Tanaman cili
mengalami banyak masalah dan antara yang penting ialah masalah serangga perosak
dan penyakit. Berbagai-bagai jenis serangga perosak telah dikenalpasti
menyerang tanaman cili pada semua peringkat pertumbuhan.
-
Penyakit:
Klik di sini
untuk penerangan mengenai penyakit tanaman cili!
- Serangga:
- Kutu Daun: Sembur racun serangga chlorphyritfos atau
imidachloprid
- Hamama Merah: Daun yang diserang menjadi kerekot, kecil dan
melengkung ke bawah. Sembur racun
seperti dicofol atau malathion
- Afid:
Menghisap cecair daripada bahagian daun, pucuk dan bunga cili. Serangan
menyebabkan daun
berkerekot dan pertumbuhan pokok muda terbantut. Selain
itu, afid ialah pembawa penyakit virus.
- Kutu Trip:
Menghisap cecair daripada bahagian daun, pucuk dan bunga. Akibatnya daun
menjadi kecil dan
bentuk daun melengkung ke atas. Kutu trip juga boleh
menyebar virus.
- Hama:
Daun yang diserang menjadi kerekot, kecil dan melengkung ke bawah.
- Pengorek Buah:
Membuat lubang besar pada permukaan buah yang diserang.
- Ulat Ratus:
Makan daun dan buah.
- Lalat Buah:
Bertelur di kulit buah. Larva merosakkan bahagian dalam buah mengakibatkan
buah menjadi
busuk dan berair.
Untuk pengawalan
yang berkesan, pada peringkat semaian, benih cili hendaklah disemai di dalam
rumah jaring kalis serangga. Tujuannya ialah untuk menghalang serangan
serangga perosak seperti afid daripada menyebar penyakit virus dan juga
serangga-serangga lain yang boleh merosakkan tanaman cili. Ini penting
kerana anak-anak benih cili yang hendak diubah ke ladang mestilah sihat.
Anak-anak benih yang dijangkiti virus tidak boleh dipulihkan semula.
Tambahan pula anak-anak benih cili yang dijangkiti virus pada peringkat semaian
sukar dikenalpasti kerana simptomnya tidak jelas seperti pada pokok dewasa.
Di ladang,
batas-batas mestilah disungkup dengan plastik bersinar. Pantulan cahaya
daripada plastik bersinar ini mampu menghindarkan dan mengurangkan afid bersayap
dan juga kutu trip hinggap pada tanaman cili. Ini amat penting terutama
pokok sekurang-kurangnya sehingga minggu ke -5 selepas diubah ke ladang.
Peringkat ini dianggap kritikal kerana jika jangkitan virus berlaku hasil akan
berkurangan sebanyak 30% hingga 60%.
Disamping mengawal
afid dan mengurangkan kejadian penyakit virus, penggunaan sungkupan plastik
bersinar juga memberi beberapa kebaikan seperti:-
- Membantu mengawal rumput-rumpai dan mengurangkan kos merumput;
- Mengekalkan kelembapan tanah dan menstabilkan suhu tanah;
- Menghalang hakisan baja oleh pengaliran air dan hujan.
- Cahaya yang dipantul oleh sungkupan plastik bersinar boleh meningkatkan aktiviti stomata dan fotosintesis.
Akan tetapi,
selepas minggu ke-5 sebahagian besar permukaan plastik akan dilindungi oleh
rimbunan pokok cili. Oleh itu, pantulan cahaya semakin berkurangan untuk
menghalang hinggapan afid bersayap dan kutu trip. Selepas tempoh ini,
dicadangkan supaya racun serangga terpilih yang berkesan digunakan dan disembur
apabila perlu sahaja. Seelok-eloknya setiap semburan diulang selepas 7
hari sehingga masalah perosak dapat diatasi.
Pada peringkat
berbuah pula, jika tidak diawasi dengan teliti buah-buah cili boleh dirosakkan
oleh perosak buah dan lalat buah. Racun perosak terpilih yang berkesan
boleh digunakan mengikut peraturan yang disyorkan bagi mengurangkan kerosakan
oleh perosak-perosak tersebut. Perkara penting yang perlu dipatuhi bagi
penyemburan semasa peringkat berbuah ialah hasil hanya boleh dituai selepas 7
hari penyemburan dilakukan.
Pengawalan dengan
menggunakan musuh semula jadi tanaman cili seperti kumbang, kura-kura, lalat
sirfid dan kutu sibur-sibur juga boleh diamalkan. Serangga-serangga ini
gemar makan afid manakala bakteria Bacillus thuringiensis digunakan untuk
mengawal serangga-serangga perosak seperti ulas pengorek buah dan ulat ratus.
Bagi petani yang
ingin mengusahakan penanaman cili secara kecil-kecilan, sistem tanaman berbilang
seperti selingan antara cili dengan jagung boleh diamalkan. Sistem ini
berupaya mengurangkan kira-kira 60% afid bersayap dan boleh mengurangkan
kejadian penyakit virus sebanyak 50-60% tanpa semburan racun serangga.
Sistem ini menggalakkan kehadiran kumbang kura-kura yang makan afid pada jagung.
Secara tidak langsung, kumbang kura-kura ini juga akan memusnahkan afid yang ada
pada tanaman cili. Bagi petani yang ingin mengusahakan penanaman cili
secara sistem selingan antara jagung dengan cili, perlu diingat bahawa tanaman
jagung mestilah ditanam 3 atau 4 minggu lebih awal sebelum anak benih cili
diubah ke ladang, tetapi sistem ini kurang sesuai untuk penanaman secara
komersial kerana terdapat masalah dalam operasi penjenteraan.
Selain amalan
pencegahan dan pengawalan perosak, penanam cili harus sedar bahawa spek
pengurusan tanaman seperti pengairan dan pembajaan juga penting bagi menentukan
pengeluaran hasil yang tinggi dan bermutu.
MEMUNGUT HASIL
(1) Di Ladang
Cili boleh dipetik 8 minggu selepas diubah
ke ladang. Pungutan hasil dibuat setiap 3 atau 4 hari. Anggaran
hasil dari kawasan 50 m (400 kaki) persegi ialah 100 - 200 kg.
-
Cili HIjau
Harga ialah antara RM4.00 ke RM6.00.
Pendapatan (kasar ialah antara RM400.00 ke RM1,200.00.
-
Cili Merah
Harga ialah antara RM5.00 ke RM8.00.
Pendapatan kasar ialah antara RM50.00 ke RM1,600.00
(2) Dalam Pasu dan Bekas-Bekas
Lain
Mulalah memetik buah 12 minggu selepas
ditanam. Anggaran hasil ialah 0.8 hingga 15 kg sepokok.