KOMPOS JERAMI PADI


Kompos adalah bahan organan yang stabil hasil daripada proses pereputan bahan organan mentah dengan bantuan berbagai jenis mikroorganisma dalam keadaan lembap, panas dan berudara.  Kompos yang cukup matang berwarna hitam dan berkeadaan repuh serta peroi.

Kompos lebih merupakan pembaik pulih tanah kerana ia memperbaiki struktur dan daya pegangan air tanah.  Ia juga adalah pembekal nutrien yang baik kerana mempunyai ciri-ciri pelepasan nutrien yang perlahan walaupun kandungan bajanya rendah.

Kompos boleh dibuat daripada bahan-bahan berikut:-

  1. Sisa dapur

  2. Sisa tanaman seperti batang jagung, jerami padi, daun-daun sayuran buah, cantasan ranting pokok buah-buahan dan tandan kelapa sawit.

  3. Rumput rampai serta lalang


CARA MEMBUAT KOMPOS


Pembuatan Daripada Jerami Relai

  • Sediakan tapak bersaiz 1.5m panjang dan 1.5m lebar.
     

  • Buatkan parit selebar 30 cm dan dalam 30 cm sekeliling tapak.
     

  • Tanah dari kawasan parit ditimbun ke atas tapak sambil tanah di atas tapak digemburkan untuk mendapat pengudaraan dan saliran yang baik.
     

  • Jerami sebanyak 30 kg diserak di atas tapak dan dimampatkan dengan cara memijak.
     

  • Siramkan air ke atas jerami sebanyak 9 liter iaitu lebih kurang 2 baldi.
     

  • Tabur ke atas jerami (berdasarkan peratus berat jerami) dengan 2%  CIRP (0.6 kg),
    2% kapur (0.6 kg), 2% urea (0.6 kg), 10% tanah atas (3 kg) dan 10% tahi ayam (3 kg)
     

  • Ulangkan langkah 4, 5 dan 6 hingga menjadi 5 lapisan.
     

  • Sebatang kayu bulat bergaris pusat 3 cm dipacak di tengah-tengah longgokan.
     

  • Tutup bahagian atas dengan satu lapisan jerami atau guni jut yang sudah dipakai.
     

  • Siram timbunan dengan air jika didapati kering.  Disyorkan 2 minggu sekali.
     

  • Periksa kejadian kompos dengan mencabut kayu pancang dan pegang dengan tangan.
    Jika kayu panas menandakan kompos sedang menjadi.
     

  • Terbalikkan longgokan jerami pada minggu ke 8 dan minggu ke 12 supaya semua jerami menjadi kompos.
     

  • Dengan kelembapan yang sesuai dan 2 kali diterbalikkan, dapat menghasilkan kompos yang matang selepas 16 minggu.


Pembuatan Daripada Jerami Ketul (Straw Bale)

  1. Sediakan tapak bersaiz 2.4 m panjang dan 2.4 m lebar.
     

  2. Buatkan parit selebar 30 cm dan dalam 30 cm di keliling tapak.
     

  3. Tanah dari kawasan parit ditimbus ke atas tapak sambil tanah di atas tapak digemburkan untuk mendapat pengudaraan dan saliran yang baik.
     

  4. Ketulan jerami yang bersaiz 60 sm panjang, 30 cm lebar dan 40 cm tinggi yang berat puratanya 6.2 kg dicelup ke dalam takungan air selama 15 minit supaya bahagian dalam ketulan dibasahi dengan air.
     

  5. Ketulan jerami basah disusun seperti dalam gambar rajah 1 menjadikan 3 lapisan.
     

  6. Diantara setiap lapisan tabur dengan 2% CIRP (4 kg), 2% kapur (4 kg), 2% urea (4 kg),10% tanah (19.8 kg) dan 10% tahi ayam (19.8 kg).
     

  7. Bahagian atas timbunan ditutup dengan lapisan jerami relai atau guni jut terpakai untuk mengekalkan kelembapan.
     

  8. Siram timbunan setiap 2 minggu sekali.
     

  9. Periksa kejadian kompos dengan mencucuk kayu licin ke dalam timbunan selama 15 minit.  Jika panas menandakan kompos sedang menjadi.
     

  10. Balikkan timbunan pada minggu ke 8, minggu ke 12 dan ke 20 supaya proses reputan serata.
     

  11. Dengan kelembapan yang sesuai dan 3 kali balikkan dapat menghasilkan kompos yang matang selepas 24 minggu.


Kematangan dan Mutu Kompos Daripada Jerami Padi

Kematangan kompos dapat dipastikan apabila suhu dalam timbunan telah sejuk dan rupanya berwarna kehitaman dan teksurnya rapoh dan peroi apabila dipegang.

Dari pemerhatian yang dijalankan didapati jerami relai bertukar menjadi kompos dalam masa empat bulan dan jerami ketul bertukar menjadi kompos dalam masa 6 bulan.  Kualiti kompos jerami padi dari segi kandungan nutrien ialah N dari 1.4-2.0%, P205 dari 1.8-5.2% bergantung kepada peratus CIRP yang digunakan, K20 dari 0.2-1.0%, CaO dari 3.5-7.8%, Mg0 dari
1.1-1.7% dan B dari 79-141 ppm.  Nisbah  C:N dari 12.6-19.6


Faktor-faktor Penting Dalam Membuat Kompos

  1. Karbon dan Nitrogen

    Mikroorganisma pengurai bahan buangan menggunakan karbon (C) dan nitrogen (N) untuk pertumbuhan dan pemakanan.  Secara purata mikrob menggunakan 30 bahagian karbon dan satu bahagian nitrogen.  Nisbah C:N dalam lingkungan 30:1 dalam media kompos memberiikan imbangan zat makanan yang sempurna untuk kecekapan aktiviti mikrob  Jika karbon melebihi 36, kompos memerlukan masa yang lebih untuk mencapai tahap kematangan kerana kekurangan nitrogen.  Jika nisbah C dibawah 26, kelebihan N berlaku.  Kelebihan ini menyebabkan nitrogen ditukarkan menjadi amonia dan hilang sebagai wap.  Kompos dianggapkan matang apabila aktiviti mikrobnya serta proses penguraiannya tiba tahap mantap. 

    Semua bahan buangan tumbuhan terutamanya yang bergentian mempunyai kandungan karbon yang tinggi.  Oleh sebab itu, nitrogen sama ada dalam bentuk baja organik atau bukan organik perlu ditambah pada buangan tersebut untuk menurunkan nisbah C:N sehingga hampir 30.  Apabila ini dicapai, mikrob boleh menguraikan buangan dengan lebih cekap.
     

  2. Suhu

    Apabila bahan buangan dihimpun untuk pembuatan kompos, haba akan naik kerana aktiviti mikrob.  Suhu kompos meningkat kepada kira-kira 60oC pada beberapa hari permulaan.  Suhu ini seterusnya kekal selama 30-60 hari bergantung pada bahan-bahan yang digunakan.  Selepas itu suhu kompos menurun secara perlahan sehingga menyamai suhu persekitaran.  Semasa proses penghasilan kompos, himpunan bahan buangan diterbalikkan untuk pengudaraan.  Ini menaikkan suhu himpunan sedikit kerana penyebaran oksigen di dalam himpunan telah meningkatkan aktiviti mikrob.  Kenaikan suhu tidak begitu nyata apabila kompos menghampiri tahap kematangan.
     

  3. Kandungan kelembapan

    Aktiviti mikrob bergantung pada kelembapan. Tanpa kelembapan semua aktiviti akan berhenti.  Kandungan kelembapan sebanyak 50-60% adalah memadai.  Pada takat ini, kompos lembap tetapi tidak terlalu basah dan air tidak mudah meleleh apabila diperahkan dengan tangan.
     

  4. Oksigen

    Mikrob aerobik memerlukan oksigen untuk pertumbuhan.  Jika bekalan oksigen tidak mencukupi, mikrob aerobik akan diganti oleh mikrob anaerobik.  Pengurai bahan buangan oleh mikrob anaerobik sangat perlahan dan juga menyebabkan kompos berbau busuk.  Untuk mengelakkan keadaan ini kompos perlu diterbalikkan bagi menambah pengudaraan.
     

  5. Inokulum dan pH

    Gabungan diantara bakteria mesofili dan kulat akan memecahkan dan seterusnya menguraikan bahan kompos.  Aktiviti ini akan meningkatkan suhu kepada 25oC-30oC.  Apabila suhu mencapai lebih dari 40oC mikrob termofili akan menggantikan mikrob mesofili. Sekiranya bahan buangan mempunyai jumlah mikrob yang kecil, inkulum ditambah untuk meningkatkan bilangan mikrob.  Pada peringkat ini proses pembentukan kompos ini diteruskan hingga ke peringkat matang, kompos akan menjadi hampir neutral akibat tindakan penepuan bahan humus.  Kapur tidak perlu dibubuh untuk menaikkan pH kerana pH dikawal oleh mikrob yang wujud di dalam himpunan kompos.


Kadar Penggunaan Kompos dan Kebaikannya

Kadar penggunaan kompos bergantung jenis tanaman dan jenis tanah.  Pengesyoran am adalah antara 1-20 tan sehektar.  Kompos boleh digaul ke atas batas tanaman atau lubang tanaman.  Kompos juga boleh digunakan sebagai bahan sungkupan.


Kebaikan Penggunaan Kompos

1..Sebagai bahan penyubur tanah
2. Memperbaki
3. Mengekalkan kelembapan tanah kerana daya pegangan airnya yang baik
4. Mengurangkan larut lesap zat makanan dalam tanah
5. Memperbaiki pengudaraan dalam tanah

[ke Halaman Padi]     [ke Halaman Utama]


Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
08 July 2009 10:12:39 PM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tidak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.