PENANAMAN PADI DI MALAYSIA



PENDAHULUAN:

Pokok padi tergolong di dalam keluarga Gramineae.  Terdapat 19 spesies padi, cuma dua spesies sahaja iaitu Oryza glaberima stend dan Oryza sativa L. yang ditanam dengan meluas.  Oryza glaberima ditanam di Afrika dan Oryza sativa L. pula terdapat khasnya di Asia, Australia dan Amerika.

Oryza sativa L. boleh dibahagikan kepada tiga sub-spesies iaitu:-

Indica         -
Japonica    -
Javanica    -
Terdapat di Sri Lanka, India, Pakistan Tengah, Selatan, China, Taiwan dan Asia Tenggara.
Terdapat di Utara dan Timur China, Jepun dan Korea.
Terdapat di Indonesia.


KEPERLUAN ASAS TANAMAN:

Tanaman padi memerlukan sinaran matahari, suhu dan jumlah hujan (18-40oC dan 1240 mm/tahun) yang cukup dan memerlukan keadaan air bertakung.  Oleh itu, tanah-tanah berstruktur halus seperti lempung, lempung berkelodak, lom lempung atau lempung berpasir adalah sesuai. Sifat kimia tanah sawah yang subur ialah pH (5.0-6.0), nitrogen (2-3%), fosforus (>40 ppm), kalium (>0.1 meq/100g), CEC (>20 meq/100g) dan karbon organik (2-3%).


VARIETI YANG DISYORKAN

Terdapat dua jenis padi iaitu padi tradisional (>140 hari peringkat matang) dan padi varieti baru (<135 hari peringkat matang).  Dalam tempoh 1972-1998 terdapat 25 varieti padi baru yang telah diperkenalkan untuk penanaman dua kali setahun di Malaysia.  Padi varieti baru mempunyai potensi penghasilan yang tinggi tetapi bermasalah daripada segi mutu dan kurang ketahanan terhadap perosak dan penyakit.  Manakala varieti padi tradisional pula amat peka terhadap fotokala, bertempoh matang panjang, pokok tinggi serta mudah rebah dan kurang gerakbalas terhadap baja.  Walau bagaimanapun, varieti ini mempunyai keistimewaan dari segi citarasanya yang sedap.

Ciri-ciri utama varieti padi yang disyorkan masakini ialah MR 84, MR 167, MR 185, MR 159 dan lain-lain varieti yang telah diisytiharkan serta masih ditanam (klik untuk lihat varieti-varieti padi).  Varieti-varieti yang sesuai mempunyai ciri-ciri berikut:-

  • Tahan penyakit karah
  • Tahan gangguan di peringkat anak semai
  • Sederhana tinggi dan pokok tumbuh tegak
  • Tidak mudah rebah
  • Masak serentak
  • Tidak mudah relai supaya sesuai untuk penuaian menggunakan jentera.

Penggunaan biji benih yang berkualiti merupakan satu langkah penting dalam pakej penanaman padi kerana ia dapat menjamin pengeluaran hasil yang tinggi.  Disyorkan menggunakan biji benih berkualiti dalam kategori biji benih padi sah kerana telah menepati Malaysian Standard MS 469-1993.


AMALAN KULTUR

Penyediaan tanah untuk sistem tanaman padi adalah berbeza kerana ia bergantung kepada jenis sistem yang digunakan, iaitu samada sistem tabur terus kering, sistem tabur terus basah atau sistem mengubah.  Dalam sistem mengubah pada amnya terdapat tiga peringkat pembajakan yang perlu dilaksanakan, iaitu:-

  1. Pembajakan I (kering) dilakukan 27 hari sebelum menanam.  Semburan racun rumpai 17-23 hari sebelum menanam.
  2. Pembajakan II (kering atau basah) 7-10 hari sebelum menanam
  3. Pembajakan III (basah) dan meratakan tanah 1 hari sebelum menanam.

Semasa kerja-kerja merata tanah dilakukan maka tidak perlu keadaan air hingga ke tahap 10 cm.  Adalah memadai dengan sekali pembajakan dijalankan semasa musim hujan sekiranya terdapat kawalan rumpai yang memuaskan sebelum dan selepas penyediaan tanah.  Pada keadaan air bertakung (10-30 cm), membajak dengan jentera adalah sukar.  Kerja-kerja pembajakan akan mudah jika penyemburan racun rumpai (paraquat) pada kadar tidak lebih dari 2 liter/ha dijalankan terlebih dahulu.

Kerja-kerja penyediaan tanah adalah berbeza bagi sistem tabur terus kering dan tabur terus basah.  Bagi tabur terus kering pembajakan pertama dilakukan dalam keadaan kering dan seterusnya dijalankan dengan berulang-ulang sehingga tanah menjadi halus serta rata.


SISTEM MENANAM

Terdapat dua sistem penanaman padi, iaitu:-

  • Sistem Mengubah
    Melibatkan penanaman secara manual ataupun dengan menggunakan jentera penanam.  Penyediaan anak semai perlu dijalankan sebelum anak semai diubah ke sawah.  Ia melibatkan dua cara penanaman iaitu:-

    (i)   Menanam secara manual
     

    Dalam sistem mengubah memerlukan penyediaan tapak semaian yang dipilih di kawasan yang agak tinggi dari keadaan sekeliling.  Lebar tapak biasanya 1-2 meter dan panjangnya pula bergantung kepada kemudahan untuk mengurus air.  Tanah dibajak 2 kali iaitu pertama untuk mendapatkan keadaan permukaan tanah yang baik.  Seterusnya tapak ditambak setinggi kira-kira 5-10 cm dari paras biasa dan diratakan.

    Anak padi ditanam mengikut barisan untuk menyenangkan kerja-kerja pengurusan kelak.  Tiap-tiap lubang ditanam sebanyak 2-3 pokok.  Anak padi ditanam tegak dan tidak terlalu dalam supaya pengeluaran tunas tidak terganggu.  Jarak tanaman tidak melebihi 25 cm x 25 cm untuk hasil optimum.

    (ii)  Menanam menggunakan jentera penanam

    Boleh diamalkan terutama di kawasan di mana tabur terus tidak boleh diamalkan serta bagi kawasan yang mengalami masalah padi angin (klik lihat ulasan mengenai padi angin) dan juga sesuai bagi kawasan yang kekurangan tenaga kerja.  Mengubah dengan menggunakan jentera penanam memerlukan anak semai dalam kotak khas.  Kadar benih yang disyorkan ialah 50 kg/hektar.

    Media semaian disediakan dengan campuran 50% sekam padi terbakar dan tebal media ialah 2-2.5 cm dipadatkan.  Benih terpilih direndam selama 24 jam dan ditoskan selama 48 jam untuk memudahkan percambahan.  Benih pracambah ditabur dalam kotak semai khas dengan kadar 200 g/kotak.  Semaian dibiar bercambah 2-3 hari dan kemudian dipindah ke rak takungan untuk direndam.  Semaian dijaga sehingga 15 hari atau tinggi semaian diantara 15-20 cm sebelum diubah dengan jentera penanam.

 

  • Sistem Tabur Terus
    Sistem tabur terus iaitu serak basah dan serak kering.  Tabur terus serak basah diamalkan secara meluas sekarang.  Benih yang telah bercambah ditabur terus ke kawasan sawah dalam keadaan tepu.  Bagi serak kering pula, biji benih pracambah ditabur ke kawasan sawah kering selepas penyediaan tanah.  Tanah kemudiannya akan dipadatkan selepas benih ditabur.  Bagi kedua-dua sistem ini kadar biji benih yang disyorkan ialah 60 kg/hektar.

PEMILIHAN BENIH TANAMAN

Disyorkan menggunakan biji benih sah keluaran Jabatan Pertanian.  Manakala bagi biji benih yang dikeluarkan oleh petani, ianya perlu dipilih melalui tapisan dengan menggunakan bancuhan air garam yang boleh menimbulkan sebiji telur ayam yang nilai ketumpatan bandingannya 1.08.  Hanya biji benih yang tenggelam sahaja yang digunakan sebagai biji benih.  Biji benih pracambah hendaklah ditabur sejurus selepas selesai kerja-kerja penyediaan tapak.

PEMBAJAAN

Diantara perkara penting yang perlu diberi perhatian di dalam pembajaan tanaman padi ialah kadar dan masa pembajaan dilakukan.  Bagi tanaman secara tabur terus, kadar baja yang digunakan ialah 100 N:40P205:30K2O bagi semua kawasan.  Bagi tanaman secara mengubah, kadar 80 N: 30 P205:20K2O telah disyorkan bagi kawasan pantai barat dan kadar 80 N:40P205:20K2O bagi kawasan di pantai timur.  Bagi kaedah mengubah, baja urea digunakan pada peringkat semaian iaitu sebanyak 45-50 g/meter persegi 15 hari selepas benih ditabur.  Baja yang digunakan di dalam skim baja subsidi ialah baja campuran dan baja urea. 

Pengambilan baja oleh tanaman juga bergantung kepada tahap kesuburan tanah termasuk faktor fizikal dan kimia tanah bagi sesuatu kawasan.  Masa membaja bergantung kepada varieti padi, cara menanam dan musim penanaman.  Pada kebiasaannya, pembajaan tanaman padi dilakukan secara menabur secara manual dan jarak taburan setiap lemparan ialah tiga meter.  Pembajaan di sawah dilakukan sebanyak 3 kali untuk cara mengubah dan tabur terus.  Untuk kedua-dua kaedah tanaman ini, pembajaan pertama terdiri dari baja campuran NPK manakala baja kedua dan ketiga ialah baja N sahaja.

PENGURUSAN AIR

Sistem pengairan terkawal di kawasan jelapang padi, dimana air dibekal dari tali air, ditakung dalam lot sawah dan disalir keluar ke dalam parit pada masa tertentu.  Sistem ini memerlukan batas ladang untuk menakung air di dalam lot sawah dan parit ladang untuk menyalirkan air keluar aras tanah yang rata.

Bekalan air ke sawah adalah terhad.  Pengurusan air yang berkesan mengambilkira keperluan air di sawah mengikut peringkat penyediaan tanah, peringkat pertumbuhan padi dan sistem tanaman yang diamalkan.  Diantara faedah-faedah pengurusan air yang sempurna adalah seperti berikut:-

  • Menjamin bekalan air yang cukup mengikut jadual persawahan.

  • Dapat mengelakkan pembaziran air.

  • Membantu pertumbuhan pokok melalui keberkesanan pembajaan, kawalan rumpai dan kawalan perosak, iaitu meningkatkan kecekapan dan hasil.

  • Memudahkan mekanisasi ladang.

Bagi kebanyakan kawasan padi, keperluan pengiaran pada puratanya ialah satu cusec/30ha.  Kawalan paras air di sawah adalah kritikal bagi sistem penanaman padi.  Berikut menunjukkan paras air 10 cm adalah kritikal bagi memenuhi keperluan preingkat pertumbuhan iaitu seleaps mengubah dan tabur terus, beranak aktif, pembentukan bulir, bunting dan terbit.  Manakala pembuangan air juga kritikal pada tempoh 20 hari sebelum menuai, tetapi bekalan air diteruskan dari hari ke 40-115.
 

Hari Selepas Tabur Peringkat Tumbesaran Padi Tahap Keperluan Air Kawasan Paras Air (cm)
30
40
60
70
80
100
115
130

Selepas mengubah/tabur terus
Beranak aktif
Beranak tidak aktif
Pembetukan butir
Bunting
Terbit dan bersusu
Membeku dan matang
Tuai

Amat mustahak
Mustahak
Mustahak
Mustahak
Amat mustahak
Amat mustahak
Tidak mustahak
Tidak mustahak
10
10
10
10
10
10
0
0

TEKNIK PENGURUSAN AIR

  • Teknik pengurusan air bagi sistem mengubah:

    Bagi penjimatan air, jangkamasa pratepu padi peringkat permulaan musim hendaklah dikurangkan sehingga 3-4 hari iaitu setakat cukup untuk tanah menjadi tepu.  Paras air kemudian dibiarkan di paras minimum (3-5 cm) bagi memudahkan pergerakan jentera.  Paras air semasa mengubah adalah diantara 5-10 cm dan dibiarkan pada paras tersebut sehingga peringkat membeku dan matang di mana semua air disalir keluar jika boleh   Tanaman hendaklah dijadualkan supaya peringkat pembiakan pokok tidak bertepatan dengan musim kemarau dan tanah asid sulfat hendaklah sentiasa ditenggelami air sepanjang masa pertumbuhan sehingga selepas peringkat membeku dan matang.
     

  • Pengurusan air bagi sistem tabur terus:

    Pengurusan air perlu dilaksanakan dengan rapi bagi mendapatkan kesan yang baik untuk persediaan tanah, peratus pertumbuhan padi, keseragaman pertumbuhan padi dan kawalan rumpai.  Keadaan tanah yang sesuai untuk ditabur biji benih adalah tanah yang rata, lembab dan paras air pula boleh diturunnaikkan mengikut pertumbuhan pokok.  Bekalan air yang berterusan adalah perlu sekiranya biji benih kering ditabur di atas tanah kering untuk mendapatkan percambahan dan seterusnya pertumbuhan pokok yang memuaskan.  Air pada mulanya dimasukkan ke sawah dan dibiarkan pada ketinggian 10 cm semasa pemutaran basah.  Air disalir keluar 1-2 hari sebelum menabur benih dan sekiranya terpaksa menabur di dalam sawah yang sudah dimasuki air, air yang berlebihan hendaklah disalirkan keluar.  Kurangkan gangguan yang mengocak air kerana ini akan memberi kesan buruk pada percambahan dan pertumbuhan pokok. Paras air sentiasa ditakung pada ketinggian 5-10 cm dan dibuang 15-20 hari sebelum menuai bergantung kepada jenis tanah dan kecekapan saliran.

MEMUNGUT HASIL

Padi mesti dituai seelok padi masak.   Kelewatan menuai boleh menyebabkan kekurangan hasil kerana pokok-pokok padi akan rebah, biji-biji padi lerai dan juga kerosakan oleh musuh-musuh dan penyakit-penyakit.  Biasanya padi elok dituai dalam masa 35 hari selepas 50% dari pokok-pokok mengeluarkan tangkai-tangkai padi.

Biasanya padi dituai dengan jentuai (combine harvester).  Kemudian biji-biji padi dileraikan dengan cara membanting tangkai-tangkainya ke dalam tong pembanting.  Hanya di kawasan yang menanam padi secara kecil-kecilan padi dituai dengan 'ketam' padi.  Terdapat juga mesin-mesin penuai lengkap yang kecil dan ringan iaitu 'mini combine' yang juga boleh menuai, membanting dan membersihkan hasil padi sekaligus, tetapi ia hanya boleh menuai seluas 0.1 ha (1/3 ekar) sejam.

PENGURUSAN PEROSAK

Satu pendekatan pengurusan kawalan perosak yang menggabungkan aktiviti pertanian, kawalan biologi dan penggunaan kimia secara bijaksana dan terhad, iaitu:-

  • Penggunaan Varieti Rintang
    Penggunaan biji benih tulen yang menepati Standard Minimum Biji Benih, di mana ia tulen dan tidak berpenyakit akan dapat mencegah kejadian rumpai dan serangan penyakit bawaan biji benih.
     

  • Amalan Kultura
    Penyediaan tanah yang sempurna termasuk meratakan tanah dan pengurusan air yang berkesan.
     

  • Penggunaan Musuh Semulajadi
    Musuh semulajadi membantu membunuh perosak-perosak tanaman adalah labah-labah, pepatong dan kumbang-kumbang seperti Casnoide interstitialis, Coccinella arcuta dan lain-lain. Kumbang Coccinella arcuta makan serangga perosak khususnya anak dan ibu bena perang sementara kumbang Pyrtorhinus lividipennis memusnahkan telur bena perang manakala labah-labah memerangkap serangga perosak.
     

  • Kawalan Perosak Secara Biologi
    Ternakan ikan seperti ikan keli, sepat dan lampan jawa secara intergrasi di dalam sawah dapat mengawal serangan serangga, moluska dan rumpai serta mengurangkan penggunaan racun.  Dengan mengambil faktor-faktor ekosistem sawah, satu hektar sawah boleh menampung diantara 3000-4000 ekor anak ikan.  Ikan boleh dituai selepas berumur 60 hari.
     

  • Penternakan Itik Muscovy Secara Intergrasi
    Dapat mengawal masalah rumpai sawah, padi tumpah dan juga merupakan sumber protin dalam kehidupan harian pesawah.
     

  • Penggunaan Racun Perosak Secara Betul
    Penggunaan racun perosak adalah dibenarkan jika ia melebihi tahap tindakan kawalan, sekiranya populasi perosak atau kejadian penyakit melebihi paras tersebut.

PENYAKIT UTAMA TANAMAN PADI

     

  1. Karah Padi (Pyricularia oryzae)
  2. Hawar Seludang (Thanatephorus cucumeris = Rhizoctonia solani)
  3. Hawar Daun Bakteria (Xanthomonas oryzae)
  4. Bulir Hitam (Ustilagioide virens)
  5. Penyakit Bintik Perang (Drechslera oryzae)
  6. Hawar Anak Benih
  7. Penyakit Merah Virus
  8. Jalur Daun Bakteria (Zanthomonas oryzicola)
  9. Bakanae (Gibberella fujikuroi = Fusarium moniliforme)
  10. Lelompat Padi Bena Berang dan Bena Putih

 
[ke Laman Utama]


Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
08 July 2009 10:07:59 PM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tidak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.