|
DURIAN
Di Malaysia, buah durian
dibiarkan luruh sendiri setelah masak dan dipungut setiap hari. Pada awal
dan penghujung musim, buah dipungut sekali sehari (pada awal pagi) kerana
bilangan buah yang luruh adalah sedikit. Pada pertengahan musim, buah
perlu dipungut dua kali sehari (pagi dan petang) kerana bilangan buah yang luruh
memuncak. Di Thailand, buah durian dipetik daripada pokok pada peringkat
matang dan buah kemudian diperam hingga masak. Penuaian dengan cara ini
membolehkan buah disimpan lebih lama dan dihantar ke pasaran yang lebih jauh.
Adalah dijangkakan pada masa akan datang, cara penuaian seperti ini akan menjadi
amalan biasa di Malaysia.
KEPERLUAN ASAS TANAMAN
-
Iklim
Ia memerlukan persekitaran yang panas dan lembap sama seperti yang terdapat di
hutan tropika bagi membantu pertumbuhan vegetif. Tanaman durian hidup
dengan subur di kawasan-kawasan di mana suhunya diantara 27-32oC,
mendapat hujan diantara 1,800-4,000 mm setahun, mengalami musim kemarau antara
1-3 bulan, mempunyai peredaran udara dan angin yang baik serta mendapat cahaya
matahari sepanjang tahun.
Kelembapan tanah yang diperlukan adalah lebih kurang 80%. Dalam keadaan
kelembapan tanah yang tinggi, pokok-pokok durian berupaya menghasilkan
pucuk-pucuk baru sekali setiap bulan, berbeza dengan pokok buah-buahan yang
lain. Lebih kurang 90% dari tunas hujung baru berupaya menghasilkan daun
baru. Pada peringkat pertumbuhan vegetatif, anak pokok durian sangat peka
kepada keadaan kemarau. Pengairan diperlukan untuk mengelakkan kematian.
Ini adalah kerana sistem akarnya yang sangat cetek dan mudah ketandusan air.
Apabila mencapai peringkat matang pokok durian memerlukan satu jangkamasa musim
kering diantara 1-3 bulan untuk mempengaruhi proses pembungaan dan pembuahan
tersebut. Masa yang kritikal bagi perkembangan buah ialah kira-kira 4
minggu selepas bunga kembang. Ini disebabkan pada waktu tersebut, kadar
pertumbuhan dan pembesaran buah adalah tinggi. Oleh itu air yang
berlebihan menyebabkan pokok menghasilkan pucuk baru. Keadaan ini
menyebabkan wujudnya persaingan untuk mendapatkan bahan makanan antara buah muda
dengan daun baru yang boleh menyebabkan buah gugur.
-
Faktor Tanah
Durian memerlukan tanah yang dalam, subur dan gembur kerana tanah-tanah tersebut
mempunyai pengudaraan dan struktur yang baik untuk pertumbuhan akar. Tanah
jenis lom hingga lom berpasir adalah paling sesuai. Tanah jenis lom
lempung (clay loam) juga sesuai bagi tanaman durian tetapi memerlukan perparitan
yang sempurna kerana durian tidak tahan dalam keadaan air bertakung. Tanah
jenis lom dan lom berpasir banyak terdapat di lereng-lereng bukit.
Walaupun tanah-tanah lom berpasir adalah sesuai untuk tanaman durian, tetapi ia
tidak tahan dengan musim kemarau yang terlalu panjang. Penanaman durian di
kawasan yang mengalami kemarau panjang, seperti di Utara Semenanjung, memerlukan
sistem pengairan bagi menggalakkan pengeluaran hasil yang baik.
Contoh tanah yang dianggap sesuai bagi tanaman durian ialah:-
(a) Tanah yang berasal dari batu igneus seperti tanah siri
Rengam dan
Jerangau.
(b) Tanah lom liat berpasir yang berasal dari batu sedimentari (lihat
siri-siri tanah Semenanjung Malaysia).
(c) Tanah lanar laut yang mengandungi kandungan liat yang tinggi, asalkan
paras air dalam tanah tidak
terlalutinggi. Sebagai contoh: Siri Kangkong dan
Siri Selangor di Semenanjung
Malaysia. Tanah-tanah
bermasaalah seperti tanah bris, tanah pasir lombong, tanah asid
sulfat, tanah masin, tanah gambut dan
tanah bertakung air adalah tidak sesuai.
Tanah-tanah yang berkecerunan 0-12o adalah sesuai untuk penanaman
durian. Walau bagaimanapun, ia masih boleh ditanam di kawasan yang
berkecerunan 12-20o jika langkah-langkah pemuliharaan tanah dibuat.
KLON-KLON YANG DISYORKAN
-
D 24
Klon ini berasal dari Bukit Merah, Perak
dan telah didaftarkan pada 30 November 1937. Pokok cergas membesar,
rendang dan rajin berbuah. Hasil purata pada peringkat awal (umur 6-9
tahun) ialah 10 biji sepokok setahun. Hasil akan meningkat ke 65 biji
setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Bentuk buahnya bulat
membujur, bersaiz sederhana besar dengan berat diantara 1.0 - 1.8 kg sebiji buah
durian. Pangsa mempunyai 1-3 ulas yang berwarna kuning pucat dan bersusun
sebaris. Isi manis, pejal, bertekstrur halus dan sedikit pahit. Peratus
isi ialah 26%. Pokok memerlukan tanah yang subur dan tidak tahan kemarau
tanpa pengairan yang cukup. Tempoh matang buah ialah 105-110 hari selepas
bunga kembang. Bijinya besar dan kebanyakannya merekah.
-
D 99
Durian ini dipanggil Kop Kecil, berasal
dari Thailand dan didaftarkan pada 17 Jun 1970. Pokok lasak tetapi lambat
membesar.Pokok agak kecil tetapi rajin berbuah. Pada peringkat awal (pokok
berumur 6-9 tahun) hasil ialah 7 biji sepokok setahun. Hasil akan
meningkat ke 45 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Di pokok, buahnya didapati
dalam keadaan berjambak. Saiz buah sederhana dengan berat diantara 1-2 kg.
sebuah. Buah durian D 99 berbentuk bulat tetapi dempak di bahagian pangkal
dan hujung buah. Kulitnya nipis berwarna hijau hingga hijau perang.
Durinya kecil, pendek dan tajam. Buah boleh dikopek dengan mudah.
Bilangan ulas boleh mencapai sehingga 25 ulas bagi sebiji durian. Isinya
sederhana tebal, berwarna kuning terang dan tekstur isinya halus. Pokok
tahan terhadap kanker batang dan persekitaran kering. Rasanya
lemak manis. Kebanyakan biji durian jenis ini adalah leper atau kesep.
Tempoh matang ialah 90-100 hari selepas bunga kembang.
-
D 123
Klon yang berasal dari Thailand ini dipanggil
'Chanee' dan didaftarkan pada 24 Julai 1971 serta sesuai ditanam di sebelah
utama Semenanjung Malaysia. Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan
kering. Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 30-40 biji sethaun.
Buah besar, berat 2.5 kg. sebiji dan berbentuk bujur.. Permukaan kulit buah
berlekuk dan berwarna hijau kekuningan. Isinya tebal, berwarna kuning keemasan, beraroma atau berbau kuat; rasa lemak dan manis dan tekstur isi yang
sederhana halus. Peratus isi 30-40%. Tempoh matang buah ialah
105-120 hari selepas bunga kembang.
-
D 145
Klon durian D 145 berasal dari Beserah, Kuantan, Pahang dan didaftarkan pada 30
Oktober 1981. Durian ini juga digelar Durian Beserah, Tuan Mek atau Durian
Hijau. Pokok sederhana besar dan sederhana cergas. Hasil purata
sepokok (berumur 10 tahun) ialah 50 buah setahun. Buah berbentuk bulat,
purata berat 1.4 kg. sebiji dan di bahagian hujung buah terdapat bentuk seperti puting.
Durinya rapat dan panjang dan kulit berwarna hijau bila cukup matang.
Isinya berwarna kuning keemasan, bertekstur halus dan rasa lemak manis.
Peratus isi buah ialah 25%. Tempoh matang buah adalah 105-115 hari selepas
bunga berkembang.
-
D 158
Durian ini berasal dari Thailand. Nama popularnya 'Kan You' atau
Tangkai Panjang dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987. Pokok sederhana
besar dan tahan kepada keadaan kering. Saiz buah durian
ini adalah sederhana besar dengan purata berat diantara 2-4 kg. sebuah.
Warna kulitnya hijau perang, tangkai buah panjang (15-17 cm). Buah
berbentuk bulat bujur, kulit buah berwarna hijau perang dan durinya pendek.
Saiz ulasnya besar. Isi tebal, ulas besar dan berwarna kuning keemasan, pejal sedikit bersabut
dan rasanya manis. Klon ini kurang beraroma jika dibandingkan dengan klon
D 123. Peratus isi buah ialah 32%. Tempoh matang buah antara 130-140
hari selepas bunga berkembang.
-
D 159
Dikenali sebagai 'Mon Thong' atau Bantal Mas. Berasal dari Thailand dan
popular di kawasan utara Semenanjung Malaysia dan telah didaftarkan pada 30 Jun
1987. Pokok sederhana besar, senang hidup apabila ditanam dan tahan kepada
keadaan kering. Hasil purata sepokok (beruumur 10 tahun) ialah 60-100 biji
semusim dan purata berat buah diantara 3.0-5.0 kg. Buah berbentuk bujur panjang
dan bergelugur. Bahagian hujung buah tajam dan membengkok sedikit.
Duri berwarna perang dan kasar. Ulasnya besar, isi tebal, berwarna kuning
emas, rasa yang manis, tekstur isinya halus dan berkrim dan kurang beraroma.
Peratus isi buah ialah 30-35%. Tempoh matang buah diantara 130-140 hari selepas bunga
kembang.
-
D 169
Berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada tahun 1989. Klon ini juga
dikenali sebagai 'Tok Li Tok'. Pokok sederhana besar dan
pertumbuhannya cergas. Hasil purata sepokok ialah 40-50 biji setahun
(berumur 10 tahun). Berat buah 1.2-1.8 kg. sebiji. Bentuk buah bujur
panjang, kulit buah berwarna hijau kekuningan, nipis, mempunyai duri yang agak
kasar dan tajam. Isinya tebal, berwarna kuning, sedikit bersabut dan
lembut. Rasanya lemak manis dan pahit sedikit. Peratus isi ialah
25%. Tempoh matang buah ialah 100-110 hari selepas bunga kembang.
-
MDUR 78
Hasil dari kacukan D10 dan D24. Pokok cergas membesar dan rintang terhadap
penyakit kanker. Berat buah 1-1.8 kg. sebiji. Kulit sederhana tebal.
Berwarna hijau muda kekuningan dan berbentuk bulat membujur. Isi tebal,
ulas besar, warna ulas kuning dan bertekstur halus. Rasa isi lemak, manis
dan beraroma.
-
DUR 79
Hasil dari kacukan D24 dan D10. Pokok sederhana besar dan rintang kepada
penyakit kanker. Rajin berbuah, buah berbentuk bulat membujur dan berat
1.0-1.6 kg. sebiji. Warna kulit hijau. Isi berwarna kuning jingga,
ulas besar dan bertekstur halus. Rasa isi manis dan lemak.
-
MDUR 88
Klon hibrid, hasil kacukan antara D24 dan D10. Buah berbentuk bulat bujur.
Saiz buah sederhana besar antara 1.5-2.0 kg. Isi sangat tebal dan berwarna
kuning emas. Tekstur isi pejal, sederhana halus dan rasanya lemak manis.
Hasil purata ialah 55-65 biji/pokok/musim.
SISTEM CAMPURAN DAN KOMBINASI
KLON-KLIN DURIAN
Pada amnya, adalah
disyorkan bahawa 3-5 klon ditanam bagi sesuatu dusun durian komersil untuk
pendebungaan dan pasaran. Bagi sesuatu kawasan klon-klon yang disyorkan
adalah terdiri daripada 3 kategori seperti berikut:-
- Klon Utama
- Klon-klon Subsidiary
- Klon-klon Tempatan
Klon Utama
Bagi sesuatu dusun komersil,
perlu ada klon utama yang terdiri daripada 50-70% daripada jumlah pokok yang
ditanam. Dalam keadaan tertentu dua klon utama boleh ditanam.
Klon-Klon
Subsidiary
Selain daripada klon utama, 2-4 klon subsidiary perlu ditanam untuk tujuan
pendebungaan dan juga untuk pasaran. Klon-klon ini terdiri dari senarai
klon-klon durian yang disyorkan.
Klon-klon
Tempatan
Klon-klon tempatan merupakan klon-klon yang banyak terdapat dan terbukti
berprestasi baik di sesuatu kawasan setempat. Pemilihan klon-klon ini
adalah bebas dan terpulang kepada kehendak pekebun. Biasanya pekebun boleh
menanam 5-20% klon-klon tempatan. Penanaman klon-klon durian mengikut
kesesuaian tempat adalah seperti berikut:-
|
Jenis Klon |
Kawasan Utama Yang Sesuai |
D 24 (Bukit Merah)
D 99 (Kop Kecil)
D 123 (Chanee)
D 190 (MDUR 88)
D 188 (MDUR 78)
D 145 (Beserah)
D 158 (Kan Yau)
D 159 (Mon Thong)
D 169 (Tok Litok)
D 189 (MDUR 79) |
Perak dan kawasan di mana
kemaraunya pendek dan tidak nyata.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.
Pahang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Kelantan.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan. |
PENANAMAN
-
Penyediaan
Benih Tanaman
Penanaman durian pada masa ini menggunakan baka klon yang dibiakkan secara
vegetatif. Teknik pembiakan benih bagi tanaman durian ialah dengan
kaedah cantuman matatunas atau cantuman baji.
Bahan pembiakan mestilah diperolehi dari sumber pokok induk yang disahkan
ketulenannya. Anak benih mestilah sihat, subur, cergas, tidak berpenyakit
dan dari klon yang tulen dan menepati standard yang ditetapkan.
Spesifikasi standard minimum anak benih durian yang dibiak dengan menggunakan
saiz polibeg berukuran 30 x 12 cm adalah seperti berikut:-
|
Faktor |
Spesifikasi Standard Diperlukan |
Ketinggian anak cantuman dari tapak cantuman
(minimum)
Umur lepas cantuman (minimum)
Umur lepas cantuman (maksimum)
Bilangan daun sempurna
Saiz garis pusat batang pada paras 10 cm di atas tapak cantuman |
30 cm
4 bulan
8 bulan
8 bulan
0.5 cm |
Anak benih tanaman
durian yang sihat, subur dan tuleh boleh diperolehi daripada pengeluar-pengeluar
benih tanaman yang berwibawa. Bahan Tanaman Lanjut (Advanced Planting
Material) merupakan benih durian cantuman yang tumbesarannya dijaga hingga
ketinggian pokok melebihi 150 cm. Umur benih tanaman lanjut bagi durian
dapat mengurangkan peratus kematian. Pertumbuhan pokok juga cepat dan
tidak memerlukan perlindungan pada awal penanaman. Penyediaan benih
tanaman lanjut bagi durian ini dibuat dengan menukar polibeg kecil kepada
polibeg besar. Polibeg 30 cm x 45 cm biasa digunakan. Tanah campuran
baru dimasukkan semasa penukaran polibeg. Pokok benih yang telah siap
diubah perlu dijaga rapi dengan cukup pembajaan dan penyiraman di bawah sedikit
lindungan. Benih tanaman lanjut durian perlu dibuat penyesuaian atau
perlasakan (hardening) sebelum diubah ke ladang. Menanam durian klon D24
dengan menggunakan bahan tanaman lanjut didapati peratus kehidupannya adalah
tinggi dan tumbesarannya lebih aktif.
-
Cantuman Ladang
Cantuman ladang ialah cantuman sion terpilih (klon) ke atas pokok penanti
yang telah tersedia ditanam di ladang. Diantara kebaikan cantuman ladang
ialah pokok-pokok penanti boleh ditanam terus dari peringkat awal percambahan
atau dari anak biji benih. Gangguan kejutan mengubah benih pokok tidak
timbul lagi dengan kaedah ini. Sejak awal lagi, pertumbuhan anak pokok
penanti lebih subur dan tidak mudah mendiri. Setelah pokok-pokok penanti
berumur lebih 4 bulan atau garis pusat batang pokok penanti mencapai 0.4-0.8 cm,
cantuman sangat sesuai dilakukan pada paras ketinggian 30 cm dari paras tanah.
Kaedah cantuman ladang boleh dilakukan dengan
cara
cantuman matatunas atau cantuman baji sisi (selit) dengan keratan ranting
muda. Setiap keratan muda mempunyai 2-4 matatunas. Pokok penanti di
ladang yang subur dan cergas sahaja dipilih untuk dibuat cantuman. Sion
atau matatunas klon terpilih dicantum ke atas pokok penanti. Kaedah
cantuman adalah sama seperti membuat cantuman keatas pokok penanti di dalam
polibeg di tapak semaian.
Pokok penanti perlukan bekalan air yang mencukupi selepas kerja cantuman ladang
dilaksanakan. Cuaca yang tidak begitu kering dan hujan sekali sekala dalam
seminggu adalah sesuai untuk menentukan kejayaan yang tinggi. Kemarau yang
terlalu panjang melebihi dua minggu atau hujan terlalu lebat dan berpanjangan
akan menurunkan peratus kejayaan. Selepas 3 minggu, balutan plastik
cantuman boleh dibuka bagi cantuman matatunas, tetapi cantuman selit masih belum
sesuai dibuka balutannya. Kejayaan cantuman dapat dinilai daripada warna
dan keadaan sion yang masih hijau.
Selepas seminggu, matatunas mula becambah sepanjang 1 cm dan mengeluarkan pucuk
hijau. Pokok penanti boleh dipotong 15 cm atas paras sion supaya
menggalakkan pertumbuhan lebih aktif dan cepat. Pokok penanti yang
pertumbuhan sion melebihi 10 cm atau melebihi 5 helai daun dipotong menghampiri
paras cantuman sion-penanti. Sokongan kayu tegak perlu disediakan untuk
pertumbuhan sion-penanti. Sebarang tunas selain dari sion yang dapat pada
pokok penanti sentiasa perlu dibuang. Pengurusan pokok yang telah dicantum
perlulah diteruskan dengan pembajaan, merumput, kawalan penyakit dan serangga
dan penyiraman. Penyemburan foliar baja daun digalakkan supaya pertumbuhan
pokok cepat dan aktif pada peringkat awal. Peratus kejayaan dengan
menggunakan teknik cantuman ladang adalah tinggi.
-
Penyediaan
Kawasan
Pokok-pokok, belukar dan semak samun perlulah dibersihkan. Parit saliran
perlu dibina jika kawasan ladang itu agak rendah dan mendatar bagi mengelakkan
air bertakung. Bagi kawasan yang berbukit-bukit yang mempunyai cerun
melebihi 12o,
teres atau platform perlu dibina sebagai satu langkah pemuliharaan tanah.
Penanaman kekacang penutup bumi juga digalakkan untuk mengawal hakisan dan juga
membekalkan unsur nitrogen kepada pokok-pokok durian. Kawasan ladang
perlulah dibajak, sekurang-kurngnya satu pusingan bajak piring, diikuti oleh
satu pusingan bajak putar, jika tanaman penutup bumi dicadangkan.
Sebaik-baik pembajaan minimum atau tanpa pembajakan adalah digalakkan, jika
penanaman penutup bumi tidak diperlukan.
-
Sistem
Penanaman
Boleh ditanam dengan menggunakan 4 sistem iaitu sistem segi-empat tepat,
sistem segiempat sama, sistem segitiga sama dan sistem sesiku keluang.
Keutamaan sistem segitiga sama ialah (pada satu jarak yang sama) dapat
memberikan bilangan pokok yang lebih, iaitu sebanyak 15% lebih jika dibandingkan
dengan sistem segiempat sama. Sistem segiempat tepat dapat memberikan
ruang diantara barisan untuk ditanam dengan tanaman lain sekiranya tanaman
selingan atau campuran diamalkan. Manakala sistem sesiku keluang pula,
melibatkan penanaman pokok pengisi di tengah-tengah sistem segi empat sama.
Pokok pengisi bersifat sementara dan akan dibuang apabila kanopi mula bertaut.
Sistem ini memberikan kepadatan pokok yang tinggi dan boleh memaksimumkan
penggunaan tanah.
(Sila lihat rajah sistem penanaman
di sini) !
Dalam merancang penanaman durian, satu aspek penting yang perlu diberi perhatian
ialah tentang proses pendebungaan. Klon durian bersifat tidak serasi
sendiri yang boleh mempengaruhi pembentukan buah durian. Oleh yang
demikian, penanaman klon durian secara tunggal tidak digalakkan, sebaliknya
penanaman pelbagai klon perlu dipratikkan. Langkah ini akan dapat
mempertingkatkan proses pendebungaan, persenyawaan dan seterusnya hasil dan
bentuk buah yang seragam.
-
Membuat Barisan
dan Lubang Tanaman
Tumbesaran pokok durian lazimnya terjejas apabila kanopi pokok mula bertaut.
Keadaan ini mengakibatkan permukaan tanah terlindung dan ia mewujudkan satu
keadaan persekitaran yang lembap dan menggalakkan kejadian penyakit cerana
batang. Jarak tanaman yang sesuai bagi durian mengikut jenis sistem
penanaman yang diamalkan adalah seperti berikut:-
|
Sistem penanaman |
Jarak (meter) |
Kepadatan pokok (pokok.ha) |
Tiga segi sama
Empat segi sama
Empat segi tepat
Sesiku keluang |
10x10x10
10x10
10x12
12x12 |
115
100
83
139 |
-
Penanaman di
Ladang
Anak pokok durian memerlukan sedikit lindungan pada peringkat awal tumbesaran
bagi mendapatkan pertumbuhan yang subur, cergas dan sempurna. Adalah
disyorkan supaya kawasan ladang ditanam dengan tanaman yang boleh memberikan
naungan sementara seperti pisang. Untuk tujuan demikian, tanaman naungan
perlulah ditanam 6 bulan lebih awal daripada tarikh penanaman durian.
Jarak tanaman bagi pisang ialah 3m x 3m.
Bagi memudahkan kerja-kerja penyediaan lubang, membaris barisan tanaman perlulah
dimulakan dengan barisan dasar dan seterusnya menentukan lubang tanaman dengan
memacak kayu-kayu pancang pada jarak yang dtetapkan. Apabila kerja
membaris selesai dibuat, lubang tanaman berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm
hendaklah digali pada jarak yang ditetapkan. Seelok-elok lubang digali
sebulan sebelum menanam dan didedahkan kepada sinar matahari. Selepas itu
lubang tersebut ditimbus semula dengan menggunakan tanah lapisan atas yang lebih
subur dan gembur. Jika didapati tanah itu kurang subur, campurkan baja
organik seperti tahi ayam atau tahi lembu yang telah reput pada kadar 5-10
kg/lubang bersama tanah lapisan atas. Masukkan kembali ke dalam lubang.
Bergantung kepada kesuburan tanah juga, taburkan 150 - 250 gm baja fosfat
seperti CIRP pada tiap-tiap lubang tanaman. Lubang tanaman yang ditumbus
kembali seelok-eloknya dibiarkan untuk tempoh satu minggu sebelum memulakan
operasi penanaman anak benih.
Semua anak benih yang bakal diubah ke ladang hendaklah melalui proses
perlasakan (hardening) bagi mengelakkan kejutan atau tegasan yang serius yang
memungkinkan anak benih mati atau tumbesaran pokok terbantut. Proses
perlasakan boleh diperolehi dengan mendedahkan anak benih kepada sinaran
matahari penuh secara berperingkat atau mengurangkan kekerapan penyiraman,
umpamanya dua kali sehari kepada satu kali sehari selama seminggu. Setelah
itu, anak benih boleh diubah ke ladang.
Buat lubang kecil pada tengah lubang tanaman yang telah ditimbus tadi bagi
menempatkan anak benih yang hendak ditanam. Letakkan anak benih di dalam
lubang tersebut. Pastikan polibeg dipotong dan dibuang terlebih dahulu.
Timbus lubang tersebut dengan tanah dan padatkan tanah keliling dengan sempurna.
Naikkan sedikit tanah di pangkal pokok tersebut supaya kelihatan berbusut bagi
mengatasi masalah air bertakung atau tanah mendap. Siram pokok itu dengan
secukupnya selepas menanam, kecuali keadaan kandungan air pada tanah adalah
mencukupi untuk keperluan anak pokok.
Anak pokok yang baru ditanam diikat pada kayu pancang bagi mendapatkan pokok yang
tegak. Sekiranya tiada tanaman naungan, anak pokok durian perlu dilindungi
dengan bahan lindungan sementara seperti bakul buluh, daun kelapa dan lain-lain
bahan bagi mengurangkan kesan tegasan di ladang. Lindungan diperlukan
sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan pertama penanaman di ladang.
Sungkupan juga diperlukan untuk diletakkan di pangkal anak pokok supaya
kelembapan tanah terkawal bagi pertumbuhannya.
PEMBAJAAN
Pokok durian yang masih muda seelok-eloknya dibaja 4-6 kali setahun dengan
kuantiti baja yang sedikit pada setiap kali pembajaan dilakukan. Bagi
pokok matang pula, kadar baja ditambah dan kekerapan membaja 3-4 kali setahun.
Cara pembajaan yang paling mudah adalah dengan menabur baja di bawah kanopi
pokok sehingga terkeluar sedikit dari hujung kanopi. Teknik ini adalah
sesuai untuk kawasan mendatar, di teres atau di tapak gajah. Bagi kawasan
yang curam, pembajaan secara poket adalah disyorkan dengan membubuh baja ke
dalam lubang sedalam 10 cm yang digali di sekitar kawasan hujung kanopi pokok
sebanyak 4 penjuru. Lubang tersebut ditimbus kembali dengan tanah.
Tempoh masa yang paling sesuai membaja pokok durian yang telah matang ialah
selepas musim buah sehingga satu bulan sebelum musim bunga. Masa yang
paling sesuai ialah pada awal atau akhir musim hujan agar baja yang diberikan
dapat diserap oleh pokok dengan seberapa banyak. Pembajaan pada musim
kemarau perlu dielakkan kecuali sistem pengairan yang baik dapat diwujudkan.
Pengapuran amat penting bagi mendapatkan pH yang optimum bagi tumbesaran pokok
durian. Pengapuran adalah disyorkan dengan menggunakan GML (Ground
Magnesium Limestone) pada kadar 5 kg/pokok/tahun untuk pokok dewasa. Kadar
pembajaan bagi pokok durian adalah seperti berikut:-
|
Umur pokok (tahun) |
Baja Yang Disyorkan |
Kg/Pokok/
Tahun |
Kekerapan Membaja Setahun |
|
1 |
15:15:15
Baja organan |
0.5
20.0 |
6 |
|
2 |
15:15:15
Baja organan |
1.0
30.0 |
4 |
|
3 |
15:15:15
Baja organan |
2.0
40.0 |
4 |
|
4 |
15:15:15
Baja organan |
3.0
40.0 |
4 |
|
5 |
12:12:17:2
Baja organan |
4.0
40.0 |
4 |
|
6 |
12:12:17:2
Baja organan |
5.0
40.0 |
4 |
|
7 |
12:12:17:2
Baja organan |
6.0
40.0 |
3 |
|
8-25 |
12:12:17:2
Baja organan |
9.0
40.0 |
3 |
PEMANGKASAN
Pokok durian
memerlukan cantasan yang bersistematik bermula dari peringkat awal pertumbuhan
bagi mendapatkan bentuk pokok yang mempunyai satu batang utama yang tegak ke
atas serta banyak dahan primer tersusun seimbang pada batang utama pokok.
Kerja-kerja membentuk pokok hendaklah dilakukan secara berterusan bermula dari
3-6 bulan selepas tanam. Pada peringkat ini dahan-dahan primer yang
berlebihan dan bersudut kecil hendaklah dibuang kerana ianya bersaing dengan
batang utama dan akan memberi masalah kelak.
Apabila pokok
telah membesar, dahan-dahan yang mencecah tanah, terlalu rapat, bertindih dan
bersudut sempit hendaklah dibuang. Dahan-dahan yang berpenyakit juga perlu
dibuang dengan segera bagi mengelakkan dari berjangkit ke dahan yang lain.
Dahan perlu dipotong seberapa dekat yang boleh dengan dahan/batang asal.
Bekas potongan perlu dirawat dengan racun kulat agar bahagian yang luka tidak
dijangkiti penyakit.
(Sila lihat panduan memangkas/mencantas
pokok). Klik !
PENGURUSAN AIR
Air merupakan
salah satu daripada keperluan asas untuk tanaman durian selain daripada udara
dan tanah. Keperluan air merupakan salah satu faktor utama untuk
meningkatkan tumbesaran pokok dan pengeluaran buah durian. Dengan adanya
pengurusan air yang berkesan, pengeluaran hasil dapat dipertingkatkan kepada
50%. Selain daripada itu, ia juga dapat mengurangkan kematian pokok
terutamanya di peringkat awal pertumbuhan.
Terdapat beberapa
jenis sistem pengairan yang boleh digunakan untuk tanaman durian.
Diantaranya adalah sistem pengairan titis, sistem pengairan mikro dan sistem
pengairan renjis. Pemilihan jenis sistem pengairan bergantung kepada
kedapatan sumber air, kualiti air, bentuk muka bumi, kecerunan dusun, perbezaan
aras tertinggi dan terendah serta modal kos pembangunan. Secara am, sistem
pengairan yang sesuai digunakan untuk membangunkan industri dusun durian adalah
sistem pengairan titis. Jika dibanding dengan sistem pengairan yang lain,
sistem pengairan titis adalah sangat cekap dan tidak mahal dari segi kos
pembangunan, pengendalian dan penyelenggaraan. Selain daripada menyalirkan
air kepada tanaman durian, kegunaan sistem ini juga boleh dipelbagaikan untuk
tujuan membaja, mengawal kelembapan tanah, mengawal suhu di dalam tanah dan di
dusun.
Sistem pengairan
sangat diperlukan semasa pokok durian telah matang, terutamanya semasa pokok
berbunga dan berbuah. Kegunaannya boleh diperluaskan kepada menjalankan
kerja pembajaan, mengawal kelembapan tanah, mengawal suhu persekitaran dusun dan
di dalam tanah. Komponen utama yang terdapat di dalam sistem pengairan
titis adalah sumber air, rumah pam, enjin/motor-pam, penyuntik baja, alat
penapis, sistem paip, tiub high density polythene dan tiub low density
polythene. Rekabentuk sistem pengairan bagi setiap dusun durian bergantung
kepada potential evapo-transpiration rate, jenis tanah, bentuk muka bumi,
kecerunan dusun, jenis tanaman, jarak tanaman, jenis paip dan tiub, jenis
penyebar, perbezaan aras tertinggi dan terendah serta sistem pengendalian.
Dalam operasi
sistem pengairan titis, fator utama yang perlu diambilkira adalah kualiti air.
Walaupun alat penapis yang digunakan mempunyai kemampuan menapis sehingga 250
mesh, masih lagi terdapat partikel halus di dalam air yang boleh menembusi
sistem penapisan dan mengakibatkan sistem pengairan titis tersumbat. Oleh
yang demikian, rawatan di kawasan sumber air adalah sangat mustahak untuk
mengurangkan kos penyelenggaraan. Pengairan untuk tanaman durian selalunya
dibuat pada sebelah pagi dan petang. Ini adalah untuk mengelakkan
penyejatan yang berlaku di waktu tengahari, meningkatkan kecekapan pengairan dan
menentukan supaya air yang dibekal bukannya air panas yang terkena kepada cahaya
matahari.
Bagi kawasan
durian yang ditanam di tempat yang curam, masalah saliran timbul pada permulaan
kawasan tersebut dibuka. Penebangan pokok-pokok dan pembersihan kawasan
akan mendedahkan tanah tersebut kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah
berlaku. Oleh itu adalah disyorkan bahawa kerja-kerja penyediaan permukaan
tanah dibuat pada musim panas. Sekiranya teres dibuat di kawasan tanah
curam yang telah dibuka, penanaman penutup bumi hendaklah dibuat dengan segera
bagi mengawal hakisan tanah.
PENJARANGAN BUAH
Penjarangan buah
adalah penting untuk mendapatkan saiz buah yang seragam, bentuk buah yang
menarik untuk pasaran, mengelakkan serangan serangga dan mengurangkan beban pada
dahan dan pokok serta mengelakkan dahan serkah dan mengurangkan persaingan
tumbesaran pada buah. Penjarangan buah boleh dijalankan 3-4 minggu selepas
bunga mekar apabila putik buah telah mencapai ukuran diantara 5-6 cm.
Penjarangan buah dilakukan dengan membuang buah yang mempunyai ciri-ciri seperti
berikut:-
- Buah yang berbentuk bentong / bengkok
- Buah yang rapat, duri bertemu di antara satu sama lain dalam satu jambak
- Buah yang lebih dari satu biji pada satu tangkai
- Buah yang telah diserang serangga
- Buah yang di hujung ranting
Penjarangkan
dilakukan dengan menggunakan sabit kecil yang tajam dan diikat pada galah.
PENYAKIT DAN CARA KAWALANNYA
Durian peka kepada
beberapa penyakit pada semua peringkat pertumbuhannya dan
boleh mengurangkan hasil atau mengakibatkan pokok mati. Antara beberapa
penyakit utama pada tanaman durian cara kawalannya adalah seperti berikut:
-
Penyakit
Bengkak Cerana Kanker (Phytophthora palmivora)
Merupakan penyakit yang paling serius. Penyakit bengkak cerana atau kanker
batang adalah disebabkan oleh kulat Phytophthora palmivora. Penyakit ini
menjangkiti bahagian batang dan akar pokok durian terutamanya di bahagian
pangkal pokok yang berdekatan dengan tanah . la juga boleh menyebabkan
penyakit-penyakit lain seperti reput akar, hawar daun, mati rosot anak benih dan
pokok dewasa serta reput buah. Penyakit mudah tersebar luas di seluruh
kawasan penanaman durian terutama sekali dalam keadaan lembap.
Tanda-tanda penyakit:
Pada kulit batang pokok durian yang dijangkiti kelihatan nekrosis bercampur
tompok-tompok hitam yang disebabkan oleh lelehan cecair yang terkeluar dari
kulit batang. Pokok yang diserang agak teruk biasanya mempunyai
tanda-tanda daun melecur, keguguran daun, pengeluaran bunga dan buah yang banyak
dan akhirnya pokok akan mati.
Kawalan:
Penyakit ini hendaklah dikesan di peringkat awal lagi. Jika kawalan tidak
dilaksanakan dan penyakit telah menjadi teruk maka adalah tidak ekonomik untuk
mengawal penyakit ini. Penyakit ini hendaklah dikesan pada setiap lawatan
terutama pada musim hujan. Kawalan serta merta perlu dilaksanakan bagi
mengelakkan penyakit ini merebak. Berikut adalah langkah-langkah yang
perlu diambil:-
- Di peringkat tapak semaian; pastikan benih bebas dari penyakit.
- Jarakkan bahan tanaman di tapak semaian (jika perlu sembur dengan racun
seperti metalaxyl/
fosetyl-aluminium.
- Di ladang, pastikan saliran di kawasan durian adalah baik (air tidak
bertakung)
- Elakkan keadaan lembap di sekeliling pangkal pokok.
- Kikis sebahagian kulit kayu yang dijangkiti dengan pisau bersih. Rendam
di dalam racun kulat atau methylated
spirit untuk mendedahkan keseluruhan tompok berpenyakit termasuk kawasan
yang masih sihat di sekeliling
lesion. Sapukan kawasan yang terdedah dengan 1-2% liter bahan aktif metalaxyl,
forsetyl aluminium atau
lain-lain racun kulat yang sesuai. Lesion akan menjadi kering dan tidak akan
membesar. Pengawasan bulanan
adalah perlu untuk memastikan tiada lesion baru yang terjadi.
- Elakkan pokok dari mendapat cedera di bahagian akar dan pangkal pokok dekat
permukaan tanah kerana
kecederaan di bahagian ini memudahkan jangkitan penyakit.
- Musnahkan bahagian pokok yang dijangkiti penyakit ini iaitu tisu-tisu kulit
yang telah dikikis untuk rawatan,
buah-buah yang dijangkiti reput buah, serta pokok yang telah mati.
Amalan ini akan mengurangkan penyakit
ini merebak lebih luas lagi.
- Tanam lebih dari satu klon durian. Campuran dengan klon yang kurang
rentang pada penyakit adalah
disyorkan seperti klon MDUR 88.
-
Hawar Daun
Rhizoctania
Sering berlaku pada peringkat semaian dan boleh juga menyerang tanaman durian di
ladang. Tidak begitu serius tetapi boleh menyebabkan daun luruh dengan
teruk terutama pada musim hujan atau di kawasan yang sangat lembap. Kulat
R. solani menyerang daun dan boleh merebak ke ranting dan dahan dan seterusnya
boleh menyebabkan simptom mati rosot.
Tanda-tanda penyakit:
Mula kelihatan sebagai bintik-bintik kecil, berair dan berwarna hijau kekelabuan
serta dikelilingi oleh kawasan yang perang keunguan. Ia akan bertukar
menjadi perang. Lesion-lesion ini akan bercantum menjadi besar bertukar
warna dari perang tua ke perang muda apabila sudah kering.
Kawalan:
Buang dan bakar daun-daun yang diserang. Elakkan keadaan lembap dan
pastikan pengudaraan yang baik di tempat semaian dengan mengatur anak-anak pokok
tidak terlalu rapat. Di ladang, kumpul dan musnahkan daun-daun penyakit
yang gugur ke tanah terutama pada musim hujan. Sembur dengan
difenoconazole, flutolanil atau hexaconazole. Ulangi semburan sekiranya
serangan masih berkekalan selang beberapa hari sebagaimana tercatat pada label.
-
Bintik Daun
Disebabkan oleh alga Cephaleuros virescens. Kelihatan tompok-tompok perang
kemerahan yang berupa baldu pada permukaan daun dan di ranting-ranting.
Daun menjadi kekuningan dan gugur. Penyakit ini selalu terdapat pada pokok
durian tetapi tidak berbahaya pada pokok.
Kawalan:
Pastikan pokok dalam keadaan baik dengan memberi pembajaan yang optimum, pokok
tidak terlalu rimbun, ladang tidak banyak rumpai dan mempunyai saliran yang
baik. Jika diserang teruk, sembur dengan racun jenis kuprum.
-
Penyakit
Cendawan Angin
Disebabkan oleh kulat Corticium salmnicolor. Ia menyerang ranting dan
dahan pokok. Batang dan cabang yang dijangkiti menunjukkan keruping yang
berwarna merah muda. Serangan teruk menyebabkan layu pucuk, daun gugur dan
dahan mati. Ini selalu terjadi pada musim hujan.
Kawalan:
Cantas dan musnah bahagian yang dijangkiti kerana ini mengurangkan kejadian
jangkitan. Pangkas bahagian yang berpenyakit dan bakar. Sapu
bahagian yang terdedah dengan cat. Sembur atau sapu dengan racun kulat.
-
Anthraknos
Disebabkan oleh Colletotrichum gloeosporioides. Boleh dikesan apabila
berlaku pengeringan batang dengan cepat, bermula dari hujung dan merebak ke
bahagian bawah batang. Daun-daun menjadi kecut dan gugur. Apabila
meristem hujung mati, pucuk-pucuk baru tumbuh dengan banyak pada bahagian bawah
dahan sihat. Serangan pada daun boleh menyebabkan daun kering, bermula
dari tepi atu hujung daun. Penyakit boleh merebak ke seluruh daun
menyebabkan daun gugur. Penyakit ini biasa terdapat pada anak benih dan
pokok yang lemah. Boleh dikawal dengan semburan racun kulat yang sesuai.
-
Cendawan angin
Corticium (corticium salmonicolor)
Simptom: Batang dan cabang menunjukkan keruping berwarna merah muda, pucuk
layu, daun gugur dan dahan mati. Amalkan pertanian yang baik dan gunakan
racun jenis kuprum mengikut label.
-
Penyakit Cerna Durian (Patch canker)
Sila
klik di sini untuk penerangan selanjutnya mengenai penyakit ini !
KAWALAN SERANGGA
-
Ulat Pengorek
Buah
Guna perangkap lampu (dipasang setinggi 20-30 kaki di sekitar dusun).
Sembur dengan racun serangga.
-
Ulat Pengorek
kulit dan Batang (Bactrocera guitata Zeuzera coffeae Synantheden spp.)
Menyerang ranting, dahan dan batang. Dahan menjadi layu dan mati
serta meninggalkan sisa buangan di atas tanah.
Pangkas semua ranting yang ada tanda serangan dan musnahkan. Jika lubang
pernafasan telah sampai ke pangkal pokok, suntik dengan racun kimia seperti
Rogor dan Tamaron. Selepas disuntik, lubang-lubng tadi ditutup dengan
tanah liat atau plastisin. Jika masih terdapat tanda-tanda serangan
selepas 2 minggu, suntikan ulangan hendaklah dilakukan.
-
Ulat Pengorek
Kulit (Synanthedon spp.)
Mengorek kulit bermula dari pangkal pokok.
Tanda-tanda serangan ini jika melarat akan kelihatan tahi yang berwarna coklat
kemerahan pada kulit-kulit batang. Jika kulit-kulit ini dikikis akan
kelihatan ulat-ulat berwarna putih di dalamnya. Kikis bahagian kulit yang
mempunyai tanda serangan. Sapu atau sembur racun serangga jenis sistemik
yang sesuai
. -
Ulat Pengorek Biji Durian (Mudaria magniplaga)
Larva yang menetas dalam buah memakan biji. Guna perangkap lampu.
Kawalan dengan racun serangga seperti lambda-cyhalothrin.
-
Kumbang Pengorek Batang (Platypus spp)
Di dalam atau batang yang diserang terdapat ribuan lubang-lubang halus dan
kumbang mengeluarkan habuk melalui lubang ini.
-
Teritip
Pokok diserang kelihatan pudar dan lama kelamaan diselaputi sepenuhnya oleh
kulapuk hitam. Daun-daun menjadi kering dan layu dan akhirnya boleh
menyebabkan ranting atau dahan tersebut mati.
-
Koya
Sejenis serangga berwarna putih yang menyerang daun dan buah pada semua
peringkat pertumbuhan pokok durian. Serangga ini boleh dikawal dengan
menyembur minyak putih pada bahagian yang diserang.
-
Nematod (Meloidogyne incognita)
Pokok kelihatan tidak segar dan terbantut. Kanopi jarang dan daun
kekuningan, buah menjadi kecil, cepat matang dan pudar. Kulit tidak
mengelupas. Akar menjadi bengkak dan berubah warna. Guna bahan
tanaman yang bebas dari penyakit nematod. Tabur racun nematicid yang
sesuai.
-
Anai-anai
Menyerang pokok yang masih kecil, akar pokok akan diserang dan akan mati.
Serangan pada pokok dewasa akan kelihatan seperti terowong ana-anai daripada
tanah. Siram racun serangga yang dapat mengawet serangan anai-anai.
-
Vertebrate
Tupai
Untuk kawalan jangka panjang, populasi tupai boleh dikurangkan dengan
memusnahkan serang tupai secara membersihkan belukar dan semak samun di kawasan
ladang.
KAWALAN RUMPAI
Kaedah kawalan
menggunakan racun rumpai adalah lebih efektif, praktikal dan ekonomik untuk
mengurangkan saingan rumpai, kehilangan hasil dan menjimatkan kos pengeluaran.
TEMPOH DILARANG MENGUTIP HASIL
Penggunaan racun
perosak hendaklah diberhentikan sebelum mengutip hasil berpandukan kepada tempoh
dilarang mengutip hasil seperti berikut:-
|
Bahan aktif racun prosak |
Tempoh dilarang
kutip hasil (hari) |
difenoconazole
dimethomorph
fluazifop-p-butyl
flutolanil
fosetyl-aluminium
glufosinate ammonium
glyphosate isopropylamine
hexaconazole
lambda-chyalothrin
metalaxyl
metalaxyl-M
metalaxyl-M + copper oxychloride
pencycuron
phosphorous acid |
14
14
14
14
30
14
1
14
7
14
14
14
3
14 |
KEMATANGAN DAN PENUAIAN BUAH
Untuk memetik buah durian pada peringkat matang, terdapat beberapa panduan umum
yang telah dibentuk sebagai indeks kematangan buah durian. Walau
bagaimanapun tidak semua indeks ini sesuai untuk semua jenis durian.
Indeks kematangan tersebut adalah seperti berikut:-
-
Pengiraan hari mengikut kalendar
Kaedah ini melibatkan bilangan hari dari peringkat bunga kembang atau putik
sehingga buah boleh dipetik. Untuk memudahkan penuaian, tarikh pokok
durian berbunga dalam sesuatu musim perlu dipastikan. Biasanya tarikh
bunga kembang dikira pada masa lebih kurang 70% bunga durian sudah kembang.
Umumnya buah durian mencapai kematangan di antara 90 dan 150 hari selepas bunga
kembang bergantung pada klon atau kultivar.
-
Warna duri atau kulit
Bagi kebanyakan klon durian, warna hujung duri buah menjadi coklat tua apabila
buah mencapai kematangan. Ini jelas kelihatan kerana bahagian tapak duri
dan lurah di antara duri berwarna cerah.
-
Ciri-ciri lurah pada buah
Lurah atau alur di antara tapak duri mengembang dan warna bertambah gelap
apabila buah matang.
-
Tangkai
buah
Buah durian yang keluar dri dahan pokok mempunyai tangkai yang agak panjang.
Pada tangkai ini terdapat bahagian absis iaitu bahagian yang akan memisahkan
buah daripada pokok (menyebabkan buah luruh) apabila buah masak. Ketika
buah masih belum matang, keseluruhan tangkai buah kelihatan sama besar.
Apabila buah mencapai peringkat matang, bahagian absis kelihatan membengkak.
Buah boleh dipetik apabila garisan absis sudah terbentuk sebahagian atau
sepenuhnya. Garisan absis yang terbentuk sepenuhnya mengelilingi tangkai
menandakan buah hampir luruh. Tanda sebegini jelas pada klon Chanee,
Monthong dan juga D 24.
-
Keanjalan hujung duri
Buah yang matang biasanya mempunyai hujung duri yang anjal atau liut.
Manakala buah yang belum matang mempunyai hujung duri yang keras.
-
Garis pangsa
Ruangan tempat isi atau ulas isi pada buah durian dipanggil pangsa. Buah
durian biasanya mempunyai 5 pangsa. Garisan pangsa itu garisan yang
memisahkan pangsa-pangsa ini akan jelas kelihatan pada kulit buah apabila buah
sudah matang. Garisan pangsa kelihatan lebih jelas pada buah yang lebih
matang.
-
Bunyi apabila buah diketuk atau dikeruk
Buah yang matang berbunyi kosong apabila diketuk dengan kayu atau rotan atau
dikeruk dengan jari, sedangkan buah yang belum matang berbunyi padat.
-
Cairan tangkai buah
Apabila tangkai buah dituris, cairan akan mengalir keluar. Cairan yang
keluar dari tangkai buah yang matang kelihatan jernih dan manis rasanya.
Bagi buah yang belum matang, cairan berkeadaan pekat, boleh melekat pada jari
apabila disentuh dan tidak berasa manis.
Bagi durian D 24, petunjuk kematangan yang paling sesuai ialah pembengkakan
bahagian absis pada tangkai buah dan pembetukan garisan pangsa. Walau
bagaimanapun, hanya dengan melihat pada garisan pangsa sahaja sudah memadai
untuk mengenali buah yang telah matang dan kaedah ini merupakan yang paling
mudah. Garisan pangsa kelihatan semakin jelas apabila buah semakin matang.
Selalunya garisan pangsa kelihatan timbul apabila buah hampir masak atau gugur.
Semua tanda kematangan di atas, walau bagaimanapun, dipengaruhi oleh keadaan
alam sekitar dan kultivar yang membolehkan kesilapan berlaku ketika menentukan
kematangan buah durian. Keadaan yang panas dan kering boleh mempercepat
kematangan buah durian kadang-kadang sehingga 10 hari.
Tempoh Kemasakan Buah Durian
|
Klon |
Tempoh Kemasakan |
D24
D29
D123
D145
D158
D159
D169
D188
D189
D190 |
10-115 hari
90-100 hari
90-100 hari
100-115 hari
105-120 hari
105-120 hari
100-110 hari
110-115 hari
100-110 hari
106-115 hari |
Buah durian yang telah matang, dipetik dengan memotong tangkai buah 3-4 cm
ke atas dari zon absis. Tangkai buah biasanya dipotong dengan pisau tajam
atau gunting. Buah yang telah dipetik tidak boleh diletakkan di atas
permukaan tanah tanpa dialas bagi mengelakkan pencemaran kulat semasa
penyimpanan. Seelok-eloknya buah tersebut terus diletakkan di dalam bakul
atau bekas yang sesuai. Bagi pokok yang tinggi, buah boleh dipetik dengan
menggunakan tangga atau memanjat pokok tersebut. Bagi mengelakkan buah
terjatuh ke tanah, buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bekas kecil seperti
baldi dan kemudian diturunkan dengan tali. Seorang pekerja lain perlu
berada di bawah pokok untuk menyambut buah tersebut dan dimasukkan ke dalam
bakul mengumpul. Buah juga boleh diturunkan dengan tali sebiji demi sebiji
dengan mengikatkan tali pada tangkainya.
|