|
PENANAMAN:
DUKU-LANGSAT,DOKONG DAN
DUKU TERENGGANU

DUKU LANGSAT
Duku-langsat ialah
hasil kacukan semulajadi di antara duku dan langsat. Di Malaysia, pokok
ini hanya tumbuh di beberapa kawasan di Terengganu terutama sekali di
tebing-tebing Sungai Terengganu dan Sungai Telemong dalam daerah Kuala
Terengganu. Pokok-pokok yang ada merupakan warisan dan generasi yang
terdahulu sejak seratus tahun yang lalu.
Rupa bentuk dan
warnanya sama seperti langsat, cuma kulitnya tebal sedikit, tidak bergetah dan
rasanya manis. Di Terengganu, buah ini dikenali sebagai 'duku' tetapi ini
tidaklah tepat.
Jenis
Oleh kerana
duku-langsat membiak melalui biji benih, maka terdapat berbagai-bagai perbezaan
daripada segi bentuk, jenis dan beberapa ciri yang lain. Walau
bagaimanapun, jenis-jenis duku-langsat ini mempunyai ciri-ciri yang agak sama
dan rasanya manis. Kelon-kelon yang telah didaftar oleh Jabatan Pertanian
ialah Du1, Du2, Du3, Du4 dan Du5.
Iklim
Duku-langsat
memerlukan iklim tropika iaitu panas dan lembab di sepanjang tahun. Ia
tahan pada cuaca kering dan musim hujan yang biasa berlaku di Terengganu.
Tanah
Pokok ini tumbuh
dengan subur di kawasan yang berhampiran dengan sungai. Duku-langsat
sesuai ditanam di tanah yang berpasir, mempunyai saliran yang baik dan
berkeadaan lembab. Pertumbuhannya kurang subur di tanah yang menakung air
dan mempunyai paras air yang tinggi.
Cara Menanam
-
Membiak:
Pembiakan tampang
bagi duku-langsat belum lagi diamalkan secara meluas kerana pembiakan begini
telah didapati kurang berjaya. Cara yang biasa dilakukan oleh
petani-petani ialah mengambil anak-anak duku-langsat yang tumbuh sendiri di
bawah pokok induk sebagai bahan tanaman. Anak-anak duku-langsat sesuai
ditanam di dusun atau ladang setelah berumur dua tahun.
-
Menanam:
Jarak tanaman yang
disyorkan ialah diantara 9.0 - 12.00 meter. Selalunya duku-langsat yang
tumbuh sendiri hidup subur di celah-celah pokok lain. Anak-anaknya
dibiarkan tumbuh di bawah pokok-pokok yang matang. Purata jarak di antara
pokok yang telah matang dianggarkan sejauh 4.5 meter.
Penjagaan
-
Naungan:
Pokok ini
memerlukan keadaan yang redup, sejuk dan lembab di sepanjang masa. Di
Terengganu, duku-langsat tumbuh diantara pokok buah-buahan lain yang memberi
naungan. Di bawahnya pula terdapat semak-samun atau pokok-pokok kecil yang
sentiasa menutupi tanah supaya sejuk. Dusun yang kurang
dinaungkan akan merendahkan hasil kerana keadaan yang lapang dan terbuka
menyebabkan pokok mudah diserang penyakit matirosot.
-
Membaja:
Mengikut tinjauan
yang dibuat, duku-langsat tidak memerlukan penjagaan yang rapi seperti membaja,
merumput atau mencantas. Hasil yang tinggi ditentukan oleh tanah yang
subur; kawasan yang sesuai dan naungan yang mencukupi. Mungkin pokok-pokok
naungan ini membantu memperkayakan baja organan yang terkandung dalam tanah
hasil daripada bahan-bahan tumbuhan yang reput. Bahan baja semulajadi ini
seterusnya mengurangkan keperluan baja tambahan bagi duku-langsat.
Memungut Hasil:
Pokok duku-langsat
biasanya mula berbuah setelah berumur 12 tahun. Duku-langsat berbuah
setahun sekali dan kadang-kadang terdapat juga buah di luar musim. Pokok
berbunga dalam bulan Jun dan mengambil masa 4 bulan sehingga buah masak.
Ini bermakna buah mula dipetik dalam bulan Oktober hingga November. Hasil
yang diperolehi dari satu pokok yang berumur 50 tahun ke atas biasanya ialah 240
- 300 kg (4-5 pikul) semusim. Bagi satu pokok buahnya habis di petik dalam
masa 2-4 minggu.
Cara Mengutip
Hasil:
Waktu mengutip
hasil yang paling sesuai ialah di antara pukul sepuluh hingga sebelas pagi dan
pukul tiga hingga empat di sebelah petang. Pada waktu-waktu ini,
buah-buahnya telah kering dari embun dan cuaca yang redup dapat mengelakkan buah
dari pecah. Pemetik buah terpaksa memanjat dan memetik gugusan-gugusan
buah. Memetik hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak
mencederakan tampuk buah di dahan-dahan kerana bunga-bunga di musim akan datang
akan dikeluarkan di tampuk-tampuk yang sama. Buah yang dipetik dimasukkan
ke dalam bakul atau kain sarung dan dihulur ke bawah dengan tali. Setelah
dikumpul, buah yang kurang bermutu atau pecah diasingkan dari buah yang elok dan
dimasukkan ke dalam guni-guni untuk dijual kepada peaih atau pemborong.
Pasaran:
Harga duku-langsat
bergantung kepada hasil yang diperolehi dan musim buah-buahan yang lain.
Jika terdapat banyak buah-buahan lain di pasaran, harganya rendah sedikit.
Harga buah yang ditolak kepada peraih-peraih ialah lebih kurang RM90.00 bagi
60.5 kg (1 pikul) sewaktu dalam musim atau RM140.00 bagi 60.5 kg di awal musim.
Oleh kerana duku-langssat digemari ramai dan bekalannya pula terhad, buah ini
tetap mendapat harga yang memuaskan dan menguntungkan pekebun-pekebun.
Masalah:
Masalah utama yang
sering dihadapi oleh tuan-tuan punya dusun duku-langsat ialah kekurangan tenaga
untuk memetik buah. Buah-buah yang telah masak mestilah dipetik dengan
segera kerana warnanya akan bertukar menjadi perang dan seterusnya hitam dalam
masa beberapa hari setelah masak. Buah yang begini kurang bermutu dan
rendah harganya. Untuk mengatasi masalah ini, pekebun-pekebun terpaksa
mengupah pemetik-pemetik buah untuk mengutip hasil dengan bayaran lebih kurang
RM15.00 bagi setiap 60.5 kg buah yang dipetik.
Pengendalian Lepastuai
Sepanjang yang
diketahui duku-langsat merupakan sejenis tanaman yang tidak memerlukan penjagaan
yang rapi tetapi hidup subur dalam keadaan yang sesuai. Namun begitu,
penyelidikan selanjutnya seperti pembiakan secara tampang, pengurangan masa yang
diambil untuk mula berbuah, penggalakan pengeluaran bunga di luar musim,
pengawalan musuh-musuh utama, cara memangkas yang betul dan pembajaaan yang
sesuai diamalkan perlulah dijalankan. Dengan cara ini dapatlah bekalan
duku-langsat ini memenuhi permintaan pembeli-pembeli yang akan bertambah di masa
hadapan.
DOKONG (Lansium domesticum Corr.)
Setakat ini belum
ada klon yang disyorkan untuk penanaman. Walau bagaimanapun, pokok dokong
kering yang didapati tulen dan bermutu, berhasil tinggi serta mempunyai
ciri-ciri rintangan terhadap musuh dan penyakit dikenalpasti untuk mendapatkan
biji sebagai sumber benih tanaman.
Terdapat tiga
jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu dokong
kering, dokong air dan dokong biji atau dokong butir. Perbezaan diantara
ketiga-tiga adalah seperti berikut:-
-
Dokong Kering
Ditanam secara komersial kerana buah sangat manis, kulit tidak bergetah,
kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah keset. Buahnya
tersusun rapat di tangkai.
-
Dokong Air
Kandungan air dalam buah jenis ini adalah tinggi. Air akan terpancut
keluar apabila kulit ditekan. Isi buah kurang manis jika dibandingkan
dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Tidak
ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah
rendah.
-
Dokong Biji /
Dokong Air
Setiap ulas mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya
sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih
tebal dari dokong kering dan dokong air dan tidak bergetah. Buah tidak
mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok
penanti.
Penanaman
Dokong boleh dibiak dengan tiga cara, iaitu anak pokok biji, anak pokok
cantuman baji dan keratan.
-
Penyediaan anak pokok dari biji
Buah dari pokok dokong kering berkualiti yang telah dikenalpasti diambil untuk
mendapatkan bijinya. Biasanya sekilo buah akan menghasilkan 4-6 biji yang
besar dan bernas. Hanya buah yang besar dan bentuk tidak seimbang sahaja
yang ada biji besar dan dipilih sebagai sumber untuk mendapatkan biji.
Biji buah dibuang dan bijinya dibersihkan dan disemai dalam kotak pasir yang
telah disediakan lebih awal dan diberi rawatan racun kulat. Biji ditanam
sedalam 1 cm dan diletak secara mendatar. Tutup biji-biji ini dengan pasir
dan berikan lindungan dari cahaya matahari. Siram 2 kali sehari.
Satu biji boleh mengeluarkan lebih dari satu anak pokok. Dalam tempoh 8-10
minggu, anak pokok yang cergas boleh diasingkan dari pokok kecil lain dalam satu biji
dan diubah ke polibeg. Anak pokok yang masih kecil boleh disemaikan
kembali ke pasir sehingga ia mencapai tahap dua helai daun sebelum diubah ke
polibeg. Selepas 8-10 bulan didalam polibeg, anak pokok semaian dokong
akan mencapai peringkat umur untuk ditanam, iaitu ketinggian melebih 20 cm dan
sekurang-kurangnya 8 helai daun. Untuk mempercepatkan tumbesaran dan
mengurangkan tempoh di dalam polibeg ini, semburan dengan baja foliar seminggu
sekali adalah disyorkan.
-
Penyediaan anak benih secara
tampang (cantuman baji)
Semua spesies dalam genus Lansium boleh digunakan sebagai pokok penanti.
Langsat dan duku Kelantan (duku Dewan) merupakan pokok penanti yang paling
sesuai. Pokok penanti berumur 1-2 tahun, mempunyai batang bergaris pusat
6-8 mm serta sihat dan tidak berpenyakit boleh dipilih untuk cantuman baji.
Daun pokok penanti dibuang, batangnya dipotong pada paras lebih kurang 10 cm
dari paras tanah dan kemudian dibelah tengah sedalam 2 cm dengan menggunakan
pisau tajam.
Pucuk dari pokok dokong kering yang terpilih, bergaris pusat 6-8 mm, mempunyai
3-4 mata tunas, panjang antara 15-20 cm dan sekurang-kurangnya dua helai daun
hendaklah digunakan. Daun besar boleh dikerat supaya tinggal 1/2 - 1/3
saiz asal untuk mengurangkan perpeluhan. Pucuk yang baik ialah separuh
keras. Pangkal pucuk dipotong runcing sepanjang 2 cm berbentuk 'V'.
Masukkan ke dalam belahan di pokok penanti. Untuk memastikan kejayaan
cantuman, kambium dari pucuk dan pokok penanti mesti bertemu. Tempat
cantuman ini diikat dengan tali rafia dengan kuat. Siram air hingga
polibeg betul-betul lembab. Tutup dengan beg plastik untuk mengekalkan
kelembapan. Selenggarakan selama 4-6 bulan sebelum ia sesuai ditanam di
ladang. (Lihat rajah
cantuman baji)
-
Penyediaan anak benih secara
keratan
Dokong boleh dibiak dengan cara keratan, akan tetapi teknik ini belum diamalkan
secara meluas. Pucuk-pucuk yang keras dari pokok dokong kering terpilih
boleh digunakan. Pilih keratan berukuran lebih kurang 20 cm panjang dan
bergaris pusat 6-8 mm mempunyai 2-3 ruas buku dan juga 2-4 helai daun.
Keratan dibuat di bawah buku daun 1/2-1/3 bahagian daun-daun dibuang supaya
mengurangkan transpirasi dan menjimatkan ruang di dalam kotak pembiakan.
Celup keratan ke dalam lauran 10,000 ppm Indole-Butyric Acid (hormon penggalak
akar) selama 15 saat dan seterusnya tanam atas batas atau kotak pasir sungai
yang diletak di dalam rumah pembab kabus. Rumah pelembab dan pasir perlu
sentiasa basah dan lembab. Selaps 70 hari, keratan yang berakar boleh
diubah ke ladang. Polibeg ini disimpan dalam rumah pelembab selama 2
minggu sebelum dipindahkan ke rumah teduhan biasa. Selepas 3-4 bulan,
pokok keratan akan mengeluarkan pucuk serta daun baru dan boleh ditanam di
ladang. Oleh kerana pokok keratan ini tidak mempunyai akar tunjang,
penanaman dalam sistem kepadatan tinggi disyorkan.
Penanaman di ladang
Jarak yang dicadangkan ialah 6m x 6m
hingga 10m x 10m. Pada amnya jarak yang disyorkan ialah 7m x 7m dan ia
bergantung kepada kesuburan tanah. Lubang berukuran 0.6m x 0.6m x 0.6m.
Tanah lapisan atas diasingkan dengan lapisan bawah dan biar lubang 2-3 minggu
untuk didedahkan kepada cahaya matahari. Selepas itu, lubang tersebut
dikambus dengan tanah lapisan atas yang telah digaul dengan 200 gm CIRP dan 10
kg. baja organik atau kompos. Ini diikuti dengan tanah lapisan bawah.
Sebelum menanam, pokok dalam polibeg
disiram dan polibeg ditanggalkan dengan teliti supaya tidak merosakkan gumpalan
tanah dan akar. Pokok ditanam secara tegak dan lubang ditimbus hingga 3 cm
dari permukaan tanah polibeg. Tanah di sekeliling pokok dipadatkan dan
sungkupan yang terdiri dari sabut, rumput kering dan lain-lain boleh diletakkan
di pangkal pokok. Jika anak pokok agak tinggi (lebih dari 0.5m) sokongan
menggunakan pancang kayu digunakan untuk mengelakkan pokok tumbang.
Keperluan Lindungan
Atau Naungan
Pada tiga tahun pertama penanaman di
ladang, pokok dokong memerlukan 40-60% teduhan supaya pertumbuhan subur dan
cepat. Biasanya pokok Gliricidia, petai, petai belalang dan pisang adalah
tanaman lindungan yang sesuai. Tanaman lindungan perlu ditanam
sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum dokong ditanam dan jarak antara pokok lindungan
dan dokong hendaklah melebih 2.5 meter supaya mengelakkan persaingan.
Pemangkasan
Dalam tempoh 6 bulan diladang,
pengurusan pokok lindungan adalah penting untuk memberi naungan yang sesuai dan
mengurangkan persaingan. Cabang-cabang yang menganggu pertumbuhan dokong
harus dipangkas dan pokok lindungan boleh ditebang secara beransur-ansur mulai
tahun ketiga.
(Sila lihat panduan memangkas
pokok). Klik !
Program Pembajaan
Peringkat Pertumbuhan |
Umur (tahun) |
Jenis Baja |
Kadar Kg/pk/thn |
Masa Membaja |
| Masa Menanam |
Pembajaan asas |
CIRP Baja Organik |
0.2 10.0 |
Dimasukkan ke dalam
lubang tanaman |
|
Tumbesaran |
1
2
3
4
5
|
14:13:19:2
15:15:15 atau
15:15:6:4
dan
Baja Organik
|
0.5
1.0
2.0
3.0
4.0
10kg
|
3 bulan sekali terutama
pada awal
musim hujan.
Baja Organik ditabur 2 kali setahun
dengan kadar 10 kg/pokok |
|
Buah |
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15 ke atas
|
12:12:17:2+TE
12:6:22:3
Baja Organik
|
6.0
6.0
7.0
7.0
7.0
8.0
8.0
8.0
8.0
9.0
|
3 kali setahun seperti
berikut:-
1/2 bahagian selepas
musim buah.
1/4 bahagian 2 bulan sebelum berbunga
1/4 bahagian selepas berputik.
Baja organik ditabur 2 kali setahun
dengan kadar 10 kg/pokok. |
Keperluan Air
|
Umur pokok |
|
Keperluan Air |
1-2
tahun
8-12 tahun
20-22 tahun |
-
-
- |
9-11 liter/pokok/hari
40-48 liter/pokok/hari
97-116 liter/pokok/hari |
Hasil Dokong
Pokok dokong mula
berbuah selepas 5-6 tahun ditanam. Di peringkat awal berbuah, anggaran
hasilnya ialah 3 tan sehektar (123 pokok sehektar dengan jarak tanaman 9m x 9m).
Dokong mencapai pengeluaran hasil optimum mulai tahun ke 14. Anggaran
hasil sebanyak 14 tan metrik sehektar.
Penuaian
Penuaian buah
dokong dilakukan dengan memotong tangkai buah menggunakan gunting atau pisau.
Buah yahg dituai dimasukkan ke dalam baldi plastik dengan cermat bagi
mengelakkan buah tercedera. Gunakan tangga sekiranya pokok dokong yang
hendak dituai itu tinggi.
Pengendalian
Lepastuai
Selepas
penuaian, buah dokong perlu dikendalikan dengan baik kerana ini akan menentukan
gred, harga dan pasarannya. Pengendalian lepastuai yang kurang baik akan
merendahkan gred buah dan seterusnya mengurangkan pendapatan.
Buah yang dituai
dimasukkan ke dalam bakul rotan yang dialas dengan bahan-bahan lembut
seperti surat khabar lama, Ini penting bagi memastikan buah dokong tidak
cedera sebelum dihantar ke tempat penggredan. Penggredan buah dokong
dilakukan berdasrkan saiz buah, berat buah setangkai, kebersihan buah dan tiada
kesan serangan serangga serta kulat. Penggredan ini dilakukan sebaik
sahaja penuaian selesai dijalankan. Pada amnya, buah dokong dibahagikan
kepada tiga gred, iaitu:-
|
Gred |
Ciri-ciri |
Harga/Kg
(RM) |
|
A |
Buah besar (garis pusat > 3 cm)
Buah setangkai lebat.
Kulit bersih tanpa kesan serangan kulat atau
serangga. |
6.00-8.00 |
|
B |
Buah sederhana. Tangkai pendek dan buah jarang. Bercampur
dengan
buah relai. Kulit mungkin berbintik. |
4.00-6.00 |
|
C |
Buah relai dari tangkai.
Saiz tak seragam. |
3.00-4.00 |
KEMATANGAN
DAN PENGUTIPAN HASIL
Penghasilan Buah
Dengan pengurusan yang baik dan pembajaan yang mencukupi, pokok dokong akan
mulai berbuah pada tahun ke 7 selepas ditanam di ladang bagi pokok yang ditanam
dari biji dan 5-6 tahun bagi pokok yang ditanam secara anak tampang (tut atau
cantuman biji). Hasil pertama adalah rendah dan hanya beberapa kilogram
buah dihasilkan pada satu pokok. Hasil akan bertambah selepas itu.
Pada tahun ketiga berbuah (umur 10 tahun), pengeluaran mulai meningkat ke tahap
50-100 kg/pokok. Dokong menunjukkan tabiat pengeluaran 'biennialitty'
dimana hasil tinggi pada sesuatu tahun akan diikuti dengan hasil yang rendah
pada tahun berikutnya. Fenomena ini adalah lebih ketara jika
penyelenggaraan dan pembajaan tidak sempurna.
Pokok dokong akan berbunga selepas mengalami satu musim kemarau yang agak
panjang. Kemarau yang berterusan selama 3-4 minggu diperlukan oleh pokok
dokong untuk merangsang pengeluaran bunga.
Penjarangan
Tangkai dan Buah
Apabila pokok dokong berbunga,
beberapa tangkai akan keluar dari satu tampok bunga. Jika pokok dokong
mengeluarkan banyak tangkai bunga, penjarangan tangkai hendaklah dilakukan.
Biasanya 1-3 bunga ditinggalkan di setiap tampok supaya tangkai itu akan menjadi
panjang, peratus pelekatan buah ditangkai tinggi dan menghasilkan buah yang
besar dan bermutu.
Kematangan Buah
Buah dokong akan masak dalam tempoh 6
bulan. Dalam tempoh itu, buah-buah yang terlalu kecil, yang pecah atau
yang diserang oleh kulat atau serangga perlu dibuang supaya ia tidak menjejaskan
kualiti buah lain. Peringkat buah dokong masak boleh dilihat mengikut
warna kulit, ciri serta tanda-tanda berikut:-
- warna kulit bertukar dari hijau ke kuning atau kuning kelabu.
- isinya menjadi jernih dan rasanya manis (isi buah mentah ialah keputihan).
- buah menjadi lembut apabila dipicit.
- buah masak mudah direlai dari tangkai.
- tiada getah pada kulit buah yang masak.
- buah yang betul-betul masak akan mengambil masa 180-200 hari selepas bunga
kembang.
Memungut Hasil
Buah dokong yang dipetik di peringkat yang betul-betul masak akan menjadi dokong
yang manis dan bermutu dan seterusnya memberi pulangan yang tinggi.
Apabila 75% buah di setiap tangkai masak, tangkai itu boleh dituai.
Tangkai buah hendaklah dipotong dengan teliti hingga rapat dengan batang.
Jangan rentap atau pulas tangkai buah kerana ini akan merosakkan tampok bunga.
Untuk memungut hasil, pemungut hendaklah duduk atau berdiri di atas tangga khas.
Ini akan mengurangkan kerosakan tampok bunga di dahan-dahan besar.
Tangkai-tangkai buah yang dipotong itu dimasukkan ke dalam baldi yang digantung
di sebelah tangga. Apabila baldi diisi penuh dengan tangkai buah dokong,
ia diturunkan dengan menggunakan tali.
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Pengendalian di ladang
Setiap tangkai buah yang dipungut diisi dalam bakul buluh atau plastik dan
diselenggara dengan cermat. Buah diperiksa bagi mendapatkan kualiti yang
serata. Buah-buah yang muda dan pecah atau rosak dibuang dan diasingkan.
Penggredan
Selepas pengasingan dan pemilihan ini dilakukan, jambah buah dokong boleh
digredkan mengikut sistem gred yang diamalkan oleh pengusaha dan pemborong di
Negeri Kelantan sekarang.
Gred A
-
|
Saiz buah
besar, garispusat melebihi 3 cm, jambak lebat dan panjang. Kulit
buah bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga. |
| Gred B - |
Saiz buah
sederhana, jambak pendek dan buah jarang, bercampur dengan buah yang
relai. Kulit buah berbintik. |
| Gred C - |
Buah yang relai, saiz bercampur. |
Buah dokong yang telah digredkan itu akan dimuatkan ke dalam
bakul plastik atau raga buluh. Bakul / raga biasanya dilapis dengan
suratkhabar sebelum diisikan dengan jambak buah.
Penyimpanan hasil
Buah dokong yang masak hanya boleh disimpan selama 3-5 hari dalam suhu biasa.
Kulitnya akan layu dan menukar ke warna hitam jika tempoh simpanan dilanjutkan.
Oleh itu buah dokong perlu dihantarkan ke pasar dan tempat jualan dengan secepat
mungkin bagi mengelakkan penurunan kualiti. Simpanan di bilik sejuk boleh
menyebabkan kulit menjadi hitam dan ini adalah tidak disyorkan.
PENYAKIT DUKU / DOKONG / DUKU LANGSAT
Serangan penyakit
juga tidak membahayakan duku-langsat. Diantaranya ialah kulat yang
menyebabkan penyakit bintik berpusar (antraknos) pada buah dan penyakit kulapuk.
Buah-buah yang
pecah juga merupakan masalah yang agak serius. Walau bagaimanapun, ini
bukanlah penyakit tetapi satu faktor fisiologikal, ini biasanya berlaku apabila
hujan turun selepas cuaca panas dan kering. Penyerapan air hujan
menyebabkan buah menjadi bengkak dan akhirnya pecah oleh sebab ketegangan air di
dalamnya. Buah yang pecah kurang bermutu dan tidak mempunyai harga pasaran
yang memuaskan.
Penyakit dan Penyebab:
-
Antraknos (Colletotrichum spp.)
Tompok-tompok kecil pada kulit buah bertukar menjadi warna perang.
-
Cendawan Angin (Cortium salmonicolor)
Ranting dan dahan pokok yang diserang diselaputi miselium putih bertukar menjadi
merah jambu. Daun menjadi kuning dan gugur. Cantas dahan yang
diserang.
-
Kulapuk Hitam (Meliola spp.)
Daun dan buah yang diserang dipenuhi miselia kulat berwarna hitam.
Menjejaskan fotosintisis dan kualiti buah. Dikaitkan dengan kehadiran
teritip yang mengeluarkan manisan. Sembur white oil untuk mengawal
teritip.
MUSUH DAN MAKHLUK PEROSAK
Walaupun terdapat beberapa jenis serangga perosak yang menyerang duku-langsat,
kesannya tidaklah serius. Diantaranya ialah 'Pengorek buah' yang bertelur
di dalam buah yang muda. Seterusnya larva memakan buah yang sedang
membesar dan menyebabkannya gugur. Untuk mengawalnya, bersihkan dusun dari
buah-buah yang diserang dan bakar.
Juga terdapat teritip yang menghisap cecair daun. Musuh-musuh seperti
tikus, burung, kelawar dan tupai memakan buah yang masak dan mengakibatkan
kekurangan hasil. Jika dibiarkan, kesannya mungkin teruk. Kawalan
yang biasa diamalkan ialah secara menyalakan api di waktu malam untuk menghalau
musuh-musuh tersebut.
Serangga perosask dan cara kawalannya:
-
Ulat
Pengorek Kulit (Puru batang)
Batang, dahan dan daun berkeruping. Terbentuk bintik-bintik kecil berwarna
coklat/hitam di peringkat awal. BIntik-bintik membesar menjadi puru,
menyerang pokok muda 2-3 tahun apabila serius seluruh batang mempunyai puru.
Ini boleh membantut pertumbuhan pokok dan mengurangkan hasil peneluaran.
Tindakan:
Kikis bahagian yang diserang dengan pisau. Pangkas dan seterusnya bakar
ranting yang telah mati dan yang teruk diserang. Sembur racun seperti
dimethoate jika perlu dengan kadar 0.5% bahan aktif sebulan sekali bagi serangan
yang teruk dan 3 bulan sekali apabila serangan beransur pulih.
-
Ulat Pemakan Daun
Serangan tidak begitu serius. Larva akan memakan pucuk muda dan
meninggalkan lapisan kutikal. Daun yang disrang menjadi kering berwarna
perang di bahagian tepi daun.
Tindakan:
Jika perlu, sembur racun dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif di peringkat
berpucuk.
-
Lalat Buah
Membuat tusukan pada buah yang sedang masak. Buah akan menjadi berair dan
bertukar warna menjadi coklat. Buah rosak dan gugur.
Tindakan:
Guna umpan protin seperti protein hydrolysaste untuk memberi tarikan.
Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan disembur di kawasan daun.
Lalat akan berkerumun di situ dan terus guna methyl-eugenol bagi merangkap
lalat. Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan diletak di kawasan
ladang.
JENIS PENYAKIT DAN KAWALANNYA
-
Penyakit Reput Buah
Buah menjadi rosak dan reput. Tidak serius tetapi boleh mengurangkan
hasil. Guna racun kulat cooper oxychloride di peringkat berbuah dengan
kadar 0.1%. Ulangi semburan jika perlu.
-
Antraknos Buah
Serangan berlaku pada buah. Peringkat awal tompok-tompok kecil terjadi
pada kulit buah, bertukar menjadi warna perang. Buah boleh gugur.
Serangan tidak begitu serius. Guna cooper oxychloride.
-
Cendawan Angin
Menyerang ranting dan dahan pokok. Bahagian diserang akan diselaputi
Misilium putih bertukar menjadi merah jambu. Jika teruk daun akan menjadi
kuning dan gugur. Cantas dahan yang diserang dan sembur pokok dengan
cooper oxychloride.
-
Kulapuk Hitam
Serangan keatas daun dan buah. Bahagian yang diserang dipenuhi mislia
kulat berwarna hitam. Menjejas proses fotosintesis jika serangan teruk dan
juga kualiti buah. Sembur white oil untuk mengawal teritip. Sembur
racun kulat seperti Maneb untuk mengawal kulat.
DUKU TERENGGANU
(Lansium domesticum)Seperti buah dokong, buah duku Terengganu akan bertukar
daripada warna hijau ke warna kuning apabila buah mencapai peringkat masak. Walau bagaimanapun, corak kemasakan buah duku Terengganu berlaku tidak serentak
dalam satu tangkai. Pada masa kebanyakan buah telah bertukar warna menjadi kuning, masih terdapat buah-buah yang masih hijau. Keadaan ini menimbulkan
masalah dalam penuaian.
Peringkat kemasakan duku Terengganu boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut perubahan warna buah iaitu (1) hijau kekuningan; (2)
kuning kehijauan; (3) kuning; (4) kuning cerah dan (5) kuning keperangan.
Kemanisan buah meningkat dan kemasaman buah menurun apabila buah semakin kuning.
Umumnya, buah duku Terengganu sudah boleh dipetik apabila kebanyakan buah pada
sesuatu tangkai sudah berwarna kuning, kuning cerah dan kuning keperangan iaitu
15-16 minggu dan tarikh bunga berkembang. Pada ketika itu, buah
mengandungi jumlah pepejal terlarut antara 15-18% dan kandungan asid antara
0.2-0.4%.
Penuaian perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak
merosakkan buah yang dipetik. Buah hendaklah dipetik seawal-awalnya pada
lewat pagi iaitu antara pukul 10.00 atau 11.00 pagi hingga ke tengah hari atau
petang untuk mengelakkan buah pecah. Sekiranya buah dipetik pada awal
pagi, peratus buah pecah adalah tinggi. Kadangkala dalam keadaan cuaca
redup atau hujan pagi, penuaian perlu dilakukan pada lewat tengah hari.
Penuaian dilakukan secara memilih iaitu dengan meleraikan buah yang telah kuning
sahaja daripada tangkainya dan kemudian masukkannya ke dalam bekas kecil seperti
bakul atau karung kain. Buah yang masih hijau ditinggalkan pada tangkainya
untuk dipetik kemudian hari. Bagi pokok yang tinggi, pokok perlu dipanjat
dan bakul atau karung kain yang telah diisi buah dihulurkan kepada seorang lagi
yang menunggu di bawah pokok dengan tali. Buah-buahan ini kemudian
dipindahkan ke dalam bakul atau bekas plastik yang lebih besar untuk diangkut ke
bangsal atau rumah pembungkusan. Buah mesti dielakkan daripada terhempas
ke tanah semasa penuaian.
Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan
berikutnya mengambil masa selama 3-4 hari. Perubahan warna buah daripada
indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari. Peringkat kemasakan
yang sesuai untuk penuaian buah dokong bergantung pada kegemaran pengguna.
Berdasarkan kajian yang dijalankan di MARDI, buah sesuai dipetik pada indeks 4
iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah. Pada peringkat
ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah
mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%).
Walau bagaimanapun kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah
mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam. Bagi mereka yang gemarkan
buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi
jangka hayat buah ini lebih pendek. Terdapat jua penanam dokong memetik
buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand. Buah
pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16%
dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji).
Pemetikan buah dokong adalah mudah kerana semua buah dalam
satu tangkal masak serentak. Buah dipetik dengan memotong tangkainya
menggunakan pisau atau gunting tanpa meleraikan buah daripada tangkai.
Buah dalam bentuk jambak dimasukkan ke dalam bekas seperti bakul atau karung
kain semasa penuaian dan kemudian dipindahkan ke dalam bekas yang lebih besar
untuk diangkut ke bangsal atau rumah pembungkusan. Bagi pokok yang tinggi,
penuaian dilakukan dengan memanjat pokok atau menggunakan tangga. Buah
yang diisi ke dalam bakul atau karung kain diturunkan menggunakan tali dan
disambut oleh seorang lagi yang menunggu di bawah pokok. Penuaian mesti
dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan kecederaan pada buah. Buah
dokong digalakkan dipetik selepas pukul 10.00 pagi untuk mengelakkan kejadian
buah pecah.
KEMATANGAN BUAH DOKONG / DUKU / DUKU-LANGSAT:
Buah dokong akan berubah warna daripada hijau kepada kuning apabila masak. Perubahan warna
kulit daripada hijau ke kekuningan berlaku kira-kira 87 hari selepas bunga
kembang. Buahnya masak seragam dalam satu tangkai dan keadaan ini
memudahkan proses penuaian. Indeks kemasakan buah dokong telah dibentuk
berdasarkan warna buah dan boleh dijadikan panduan untuk penuaian.
| Indeks 1 |
: |
Setiap buah dalam satu tangkai, sudah
menunjukkan warna kekujing walaupun keseluruhan buah masih
kehijauan. |
| Indeks 2 |
: |
Setiap buah pada satu tangkai berwarna
kuning pucat dengan 6-8 biji buah masih terdapat warna kehijauan
pada hujung buah. Biasanya buah-buah ini menghadap cahaya
matahari. |
| Indeks 3 |
: |
Setiap buah dalam satu tangkai berwarna
kuning pekat dengan 1-2 biji buah pada bahagian paling bawah tangkai
menunjukkan kesan kehijauan pada hujung buah. |
| Indeks 4 |
: |
Semua buah dalam satu tangkai berwarna
kuning cerah. |
| Indeks 5 |
: |
Semua buah dalam satu tangkai berwarna
kuning keperangan. |
| Indeks 6 |
: |
Semua buah dalam satu tangkai berwarna
kuning keperangan tetapi darjah keperangannya lebih daripada buah
pada indeks 5. |
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Pengendalian di Ladang
Setiap tangkai buah yang dipungut diisi dalam bakul dan diselenggara dengan
cermat. Buah diperiksa bagi mendapat kualiti yang serata.
Buah-buahan yang muda dan pecah atau rosak dibuang dan diasingkan.
Penggredan
Selepas pengasingan dan pemilihan ini dilakukan, jambah buah dokong boleh
digredkan mengikut sistem gred yang diamalkan oleh pengusaha dan pemborong
seperti berikut:-
Gred A:
Saiz buah besar, garispusat melebihi 3 cm, jambak lebat dan panjang.
Kulit buah bersih tanpa kesan serangan kulat atau serangga.
Gred B:
Saiz buah sederhana, jambak pendek dan buah jarang, bercampur dengan buah yang
relai. Kulit buah berbintik.
Gred C:
Buah yang relai, saiz bercampur.
Buah yang telah digredkan itu akan dimuatkan ke dalam bakul plastik atau raga
buluh. Bakul atau raga dilapis dengan suratkhabar sebelum diisikan
dengan jambak buah.
Penyimpanan Hasil
Buah dokong yang masak hanya boleh disimpan selama 3-5 hari dalam suhu biasa.
Kulitnya akan layu dan menukar ke warna hitam jika tempoh simpanan
dilanjutkan. Oleh itu buah perlu dihantar ke pasar dan tempat jualan
dengan secepat mungkin bagi mengelakkan penurunan kualiti. Simpanan di
blik sejuk boleh menyebabkan kulit menjadi hitam dan ini adalah tidak
disyorkan.
MENGAWAL KERUPING KULIT KAYU PADA DUKU TERENGGANU DAN DOKONG
(sumber: Agromedia Bil. 6 1999)
Tanaman ini berhadapan dengan masalah keruping kulit kayu yang menyerang batang,
dahan ataupun rantingnya. Keadaan keruping boleh menjadi begitu buruk
sehingga merencatkan tumbesaran pokok, mengakibatkan mati rosot dan menjejaskan
penghasilan sehinggakan sesetengah pengusaha mengalihkan tumpuan mereka kepada
tanaman lain.
Gejala
Gejala keruping boleh berlaku pada anak pokok di tapak semaian dan juga pokok di
ladang. Di ladang, pokok muda dan baru matang lebih peka berbanding dengan
pokok yang sudah tua. Pada peringkat awal serangan, bintil-bintil bulat
kecil berwarna coklat muda kelihatan bertaburan di permukaan batang, dahan
ataupun ranting. Apabila kulit kayu semakin matang bintil-bintil ini akan
membesar dan menebal menjadi tompok-tompok yang lebih gelap. Tompok-tompok
ini membentuk seperti ketuat dan berkeruping. Apabila dikope, keruping ini
akan taggal dan mendedahkan bahagian dalam pokok yang hijau dan ulat akan
kelihatan. Walau bagaimanapun, kadangkala ulat tidak kelihatan apabila
keruping dikopek.
Semakin teruk serangan semakin tebal keruping. Bintil-bintil yang kecil
dan akan bercantum antara satu sama lain. Seluruh permukaan batang, dahan
dan ranting yang diselaputi oleh keruping akan kelihatan merekah.
Tumbesaran pokok akan terencat kerana pokok yang teruk diserang kurang berpucuk.
Jika berpucuk pun, pucuk yang keluar pendek dan kelihatan kekuning-kuningan
kerana tidak sihat. Ranting kecil yang teruk diserang menjadi kering dan
mati. Ini akan menyebabkan mati rosot. Ranting pucuk baru juga akan
diserang. Pada peringkat awal serangan, ulat tidak kelihatan. Bagi
pokok yang sudah matang, serangan yang teruk akan menjejaskan pembentukan bunga
kerana permukaan dahan dan ranting merupakan tapak bunga.
Agen Penyebab
Setakat ini terdapat dua pendapat tentang agen penyebab gejala keruping
pada pokok Lansium (duku terengganu dan dokong). Segelintir ahli sains
berpendapat bahawa gejala ini disebabkan oleh serangan serangga berdasarkan
adanya ulat apabila keruping dikopek. Tetapi ada juga ahli sains yang
berpendapat bahawa keruping atau ketuat disebabkan oleh serangan kulat.
Kehadiran ulat hanya merupakan serangan sekunder yang memakan tisu-tisu mati
dalam bentuk keruping yang diakibatkan oleh kulat. Setakat ini tidak pasti
pendapat manakah yang betul.
Kawalan
Pokok yang mendapat penjagaan yang sempurna terutama dari segi pembajaan,
naungan dan pengairan lebih tahan terhadap gejala ini. Berdasarkan
pemerhatian di stesen penyelidikan MARDI di Jerangau, gejala keruping boleh
dikawal dengan lebih berkesan melalui penyemburan racun kulat berkupram.
Semburan boleh dibuat dengan menggunakan mana-mana peralatan penyembur sama ada
yang bermotor atau tidak bermotor. Yang penting muncung alat penyembur
diacukan pada batang, dahan dan ranting-ranting yang diserang. Bahagian
yang diserang harus disembur hingga betul-betul basah. Racun berkupram
yang telah diuji ialah copper hydroxide serta copper oxychloride dan metallic
copper. Pada permulaannya, semburan dibuat setiap 10 hari sebanyak 2-3
kali . Ini diikuti dengan semburan ulangan 2-3 bulan sekali sehingga
keruping terhapus. Berdasarkan pengalaman MARDI Jerangau, kadar yang
disyorkan bergantung pada tahap serangan.
Kadar penyemburan untuk mengawal keruping
|
Bahan Kimia |
Kadar |
Keadaan Serangan |
| Copper hydroxide |
40 gm/18 liter air
60 gm/18 liter air 80 gm/18 liter air |
Sederhana Sederhana teruk Teruk |
| Copper oxychloride |
44 gm/18 liter air
60 gm/18 liter air 80 gm/18 liter air |
Sederhana Sederhana teruk Teruk |
Keruping pada pokok yang telah disembur menjadi rapuh dan seterusnya relai dari
batang, dahan serta ranting dan jatuh ke tanah. Pokok akan mula berpucuk
dan pucuk baru kelihatan sihat dan panjang. Gejala penyakit tidak lagi
kelihatan. Penyemburan perlu dibuat secara berterusan. Pokok yang
teruk diserang, hanya akan pulih dalam masa 8-10 bulan. Semasa rawatan
dijalankan, penggunaan racun serangga tidak digalakkan. Amalan ini
bertujuan mengelakkan pembunuhan ulat yang hidup aktif serta memakan keruping
(kulit kayu yang mati). Dengan ini, keruping akan relai dengan lebih
cepat. Bagaimanapun jika penyemburan racun serangga diperlukan untuk
mengawal ulat daun, pastikan racun hanya disembur pada bahagian daun (sumber:
Agromedia Bil. 6 1999).
|