Kerosakan tanaman di ladang selalunya berpunca daripada jangkitan dan
serangan berbagai-bagai makhluk perosak seperti kulat, bakteria, virus serangga
dan nematod. Kesan kerosakan makhluk-makhluk perosak ini akan mengurangkan
hasil tanaman. Nematod ialah satu daripada perosak tanaman yang berbentuk
cacing halus, kebanyakannya berukuran dalam lingkungan 0.25 mm hingga 5.50 mm.
Ia hidup serta membiak di dalam tanah dan ada yang menembusi akar tanaman dan
menjadi parasit. Biasanya, nematod merosakkan bahagian akar tanaman
tetapi daun dan batang juga terjejas oleh serangan nematod lain. Kerosakan
tanaman ini boleh menjadi lebih teruk jika nematod saling bertindak dengan
patogen seperti kulat, bakteria atau virus.
Jenis-jenis Nematod:
Nematod Puru Akar
Di Malaysia terdapat dua spesies nematod puru akar yang penting dan sering
ditemui, iaitu Meloidogyne incognita dan M. javanica. Pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan menjadi perumah kepada nematod ini.
Nematod betina bertelur dan larva yang ditetaskan bergerak dalam tanah sebelum
menyerang akar. Semasa di dalam akar larva nematod yang berbentuk cacing
itu membesar menjadi dewasa. Apabila dewasa bentuknya berubah seperti labu
air, menyebabkan akar tanaman menjadi bengkak dan berpuru. Kitaran hidup
nemathod ini pada pokok tembakau ialah 27-28 hari.
Serangan nematod puru akar pada lada hitam menyebabkan pertumbuhan anak benihnya
terbantut. M. incognita pula boleh menyerang anak
benih jambu batu yang masih dalam polibeg. Dalam masa 1-2 tahun di ladang
pokok jambu tersebut akan menjadi bantut, daunnya kekuning-kuningan, hasil
buahnya berkurangan dan akhirnya pokok akan mati. Nematod puru akar juga
mengakibatkan keguguran daun pada kacang bendi, saiz buah tomato menjadi kecil
dan menjejaskan pertumbuhan anak benih berbagai-bagai kultivar tembakau.
Nemathod Reniform
Sehingga kini cuma satu spesies nematod reniform sahaja iaitu
Rotylenchulus reniformis yang ditemui di Malaysia. Taburannya amat
luas. Ia dapat hidup pada 34 spesies tumbuh-tumbuhan. Ia mempunyai
sifat semi-endoparasit kerana semua peringkat larvanya hidup di luar akar.
Hanya nematod yang betina sahaja mampu menembusi dan menjadi parasit akar.
Di dalam akar, nematod membentuk tiub permakanan pada sel di bahagian kortex.
Pada akar betik, kitaran hidupnya ialah 28 hari.
Enam belas (16) jenis tanaman (bayam, sawi, lada, betik, timun, kacang bendi,
keledek, kacang panjang, kangkong, tomato, ubi kayu, kacang buncis, lobak, tebu,
terung dan jarung) sesuai dengan nematod ini. Cuma pertumbuhan tomato,
kacang bendi dan anak benih betik sahaja yang terjejas pada tahap populasi
nematod yang tinggi. Di peringkat ladang nematod ini tidak menjejaskan
pertumbuhan dan hasil buah betik eksotika dan pisang mas walaupun aras
populasinya tinggi.
Nematod Lesion
Peranan nematod lesion (Pratylenchus sp.) agak penting juga pada
beberapa tanaman seperti pisang, kacang tanah dan bunga-bungaan.
Sekurang-kurangnya lima spesies ditemui di Malaysia. Nematod lesion
bersifat endoparasit kerana boleh hidup dan membiak di dalam akar. Nematod
ini makan bahagian kortex akar dan menyebabkan kerosakan yang berbentuk lesion
berwarna hitam pada akar.
Pada tanaman bunga kekwa, populasi nematod lesion amat tinggi. Ia
menyebabkan pertumbuhan tanaman tersebut menjadi bantut, kekurangan akar sisi,
klorosis dan bunga menjadi kecil. Nematod lesion juga ditemui sebagai satu
daripada nematod utama pada tanaman bunga anthurium. Ia menyebabkan
kerosakan pada akar, daun menjadi kekuning-kuningan dan pertumbuhannya
terbantut.
Nematod Akar Padi
Nematod akar padi Hirschmanniella oryzae, banyak ditemui pada
berbagai-bagai kultivar padi di Malaysia. Nematod akar padi hidup sebagai
endoparasit di bahagian kortex akar mengakibatkan simptom lesion dan
kekuning-kuningan pada daun.
Kaedah Kawalan:
Pendekatan berdasarkan pengurusan perosak bersepadu boleh digunakan. Dua
aspek utama yang perlu dipertimbangkan ialah kerosakan tanaman mencapai aras
ambang ekonomik dan penggunaan racun perosak yang berhemat. Jika dua aspek
ini belum dapat dipastikan, serangan nematod terhadap tanaman tidak memerlukan
tindakan pengawalan. Serangan nematod yang terbukti tidak menjejaskan
hasil tanaman walaupun pada aras populasi yang amat tinggi, tidak memerlukan
penggunaan sebarang racun atau kaedah kawalan. Serangan nematod yang perlu
ditangani ialah serangan terhadap tanaman jambu batu, pisang, tembakau dan
bunga-bungaan, terutamanya kekwa dan anthurium.
Serangan
nematod boleh dikawal di peringkat penyediaan tanah untuk anak benih.
Campuran tanah tersebut perlu dipastikan bebas daripada nematod. Pemastian
ini dilakukan dengan menganalisis aras dan jenis nematod. Jika aras
populasinya tinggi dan jenis nematodnya berbahaya, rawatan menghapuskannya perlu
dilakukan. Rawatan pada jumlah tanah yang sedikit ini, menjimatkan kos
penyediaan dan kerugian hasil di peringkat ladang dapat dikurangkan.
Kaedah rawatan yang biasa digunakan ialah pengewapan dengan wap air dan
pengwapan dengan fumigan. Pada tanaman tembakau dan bunga-bungaan, rawatan
dazomel pada tapak semaian sebelum biji benih tembakau ditabur dan anak benih
bunga-bungaan ditanam, mampu menyekat serangan awal nematod. Pendekatan
yang sama digunakan dalam mengawal serangan nematod terhadap anak benih di dalam
polibeg. Rawatan menggunakan bahan kimia fenamifos, karbofuran dan
cadusafos pada kadar yang rendah terhadap anak benih dalam polibeg dapat
mengurangkan serangan nematod puru akar pada tanaman jambu batu, pisang dan
tembakau.
Kawalan nematod di peringkat ladang agak
sukar. Ia memerlukan masa yang lama dan kos yang tinggi. Serangannya
pula lewat dikesan. Pokok-pokok yang diserang wajar dimusnahkan bagi
mengelakkan penyebaran dan menjimatkan kos pengurusan tanaman. Walaupun
begitu, jika pokok tidak diserang dengan teruk dan masih boleh pulih, rawatan
secara kimia boleh digunakan pada kadar yang agak tinggi.
PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
08 July 2009 10:43:40 PM