Rambutan (Nephelium lappaceum L) adalah tanaman popular dan
digemari rakyat di negara ini dan kebanyakan penduduk rantau Asia. Ia
sejenis buah-buahan bermusim dan boleh ditanam sekeliling kediaman atau dusun.
Di Malaysia, kawasan penanaman utama adalah di Kelantan, Johor, Terengganu,
Pahang, Perak dan Kedah. Rambutan adalah buah-buahan yang berdaya maju
untuk dieksport ke negara Timur Tengah dan Eropah.
CIRI-CIRI POKOK
Pokok rambutan boleh mencapai ketinggian sehingga 20m dan
mempunyai kanopi yang rimbun dan rendang. Pokok dari baka cantuman
mempunyai batang utama besar dan pendek. Dahan utama rendah dan terbuka.
Kulit dahan dan batang berwarna perang tua serta bertompok putih kecil.
Daun rambutan berbau harum sedikit, tidak mempunyai petol dan sepal berwarna
kuning muda dan berkilat dan sedikit berbulu. Bunga jantan dan betina
terdapat berasingan dalam sejambak. Untuk pembentukan buah, pokok rambutan
memerlukan proses pendebungaan berkacuk dengan serangga sebagai agen
pendebungaan. Buah rambutan berbentuk bujur atau hampir bulat dan
berukuran lebih kurang 5 cm. Tempoh masak adalah dari 100 hingga 130 hari
(Sila lihat
indeks kematangan buah rambutan di bawah). Isinya manis dan berjus, berukuran lebih kurang 2.5 cm
panjang dan 1.5 cm lebar.
VARIETI-VARIETI RAMBUTAN
-
R134
Klon ini berasal dari Singapura dan didaftar pada bulan Mac 1946. Buah
besar dan berbentuk bujur. Kulit berwarna merah tua, rambutnya sederhana
panjang dan jarang. Isinya tebal dan sederhana pejal, rasanya manis,
lekang dan berjus.
-
R 156
Klon ini digelar Muar Gading, didaftarkan pada 10 Januari 1955 dan berasal dari
Sungai Abang, Muar, Johor. Kulit berwarna kuning, berbentuk bulat, besar,
mempunyai rambut yang kasar tetapi jarang dan pendek. Isinya tebal,
sederhana pejal, rasanya sederhana manis, lekang dan berjus.
(Rambutan Gading dari Wikipedia - klik).
-
R 160
Rambutan ini digelar 'Khaw Tow Bak' berasal dari Pulau Pinang dan didaftar pada
7 Jun 1970. Saiz buah berbeza-beza daripada sederhana besar hingga besar.
Buah berbentuk bulat bujur. Kulit berwarna merah. Rambutnya kasar
dan pendek. Isinya tebal, lembut, manis dan berjus. Lapisan selaput
biji terikut sedikit pada isi.
-
R 162
Klon ini dipanggil 'Oh Heok' berasal dari Pulau Pinang dan didaftarkan pada 17
Jun 1970. Kulit buah berwarna kuning kemerahan. Saiz buah besar,
berbentuk bujur, berambut halus dan sederhana panjang. Isinya tebal,
lekang, pejal dan sederhana manis. Lapisan biji terikut pada isi.
-
R 167
Dikenali dengan nama 'Chai Taw Cheng' dan telah didaftarkan pada 17 Jun 1970.
Saiz buah sederhana besar, berkulit nipis dan berwarna merah kekuningan,
rambutnya panjang dan berwarna hijau. Isinya lekang, pejal dan rasanya
manis.
-
R 168
Klon 'Che Embong' berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada 23 Julai 1970.
Saiz buah adalah sederhana panjang. Kulit berwarna mrah kekuningan dan
sederhana kasar. Isinya tebal, pejal dan rasanya manis.
-
R 170
Dikenali dengan nama 'Deli Cheng' berasal dari Pulau Pinang dan telah didaftar
pada 17 Jun 1970. Mempunyai buah berwarna merah yang besar dan berbentuk
bulat bujur. Rambutnya sederhana panjang dan kasar. Isinya lekang,
tebal, pejal dan sederhana manis. Lapisan selaput biji terikut sama dengan
isi.
-
R 185
Terkenal dengan nama 'Lekang Nyior" berasal dri Gurun, Kedah dan didaftarkan
pada 14 Februari 1980. Buahnya besar, berwarna merah dan berbentuk bulat bujur.
Isinya lekang, rasanya manis dan didapati kering sedikit. Kulit biji
tertanggal dan terikut bersama isi.
-
R 191
Terkenal dengan nama 'Rong Rien' atau 'Anak Sekolah'. Berasal dari
Thailand dan didaftarkan pada 1 Jun 1981. Saiz buah sederhana besar (40
gm/buah), berbentuk bujur dan kulitnya berwarna merah. Isinya manis,
lekang dan pejal.
Terdapat beberapa varieti yang ditanam di Malaysia, namun
hanya enam varieti sahaja yang popular iaitu R134, R156 (Muar Gading), R162 (Ong
Heok), R170 (Deli Cheng), R191 (Anak Sekolah) dan R193 (Deli Baling).
Keenam-enam klon ini berbeza dari segi bentuk buah, isi dan tahap kemanisan.
KEPERLUAN TANAH DAN IKLIM
Iklim tropika
sesuai untuk tanaman rambutan yang mempunyai taburan hujan tahunan antara
1700-2500 mm dan suhu optima antara 26-280C.
Tanaman ini memerlukan keadaan kering yang pendek untuk pembuangan, musim hujan
untuk masa pembesaran buah dan keadaan kering bagi peringkat buah hendak masak.
pH tanah yang sesuai ialah antara 5.5-7. Bagi kawasan rendah atau
datar, perparitan perlu dibuat untuk membaiki saliran di kawasan-kawasan ladang.
Kawasan berbukit mempunyai kecerunan 6-120
perlu dibuat teres atau tapak gajah. Tanaman penutup bumi digalakkan
sebagai satu langkah pemuliharaan kawasan bercerun.
PENANAMAN:
Pokok rambutan
boleh ditanam menggunakan sistem tiga segi sama, sistem empat segi sama atau
sistem sesiku keluang. Jarak tanaman disyorkan adalah 9 m x 9 m.
Sistem tiga segi dapat memberikan bilangan pokok yang lebih banyak dalam satu
kawasan dari sistem segi empat sama
(lihat sistem tanaman tiga segi dan empat
segi). Sistem sesiku keluang dapat
memberikan kepadatan pokok yang tinggi dengan tambahan 100% bagi satu kawasan.
Sistem sesiku
keluang melibatkan penanaman pokok pengisi di tengah-tengah sistem empat segi
sama. Pokok pengisi bersifat sederhana dan dibuang apabila pokok rambutan
berumur 12 tahun atau kanopi mula bertemu.
PEMBAJAAN
Masa yang sesuai untuk membaja ialah diawal musim hujan.
Bagi pokok dewasa, masa yang paling sesuai dibaja ialah selepas kutipan hasil
dan 3-4 minggu selepas bunga berkembang. Baja boleh ditabur di sekeliling
kanopi pokok atau membuat poket/lubang (4-6 poket) dan isikannya dengan baja.
Pengapuran boleh dilaksanakan sekiranya pH tanah kurang dari 4.5.
TANDA-TANDA KEKURANGAN NUTRIEN
Apabila daun muda dan daun tua menunjukkan tanda-tanda
klorosis dan kadangkala berserta dengan tanda-tanda nekrosis pada hujung daun.
Daun-daun ini juga selalunya kecil dari biasa dan keguguran daun-daun tua
kadangkala berlaku. Daun yang kekurangan unsur posforan selalunya berwarna
hijau tua. Pada daun-daun tua terdapat tompok-tompok kuning serta
tanda-tanda nekrosis di tengah-tengah tompok tersebut. Kadangkala juga
daun-daun berubah warna coklat tua dan gugur.
Kekurangan kalsium mengakibatkan daun-daun tua dan setengah
tua menunjukkan tanda-tanda nektrosis pada tepi-tepi daun. Kadangkala daun
tersebut menunjukkan tanda-tanda klorosis antara urat-urat di tepi daun.
Kekurangan kalsium juga jarang kelihatan sekiranya ada terdapat pada daun-daun
muda. Daun-daun tersebut cacat, kecil dan berwarna hijau tua dan pada
keadaan teruk daun menjadi kering.
PEMBAJAKAN
Untuk Pokok
(tahun) |
Jenis Baja
Sebatian
(N.P.K. Mg) |
Kekerapan/Tahun/
Pokok/Tahun (Kg) |
Jumlah baja |
|
1 |
15:15:15 |
5-6 |
0.5 |
|
2 |
15:15:15 |
3.4 |
1.0 |
|
3 |
12:12:17:2 |
3.4 |
1.5 |
|
4 |
12:12:17:2 |
3 |
2.0 |
|
5 |
12:12:17:2 |
3 |
2.5 |
|
6 |
12:12:17:2 |
3 |
3.0 |
|
7 |
12:12:17:2 |
3 |
4.0 |
|
8 |
12:12:17:2 |
3 |
5.0 |
|
8 ke atas |
12:12:17:2 |
3 |
5.0 |
PEMANGKASAN
Melibatkan kerja-kerja membuang tunas
air dan memotong ranting atau dahan yang tidak dikehendaki, rosak, berpenyakit,
bersilang atau bergeser. Tujuan aktiviti pemangkasan adalah:-
- Untuk membentuk pokok yang mempunyai daun-daun seimbang;
- Untuk memastikan semua bahagian-bahagian pokok menerima pancaran matahari dan pengedaran udara yang maksimum; dan
- Untuk mendapatkan pokok subur dan produktif.
Terdapat dua jenis pemangkasan:
- Cantasan pembentukan terbuka tengah
- Cantasan penjagaan
Sila lihat panduan
mencatas / pemangkasan pokok
Untuk mendapatkan pokok yang subur dan penghasilan tinggi, program pembajaan
disyorkan seperti dalam jadual di atas. Masa yang sesuai untuk membaja adalah pada
awal musim hujan. Bagi pokok dewasa, masa yang paling sesuai ialah selepas
bunga berkembang
(sila lihat panduan pemangkasan pokok).
PENGAIRAN
Zon agroiklim yang disyorkan untuk tanaman rambutan ialah di mana jenis tanah
bersuaian dan purata hujan yang mencukupi untuk keperluan tumbesaran dan
penghasilan yang baik. Bagi kawasan yang mudah dibanjiri air, sistem
saliran yang baik dan sesuai perlu diadakan untuk mengelakkan air bertakong.
|
PENGURUSAN PENYAKIT DAN PEROSAK
Serangga perosak:
- Ulat lipat daun (adoxophyes privatana)
Larva akan menggulung dan melipat daun muda. Sembur dengan racun serangga yang sesuai.
- Ulat buah rambutan (conopomorpha cramerella)
Larva merosakkan buah dengan mengorek masuk melalui kulit berhampiran
tangkai buah dan memakan di bawah kulit. Kambus ke dalam tanah buah-buah
yang rosak dan gugur. Buah yang rosak dan gugur ditimbus ke dalam tanah. Cantas tangkai buah yang lama, musnahkan daun-daun
yang mempunyai kepompong dan bersihkan kawasan pangkal pokok daripada sampah
sarap. Guna racun serangga yang sesuai.
- Kumbang pemakan daun
Memakan daun, tisu-tisu daun dan urat-urat daun dan menyebabkan berlubang.
Sembur racun serangga yang sesuai.
- Kumbang Belangkas (Hypomeces squamosus)
Memakan tisu dan menyebabkan daun berlubang
Penyakit:
- Kulapuk berdebu (powdery mildew - oidium sp. Qidium nephelii)
Sering berlaku pada buah muda yang belum berisi. Buah menjadi merekah
dan gugur sebelum masak. Buat cantasan untuk mengawal rimbunan pokok.
Jika serangan berlaku sembur dengan racun kulat yang sesuai.
Kulapuk hitam (sooty mould - Meliola nephelii)
Menghalang pembesaran buah. Buat cantasan untuk mengawal rimbunan pokok.
Jika serangan berlaku sembur dengan racun kulat yang sesuai.
Penyakit kanker rambutan (delobra nepheliae)
Kulat menyerang batang dan ranting pokok, menghasilkan keruping yang bengkak
pada dahan dan ranting. Pastikan pengudaraan yang baik di dalam rimbunan
pokok. Kikis keruping dan pastikan pembajaan sempurna.
Penyakit bintik alga
Bintik-bintik baldu berwarna hijau kekuningan pada daun. Pastikan
cantasan dan pembajaan yang sempurna dijalankan.
Penyakit akar putih (rigidoporus)
Terdapat bebenang putih pada akar dan pokok kelihatan tidak sihat. Lama
kelamaan daun menjadi kuning dan gugur. Musnahkan pokok sekiranya
berlaku serangan teruk.
Penyakit cendawan angin (corticium salmonicolor)
Batang dan cabang yang dijangkiti menunjukkan keruping yang berwarna merah
muda. Pangkas dan musnahkan bahagian yang berpenyakit. Pastikan
pengudaraan yang baik.
|
PENGELUARAN HASIL
Pokok rambutan mula berbuah tiga tahun selepas ditanam dengan
anggaran penghasilan 2,000 kg/ha. Penghasilan meningkat jika terdapat 2
musim kemarau. Musim utama berlaku pada bulan Jun hingga Ogos dan musim
kedua pada bulan Disember hingga Januari. Tempoh matang adalah antara 100
hingga 130 hari. Perubahan warna menunjukkan kematangan buah. Oleh
kerana rambutan digolongkan sebagai buah bukan klimetrik, penuaiannya perlu
dilakukan pada peringkat kemasakan dimana mutu organoleptiknya adalah optimum.
Kutipan hasil rambutan seelok-eloknya dibuat pada waktu pagi atau petang apabila
cuaca redup.
EKONOMI PENGELUARAN
Jumlah kos pengeluaran bagi tanaman buah rambutan boleh
diasingkan kepada kos pembangunan, kos bahan dan kos tenaga kerja.
Anggaran kos pembangunan tanaman buah rambutan bagi sehektar tanah ialah
sebanyak RM3,719.00 untuk aktiviti penebangan, pembersihan kawasan dan
pembakaran, penyediaan infrastruktur ladang, penyediaan tanah dan penanaman
anak-anak pokok. Kos bahan pula adalah sebanyak RM1,230.00 untuk
bahan-bahan seperti kos anak benih, kos baja, kos racun kawalan serangga,
penyakit dan rumpai serta kos alat-alat ladang.
Kos tenaga kerja merupakan perbelanjaan paling tinggi.
Bagi mengusahakan sehektar tanaman rambutan, purata kos tenaga kerja ialah
sebanyak RM1,043.00 setahun. Daya maju projek dinilai dari segi aspek
pendapatan bersih, tempoh pulangan modal dan analisis kewangan.
PENGENDALIAN LEPAS TUAI
Buah rambutan yang telah dipetik dikumpul ke dalam bakul
plastik dan tidak didedah kepada cahaya matahari dan perlu dibawa ke pusat
pengumpulan buah dengan segera. Pemilihan buah dibuat dengan mengasingkan
buah yang baik dan buak rosak dan dibersihkan daripada daun, serangga, semut,
ranting dan lain-lain.
INDEKS
KEMATANGAN BUAH RAMBUTAN
Secara umumnya buah rambutan sudah boleh dipetik
diantara 12 -19 minggu selepas berputik dan berbeza mengikut varieti.
Rambutan Anak Sekolah atau Rongrien (R191) didapati sesuai dipetik pada
peringkat 16 minggu selepas berputik manakala rambutan Gula Batu (R3)
dan Muar Gading (R156) masing-masing boleh dituai pada peringkat 16-17 minggu
dan 15-18 minggu selepas berputik.
Penentuan kematangan buah rambutan bersandarkan tarikh dari berputik memberi
masalah kepada pemetik buah kerana kematangan buah pada satu pokok, malah dalam
satu tangkai yang sama tidak seragam. Biasanya buah pertama dan buah yang
terakhir terbentuk pada satu tangkai mempunyai perbezaan umur selama 30 hari.
Oleh itu penentuan kematangan buah rambutan berasaskan perubahan warna kulit dan
bulu buah didapati lebih praktikal. Umumnya rambutan terdiri daripada buah
yang berwarna merah dan kuning apabila masak.
Indeks kematangan varieti terpilih:
Varieti R134 (jenis merah)
Indeks 1
|
:
|
Kulitnya
berwarna hijau kekuningan. Bulu berwarna hijau kekuningan dan
bahagian pangkal bulu sudah kekuningan. Buahnya kecil (lebih
kurang 45 biji/kg) dan isinya nipis. Rasanya masam dan tidak
sesuai untuk dimakan. |
Indeks 2
|
:
|
Warna
kulit adalah hijau kekuningan dan sedikit kemerahan. Warna
bulunya hijau dan pada pangkal bulu sudah kelihatan warna kemerahan.
Buahnya kecil (lebih kurang 42 biji/kg) dan isinya masih nipis.
Mutu makan pada peringkat ini masih rendah. |
Indeks 3
|
:
|
Kulit
buah berwarna kuning kemerahan. Warna bulu masih hijau tetapi
pada bahagian pangkal bulu berwarna kemerahan. Saiz buah agak
besar iaitu lebih kurang 35 biji/kg. Rasanya manis dan isinya
tebal dan rangup. Buah pada peringkat ini sesuai untuk
dieksport. |
Indeks 4
|
:
|
Warna
kulit oren kemerahan. Bahagian hujung bulunya berwarna hijau
dengan bahagian pangkal bulu berwarna kemerahan. Buahnya besar
(lebih kurang 30 biji/kg). Rasanya manis, isinya tebal dan
rangup. Buah pada peringkat ini sangat susuai untuk dieksport. |
Indeks 5
|
:
|
Kulit dan
bulunya berwarna merah. Buahnya besar iaitu lebih kurang 25
biji/kg. Rasanya sangat manis dan berair. Isinya tebal
dan berjus. Buah pada peringkat ini hanya sesuai untuk pasaran
tempatan. |
Varieti R156 (jenis kuning)
Indeks 1
|
:
|
Buah pada
peringkat ini mempunyai kulit berwarna hijau kekuningan. Bulu
berwarna hijau tetapi pada bahagian pangkal bulu sudah kelihatan
perubahan warna (kekuningan). Buahnya kecil, kering dan isinya
nipis. Rasanya masam dan tidak sesuai untuk dimakan. |
Indeks 2
|
:
|
Warna
kulit pada pringkat ini adalah kekuningan. Warna bulunya hijau
dan pada pangkal bulu sudah juga kelihatan kekuningan. Buahnya
kecil, kering dan isinya masih nipis. Rasanya kemasaman,
kurang manis dan rangup. |
Indeks 3
|
:
|
Kulit
buah berubah warna menjadi kuning kehijauan. Warna bulu masih
hijau. Saiz buah agak besar. Rasanya manis, isinya tebal
dan rangup. Buah pada peringkat ini sesuai untuk dimakan dan
dieksport. |
Indeks 4
|
:
|
Warna
kulit berwarna kuning. Sementara bulunya berwarna hijau dengan
bahagian pangkal bulu berwarna kemerahan. Buahnya besar.
Rasanya manis, isinya tebal, berjus dan rangup. Buah pada
peringkat ini sangat sesuai untuk dieksport. |
Indeks 5
|
:
|
Buah pada
peringkat ini berwarna kuning oren. Bulu berwarna hijau dan
pangkal bulu berwarna kemerahan. Buahnya besar. Rasanya
sangat manis dan berjus. Isinya tebal tetapi kurang rangup.
Buah pada peringkat ini hanya sesuai untuk pasaran tempatan. |