PEMBIAKAN RUMBIA DARIPADA BIJI
BENIH DAN SULUR
(Suntingan: Agromedia Bil. 19)

 

PENGENALAN:

Sagu yang dihasilkan daripada batang rumbia (mulong) atau Metroxylon sagu mempunyai potensi yang semakin tinggi dalam industri makanan dan ubat-ubatan.

Secara tradisional bahan tanaman yang digunakan ialah sulur.  Sulur rumbia yang disemai dan dijadikan anak benih perlu diambil daripada pokok induk.  Kerja untuk mendapatkan sulur, penyediaan tapak semaian dan pemilihan sulur yang berkualiti menimbulkan beberapa masalah kepada pengusaha.  Tapak semaian sulur memerlukan kolam atau sungai dan rakit untuk pembesaran sulur, sebelum dipilih dan dipindahkan ke ladang.  Kaedah ini mempunyai kelemahan kerana kejayaan sekitar 60% sahaja.

Peranan nurseri rakit ini, lebih kepada pemuliharaan pertumbuhan pokok dan merawat kerosakan sulur.  Proses ini biasanya mengambil masa kira-kira 12 bulan sebelum sulur dipindahkan ke ladang.  Terdapat kaedah lain untuk menampung keperluan bahan tanaman iaitu penggunaan biji benih, jika bekalan biji rumbia banyak.

KAEDAH BIJI BENIH:

  • Pemilihan BIji Yang Berkualiti Diberi Keutamaan

    Bagi memastikan peratus percambahan yang tinggi, aspek kualiti biji benih hendaklah diberi keutamaan.  Buah rumbia yang hendak dijadikan biji benih mestilah dipilih daripada pokok induk yang matang (berumur kira-kira 12 tahun).  Untuk mendapatkan buahnya, cara biasa adalah dengan menebang pokok induk.  Walau bagaimanapun, teknik mengait (menjolok) tandan buah dengan galah atau mengutip buah matang yang gugur lebih digalakkan untuk kerja mengumpul buah ini.

    Buah rumbia hendaklah dipilih dengan mencucuk paku ke dalam buah.  Amalan demikian dilakukan untuk mengetahui keadaan biji di dalamnya.  Biji yang keras lebih baik sebagai biji benih.  Sebelum disemai, buah tersebut hendaklah dijemur di bawah cahaya matahari untuk menanggalkan kulit luarnya.  Teknik penjemuran ini dibuat dengan meletakkan buah tersebut di atas tanah atau di atas lapisan habuk sabut kelapa.
     

  • Tapak Semaian

    Terdapat 2 kaedah penyediaan tapak semaian yang sesuai, iaitu:-

    a)  tapak semaian pasir sahaja
    b)  tapak semaian dengan campuran tanah gambut, kapur dan baja akar.

Tapak semaian khas diperlukan untuk memudahkan kerja mengalih anak benih ke dalam polibeg.  Biji rumbia yang dipilih ditabur berbaris dan tersusun di dalam kotak semaian dan ditutup dengan menaburkan lapisan pasir yang nipis di atasnya.  Dalam masa 2-3 minggu kemudian, bintik kemerah-merahan akan keluar daripada biji benih tersebut dan proses pengeluaran akar dan tunas pun bermula.

Anak benih yang berumur kira-kira 1 bulan di tapak semaian (tinggi 6 cm) sesuai untuk dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 15 cm x 22 cm.  Campuran tanah yang diisi ke dalam polibeg terdiri daripada 3 bahagian tanah, 2 bahagian bahan organik dan 1 bahagian pasir.  Selepas itu, anak benih diletakkan di bawah lindungan 75% cahaya untuk mengalakkan pertumbuhan dan pembesaran pokok.  Amalan agronomi seperti pembajaan NPK, semburan baja daun  dan racun serangga dan kulat hendaklah dilakukan.

Beberapa kelebihan semaian biji benih adalah seperti  berikut:-

  • Dapat meningkatkan kualiti (bahan tanaman yang lebih seragam) dan kuantiti pengeluaran bahan tanaman
  • Pengeluaran bahan tanaman dapat dilakukan secar sistematik dan komersial
  • Menjimatkan kos dan masa

Berbanding dengan kaedah tradisional yang menggunakan sulur, pembiakan melalui biji benih lebih mudah kerana hanya memerlukan biji benih, tanah, polibeg dan nurseri.  Ia juga mudah diuruskan berbanding dengan kaedah sulur yang memerlukan kawasan nursari yang mempunyai punca air seperti kolam dan rakit.  Walau bagaimanapun penggunaan biji benih ialah langkah sementara sahaja semasa menunggu bahan tanaman terpilih yang dibiakkan secara tampang (Sumber: Agromedia Bil. 19).


 

 

Saguk - Ole-ole enak dari Bumi Kenyalang
(Sumber:  Agromedia Bil. 10/2001)

Saguk atau sagu butir ialah makanan ringan tradisional kaum Melanau yang masih popular hingga ke hari ini.  Saguk berwarna coklat merah dan berbentuk bulat seperti mutiara.  Ia enak dimakan begitu sahaja dan lazimnya dijadikan hidangan pembuka selera.  Lebih emak lagi apabila ia dimakan dengan ikan bakar atau umai iaitu sejenis makanan tradisional yang berasaskan isi ikan mentah.  Bahkan, ia merupakan satu kemestian menghidangkan sasguk bersama umai. 

Apabila memperkatakan tentang saguk, penduduk Sarawak pasti akan mengaitkannya dengan pekan Dalat.  Sejak dahulu lagi pekan ini memang terkenal dengan saguk keluarannya.  Dalat ialah kawasan yang ditumbuhi pokok rumbia (sagu) yang paling luas di Sarawak.  Di sinilah tertumpunya pusat-pusat pemprosesan saguk.  Kebanyakan pusat ini diusahakan oleh penduduk Melanau yang sememangnya mahir dalam bidang tersebut.

Meskipun mesin moden telah diperkenalkan, pemprosesan saguk cara tradisional masih lagi diamalkan demi mengekalkan keasliannya.  Pemprosesan saguk secara tradisional biasanya dilakukan oleh kaum wanita untuk menyara hidup dengan bantuan ahli keluarga.  Proses ini memakan masa dan memerlukan kemahiran, ketekunan dan ketelitian.

Langkah pertama pemprosesan saguk ialah penyediaan lemantak.  Batang pokok rumbia yang matang (berusia lebih 10 tahun) ditebang, dikerat dan diparut menjadi serpihan isi rumbia yang dikenali sebagai po dalam bahasa Melanau.  Po akan dihenyak dan dibiarkan mendap selama beberapa jam bagi menghasilkan pati.  Mendapatan pati berwarna putih yang terhasil ialah lemantak yang merupakan ramuan utama saguk.

Dalam pemprosesan saguk, lemantak dicampur dengan ramuan lain seperti kelapa parut kering, santan, garam, dedak padi, gula dan telur.  Campuran ini diuli sehingga sebati.  Kemudian, campuran ini diayak dan digentel dengan tapak tangan untuk menghasilkan biji sagu mentah yang juga dikenali sebagai papah.  Proses ini mengambil masa kira-kira 3 jam.  Papah kemudiannya disalai atau dikeringkan di atas belangah iaitu sebuah dapur khas dibuat daripada tanah liat atau simen.  Papah dikacau dan dibalik-balikkan dari masa ke masa agar ia kering dengan rata dan tidak hangus.  Saguk yang telah kering dibiarkan sejuk sebelum diisi ke dalam bekas seperti tin atau plastik.

Saguk biasanya dijual dalam bungkusan plastik dengan harga RM1.00 sebungkus atau RM40.00 setin biskut.  Namun, harganya lebih bergantung pada gred dan kandungan ramuan.  Misalnya, jenis saguk yang bermutu tinggi boleh mencapai RM30.00 per kg.  Memandangkan permintaan yang semakin meningkat, perusahaan memproses saguk kini merupakan sastu industri kampung yang boleh menjana sumber ekonomi.

 [ke Laman Utama]   [ ke belakang ]

 

 



Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
08 July 2009 11:21:24 PM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
© Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tidak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.