Mengkudu - pembiakan melalui keratan
Pembiakan pokok mengkudu,
seperti juga beberapa tanaman saka yang lain, boleh dilakukan secara
tampang. Penanaman secara ini boleh mengekalkan sifat baka pokok
induk seperti saiz dan bentuk buah, dengan syarat penjagaan yang baik
diberikan.
Dalam usaha
mendapatkan baka pokok mengkudu yang lebih bermutu melalui penanaman
secara klon, satu penilaian awal dari segi keupayaan pengakaran keratan
(tanpa menggunakan hormon penggalak akar) telah dijalankan.
Kajian ini telah dilaksanakan di tapak semaian yang diberikan lebih kurang
70% lindungan cahaya. Media pengakaran ialah campuran 50% tanah dan
50% pasir. Setiap keratan ditanam dalam polibeg berukuran 8 cm x 16
cm. Semaian disiram setiap hari sekiranya tidak hujan.
Sebanyak
tujuh jenis keratan dari bahagian tunas/salur air dan dahan pokok telah
digunakan. Pembahagian jenis keratan, berdasarkan
kelembutan/kekerasan kayu keratan berkenaan. Selepas tiga bulan
ditanam didapati bahagian hujung/pucuk tunas air memberikan peratusan
hidup dan berakar yang paling tinggi iaitu diantara 60-90%. Manakala
jenis keratan yang sama dari dahan sebanyak 40-60% sahaja yang hidup.
Tunas air keratan batang yang berkayu keras boleh digunakan tetapi
peratusan yang boleh hidup lebih rendah iaitu antara 47-70%, manakala
keratan dari batang tunas air berkayu lembut dan dahan berkayu separa
keras yang boleh hidup cuma 10-30%. Dalam kajian ini didapati
keratan tunas air berkayu separas keras dan dahan berkayu keras tidak
sesuai langsung untuk digunakan kerana tidak mengeluarkan akar.
Bagi tujuan
mendapatkan bahan tanaman daripada keratan tunas air, disyorkan supaya
pokok induk yang dipilih dilentur bagi merangsang pengeluaran tunas-tunas
dari batang pokok dengan lebih banyak.
Sumber:
Agromedia Bil. 9/2000 |