KOYA NENAS - PEROSAK NENAS


Koya nenas (Dysmicoccus brevipes) adalah serangga perosak yang sering menyerang tanaman nenas di kebun-kebun atau di ladang-ladang.  Disamping itu ia juga pembawa virus penyakit layu merah pada tanaman ini.

Edaran Hidup:

Koya dewasa bertelur berkelompok-kelompok di atas daun nenas.  Telur akan menetas menjadi anak jelmaan dalam masa satu minggu.  Koya dewasa berukuran 2-3 mm panjang, berwarna kuning kelabu.  Di sekeliling badannya terdapat rambu-rambu putih yang pendek dan berlilin.

Biasanya koya hidup di dalam kumpulan di bahagian akar, tetapi ada sebilangan kecil yang tinggal di pangkal-pangkal daun.  Koya menghisap cecair dari bahagian-bahagian pokok yang lembut, dan mengeluarkan cecair manis dari badannya.  Semut akan tertarik kepada manisan ini dan kerana ini semut selalunya terdapat bersama dengan koya.  Koya berpindah ke pokok yang lain dengan bantuan semut-semut ini.

Serangan dan Tanda-tandanya:

Koya merosakkan tanaman nenas dengan menghisap cecair dari bahagian daun, akar dan buah nenas.  Pada masa yang sama, ia juga membawa virus penyakit layu merah.  Tanda-tanda awal penyakit ini akan kelihatan di bahagian akar di mana pembesaran akar terbantut dan akhirnya reput.  Daun-daun mulai layu dan berubah warna menjadi kuning, dan seterusnya merah.  Perubahan warna ini bermula dari hujung daun dan merebak kebahagian pangkalnya.  Serangan koya di bahagian akar merupakan punca utama kejadian layu ini.

Pokok-pokok yang subur mula menunjukkan tanda-tanda serangan lebih cepat dari pokok-pokok yang kurang subur.  Jenis nenas yang didapati senang diserang oleh virus ini ialah nenas Sarawak.

Kawalan:

  1. Gunakan hanya sulur-sulur yang bersih sahaja sebagai bahan tanaman.  Sebelum menanam celup sulur-sulur ini ke dalam cairan diazinon (0.1% bahan aktif) untuk mengelakkan serangan musuh serangga ini.  Susun sulur-sulur ini dengan bahagian pangkalnya tegak ke atas selama 24 jam untuk memberikan racun serangga meresap pada bahagian pangkal.
     

  2. Sembur racun malathion pada kadar 0.1% bahan aktif ke tengah-tengah pokok, jika perlu.
     
  3. Sembur racun heptachior dengan kadar 0.05% bahan aktif ke atas tanah untuk menentang semut.
     

Kumbang Carhophilus

Kumbang Carphophilus foveicollis ini merupakan perosak yang menyerang buah nenas yang masak.  Keadaan ini akan mengurangkan mutu buah-buah nenas dan juga menimbulkan masalah di dalam kerja-kerja memproses.

Kerosakan:

Kumbang ini terlalu kecil berukuran lebih kurang 3.8 mm panjang dan 2.1 mm lebar.  Kumbang betina lebih besar dari kumbang jantan.  Kumbang ini memakan buah-buah nenas yang terlalu masak yang telah dipetik dan berselerak di dalam kebun atau buah-buah masak yang masih di atas pokok.  Ia memakan buah-buah ini sehingga reput kemudian meninggalkannya mencari bahan-bahan makanan yang baru seperti buah-buah yang belum masak.

Kawalan:

Kutip buah-buah yang terlalu masak (yang tidak boleh digunakan) dan longgokkan di satu tempat khas.  Sembur racun serangga ke atas buah-buah ini.

Musuh-musuh Lain:

Musuh-musuh lain yang didapati menyerang tanaman nenas ialah baki hutan, monyet dan tikus.

 [ ke belakang ]   [ke Laman Utama]

 


Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
08 July 2009 10:14:45 PM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
© Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tidak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.