|
PANDUAN MENANAM LIMAU BALI
LIMAU BALI
(Citrus grandis (L) Osbeck)
Limau Bali adalah buah yang
terbesar dalam kumpulan citrus. Ia berasal dari kawasan Asia
Tenggara terutamanya Indonesia, China dan Thailand. Di Malaysia,
limau ini dikenali juga sebagai Limau Besar atau Limau Betawi.
Jenis Klon:
PO 51
Buah limau bali
ini popular dengan nama 'Shathing' berasal dari mukim Rompin, Negeri
Sembilan dan didaftar pada 1 Jun 1978. Buah bersaiz sederhana dan
bentuk buah membulat dan leper di bahagian bawah. Kulit berwarna
kuning kehijauan. Rasanya manis, kelat sedikit dan beraroma.
Isi berwarna putih dan mengandungi banyak air.
PO 52
Limau bali ini popular dengan gelaran
Limau Tambun. Berasal dari Tambun, Ipoh, Perak dan didaftarkan pada
30 Jun 1984. Buahnya bersaiz sederhana besar, bentuknya membulat dan
meleper di bahagian bawah dan berkulit tipis. Warna kulit hijau
kekuningan bila masak. Isi berwarna merah jambu, sangat berjus dan
rasanya manis. Bilangan bijinya sedikit.
Melo Mas
Dikeluarkan oleh MARDI. Buah ini bersaiz kecil hingga sederhana dengan beratnya anggaran 1.0-1.2
kg. Bentuk buah agak bulat dan kulit mudah ditanggal. Kulitnya
nipis dan berwarna hijau kekuningan bila matang dan terdapat bulu halus di
permukaannya. Isinya putih kuning dengan samar-samar merah jambu dan
kurang berserabut, kandungan gula tinggi, asidnya rendah dan tidak ada
rasa pahit selepas dimakan.
Penanaman Limau Bali:
Limau bali sesuai ditanam di kawasan rendah beriklim tropika. Taburan hujan yang sesuai untuk
tanaman ini ialah antara 1000-2000 mm setahun manakala suhu yang optimum
ialah diantara 23-30oC. Tanaman ini memerlukan banyak
cahaya matahari untuk permulaan pembungaan serta pembentukan warna buah.
Limau bali biasanya dibiak dengan cara tut. Kaedah ini kurang baik kerana penyakit seperti
phythopthora dan penyakit virus lain mudah berjangkit melalui ranting yang
ditut. Ranting yang dijangkiti virus juga sukar ditentukan. Untuk
mengatasi masalah ini adalah disyorkan tanaman limau bali dibiak secara
cantuman.
Anak pokok yang diguna mestilah sihat, bebas daripada serangga dan penyakit. Ini kerana tanaman
limau bali senang dijangkiti penyakit seperti tristeza dan phythopthora.
Oleh itu pemilihan baka untuk pokok penanti, sumber mata tunas dan cara
pembiakan perlu ditentukan terlebih dahulu.
Penyediaan pokok penanti:
Biji benih yang didapati dari
jenis yang dipilih dibasuh bersih dari pulpa. Untuk menghapuskan
kulat biji benih direndam dalam air suam pada 52oC selama 10
minit. Biji benih kemudian disejukkan dalam air dan dikeringkan
selama 1 jam sebelum digaulkan dengan racun kulat seperti thiram atau
captan untuk mengelakkan dari berkulat. Selepas itu biji benih
disemai di dalam kotak semaian sementara. Seterusnya diletakkan di
permukaan tanah dan ditutup dengan lapisan pasir setebal 3-4 cm.
Anak benih yang telah mencapai ketinggian 15-18 cm boleh diubah ke dalam
polibeg berukuran 20 cm x 30 cm. Anak benih ini sedia dicantum
apabila lilitan batangnya mencapai tahap sebesar batang pensil iaitu
apabila mencapai umur 6 bulan.
Kaedah Cantuman:
Anak benih dicantum dengan menggunakan kaedah cantuman tunas kepingan (patch budding). Dalam
kaedah ini kulit batang pokok (1.0 cm x 3.0 cm) dituris dan ditanggalkan
dari atas. Kemudian satu kepingan mata tunas daripada klon terpilih
diselitkan ke dalam tapak tersebut. Cantuman ini diikat dengan pita
plastik. Tiga minggu selepas cantuman ini dibuat, pita plastik
dibuka dan sekiranya mata tunas masih hijau, ini bermakna cantuman telah
berjaya. Pokok penanti kemudian dicantas lebih kurang 4.0-5.0 cm dari
atas tapak cantuman untuk menggalakkan pemecahan dan tumbesaran mata
tunas. Pokok cantuman sesuai diubah ke ladang apabila berumur di
antara 2-3 bulan. Semua tunas air yang tumbuh daripada pokok penanti
hendaklah dibuang.
Penyediaan Kawasan:
Keadaan permukaan tanah hendaklah rata supaya hujan tidak bertakung dan memudahkan operasi jentera
dan sistem pengairan. Bagi kawasan di lereng bukit, teres kontor
perlu dibuat. Lebar teres hendak tidak kurang daripada 3 m untuk
pertumbuhan akar yang baik pada peringkat pokok matang. Tanah untuk
dusun buah-buahan, hanya dibajak sedalam 30 cm mengikut barisan yang
hendak ditanam. Barisan ini akan digemburkan dengan pemutar.
Menggali lubang boleh dibuat dengan menggunakan jentera gerudi yang dipasang
pada traktor. Penaman dengan penutup bumi pada kadar 5-6 kg/ha. pada
nisbah 5:4:1 (Calopoganium mucunoides : Pueraria phaseloides :
Calopogonium caereleum) atau nisbah 9:1 (Pueraria javanica : Calopogonium
caereieum) digalakkan untuk kawalan rumpai pada peringkat juvana iaitu
selama 4-5 tahun.
Penanaman di Ladang:
Penanaman dilakukan pada awal musim hujan bagi mengelakkan risiko anak pokok mati selepas ditanam.
Sebenarnya penanaman boleh dilakukan bila-bila masa sahaja sekiranya
pengurusan dan penjagaan yang sempurna diberi sepenuhnya.
Anak benih dalam polibeg perlu
disiram air sebelum diubah ke ladang. Lubang sebesar polibeg dibuat
semula di tengah-tengah lubang tersebut. Polibeg ditanggal
perlahan-lahan tanpa merosakkan akar anak benih tersebut dan letakkannya
di dalam lubang yang telah disediakan. Lubang tanaman hendaklah
ditimbus dan dipadatkan dengan segera. Sokongan dengan kayu pancang
adalah perlu bagi memastikan pertumbuhan yang tegak. Bahan naungan
sementara seperti daun kelapa kering disediakan bagi memastikan anak-anak
pokok tidak mengalami tekanan kekurangan air yang serius.
Pemangkasan:
Cantasan Bentuk:
Limau bali memerlukan dua jenis cantasan iaitu cantasan bentuk dan
cantasan penjagaan. Bila pokok berusia 6 bulan, pokok dibiarkan tumbuh
dengan satu batang utama setinggi 1.5 m. Di awal musim hujan, batang
utama dipangkas pada paras 1 m untuk menggalakkan pengeluaran cabang.
Batang pokok diikat pada kayu pancang supaya pokok tumbuh tegak.
Apabila beberapa tunas tumbuh di batang utama, pilih 4 batang yang agak
teguh dan seimbang dan buang yang selebihnya. Tunas-tunas tadi tumbuh
menjadi cabang pertama dan seterusnya membentuk batang pokok.
Apabila kesemua 4 cabang pertama telah mencapai 1.5m panjang, ia dicantas
semula pada jarak 1 m dari batang utama. Tunas-tunas baru akan
tumbuh dan pilih tunas-tunas yang menghala keluar untuk disimpan.
Gunting tunas yang tumbuh menghala ke arah dalam pokok untuk memberi
bentuk pokok 'terbuka tengah'. Bentuk pokok yang seimbang dengan
ruang dahan utama yang lapang akan mendapat pengudaraan dan cahaya
matahari yang mencukupi untuk pokok. Pemangkasan keseluruhan masih
perlu diteruskan dua kali setahun sehingga pokok menghasilkan buah.
Tunas-tunas air serta dahan berpenyakit dan cedera hendaklah digunting.
Cantasan Penjagaan (pokok dewasa):
Pemangkasan seterusnya dibuat selepas pengeluaran hasil pertama.
Potong dahan-dahan yang melentur serta mencecah tanah. Gunting semua
tunas air serta dahan yang menegak ke atas dan yang tumbuh menghala ke
dalam pokok. Buang dahan-dahan yang mati dan berpenyakit hingga
tanda-tanda mati atau penyakit tiada kelihatan pada dahan tersebut.
Kemudian sapukan cat ke atas keratan tersebut untuk mengelakkan jangkitan
merebak.
Pokok limau bali yang matang boleh dijadualkan untuk berbunga sehingga 4
kali setahun. Ini boleh dilakukan dengan membuat pemangkasan khusus
untuk tujuan ini. Pilih ranting yang matang dan gunting
sebelum buku ruas. Berhentikan pengairan kepada pokok buat sementara
bagi menggalakkan pengeluaran bunga. Empat minggu selepas
pemangkasan bunga akan keluar sepenuhnya. Buah boleh dipetik 6 bulan
dari tarikh bunga kembang.
Bagi pokok limau yang telah mula berbuah penjarangan buah amat digalakkan.
Amalan yang sesuai adalah dengan meninggalkan hanya satu buah sahaja pada
setiap tangkai. Penjarangan ini dilakukan apabila buah mencapai saiz
sebesar bola pingpong. Ikat kertas pada tangkai buah pada jarak 8 cm
dari buah. Ini adalah untuk mengelak kertas dari melekat pada kulit
buah. Pembalutan buah akan mengelakkan serangan lalat buah.
Pemangkasan seterusnya ialah selepas pengutipan hasi. Cantas semua
tunas air dan tangkai buah yang sama serta dahan-dahan yang mati dari
berpenyakit.
Pembajaan:
Baja organik adalah perlu.
Baja kimia juga diberi 3.4 kali setahun dengan menabur di sekeliling pokok
dari pangkal pokok hingga hujung kanopi.
Pengurusan Air:
Dusun limau bali biasanya
menggunakan sistem pengairan titis pada kadar 2.5 liter sehari untuk anak
pokok yang baru ditanam di ladang dan 10-20 liter sehari untuk pokok
matang.
Kematangan dan Pengutipan Hasil
Penghasilan
Pokok limau bali mula
mengeluarkan buah pada umur 3 tahun tetapi hasil yang maksimum akan
tercapai dalam masa 8-10 tahun. Pada amnya, pokok yang sihat boleh
mengeluarkan lebih kurang 100-200 biji setahun dengan 60-80
biji/pokok/bulan dalam masa musim kemuncak dan hanya 10-20
biji/pokok/bulan pada musim melawas. -
Musim Buah Setelah matang, pokok limau bali akan berbunga dan berbuah sepanjang
tahun. Walau bagaimanapun, pengeluaran buah dijadualkan mengikut
musim perayaan. Tahun Baru Cina dan perayaan Kuih Bulan iaitu pada
bulan Februari, Ogos dan September.
Penjarangan Buah
Setangkai bunga boleh mengeluarkan 3-6 biji buah. Selepas
sebulan hanya 1-2 biji buah sahaja ditinggalkan iaitu mengikut saiz
cabang. Untuk dahan yang kuat dan besar, bergaris pusat 2 cm ke atas
biasanya dijumpai di tengah kanopi, 2 biji buah/tangkai ditinggalkan
sementara bagi ranting pada hujung kanopi yang biasanya lebih kecil hanya
1 biji buah/tangkai ditinggalkan. Buah-buah ini dibungkus apabila ia
mencapai garis pusat 6-8 cm atau sebesar bola pingpong.
Kematangan Buah
Jarak masa dari pengeluaran bunga hingga matang ialah 6 bulan.
Buah yang matang dikenali dari kulit yang licin berbintik hijau kekuningan
atau hijau perang. Bulu-bulu yang terdapat pada kulit akan hilang
apabila buah matang. Indeks kematangan buah adalah seperti berikut:-
Indeks
1 -
Indeks 2 -
Indeks 3 -
Indeks 4 -
Indeks 5 -
Indeks 6 -
|
Belum
matang. Keseluruhan permukaan kulit berwarna hijau tua
sepenuhnya.
Permulaan matang. Permukaan kulit berwarna hijau muda.
Matang. Permukaan kulit berwarna hijau meliputi 85% dan warna
kuning 15%.
Permulaan masak. Permukaan kulit berwarna kuning meliputi 60%
dan warna hijau 40%.
Masak. Permukaan kulit berwarna kuning meliputi 80% dan warna
hijau 20%.
Terlalu masak. Permukaan kulit berwarna kuning oren 100%.
|
Pengutipan Hasil
Buah dipetik dengan menggunakan gunting bagi memotong tangkainya.
Buah yang dipetik diletakkan dalam bakul atau raga. Berat sebiji
buah limau bali ialah diantara 1-3 kilogram. Buah yang dipotong
dibiarkan bertangkai sepanjang 5-7 cm untuk dihantar ke pusat
pembungkusan.
Pengendalian di Pusat Pembungkusan
Di pusat pembungkusan, beberapa aktiviti dijalankan seperti memilih,
membasuh, mengering, menggred dan menyimpan. Semasa pemilihan, buah
yang elok dant tidak berpenyakit diasingkan. Selepas itu buah
dibasuh bersih dan segala kekotoran yang melekat pada kulit dibuang dan
dikeringkan. Penggredan dilakukan berasaskan saiz, kebersihan dan
rupa bentuk.
Pada tahun keempat, limau bali boleh menghasilkan sebanyak 1,500 biji buah sehektar. Hasilnya
meningkat tahun demi tahun dan mencapai hasil tertinggi sebanyak 9,600
biji buah pada tahun kelima belas. Selepas itu, hasilnya menurun
sedikit kerana dianggarkan sebanyak 30% pokok akan mati akibat penyakit.
Harga limau bali di ladang bergantung kepada saiz buah. Dengan adanya pengurusan ladang yang
baik, lebih kurang 30% daripada hasil pengeluarannya boleh mendapat harga
gred A (saiz besar), 50% harga gred B (saiz sederhana) dan baki
harga gred C (saiz kecil).
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Pengendalian di Ladang
Buah limau bali yang dipotong dibiarkan bertangkai sepanajng 5-7 cm dan
dimasukkan ke dalam bakul untuk pembungkusan.
Pengendalian di Pusat Pembungkusan
Di sini beberapa aktiviti seperti memilih, membasuh, mengering, menggred
dan penyimpanan dijalankan. Semasa pemilihan buah yang elok dan
tidak berpenyakit diasingkan. Selepas itu buah dibasuh bersih dan
segala kekotoran yang melekat pada kulit dibuang dan seterusnya buah
dikering diatas para atau rak.
Gred A - saiz buah >62 cm
Gred B - saiz buah 57-62 cm
Gred C - saiz buah <67 cm
Penyimpanan Hasil
Buah limau bali yang telah dipetik dan digred boleh disimpan selama 1-2
bulan dalam bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik.
|