|
MEMBUAT
KOMPOS DARIPADA
KAYU RACIKAN
Kesesuaian Teknologi
Teknologi
pembuatan kompos ini berguna kepada petani dengan menukarkan timbunan najis
haiwan kepada kompos. Najis dari haiwan peliharaan seperti tahi lembu dan
tahi ayam tidak akan reput menjadi kompos kecuali diurus dengan baik.
Pengurusan yang baik termasuklah memastikan rimbunan campuran najis tersebut
berongga dan tidak mampat bagi tujuan pengudaraan yang baik. Timbunan
najis perlu dicampur dan diterbalikkan bagi membaiki rongga-rongga udara.
Satu cara
penyediaan kompos yang pasif dan mudah ialah dengan cara pereputan windrow
dimana timbunan bahan-bahan kompos tidak kerap diterbalikkan. Kaedah ini
tidak memerlukan tenaga kerja dan peralatan yang banyak.
Teknologi:
Penyediaan
bahan kompos
Bahan untuk membuat kompos, terdiri dari 50% bahan cebisan kayu (bahan utama)
dicampur dengan 50% tahi ayam atau tahi lembu mengikut isipadu. Sekiranya
kayu racikan digunakan pada kuantiti yang besar (sebagai bahan tambahan) udara
boleh bergerak dengan mudah melalui timbunan bahan kompos. Dengan ini suhu
di dalam timbunan tidak jatuh semasa proses pereputan berlaku walaupun
kerja-kerja menterbalikkan timbunan kompos tidak dijalankan.
Kebaikan
Kayu racikan sesuai digunakan sebagai bahan utama tambahan (bulking
agent) apabila mengendalikan najis haiwan yang mempunyai kandungan air yang
tinggi. Kayu racikan juga meningkatkan aktiviti mikroorganisma dengan
membekalkan oksigen kepada timbunan kompos. Satu timbunan kompos yang
aktif mengeluarkan haba dan sejumlah besar kelembapan dibebaskan ke udara.
Oleh itu, proses pereputan mengurangkan isipadu dan berat bahan mentah dalam
jangka masa yang singkat.
Proses pereputan
aerobik tidak mengeluarkan gas yang berbau busuk sepertimana pereputan
anaerobik. Punca utama bau busuk dari timbunan kompos adalah gas ammonia
yang terhasil dari pereputan bahan kompos yang mengandungi nitrogen dan proses
pereputan anaerobik. Keadaan anaerobik boleh dikurangkan dengan pengurusan
yang betul. Bau gas ammonia yang tajam boleh diatasi dengan memasukkan
kayu racikan dalam campuran kompos.
Penggunaan kayu
racik sebagai bahan kompos boleh mengurangkan kejadian penyakit pada tanaman dan
boleh meningkatkan aktiviti mikroorganisma dalam tanah. Aspek ini penting
terutama di kawasan di mana tanaman sayur-sayuran ditanam secara berterusan.
Sungkupan tanaman
dari kompos bahan kayu racikan dapat mengurangkan pertumbuhan rumpai di ladang
dengan cara menutupi permukaan tanah. Bahan phytoroksik yang terhasil
semasa proses pereputan mewujudkan persekitaran yang tidak baik untuk
pertumbuhan rumpai. Penggunaan kayu racikan sebagai bahan kompos memberi
tambahan bekalan bahan organan kepada tanah yang diusahakan.
Peringatan Penting
-
Kompos
yang menggunakan kayu racik mengandungi kandungan karbon yang tinggi. Oleh
itu proses pereputan perlu dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan. Kayu
racik yang bersaiz 1-2 cm padu memerlukan masa untuk mereput.
-
Petani yang
membuat kompos hendaklah memerhati atau mengawasi kelembapan timbunan kompos
dan menyiram air jika diperlukan. Kandungan air yang mencukupi
diperlukan untuk proses pereputan yang aktif. Timbunan kompos yang
mengandungi bahan kayu racik melebihi 30% biasanya akan mudah kering
berbanding dengan timbunan yang mengandungi habuk kayu gergaji.
-
Kayu racikan
yang telah dirawat dengan pengawet atau bahan kimia seperti dicat tidak boleh
digunakan sebagai bahan untuk kompos.
-
Mesin untuk
meracik kayu adalah mahal. Sekiranya kayu yang digunakan diambil dari
tempat (hutan) yang jauh, petani perlu juga mengambil kira kos pengangkutan
kayu.
|