkan padi rosak saya terpaksa menghantarnya ke kilang secepat mungkin,"
katanya. Seorang lagi petani Jaafar Ahmad, 56, berkata penutupan itu boleh
menjejaskan pendapatan petani di sekitar kawasan berkenaan. "Ramai petani
di sini lebih gemar menjualkan padi mereka di kilang padi swasta kerana harganya
lebih mahal iaitu RM1,100 bagi satu tan berbanding kilang kerajaan yang harganya
RM1,000 sahaja," katanya.
Jaafar berkata, sekiranya
kilang padi ditutup lebih lama ia menjejaskan pendapatan petani. Beliau
berkata, petani juga terpaksa menjual padi di kilang lain yang kedudukannya
lebih jauh sekaligus meningkatan kos. Sementara itu, Pengerusi Persatuan
Pengilang Beras Melayu Cina Kedah, Datuk Chew Giok Kun, ketika dihubungi
berkata, penutupan kilang itu bukanlah memakan masa lama dan dipercayai tidak
menjejaskan petani di sekitar kawasan itu. "Tiga kilang berkenaan
menghentikan operasinya kerana padi yang dihantar ke kilang itu terlalu banyak
dan di luar jangkaan," katanya.
Katanya, musim ini petani
menuai padi secara serentak menyebabkan pengilang menghadapi masalah
memprosesnya. Kita tidak menolak kemungkinan musim ini padi lebih subur
hingga mengeluarkan hasil yang banyak dalam satu masa," katanya. Chew berkata,
masalah itu dipercayai tidak menjejaskan pendapatan petani kerana penghilang
sudah berjanji mempercepatkan kerja mereka supaya tidak menjejaskan petani.
[ke belakang]
Harian Metro, 1 Ogos 2008
80 mahu permit jual
padi ke kilang luar
PARIT BUNTAR: Lebih 80 pembeli padi berlesen di daerah Kerian merayu
kerajaan terutama Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras Negara memberikan permit
supaya mereka boleh menjual padi ke kilang luar terutama di kedah, Seberang Prai
dan Pulau Pinang. Seorang pembeli berlesen di sini, yang hanya
mahu dikenali sebagai Tan, berkata dia membeli kira-kira 10,000 tan
metrik padi kali ini dengan harga lebih RM1,000 bagi setiap metrik tan.
Katanya, lebih mendukacitakan lapan kilang di daerah Kerian kini kurang
berminat membeli padi tempatan sebaliknya lebih gemar membeli padi dari
Seberang Perak, Langkap, Cuai Cak, Sungai Manik atau dari Tanjung Karang
dan Sekinchan, Selangor kerana mendakwa mutu dan kualiti padi dari
tempat itu lebih baik.
[ke belakang]
Harian Metro, 1 Ogos 2008
Hasil padi tak terjejas
JITRA: Sebanyak 11 pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini dan
Perlis menafikan baja organik subsidi dibekalkan Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani kepada pesawah tidak berkualiti. Pengerusi Penyelaras
PPK, Ahmad Radin, berkata pihaknya mendapati jumlah pengeluaran padi di kawasan
itu meningkat dan tiada pesawah di kawasan terbabit yang merungut mengenai
kualiti baja berkenaan yang diterima secara percuma melalui skim insentif
pengeluaran padi.
|