|
MENANAM
ASPARAGUS DI TANAH RENDAH

PENDAHULUAN:
Asparagus
(Asparagus Officinalis) ialah sejenis tanaman sayuran jangka panjang yang
berasal dari kawasan Timur Mediterranean. Kini asparagus banyak ditanam di
negara-negara lain termasuk di kawasan tropika. Di kawasan hawa sederhana,
sayuran ini tidak mengeluarkan sulur di musim sejuk, tetapi sebaliknya sulur
akan keluar di musim bunga dan musim gugur. Sulur inilah dipungut sebagai
sayuran. Di Malaysia didapati tanaman asparagus mengeluarkan sulur di
sepanjang tahun. Sulur-sulur yang tidak dipungut akan membesar dan
mengeluarkan daun.
KANDUNGAN ZAT PEMAKANAN
Asparagus mempunyai nilai pemakanan yang agak tinggi kerana ia banyak mengandungi vitamin
(Vitamin A, B1, B2 dan C) dan zat-zat galian (Kalsium dan besi).
Aspargagus segar mengandungi 92 peratus air dan 8 peratus protin, gula dan selulosa.
KEADAAN POKOK
Pokok asparagus
tumbuh menegak sehingga lebih kurang 2 meter tinggi dan bercabang-cabang.
Daunnya halus seperti jarum, keluar dari bahagian bukunya. Bilangan
daun di setiap buku ialah di antara 5 hingga 12 tangkai. Kebanyakan akar
tersebar 30 cm di bawah paras tanah. Pucuk pada rizom akan tumbuh menjadi
sulur dan keluar di permukaan tanah. Pada pokok matang, sulur boleh
dipungut 3 hingga 5 hari selepas keluar dari tanah.
JENIS-JENIS ASPARAGUS
Jenis asparagus
yang sesuai dan berpotensi ditanam di tanah rendah ialah Mary Washington,
Califonia 309, California 500, Rutger Beacon (F1), Glory of
Brunswick, Early of Argenteuil, UC 157 ,UC 72, UC 800, UC 500, US Hybrid (F1).
antara jenis-jenis yang telah diuji di tanah rendah ialah jenis Mary Washington,
California 309, UC 800, UC 500, UC Hybrid dan Rutger Beacon. Jenis-jenis
yang mempunyai potensi untuk ditanam di kawasan tanah rendah ialah Mary
Washington dan California 309. Bagaimanapun hasil penyelidikan mendapati
jenis Mary Washington senang diserang penyakit.
KESESUAIAN IKLIM DAN TANAH
Iklim:
Semasa menyemai,
biji benih asparagus memerlukan suhu di antara 15oC hingga 30oC untuk mendapatkan percambahan yang tinggi. Suhu semasa menanam di ladang
hendaklah di antara 22oC hingga 28oC di waktu siang dan 17oC hingga 22oC di waktu malam.
Tanah:
Tanaman asparagus
boleh ditanam di atas semua jenis tanah. Ia hidup subur dan boleh
mengeluarkan hasil yang tinggi di atas tanah jenis ringan seperti lom berpasir
atau lom berkelodak yang kaya dengan bahan organik serta tidak bertakung air.
Tanaman ini sesuai
ditanam di tanah yang mempunyai pH di antara 5.5 hingga 6.7. Sekiranya pH
tanah kurang daripada 5.5, sebanyak 2 hingga 3 tan kapur sehektar perlu ditabur.
PENANAMAN
Penyediaan Tanah:
Bersihkan kawasan
daripada rumpai kemudian bajak sedalam 30 cm bersama-sama dengan baja organik
dan kapur. Buat batas yang berukuran setinggi 15 cm hingga 20 cm, lebar 80
cm hingga 180 cm dan 20 m hingga 50 m panjang.
Penyediaan Anak Benih:
Biasanya asparagus
ditanam daripada biji benih. Ia juga boleh ditanam daripada keratan rizom.
Bagi setiap hektar kawasan sebanyak 1.5 kg biji benih diperlukan. Biji
benih ini disemai terus ke dalam petak semaian atau polibeg (campuran tanah
mengandungi 3 bahagian tanah lapisan atas, 2 bahagian pasir dan 1 bahagian bahan
organik). Sebanyak 2 hingga 3 biji benih disemai di setiap polibeg.
Biji benih akan bercambah dalam masa 1 hingga 2 minggu. Peringkat
semaian mengambil masa 2 hingga 3 bulan.
Menanam Ke ladang:
Biasanya asparagus
ditanam di atas batas. Batas boleh dibuat sebelum atau selepas menanam.
Ukuran batas ialah di antara 80 cm hingga 180 cm lebar dan tinggi
sekurang-kurangnya 15 cm hingga 20 cm. Anak benih ditanam sedalam 15 cm.
Asparagus juga boleh ditanam di atas tanah rata yang telah dibajak. Batas
dibuat di peringkat pokok sedang membesar dengan menaikkan tanah beransur-ansur.
Menanam di dalam
alur dan dengan menggunakan rizom sesuai bagi kawasan kering. Cara begini
didapati akar dan pokok lebih tegap. Alur dibuat sedalam 15 hingga 20 cm,
lebar antara 15 hingga 20 cm dan jarak antara atur ialah 160 cm. Anak
benih ditanam sedalam 10 hingga 15 cm kemudian timbus secara beransur-ansur
ketika pokok membesar. Sekiranya menggunakan rizom, timbus dengan tanah
setebal 5 hingga 8 cm.
Jarak Tanaman:
Asparagus boleh
ditanam dalam sebaris atau dua baris berpasang. Jarak tanaman bagi cara
sebaris ialah 30 cm antara pokok dalam barisan dan 120 cm hingga 150 cm antara
barisan. Bagi cara dua baris berpasang pula, jarak antara pokok dalam
barisan ialah 30 cm dan jarak antara barisan ialah 45 cm. Jumlah pokok
yang boleh ditanam dalam sehektar kawasan ialah lebih kurang 20,000 pokok.
PENJAGAAN
Menyiram:
Penyiraman yang
lebih kerap perlu dijalankan di peringkat awal pertumbuhan dan sekiranya cuaca
panas. Sungkupan diperlukan untuk menjaga kelembapan serta suhu tanah
disamping mengawal rumpai.
Membaja:
Bagi tanah yang
tidak subur tambah baja organik seperti tahi ayam, tahi lembu dan lain-lain
sebanyak 25 tan sehektar setahun. Bagi kawasan sederhana subur pula
sebanyak 2.5 tan baja sehektar diperlukan dan digaul di lapisan atas batas atau
alur penanaman.
Pembajaan baja
bukan organik yang disyorkan bagi tanaman asparagus ialah seperti berikut:-
Contoh Jenis Baja Yang Boleh Digunakan Dalam
Program Pembajaan Asparagus
|
Masa |
Jenis dan Jumlah Unsur |
Contoh Jenis
Baja Yang Boleh
Digunakan (kg / ha) |
|
M0 |
P205 |
K2 |
|
Semasa menanam |
62.5-125 |
125-250 |
62.5-125 |
433-866 kg. baja sebatian
12:12:17:2 = TE
510-520 kg. Triplesuperphosphate
21-42 kg. Urea |
Selepas tiap-tiap
kutipan hasil |
125-187.5 |
125-250 |
125-187.5 |
866-1,327 kg. baja
sebatian
12:12:17:2 + TE
42-63 Kg. Urea |
Pemangkasan
Cantasan dilakukan
3 hingga 4 kali setahun mengikut keadaan pokok. Batang matang dicantas ke
paras tanah dan tinggalkan 3 hingga 4 batang sahaja disamping sulur baru yang
sedang membesar yang akan dipotong sebagai hasil segar. Bagi sulur muda
yang tidak sesuai dikutip dibiarkan membesar seterusnya mengeluarkan daun.
Memungut Hasil:
Hasil pertama
boleh dikutip selepas 8 hingga 10 bulan ditanam. Hasil meningkat bila
pokok berumur 4 tahun. Tanaman Asparagus boleh mengeluarkan hasil sehingga
15 ke 20 tahun sekiranya pokok dijaga dengan sempurna.
Asparagus dipungut
dalam dua bentuk, putih atau hijau. Asparagus hijau digunakan sebagai
sayuran segar dan yang putih ditinkan. Asparagus putih didapati dengan
menambus sulur yang baru keluar dan membiarkannya membesar di dalam tanah.
Pokok-pokok yang tidak ditimbus dipungut sebagai asparagus hijau.
Pemungutan hasil
dibuat dengan memotong sulur muda yang berukuran lebih kurang 25 cm panjang, di
bawah paras tanah. Kutipan hasil yang terlewat menjadikan sulur panjang
meruncing, berserabut dan hujung sulur.
Jumlah hasil yang
dipungut bergantung pada jenis iklim, tanah dan kekerapan memungut. Di
kawasan tropika, asparagus mengeluarkan pucuk di sepanjang tahun. Oleh
yang demikian, hasil yang didapati di kawasan ini dijangka melebihi daripada di
kawasan beriklim sederhana.
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.
MENGRED SULUR ASPARAGUS
Sulur asparagus yang dikutip dari ladang perlu digred,
disusun dan diikat menjadi satu ikatan atau berkas. Potong sulur sepanjang
17 cm tiap-tiap satu dan digredkan mengikut ukuran garis pusat sulur.
Ukuran garis pusat diperolehi dengan cara membuat ukuran lilitan pada paras 12.7
cm dari hujung sulur. Berasaskan ukuran garis pusat, sulur asparagus
digred seperti berikut:-
-
Gred pertama :
Garis pusat sulur mestilah 9.6 mm dan ke atas atau ukuran lilitan melebihi 30.1
mm.
-
Gred kedua :
Garis pusat sulur diantara 8.0-9.5 mm atau ukuran lilitan diantara 25.1-30.0 mm.
-
Gred ketiga :
Garis pusat sulur diantara 6.4-7.9 mm atau ukuran lilitan diantara 20.1-25.0 mm.
Hujung sulur mestilah
berkeadaan padat. Semua sulur yang mempunyai ukuran garis pusat kurang 6.4
mm atau ukuran lilitan kurang dari 20.1 mm adalah tidak sesuai untuk pasaran.
KEROSAKAN SELEPAS
KUTIPAN HASIL
Suhu adalah satu satu faktor yang amat penting dalam kerosakan hasil segar
asparagus, terutamanya semasa menyimpannya. Kerosakan diakibatkan dari
kecederaan fisiologi. Kualiti akan menurun jika hasil segar asparagus
terdedah kepada suasana yang kering. Persediaan keadaan penyimpanan yang
sesuai adalah penting bagi menjamin kualiti asparagus.
Bagi mengelakkan
kecederaan fisiologi selepas kutipan hasil, hasil segar asparagus perlulah
disimpan di tempat yang sesuai. Mengikut satu kajian, mutu asparagus boleh
menurun dengan cepat dalam masa yang singkat apabila disimpan pada suhu yang
tinggi. Sebagai panduan, keadaan suhu penyimpanan yang paling sesuai ialah
diantara 0oC-2oC dengan kelembapan udara penyimpanan 95%.
Dengan keadaan demikian, kualiti asparagus akan terjamin selama 2-3 minggu.
MUSUH DAN PENYAKIT
Penyakit:
Penyakit-penyakit
yang menyerang tanaman asparagus ialah:-
-
Penyakit layu
Pucuk
Penyakit ini disebabkan oleh kulat Fusarium sp. Kulat menyerang
pucuk muda menyebabkan pucuk-pucuk muda kelihatan hitam, layu dan terus kering.
Penyakit ini didapati boleh dikawal dengan menyembur racun seperti Benomyl WP
0.03% ba.c. atau Captan WP 0.2% ba.c.
-
Bintik Perang
Disebabkan oleh kulat Drechslera (Helminthosporium). Kulat
menyerang pokok dan menyebabkan daun-daun dan rantingnya kelihatan berbintik
perang. Jika dibiarkan lama kelamaan ranting itu kering dan mati.
Penyakit ini boleh dikawal dengan racun kulat jenis Captan WP 0.2% b.a. atau
Maneb WP 0.2% b.a.
-
Penyakit Karat
Penyakit ini disebabkan oleh kulat bernama Puccinia asparagi.
Ia dapat dikenali apabila terdapat tanda bintik hitam atau merah pada batang dan
daun. Ia boleh dikawal dengan menanam jenis yang tahan dengan penyakit,
memotong dan memusnahkan bahagian yang diserang atau membuat semburan dengan
racun kulat
-
Reput Pangkal
Kulat yang menyebabkan penyakit ini adalah Phytophthora. Ia didapati
menyerang bahagian pangkal pokok menyebabkan pangkal berwarna perang, reput
akhirnya seluruh pokok layu dan mati.
Perosak:
-
Ulat Kupu-kupu
Merupakan sejenis ulat yang menyerang bahagian pucuk dan dahan.
Kemungkinan ulat ini adalah Spodoptera, lebih dikenali sebagai ulat ratus.
Boleh dikawal dengan menyembur racun serangga seperti Trhichlorphon SP. 0.1%
dan Gamma BHC EC 0.1% b.b.
-
Ulat Pengorek
Pucuk
Sejenis pengorek pucuk juga menyerang tanaman asparagus, serangannya tidaklah
begitu teruk.
-
Belalang
Bahagian daun asparagus juga dirosakkan oleh serangga belalang dan serangan
tidaklah begitu teruk.
-
Kumbang Asparagus
(Crioceris asparagi dan Crioceris duodecem)
Merosakkan sulur muda dan daun. Ia boleh dikawal dengan racun kimia.
-
Ulat Pangkas
Memotong daun dan memakan bahagian pucuk dan daun. Boleh dikawal dengan
racun kimia.
-
Teritip
Mencederakan bahagian pucuk dengan cara menghisap sap pucuk muda dan menyebabkan
kualiti hasil akan terjejas. Serangan ini biasa meningkat ketika kutipan
hasil sedang berjalan. Kawal dengan racun kimia.
RANTAIAN LAMAN WEB:
Di bawah diturunkan tapak-tapak web
mengenai tanaman asparagus. Sila klik pada tajuk-tajuk di bawah ini:-
|