Ciku merupakan tanaman yang lasak dan mudah tumbuh di kebanyakan kawasan
tropika. Walau bagaimanapun tanaman ini boleh hidup dengan subur dan
mengeluarkan hasil yang opstimum dalam keadaan tertentu. Kawasan yang
mendapat hujan antara 125-250 cm setahun adalah sangat sesuai bagi pertumbesaran
pokok ciku. Suhu yang diperlukan bagi tanaman ini adalah antara 11-34oC.
Ciku juga boleh hidup di kebanyakan jenis tanah yang terdapat di Malaysia
seperti mineral, asid salfat dan gambut. Penanaman secara ladang adalah
dinasihatkan agar mendapatkan kawasan yang rata atau kurang kecerunan melebihi
25-30 darjah. Sekiranya terdapat kawasan yang mengalami air bertakung,
perparitan perlulah dibuat untuk mengelakkan pertumbuhan pokok tersebut.
Penyediaan Benih:
Pokok ciku boleh
dibiakkan dengan kaedah tut dan kaedah cantuman baji. Kaedah tut biasa
digunakan kerana tekniknya mudah dan pokoknya cepat berbuah. Kelemahan
kaedah ini adalah bahan tanaman daripada satu pokok induk tidak banyak
diperolehi. Pokok tut mudah tumbang terutama jika ditanam di kawasan yang
mengalami angin kencang. Lagi satu cara menanam ialah dengan teknik
keratan batang.
Penanaman
Tanah yang telah dibersihkan perlu dibuat pancang penanda lubang tanaman.
Jarak tanaman yang disyorkan adalah 18' x 18' bagi penanaman padat. Jarak
tanaman ini akan menghasilkan 336 pokok bagi satu hektar. Kaedah lama
hanya dapat menghasilkan 172 pokok sahaja. Dengan mengamalkan kaedah
penanaman padat ini, pengeluaran hasil dapat ditingkatkan kepada dua kali ganda.
Penanaman sebaiknya dilakukan dalam musim hujan supaya meringankan kerja-kerja
penyiraman.
Pengairan
Walaupun pokok ciku sejenis tanaman yang lasak, sistem pengairan perlu dibuat
untuk menjamin pertumbuhan anak pokok tidak terbantut. Sistem pengairan
yang disyorkan ialah sistem pengairan titis. Pemasangan saluran PVC
berukuran 2 inci daripada sumber air merentasi tengah ladang dan disambungkan
kepada getah saliran titis yang direntang sepanjang baris tanaman. Muncung
saliran titis dipasang pada saluran berhampiran pangkal setiap anak pokok.
Bagi menjimatkan belanja tenaga atau bahan api, adalah disyorkan supaya sumber
air dapat disalirkan daripada tangki takungan air yang berada di tempat tinggi.
Kaedah ini membolehkan air disalirkan pada setiap masa dengan tekanan graviti.
Pembajaan
Pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual. Baja dagangan 15:15:15
disyorkan pada tahun pertama dan kedua. Pada tahun-tahun yang berikutnya
baja dagangan ditukarkan kepada 12:12:17:2. Jadual dan kadar pembajaan
yang dicadangkan adalah seperti berikut:-
Umur Pokok
(tahun) |
Jenis Baja
(N:P:K:TE) |
Kadar Baja
(kg / pokok) |
Kekerapan
(Bil / Tahun) |
|
1 |
15:15:15 |
0.2 |
4 |
|
2 |
15:15:15 |
0.3 |
4 |
|
3 |
12:12:17:2 |
0.5 |
3 |
|
4 |
12:12:17:2 |
1.0 |
3 |
|
5 |
12:12:17:2 |
1.5 |
3 |
|
6-7 |
12:12:17:2 |
2.0 |
3 |
|
8-10 |
12:12:17:2 |
2.5 |
3 |
|
10 dan ke atas |
12:12:17:2 |
3.0 |
3 |
Pemangkasan
Antara faktor utama penanaman ciku kurang berjaya di negara ini adalah
disebabkan oleh sikap para pekebun yang kurang memberi penjagaan dan amalan
agronomi yang kurang sempurna terutamanya tentang amalan pemangkasan.
Tanaman ciku memerlukan dua jenis pemangkasan iaitu pemangkasan berbentuk di
peringkat awal dan pemangkasan penyelenggaraan.
Pemangkasan berbentuk
Pemangkasan berbentuk ialah pemangkasan di peringkat awal sewaktu pokok berumur
kurang daripada tiga tahun. Pemangkasan ini perlu dilakukan untuk
mendapatkan bentuk pokok yang seragam dan ketinggian yang tidak melebihi 4.5
meter. Pemangkasan berbentuk bagi pokok CM 19 lebih mudah kerana secara
relitif kanopinya tidak sebesar berbanding dengan ciku klon lain.
Pemangkasan penyelenggaraan
Pemangkasan penyelenggaraan adalah amalan rutin yang perlu dilakukan setiap tiga
atau empat bulan sekali. Pemangkasan ini dilakukan untuk menjarangkan
dahan, ranting supaya pokok tidak terlalu rimbun dan bahagian dalam pokok lebih
terdedah kepada cahaya matahari serta peredaran udara. Keadaan pokok
seperti ini dapat mengurangkan serangan musuh perosak dan penyakit kulat.
Selain menjarangkan dahan dan ranting, pemangkasan penyelenggaraan juga
dilakukan untuk membuang dahan atau ranting yang rosak dan berpenyakit.
(dipetik dari
majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).
Sila lihat panduan pemangkasan pokok
Kawalan Rumpai
Kawalan rumpai dilakukan dengan manual (menggunakan cangkul, tajak atau
mesin pemotong rumput) atau racun rumpai. Rumpai juga boleh dikawal dengan
menutup kawasan keliling pokok ciku dengan sungkupan yang terdiri dari lalang,
rumput kering atau jerami padi. Bagi pokok ciku matang rumpai dikawal
dengan menyembur paraquat (1.0 kg/ha) atau glufosinate - ammonium (0.5 kg/ha)
dan gunakan alat penyembur bertudung bagi mengelakkan tempias dari terkena
tanaman.
KAEDAH MUDAH MEMBIAK POKOK CIKU
Teknik Keratan Batang:
(Sumber: Agromedia Bil. 4, 1998)
Dengan teknik ini,
keratan kayu muda atau batang perang (lebih tua) dengan garis pusat 6-8 mm
diambil daripada pucuk terminal pokok baka yang sihat. Panjang keratan
kira-kira 12-24 cm dan mempunyai 4-15 helai daun di bahagian atas keratan.
Daun-daun di bahagian bawah dibuang bagi mengurangkan pepeluhan dan keperluan
ruang dalam dulang pembiakan. Pangkal keratan ini dibelah sedikit sebelum
dicelup ke dalam larutan hormon pengakaran IBA (asid butirik indol) pada
kepekatan 10,000 bpj selama 5 saat. Keratan ini kemudiannya ditanam ke
dalam medium pengakaran yang terdiri daripada satu bahagian enapsemar kelapa
sawit (POMS) dan empat bahagian pasir. Dulang plastik berlubang yang
mengisi campuran medium ini diletakkan di dalam rumah semaian plastik berkabus.
Keratan ini mula berakar selepas 3-4 bulan.
Keratan kayu muda
biasanya cepat mengeluarkan akar berbanding dengan keratan batang perang.
Pada umumnya, pengakaran bagi kultivar Jantung dan Subang ialah 60-90%.
Penyiraman air yang berlebihan perlu dielakkan bagi mendapatkan pengakaran yang
baik. Pastikan medium pengakaran tidak digenangi air.
Penjagaan Keratan Berakar
Keratan batang
ciku memerlukan masa selama 4 bulan bagi mengeluarkan akar yang cukup supaya
mudah dialih ke dalam polibeg (18 cm x 23 cm). Polibeg ini mengandungi
campuran sekam padi + tanah atau POMS + tanah (1:4). Selepas keratan
dialihkan ke dalam polibeg, polibeg ini diletakkan semula di dalam rumah semaian
plastik berkabus. Selepas 2-4 minggu, keratan dalam polibeg dikeluarkan
dari rumah semaian dan diletakkan di tempat teduh yang terbuka. Keratan
ini sedia ditanam di ladang dalam masa setahun bergantung pada saiznya.
Pengakaran Keratan Terus Didalam Polibeg
Keratan ciku juga
boleh ditanam terus ke dalam polibeg (15 cm x 23 cm) yang mengandungi campuran
POMS dan tanah (1:4). Polibeg ini diletakkan di dalam rumah semaian
plastik berkabus selama 4 bulan. Pengakaran terus dapat mengurangkan
kejutan terhadap pengalihan (gangguan pada akar), meningkatkan potensi
pertumbuhan dan mengurangkan pengendalian. Kaedah ini hanya disyorkan
untuk kultivar yang mempunyai peratus pengakaran yang tinggi. Namun, ia
memerlukan ruang yang lebih luas. (Sumber: Agromedia Bil. 4, 1998)
PEROSAK TANAMAN CIKU
Serangga perosak perlu dikawal
bagi mendapatkan hasil yang tinggi. Serangga perosak seperti ulat
pengorek buah, lalat buah, kumbang pemakan daun, pelombong daun, koya dan
ulat pelipat pucuk dikenalpasti menyerang tanaman ciku.
Kumbang Kaboi (Apogonia spp., Adoretus spp.)
Kumbang memakan daun dan meninggalkan kesan yang bergerigi. Sebur
dengan racun serangga seperti cypermethrin.
Lalat Buah (Bactrocera spp.)
Menyerang buah matang. Lalat betina mencucuk permukaan buah untuk
bertelur. Berenga yang menetas mengorek dan memakan isi buah.
Buah menjadi busuk dan berair. Kutip buah gugur dan busuk dan
musnahkan. Gunakan perangkap buah bersama bahan penarik seperti
methyl-eugenol dicampur malathion.
Pengorek Buah (ANephopterix pirates)
Larva mengorek dan merosakkan isi buah. Terdapat fras berhampiran
lubang yang dikorek. Petik dan kumpul buah yang diserang dalam
karung plastik dan tanam ke dalam tanah.
Ulat Pelipat Pucuk (Banisia myrsusalis)
Larva yang menetas dan tinggal di dalam daun yang dilipat memakan
epidermis daun. Kutip larva dan musnah.
Ulat Pelombong Daun (Acrocercops spp)
Larva mengorek bahagian bawah eipdermis daun, membentuk terowong. Daun
menjadi kering dan mati. Guna perangkap pelekat kuning/biru.
Koya (Phaenococcus spp.)
Dewasa menghisap cairan sel daun dan mengeluarkan manisan. Manisan
ini menyebabkan serangan kulat kulapok berdebu. Sembur dengan minyak
putih.
Tindakan-tindakan berikut perlu
diambil:-
Kutip buah gugur dan busuk serta musnahkan.
Gunakan perangkap buah bersama bahan penarik seperti methyl eugenol + malathion.
Kutip larva dan musnahkan.
Sembur minyak putih dengan kadar 0.1% b.a.
PENYAKIT TANAMAN CIKU
Antara jenis penyakit yang menyerang tanaman ini ialah
penyakit cendawan angin, jelaga hitam dan penyakit puru.
|
Jenis serangga |
|
Bahagian diserang/simptom |
|
Syor kawalan |
Cendawan angin (corticum salmonicolor) |
|
Menyerang bahagian dahan, ranting dan bahagian batang berhampiran dengan dahan.
Di peringkat awal, maisilium merah jambu kelihatan di celah-celah bahagian kulit, batang dan daun. Di peringkat serius, penyakit
ini akan melingkari keseluruhan batang atau dahan dan akhirnya mati. |
|
Cantas ranting, dahan
kecil yang diserang. Sapukan dengan racun kupram pada batang atau
dahan besar yang diserang di mana peringkat serangan kurang dari
separuh lilitan. |
Jelaga Hitam
(Aithaloderma setosum; juga disebabkan oleh kulat lain) |
|
Serangan berlaku
disebabkan kehadiran manisan yang dikeluarkan oleh serangga jenis
kutu daun, teritip dan koya. Serangan berlaku di permukaan daun, buah, ranting dan dahan. |
|
Kawal serangga yang mengeluarkan manisan.
|
| Penyakit Puru (dikaitkan dengan bakteria Agrobacterium sp.) |
|
Menyerang bahagian dahan dan pucuk di mana tisu menjadi bengkak dan berpuru. |
|
Cantas bahagian yang diserang dan musnahkan. |
INDEKS KEMATANGAN DAN PENUAIAN CIKU
|
Buah ciku mengambil masa yang lama untuk mencapai peringkat kematangan.
Ciku varieti Jantung mencapai kematangan dalam masa 6-8 bulan dari tempoh bunga
kembang. Sementara ciku jenis Subang dan CM19 (ciku Mega) sesuai dipetik
kira-kira 7-8 bulan selepas bunga kembang. Oleh sebab buah ciku pada
pelbagai peringkat kematangan boleh didapati dalam satu pokok adalah sukar untuk
menentukan masa penuaian mengikut umur buah. Kebanyakan penanam ciku di
Malaysia menggunakan beberapa sifat luaran buah sebagai panduan untuk
menganggarkan peringkat kematangan semasa kerja memetik. Antara
sifat-sifat luaran yang digunakan ialah:-
- |
warna kulit yang hijau kekuningan atau coklat kekuningan apabila
digosok atau diguris. |
-
|
bahan bersisik berwarna coklat di permukaan buah kian
berkurangan dengan meningkatnya kematangan |
- |
kulit buah yang terlalu matang berwarna coklat kekuningan seperti ubi kentang |
| - |
aliran getah daripada buah berkurangan |
- |
tangkai buah yang cukup matang mudah dipisahkan daripada tampuknya.
|
|
|
Warna Kematangan Buah Ciku

Gambar: Atas (buah Ciku Jantung) dan
Kanan (Subang) yang
telah matang
Bawah: Pada indeks 3,4,5 akan masak sempurna
selepas
diperam. Buah boleh
dipetik seawal indeks 2 |
Buah ciku seelok-eloknya dipetik dengan tangan. Bagi pokok yang agak
tinggi, pemetikan buah dilakukan dengan cara memanjat pokok atau menggunakan
tangga atau galah. Galah yang mempunyai jaring di hujung adalah sesuai
digunakan.. Buah yang baru dipetik,
seelok-eloknya disusun di atas hamparan guni dengan bahagian tangkainya menghala
ke bawah. Keadaan ini membolehkan getahnya meleleh ke hamparan guni tanpa
mengotorkan buah. Pembasuhan secepat mungkin selepas penuaian juga dapat
membantu membersihkan buah ciku daripada pencemaran getah.
PENGENDALIAN PASCATUAI
Pengendalian di ladang
Buah yang dipetik, kemudiannya dikumpulkan di atas rumput atau guni
sebelum dimasukkan ke dalam bakul plastik, bertujuan untuk menyerap dan
mengeringkan lelehan getah pada buah ciku. Lelehan getah yang banyak
mencacatkan kualiti buah ciku. Selepas kerja memetik selesai, buah yang
telah dikumpul dipindahkan ke dalam bekas yang dialas dengan daun pisang atau
kertas. Dari dusun buah tersebut terus dipindahkan ke atas kenderaan
pengangkutan untuk dihantar ke pusat pengumpulan.
Di pusat pengumpulan buah ciku dibersihkan, sama ada:-
-
dibasuh dengan air sambil menggosokkan perlahan-lahan dengan menggunakan
bahan yang lembut, kemudian dikeringkan.
-
digosok dengan kain yang lembab dan
lembut.
Penyimpanan hasil
Ciku dikelaskan sebagai buah
klimeterik dimana kadar pernafasan buah dan pengeluaran etilena meningkat secara
mendadak apabila buah mulai menjalani proses pemasakan. Ciku yang baru
dipetik (indeks kematangan 2-4) boleh disimpan 7-8 hari pada suhu biasa.
Tempoh penyimpanan boleh dilanjutkan sehingga 1-2 minggu bagi ciku Subang dan
2-3 minggu bagi ciku Jantung pada suhu 13o-15oC.
Sebelum disimpan, ciku dibersihkan dan diasingkan mengikut peringkat kematangan
indek buah ciku.
Penggredan
Biasanya buah yang beratnya 100 gm
atau lebih sebiji dianggap Kelas A dan kurang daripada 100 gm atau lebih sebiji
dianggap Kelas A dan kurang daripada 100 gm sebiji dimasukkan kelas B.
Pembungkusan dan
pengangkutan
Untuk penghantaran di dalam negeri
dan Singapura, buah ciku boleh diisi di dalam bakul plastik atau kotak.
Untuk tujuan pengekspotan buah ciku ke negara-negara tertentu yang mempunyai
daya belian yang tinggi, ciri-ciri utama bekas pengisi seperti ruang pengudaraan
yang mencukupi, lekok tidak mencederakan buah, penjimatan ruang, mudah
dikendalikan dan kos perlu diberi perhatian.
Pemeraman
Buah yang cukup matang (indeks 4 dan
5) selepas dipetik akan masak 3-5 hari pada suhu biasa. Buah yang dipetik
pada indeks 2 dan 3 kadangkala tidak dapat masak dengan sempurna atau seragam
sekiranya buah tersebut tidak diaruh. Cara biasa untuk mengaruh buah ciku
ialah dengan menggunakan kalsium karbaid. Kadar penggunaan kalsium karbaid
ialah 20 gm kalsium karbaid bagi setiap satu kilogram berat buah. Cara
penggunaannya dengan dengan memasukkan buah ke dalam kotak atau bakul bersama
kalsium karbaid, kemudian ditutup kotak tersebut dengan guni atau suratkhabar
dan dibiarkan selama 24 jam. Bekas tadi dibuka, buah akan masak dalam 2-3
hari kemudiannya. Kalsium karbaid hendaklah dibungkus dengan kain atau
kertas sebelum diletakkan di tengah-tengah di sebelah bawah bekas.