|
PANDUAN MENANAM PUCUK PAKU HIJAU
TANAH
Paku hijau memerlukan jenis tanah yang sentiasa lembap dengan kandungan bahan
organik yang tinggi. Tanah yang mempunyai paras air tinggi dan saliran
yang kurang sempurna juga sesuai untuk penanaman paku hijau. Tanah
berpasir, tanah yang tersangat salir dan tanah yang tidak dapat menyimpan air
adalah tidak sesuai digunakan.
PENYEDIAAN KAWASAN DAN MENANAM
Penyediaan Tanah
Bersihkan kawasan dari rumpai dan gemburkan tanah dengan membajak. Kapur
ditabur dan dimasukkan dalam tanah semasa pembajakan. Untuk tanah mineral,
pengapuran disyorkan.
Penyediaan Benih Tanaman
Benih tanaman yang diperlukan untuk penanaman pada masa ini diperolehi daripada
pokok-pokok liar. Bagi memudahkan proses pemindahan benih, daun-daun
matang perlu dicantas terlebih dahulu sebelum pokok dikeluarkan daripada tanah.
Akar yang dikesan mati juga harus dicantas. Rumpun paku didapati bertahan
dan boleh disimpan selama 3-4 hari di tempat yang redup dan lembap tanpa
menjejaskan kualiti.
Menanam di Ladang
Batas tidak perlu disediakan. Benih paku ditanam terus dalam petak yang
telah dibersihkan. Setiap petak ditanam dengan lima baris dengan jarak 30
cm diantara baris dan 30 cm diantara pokok dalam baris. Jarak diantara
petak 80 cm. Sistem ini memberikan kepadatan 71,728 pokok sehektar.
Pokok diberi sungkupan daun lalang kering atau jerami padi selepas ditanam.
Pengurusan
Penjagaan pokok paku hijau dibahagikan kepada dua aktiviti utama, iaitu aktiviti
pemulihan dan aktiviti cantasan kutipan hasil. Aktiviti pemulihan dan
aktiviti cantasan kutipan hasil dijalankan secara bergilir-gilir, iaitu aktiviti
pemulihan selama dua bulan dengan diikuti aktiviti catasan kutipan hasil selama
satu bulan untuk memberi empat pusingan dalam setahun.
Pemulihan diadakan selepas penanaman
dan kutipan hasil di mana semua tunas yang muncul dibenarkan membesar menjadi
daun matang. Rumpun paku hijau yang mempunyai bilangan daun yang banyak
dapat menambahkan makanan rezab di rizom. Pokok-pokok paku diberi baja dan
petak dibersihkan daripada rumpai. Bilangan pokok matang setiap rumpun
juga dibenarkan bertambah, akan tetapi tidak melebihi tiga pokok setiap rumpun.
Anak pokok atau sulur yang berlebihan perlu dicabut (dijadikan benih untuk
menanaman baru).
Aktiviti cantasan kutipan hasil
dilakukan selepas aktiviti pemulihan. Semua daun matang dicantas pada
paras tanah kecuali pucuk-pucuk muda yang akan dipetik apabila sampai ke
peringkat yang sesuai dijadikan sayur. Aktiviti kutipan hasil pucuk paku
dibenarkan selama sebulan.
Pembajaan
Baja organik seperti tahi ayam pada kadar 2-5 tan sehektar ditabur dan digaul
dengan tanah sebelum atau semasa menanam. Jumlah yang diberi bergantung
kepada kesuburan tanah. Kadar pembajaan inorganik 120 kg N: dan 120 kg. N
sehektar setahun disyorkan. Pembajaan dijalankan empat kali setahun
selepas kutipan hasil. Jenis baja NPK (15:15:15) sebanyak 800 kg
diperlukan untuk satu hektar setahun atau 200 kg setiap giliran membaja.
Pengairan
Dijalankan sekurang-kurangnya dua kali sehari pada musim panas.
Sungkupan yang disyorkan dapat bantu mengekalkan kelembapan tanah.
Kawalan Rumpai
Kawalan rumpai secara 'manual' di dalam petak dan semburan racun
rumpai seperti Glufosinate Ammonium atau Paraquat di sempadan petak.
Kawasan Musuh dan Penyakit
Setakat ini tidak ada rekod serangan musuh dan penyakit ke atas
pokok paku hijau.
Kutipan Hasil
Pokok paku dipetik hasil empat kali setahun. Petak-petak
perlu disusunatur secara bergilir-gilir untuk menentukan pengeluaran
pucuk sepanjang masa. Pucuk paku membesar dengan cepat dan
pada amnya sesuai dipetik 5-6 hari selepas pemunculan.
|