EM4: Rakan Kongsi Yang Berkesan
(sumber: Agromedia Bil. 9/2000)
Dalam alam sekitar kita, terdapat
banyak jenis mikroorganisma. Tahukah anda antaranya terdapat lebih daripa
80 spesies yang berfaedah kepada kita? Mikroorganisma yang biasa digunakan
ialah EM4 iaitu spesies Lactobacillus, bakteria fotosintesis,
spesies streptomises dan kulat. EM4 ini bukan sahaja dapat mempercepat
pereputan sisa bahan organik tetapi juga menambahkan bahan makanan untuk
tumbuh-tumbuhan. Mikroorganisma ini juga berupaya menyekat aktiviti
mikroorganisma yang berbahaya terhadap tumbuh-tumbuhan.
Memandangkan
kelebihan EM4, MARDI menjalankan penyelidikan terhadap kesan EM4 pada tanaman
padi dan sayur-sayuran pada tahun 1994.
EM4 memang
berfaedah, penggunaan EM4 bersama beberapa jenis bahan organik seperti enapcemar
kelapa sawit, (POME). peram padi dan kekacang Sesbania rostata
telah meningkatkan hasil padi. Di Tanjung Karang, penggunaan EM4 selama 3
musim meningkatan hasil padi sebanyak 8-12%. Dengan adanya EM4 jerami padi
juga lebih cepat reput dan mudah meresap ke dalam tanah. Petak yang diberi
baja kimia (NPK) bersama EM4 menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 9%.
Bagi petak yang hanya diberi EM4 dan disiram setiap 10 hari melalui sistem
renjisan pula, hasilnya kurang memuaskan.
Apabila bahan
organik digunakan di tanah sawah yang ditenggelami air, biasanya pengeluaran gas
metana akan meningkat. Namun, penggunaan EM4 bersama pelbagai jenis bahan
organik seperti POME dan kompos sekam padi dapat mengurangkan pengeluaran gas
tersebut sehingga 54% pada pelbagai tahap pertumbuhan padi. Bakteria
fotosintesis yang terdapat dalam EM4 melengkapkan proses fotosintesis. Ia
menggunakan haba atau tenaga matahari untuk memisahkan dan membekalkan hidrogen
dari produk pertengahan dalam proses pereputan bahan organik, satu daripadanya
ialah metana. Dengan itu metana diuraikan.
Penyelidikan
tentang penggunaan EM4 dalam penanaman sayur juga dijalankan di Cameron
Highlands. Hasil purata kubis yang dibaja dengan tahi ayam, baja kimia
(NPK) dan EM4 bertambah sebanyak 18%. Di Kuala Linggi pula, hasil kubis
meningkat sebanyak 20%.
Penggunaan EM4
dalam pembajaan terhadap padi dan sayur-sayuran telah memberikan hasil yang
memberangsangkan. Dengan ini, EM4 memang sesuai digabung dengan baja
organik kerana dapat mengekalkan kesuburan tanah, mengelakkan pencemaran alam
sekitar dan membekalkan bahan makanan yang bermutu kepada manusia.
(sumber: Agromedia Bil.
9/2000) |