|
PANDUAN MENANAM JAMBU
(Jambu Semarang,
Jambu Air dan
Jambu Batu)
-
JAMBU SEMARANG
(JAMBU MADU)
Antara jambu yang sedang meningkat
popular ialah jambu air mawar atau jambu semarang (syzygium samarangense).
Dikalangan pengusaha, jambu ini dikenali sebagai "jambu madu". Terdapat
sekurang-kurangnya empat jenis jambu semarang yang telah dibawa masuk dari Indonesia dan Thailand. Jambu semarang
berasal dari Malaysia dan telah tersebar hingga ke Pulau Andaman. Pada
masa ini banyak yang ditanam di Indonesia, Thailand dan Taiwan. Buahnya
dimakan segar dan ternyata lebih bermutu daripada jambu air.
Ciri Pokok:
Pokok jambu
semarang sederhana besar mencapai 12 m tinggi, bercabang rendah dengan sistem
percabangan yang terbuka. Kulit batang berwarna kemerahan dan tanggal
menjadi kepingan-kepingan halus. Daunnya licin di kedua-dua permukaan,
berbentuk elips atau lanseolat. Pangkal daun tirus sedikit, urat daun
kira-kira 12 pasang, melengkung ke dalam iaaitu kira 0.6 cm dari tepi daun.
Daun bertangkai pendek, panjangnya hanya kira-kira 0.5 cm tetapi jelas.
Jambak bunga berbentuk sima, dikeluarkan di hujung dan di celah-celah ranting
berdaun yang kecil dan melentuk. Setiap jambak bunga mengandungi 3-6
kuntum bunga. Bunganya berwarna putih atau berkrim pucat dan tidak berbau.
Buah jambu
semarang berbentuk panjang tetapi lebar di hujung, berukuran 3-8 cm panjang dan
5 cm lebar. Hujung buah berongga dan diliputi oleh empat cuping yang
melengkung ke dalam. Kulit buah nipis, licin, berkilat dan berwarna hijau
muda atau putih tetapi ada juga yang berwarna merah. Isinya berwarna
kehijauan atau putih, agak kering dan rapuh. Rasanya manis dan
kadang-kadang kelat sedikit. Jambu semarang tidak bermusim.
Bagaimanapun, puncak pengeluaran buah ialah dua kali setahun, iaitu pada bulan
Mei-Julai dan bulan Ogos-September.
Pembajaan:
Jambu semarang
tumbuh dengan cepat dan kerap berbuah. Oleh itu, tanaman ini memerlukan
pembajaan yang agak kerap dan teratur. Baja diberi pada peringkat
pertumbuhan tampang dan selepas buah dipetik. Membaja sepanjang pembungaan
dan pembentukan putik buah patut dielakkan. Selain baja kimia, baja
organik sama ada tahi ayam, tahi arnab atau tahi lembu sesuai digunakan.
Baja organik bukan sahaja membekalkan nutrien kepada pokok secara perlahan
tetapi juga membaiki keadaan tanah. Satu beg (20 kg) baja organik hanya
diletakkan di pangkal pokok setiap 6 bulan.
Cantasan:
Pokok jambu
semarang perlu dibentuk dengan mencantas. Pada peringkat awal, cantasan
dilakukan untuk membentuk kanopi yang seimbang, kukuh dan memudahkan buah
dipetik. Cantasan awal dibuat apabila beberapa cabang utama terbentuk
hampir pada aras tanah. Cabang-cabang dicantas hingga meninggalkan tiga
cabang yang besar dan kukuh supaya memberi keseimbangan pada kanopi pokok.
Cantasan seterusnya hanya membuang tunas-tunas air yang tumbuh tegak pada dahan
dan cabang kecil. Ranting-ranting atau dahan berpenyakit juga perlu
dibuang dari semasa ke semasa.
(Sila lihat panduan mencantas/ pemangkasan
pokok).
Kawalan musuh dan penyakit
Penyemburan racun
serangga perlu untuk menentukan daun-daun sentiasa sihat dan tidak dimakan ulat.
Ulat pemakan daun sering didapati ialah ulat beluncas kupu-kupu. Ia
selalunya bersembunyi di sebalik daun pada waktu siang. Akan tetapi pada malam
hari, ia memakan daun, tunas dan daun muda serta tunas bunga. Pokok perlu
disembur dengan racun serangga sebaik-baiknya racun serangga jenis cypermethrin
seminggu sekali atau malathion 2 minggu sekali. Penyemburan perlu
dihentikan apabila tanaman sedang berbuah. Penyemburan yang akhir perlu
dibuat pada peringkat putik bunga untuk memastikan tiada serangga bertelur pada
bunga. Pada peringkat pembetukan dan pembesaran buah, putik-putik buah
dibungkus untuk mengelakkan serangan serangga dan burung. Perosak yang paling
bahaya ialah lalat buah.
Pengeluaran hasil:
Pokok jambu
semarang cepat mengeluarkan hasil. Pokok daripada keratan mula berbunga
dan buah 1 1/2 - 3 tahun selepas ditanam. Jenis hijau panjang mula berbunga
1 1/2 tahun selepas ditanam. Jenis merah besar 2 tahun manakala jenis
tempatan 2 1/2 tahun selepas ditanam.
Hasil di peringkat
awal rendah, dan tempoh 1 1/2 - 3 tahun ini boleh dianggap sebagai fasa peralihan
dari fasa tampang ke fasa pembiakan. Pada tahun pertama, hasil buah hanya
3-5 kg/pokok. Hasil mula meningkat pada tahun kedua dan ketiga sehingga
10-20 kg dan mula stabil pada tahun keempat apabila hasil buah mencapai 50 kg.
Pokok yang dijaga dengan sempurna boleh menghasilkan 100 kg buah sepokok, 4
tahun berikutnya.
Jambu perlu
dibalut untuk mendapatkan buah yang bermutu tinggi. Masa yang paling
sesuai untuk membalut buah ialah apabila kesemua kelopak bunga dan debunga telah
gugur. Untuk mendapatkan buah yang besar, putik perlu dijarangkan sehingga
4-6 biji setangkai. Amalan ini juga akan mengelakkan keguguran buah yang
banyak. Bahan pembalut plastik sesuai digunakan. Ia ditebuk lubang
di bahagian bawah supaya air hujan tidak bertakung. Air yang berkumpul
dalam plastik perlu dibuang dari semasa ke semasa untuk mengelakkan keadaan
lembap dan pertumbuhan kulat. Kertas surat khabar boleh juga digunakan.
Akan tetapi keadaan gelap akan menghilangkan warna buah dan kelihatan kurang
menarik. (Sumber: Majalah
Agromedia Bil. 5/1999).
-
JAMBU BATU (Psidium Guajava)
Nama saintifik : Psidium guajava, Linn.
Nama biasa : Biawas, Jambu Batu
Keluarga : Myrtaceae
Merupakan tanaman jangka panjang. Berasal dari tropika Amerika Selatan.
Buah jambu mengandungi kandungan vitaman C 3 kali ganda lebih tinggi
daripada buah oren, dua kali ganda lebih tinggi daripada buah betik dan sepuluh
kali ganda lebih tinggi daripada buah pisang. Kebanyakan vitamin C
didapati di bahagian kulit dan mesokarpa buah. Secara amnya jenis buah
yang berisi merah mengandungi vitamin C yang lebih tinggi berbanding buah yang
berisi putih. Buah jambu batu mengandungi bebeapa jenis gula seperti
fructose, D-gulose dan sucrose dimana kandungannya masing-masing adalah 3.4%,
2.8%, 0.3%. Kandungan gula didapati bertambah semakin buah membesar, dan
akan diganti dengan sucrose apabila buah masak.
Kultivar yang
disyorkan
Kultivar-kultivar yang disyorkan untuk penanaman komersil seelok-eloknya
merangkumi semua ciri seperti berikut:-
- saiz buah melebihi 7 cm garis pusat
- penghasilan yang tinggi dan konsisten
- aroma dan perasa yang baik
- isi yang manis hingga sedikit berasid
- tekstur buah yang rapuh
- isi yang pejal
- sedikit atau tanpa biji
- isi berwarna merah jambu
- pokok rintang kepada musuh dan penyakit
KLON-KLON DAN CIRI-CIRI KULTIVAR YANG DISYORKAN:
-
GU 8
Varieti ini popular dengan nama Kampuchea. Berasal dari Kampuchea dan
didaftarkan pada 30 Jun 1984. Jambu Kampuchea mengeluarkan buah yang besar
(450-750 gm sebiji). Berbentuk bujur dan berwarna hijau muda kekuningan.
Isinya putih, sederhana tebal dan rapuh. Rasanya masam manis dan
mengandungi banyak biji.
-
GU 9
Jambu ini dikenali dengan nama 'Klom Toon Klao' berasal dari Thailand dan
didaftarkan pada 30 Ogos 1985. Buah bersaiz sederhana hingga besar,
berbentuk bujur, berbonggol pada hujung buah dan permukaan buah kasar.
Kulit berwarna hijau muda. Isinya putih, rasanya manis dan rapuh.
Kandungan biji adalah sedikit.
-
GU 10
Jambu bernama 'Klom Sali' berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 30 Ogos
1985. Buah bersaiz sederhana besar (300-600 gm sebiji) dan berbentuk
hampir-hampir bulat. Kulit berwarna hijau muda, isi berwarna putih,
sederhana tebal, rapuh dan rasanya manis. Kandungan bijinya sederhana.
Faktor Iklim
Suhu tinggi (27-28oC)
dengan taburan hujan yang tinggi dan seragam sebanyak 2,500 mm setahun didapati
amat sesuai. Taburan hujan yang mencukupi akan memberi kesan yang baik
kepada tumbesaran vegetatif pokok; manakala hujan yang lebat dan berpanjangan
akan menjejaskan pengeluaran bunga dan pembetukan buah. Secara amnya,
pokok jambu batu memerlukan tekanan kekurangan air yang singkat untuk
merangsangkan berbunga.
Di Malaysia
terdapat dua musim kering iaitu pada bulan Januari-Mac dan bulan Jun-Julai.
Musim kering ini akan mempengaruhi penghasilan buah jambu batu. Pada musim
kemarau, pengairan adalah mustahak untuk menjamin tumbesaran dan penghasilan
yang baik. Faktor-faktor tanah dan kesesuaiannya adalah seperti berikut:-
|
Sifat |
Sesuai |
Sederhana Sesuai |
Kecerunan
Saliran
Kedalaman tanah yg berkesan |
0-12
darjah
Tak sempurna
>75 cm |
12-20
darjah
Agak sangat salir
50-75 cm |
|
Tekstur dan struktur |
Bertekstur lom berpasir atau halus dan berstruktur halus
ke sederhana. |
Berstruktur kasar dan lemah. |
Kemasinan
Kedalaman lapisan asid sulfat
Ketebalan gambut
|
> 1
mmhos
> 75 cm
Tiada gambut
|
1-2
mhos
50-75 cm
< 25 cm
|
|
Keberbatuan |
<
25%, tersebar sama rata
atau terdapat di bawah kedalaman 75 cm |
25-75% |
|
Ketidak seimbangan nutrien |
Tiada
kandungan nutrien
mikro yang berlebihan
atau CEC sederhana rendah. |
CEC
sederhana rendah. |
Penyediaan Tanah
Pembajakan sedalam 30 cm dijalankan
sekali sahaja mengikut barisan yang hendak ditanam. Barisan digemburkan
dengan pemutar. Bagi kawasan-kawasan yang mempunyai paras air yang tinggi,
parit-parit ladang hendaklah dibina antara dua barisan pokok. Gerudi tanah
berukuran 30 cm digunakan untuk membuat lubang sedalam 30 cm.
Penyediaan Benih
Tanaman
Pembiakan boleh dijalankan sama ada melalui biji atau secara tampang.
Kaedah pembiakan melalui biji tidak disyorkan kerana menimbulkan masalah
ketulenan baka. Kaedah tut dan cantuman lebih diutamakan kerana
tumbesarannya cepat.
Pembiakan Secara
Tut
Pucuk
muda yang sihat dan segar bersaiz 1-2 cm garis pusat dipilih. Kulit
sekeliling batang pucuk selebar 2-3 cm dipotong dan ditanggalkan, disapu dengan
ubat pengggalak akar dan ditutup dengan tanah. Pembalutan dibuat dengan
plastik politena dan kedua-dua bahagiannya diikat. Akar akan keluar dalam
masa 4-6 minggu. Bahagian bawah tut dipotong dan diubah ke dalam beg
politena yang mengandungi tanah campuran (3:1:1) yang steril. Pokok tut
sesuai diubah ke ladang dua ke tiga bulan kemudian. (Sila
lihat panduan mengetut pokok).
Pembiakan Secara
Cantuman
Cantuman dilakukan apabila pokok penanti berumur 3 bulan atau garis pusat batang
pokok sebesar batang pensil. Kulit batang pokok selebar 1.0 x 3.0 cm
dituris dan kulit ditanggalkan dari atas. Satu kepingan mata tunas
daripada klon terpilih diselit masuk ke dalam tapak cantuman dan diikat dengan
pita plastik. Pita plastik dibuka 3 minggu kemudian dan bagi cantuman yang
berjaya, pokok penanti dicantas 4-5 cm di atas tapak cantuman untuk menggalakkan
pemecahan dan tumbesaran tunas. Pokok cantuman berumur 2-3 bulan sesuai
untuk diubah ke ladang. (Sila lihat panduan
cantuman pokok dan
juga pemangkasan pokok).
Penanaman di Ladang
Dilakukan pada awal musim hujan dan
hanya pokok benih yang sihat dan segar sahaja digunakan. Sebanyak 5 kg
baja organik, 100 gm baja fostat dan 250 gm kapur dicampurkan ke dalam lubang.
Pokok benih dimasukkan dalam lubang, ditimbus dengan tanah dan kemudian
dipadatkan sehingga menjadi busut kecil. Setiap anak pokok hendaklah
diikat pada kayu sokongan berukuran satu meter tinggi dan diberi sungkupan.
Penyiraman dilakukan setiap hari sekiranya tidak hujan. Jarak tanaman yang
disyorkan ialah 4m x 4 m dan jarak ini memberikan kepadatan sebanyak 625 pokok
sehektar.
Pemangkasan
Pemangkasan merupakan satu operasi
pengurusan yang penting. Ia dilakukan dengan beberapa tujuan seperti
berikut:-
- membentuk dan mengawal tumbesaran pokok
- mengawal pengeluaran bunga
- memperbaiki sistem pengudaraan pokok
- menambah kemasukan sinaran matahari
- memudahkan kerja-kerja pengurusan
- mengawal serangan musuh dan penyakit
Pemangkasan Pembentukan
Dilakukan pada peringkat awal
tumbesaran pokok untuk mengwujudkan satu rangka pokok yang baik. Anak
pokok tut yang mempunyai 2-3 dahan primer dicantas pada paras 0.5 meter panjang
untuk mengelakkan pertumbuhan dahan-dahan sekunder. Pada setiap dahan
primer, 3 atau 4 dahan sekunder yang seimbang dikekalkan untuk memberi rangka
pokok. Bagi anak pokok cantum, batang utamanya dicantas pada paras 0.5
meter dengan tujuan menggalakkan pertumbuhan dahan-dahan sekunder. Dari
2-3 dahan sekunder dipilih, cantasan dilakukan sekali lagi pada paras 0.5 meter
untuk menggalakkan pertumbuhan dahan-dahan tertier. Kekalkan 3 atau 4
dahan tertier pada setiap dahan sekunder.
(Sila lihat panduan pemangkasan pokok!)
Pemangkasan
Pengurusan
Dilakukan secara berterusan
dengan tujuan menjaga kesuburan pokok. Dahan dan ranting-ranting yang
bersilang, berpenyakit, mati, lemah dan yang tidak diperlukan hendaklah
dicantas. Pemangkasan ini juga dilakukan untuk mengawal pertumbuhan
vegetatif pokok dan secara tidak langsung mempengaruhi musim pembungaan.
Selepas musim buah, ranting-ranting dahan tertier dicantas pada paras 25-30 cm
untuk mengggalakkan pengeluaran pucuk-pucuk baru. Daripada pucuk-pucuk
ini, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun kedua hingga daun keempat.
Hujung pucuk kemudian dipotong untuk mempercepatkan tumbesaran pokok.
Untuk memudahkan kerja-kerja pengurusan, ketinggian pokok dikawal pada tahap
ketinggian 1.8 meter. (Sila
lihat panduan pemangkasan pokok!)
Pemangkasan
Pemulihan
Dilakukan apabila pokok-pokok
telah tua dan tidak lagi produktif. Ianya dilaksanakan dengan mencantas
dahan-dahan tertier supaya digantikan dengan pucuk-pucuk yang baru.
(Sila lihat panduan pemangkasan pokok!)
Pembajaan
Untuk menjamin tumbesaran
pokok dan penghasilan yang optimum, pembajaan hendaklah dilakukan dengan cara
yang berkesan pada kadar dan masa yang tepat berasaskan peringkat dan corak
tumbesaran pokok.
Pengurusan Air
Keperluan air adalah faktor
utama untuk meningkatkan pengeluaran hasil jambu batu dan tumbesaran pokok.
Dengan adanya pengurusan air yang berkesan, pengeluaran hasil dapat
dipertingkatkan dan kematian pokok terutamanya di peringkat awal pertumbuhan
dapat dikurangkan.
Penjarangan dan
Pembalutan Buah
Selepas musim buah dan selepas
pemangkasan dibuat, bunga akan terbentuk pada celah-celah daun pucuk baru.
Pada kebiasaannya terdapat 1-3 putik buah pada satu tangkal. Untuk
memperolehi saiz buah yang besar, penjarangan putik buah digalakkan, iaitu
dengan meninggakan hanya satu putik sahaja pada satu tangkai. Pembalutan
buah dengan beg kertas merupakan satu amalan yang penting dalam pengurusan
tanaman buah jambu batu. Selain daripada memberi perlindungan daripada
serangan lalat buah, buah yang telah dibalut juga didapati lebih bersih dan
menarik. Pembalutan dilakukan apabila buah mencapai saiz sebesar telur
ayam.
KAWALAN PEROSAK JAMBU BATU DAN JAMBU AIR MADU :
Nematod (Meloidogyne incognita)
Pokok-pokok yang diserang kelihatan tidak segar dan terbantut.
Kanopi pokok menjadi jarang dan daun-daun menjadi kekuningan. Buah menjadi
kecil, mencapai kematangan dalam masa yang singkat dan warnanya kelihatan pudar.
Kulit batang tidak mengelupas. Pemeriksaan sistem akar menunjukkan akar
menjadi bengkak dan berubah warna. Serangan yang teruk, menjadikan akar
tunjang dan akar sisi akan kelihatan bengkak dan pecah-pecah. Tabur racun
seperti carbofuran atau fenamiphos dan guna bahan tanaman yang bebas daripada
nematod, khasnya dalam penyediaan anak benih dan tanah yang digunakan dalam beg
potena perlu steril.
Lalat Buah
(Bactrocera dorsalis)
Larva mengorek ke dalam isi
buah dan menyebabkan kerosakan. Kutip buah-buah yang kena serang dan tanam
dalam tanah, balut buah-buah muda dengan beg kertas, sembur setempat
dengan umpan protien seperti promar yang dicampur dengan malathion. Sembur 40 ml
campuran promar pada tiap-tiap pokok dan ulangi semburan lima hari sekali dari
peringkat berputik hingga buah dipetik. Perangkap lalat buah jantan dengan
mengumpan dengan pemikat methyl eugenol.
Kutu
Trip (Selenothrips rubrocintus, Scirtothrips dorsalis)
Perosak ini biasanya merosakkan lapisan permukaan buah dan meninggalkan
kesan calar dan bersinar. Serangan menjadi serius pada musim kemarau dan
di kawasan yang baru ditanam. Semburan liputan secara menyeluruh perlu
dilakukan apabila terdapat kesan serangan. Racun-racun seperti bendiocarb dan
biomopropylate adalah berkesan.
Kepinding Nyamuk (Helopeltis
theobromae)
Serangan menyebabkan luka yang kecil, berwarna hitam dan bentuknya berubah
mengikut masa. Serangan pada buah menyebabkan luka berlekuk ataupun
keruping berkarat. Pucuk muda yang diserang akan menjadi layu dan mati.
Lakukan pemangkasan dan sembur racun seperti deltamethrin dan cupermethrin.
Koya-koya (Ferisiana virgata,
Pseudococcus citriculus dan Planacoccus paciffus)
Serangga pada peringkat dewasa dan peringkat nimfa menghisap cairan pokok dan jika
populasinya tinggi, pertumbuhan kulapuk hitam akan berlaku dan seterusnya
mengurangkan mutu buah. Sembur campuran minyak putih dan racun serangga
dan kawal semut yang memakan manisan dengan menyembur cypermethrin pada batang
dan bahagian pangkal pokok.
Bena Putih (Aleurotuberculatus
canangae,
A. Cheracensis, A.psidii, A. dispersu, dialeurodes psidii)
Bena putih dewasa dan nimfa menghisap cairan pokok, khasnya dibawah permukaan
daun dan mengeluarkan manisan yang mengakibatkan kulapuk hitam. Sembur
dengan racun seperti deltamethrin dan permethrin .
Ulat Pemakan Daun (Attacus atlas,
Odenestis vita sp,
Spilonota sp, Strepsicrates spp.)
Ulat ini membuat sarang pada daun yang belum terbuka dan merosakkan daun dan
pucuk muda. Sembur racun serangga seperti cypermethrin, permethrin dan
trichlorphon sekiranya serangan serius. Semburan mingguan disyorkan untuk
mencapai kawalan yang berkesan.
PENYAKIT
DAN CARA KAWALANNYA :
Penyakit Keruping Buah - Scab (Pestalotiopsis psdii)
Bermula dengan bintik-bintik kecil dan membesar menjadi tompok sebesar
1-3 mm, berbentuk bulat dan berwarna perang kehitaman. Apabila buah
membesar, bahagian epidermis buah di sekeliling keruping akan terkoyak dan
timbul manakala bahagian tengahnya menjadi lekuk. Gunakan racun kulat yang
mengandungi kuprum atau zink.
Reput Akar dan Pangkal
(Phythophthora nicotianae)
Batang dan akar menjadi reput. Batang mengeluarkan damar, daun
kekuningan dan gugur. Guna pokok peranti yang rintang. Kikis
bahagian kulit dan sapu racun kulat seperti meta laxyl atau fosetyl aluminium
dan guankan saliran yang baik.
Penyakit Stylar - End Ring Rot
(Phomopsis psidii Nag Raj & Ponnapa)
Bermula dengan bintik-bintik nektrorik di sebelah bawah buah kerana spora-spora
dibawa turun oleh air hujan. Bintik-bintik menjadi hitam, membesar dan
bercantum dengan melingkari buah hingga boleh merebak ke dalam buah dan ke
bahagian biji. Sembur dengan racun kulat perlu dilakukan sebelum
pembungkusan buah dijalankan. Amalkan pembersihan ladang untuk
mengurangkan sumber penyakit dan kelembapan yang tinggi.
Kawalan
Rumpai:
Kawal rumpai secara manual dengan
menggunakan racun rumpai terutama di kawasan yang luas dan peringkat pokok di
mana umur melebihi dua tahun di ladang. Semasa semburan dilakukan,
tindakan berhati-hati perlu diambil supaya tidak terkena pada pokok jambu dan
memberi kesan pada fitotoksik.
Indeks Kematangan Jambu Batu:
Indeks warna 1 |
: |
Keseluruhan buah hijau gelap |
| Indeks warna 2 |
: |
Buah berwarna hijau muda berkilat |
| Indeks warna 3 |
: |
Buah berwarna lebih hijau daripada kuning |
| Indeks warna 4 |
: |
50% bahagian buah berwarna hijau dan 50% kuning |
| Indeks warna 5 |
: |
Buah berwarna lebih kuning daripada hijau |
| Indeks warna 6 |
: |
Keseluruhan buah berwarna kuning |
| Indeks warna 7 |
: |
Keseluruhan buah berwarna kuning oren |
Pengutipan Hasil:
Pemetikan buah jambu batu dijalankan
dengan menggunakan gunting secateaur. Tangkai buah digunting dan buah
bersama kertas pembalutnya dimasukkan ke dalam baldi plastik. Apabila
penuh, buah-buahan daripada baldi dimasukkan dalam bakul plastik yang besar.
Bakul raga tidak disyorkan kerana berkemungkinan melukakan permukaan tanah.
Pengendalian Lepas Tuai:
Pengendalian di ladang
Suhu yang tinggi di ladang akan menyebabkan buah menjadi kecut kerana kehilangan
air. Buah yang dipetik perlu disejukkan dengan kaedah samada membasahkan
kertas pembalut buah, memetik buah pada waktu yang kurang panas, meletakkan buah
di tempat yang redup, mewujudkan sistem penghantaran buah yang cekap dan memberi
lindungan kepada buah semasa pembungkusan untuk operasi seterusnya.
Pengendalian di pusat pembungkusan
Pusat pembungkusan merupakan tempat khas di mana buah-buah dari ladang
disediakan sebelum dipasarkan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan
termasuklah memilih, membasuh, merawat buah dengan racun kulat, mengering,
membungkus dan penyimpanan. Pengendalian buah yang sebenar bergantung
kepada tujuan pasaran, iaitu sama ada disediakan untuk pasaran tempatan atau
pasaran eksport melalui udara atau melalui kapal.
Proses Pengendalian Lepas Tuai:
Memilih Buah
Kertas pembalut buah yang asal ditanggalkan. Buah yang elok dan tidak
berpenyakit diasingkan untuk operasi seterusnya.
Membasuh buah
Buah dibasuh bersih dari segala kotoran.
Rawatan buah
Buah direndam dalam air yang mengandungi 200 ppm benomyl selama sepuluh minit.
Proses ini diwajibkan untuk buah yang hendak diekport melalui kapal.
Mengering buah
Buah dikering di atas para atau rak.
Menggred Buah
Penggredan dilakukan berasaskan saiz, kesegaran, kebersihan dan rupa bentuk
buah. Saiz buah yang melebihi 400 gm adalah adalah ditafsirkan sebagai
besar, saiz sederhana diantara 350-399 gm dan saiz kecil diantara 300-349 gm.
Membungkus Buah
Buah harus dibungkus untuk memelihara kesegaran buah khasnya untuk tujuan
eksport. Untuk perjalanan kapal, buah sesuai dibungkus dengan politena yang setebal 0.02-0.04 mm, manakala
buah untuk perjalanan udara sesuai dibungkus dengan kertas. Kotak papan
serabut berombak digunakan untuk mengisi buah yang telah dibungkus.
Penyimpanan Hasil
Buah boleh disimpan dalam suhu bilik atau di dalam bilik sejuk mengikut
keperluannya. Untuk pasaran tempatan,. buah jambu batu boleh disimpan
selama seminggu di bawah suhu bilik 26oC
tanpa menjejaskan kualitinya. Untuk penyimpanan yang lebih lama, bilik
sejuk perlu digunakan. Dibawah suhu 20oC,
buah jambu batu boleh disimpan selama 9-10 hari. Di bawah suhu penyimpanan
pada 5oC,
jambu batu klon GU 8 dapat disimpan selama 2-3 minggu, manakala jenis yang tidak
berbiji dapat disimpan selama 5 minggu.
Pengangkutan
Buah-buah yang dipetik akan dibawah ke pusat pembungkusan. Dari pusat-pusat
pembungkusan buah-buahan yang telah dibungkus akan dibawa ke destinasinya.
Rantaian ke
laman-laman Jambu Batu
-
JAMBU AIR
(Sumber: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI
2005).
Masa penuaian jambu air biasanya dikira selepas buah dibungkus.
Pembungkusan buah jambu air di ladang dibuat serentak dengan amalan penjarangan
buah. Bilangan buah setangkai yang dibungkus bergantung pada gred buah
yang dikehendaki. Umpamanya, bagi mendapatkan buah gred AA (saiz melebihi
4 inci panjang) untuk tujuan eksport, putik hendaklah ditinggalkan 3 biji sahaja
bagi satu tangkai. Bagi tujuan pasaran tempatan, buah ditinggalkan antara
4-5 biji setangkai.
Buah jambu air
dibungkus setelah putih buah brumur 3 minggu atau putik telah mencapai saiz
sebesar ibu jari kaki. Putik buah perlu dibungkus dengan beg plastik khas
yang saiznya 20 cm x 30 cm dan mempunyai 6 lubang di bahagian bawahnya.
Buah jambu air akan masak selepas 20-25 hari dari tarikh buah dibungkus.
Tangkai buah
dipotong menggunakan gunting atau sekateur. Buah akan dipetik bersama
dengan beg pembungkusannya sekali. Ini dapat mengelakkan buah tercedera
sewaktu dipungah dan diangkut ke tempat pengumpulan buah. Kebanyakan
penanam menggunakan bakul plastik boleh guna semula untuk mengisi buah jambu air
yang telah dipetik untuk diangkut ke tempat pengumpulan. Biasanya buah
dipetik 3 kali seminggu. Kerja pemetikan dilakukan pada awal pagi sehingga
tengah hari dan buah dibawa ke tempat pengumpulan untuk ditimbang dan digredkan.
Buah biasanya diangkut ke pasaran pada sebelah petang oleh pemborong.
Buah jambu air
sangat mudah tercedera. Oleh itu pengendalian buah termasuk penuaian,
pengisian buah ke dalam bekas, mengangkut, menimbang, menggred dan sebagainya
hendaklah dilakukan dengan secermat mungkin. Penggunaan bekas pengisi juga
perlu diambil kira kerana bekas yang mempunyai tepian yang tajam akan
mencederakan buah.
-
RANTAIAN
LAMAN LAIN-LAIN JAMBU
Sila klik di sini untuk
capaian seterusnya (klik) !
|