|
PANDUAN MENANAM LIMAU
(Tanaman Jangka Panjang)
PENGENALAN:
Limau merupakan
pokok buah-buahan yang berdaun sepanjang tahun dan bersaiz kecil hingga ke
sederhana. Pokok limau mengeluarkan banyak cabang dan ranting, mempunyai
tabiat pertumbuhan dahan dari menegak hingga melempai dan kanopi berbentuk bulat
hingga ke bujur. Pokok limau mempunyai sistem perakaran akar tunjang.
Varieti limau
mandarin mempunyai daun berbentuk 'lanceolate/oblong' dengan tiada pembentukan
kepak (wing) di tangkai daun. Pada kebiasannya daun berwarna daripada
hijau muda ke hijau tua. Pada bahagian daun, terdapat kelenjar-kelenjar
minyak (oil glands) yang mengeluar aroma yang menarik apabila dilipat atau
diramas.
Pokok yang dibiak
secara tampang mula berbunga antara 2-3 tahun selepas ditanam. Bunga
terbentuk secara satu-satu atau secara jejambak di celah-celah tangkai daun pada
ranting-ranting muda. Kebiasaannya bunga mengeluarkan bau yang harum.
Bunga mempunyai 5 kelopak yang berasingan, berwarna putih dan terletak di atas
kalik. Stamennya yang banyak dan bercantum dipangkal biasanya berwarna
puteh dengan hujungnya (anther) berwarna kuning. Stigma pula berwarna
hijau kekuningan dan mempunyai stil yang sama panjang dengan stamen dan
kedua-dua stamen dan stil terdapat di dalam kuntum bunga.
Pendebungaan pokok
limau berlaku secara pendebungaan sendiri. Agen pendebunga ialah serangga
seperti kutu trip, hamama dan lebah madu. Angin juga membantu proses
pendebungaan pokok limau. Stigma bunga berupaya menerima debunga antara
1-3 hari sebelum antesis dan antara 6-8 hari selepas antesis. Enam hari
selepas proses pendebungaan, semua bahagian bunga akan luruh kecuali ovari dan
stil. Ovari akan mula membesar dan stil mulai kering bermula dari bahagian
stigma (101-5 hari selepas antesis).
Biji limau boleh
mengeluar 2 hingga 5 anak benih dan salah satu daripada anak benih tersebut
terbentuk melalui proses seksual
(lihat maksudnya) manakala yang selebihnya dihasilkan melalui
proses aseksual (necellar embryo).
VARIETI LIMAU
Varieti-varieti utama limau
yang ditanam di Malaysia ialah limau jenis kupas (mandarin) dan jenis
potong (sweet orange). Terdapat sekurang-kurangnya lima jenis limau
mandarin yang biasa ditanam. Jenis limau yang biasa di tanam di
dataran rendah ialah Limau Langkat (Citrus suhuiensis). Limau
Langkat dan limau jenis "Kwantung" lebih digemari oleh masyarakat
berbanding dengan limau mandarin jenis lain. Disamping itu, limau
madu atau limau wangi sangat memenuhi citarasa pembeli dan didapati amat
laris dalam pasaran. Ini kerana limau madu mempunyai buah yang
bersaiz besar, rasa yang manis tidak berasid, kandungan jus yang tinggi
dan tidak mempunyai serat dan hampas yang tinggi.
LIMAU MADU (Citrus suhuiensis Hort. ex.Tan)
Sejenis limau Mandarin. Masalah-masalah yang sering dihadapi oleh petani tanaman limau madu ialah
serangan penyakit reput batang phythopthora, penyakit virus tristeza (CTV)
dan penyakit 'greening' atau dikenali juga sebagai penyakit inai daun.
Penyakit reput batang phythopthora dan penyakit virus tristeza dapat
dikawal dengan adanya pokok penanti yang bersesuaian, akan tetapi penyakit
'greening' masih menjadi masalah besar kepada pengusaha tanaman limau madu
yang juga merupakan satu faktor utama kurangnya minat petani dalam
mengusahakan tanaman limau madu di Malaysia.
Kematangan Pokok Limau Madu
Walaupun limau tergolong dalam buah-buahan tidak bermusim, umumnya
terdapat dua musim utama pengeluaran buahnya yang tinggi. Di
Terengganu, musim utama limau madu ialah pada bulan Mac hingga April dan
Oktober hingga November.
Oleh sebab limau madu adalah daripada jenis bukan klimakterik, buahnya
perlu dipetik pada peringkat masak kerana proses pemasakan tidak berlaku
selepas buah dipetik. Penentuan peringkat kematangan buah limau
biasanya berasaskan tarikh bunga kembang, tekstur buah, perubahan warna
kulit, keadaan kelenjar minyak (oil glands) dan uji rasa. Buah limau
madu sesuai dipetik apabila berumur 8-10 bulan selepas bunga kembang.
Apabila matang, kulitnya menjadi lembut terutama pada hujung buah,
kelenjar minyaknya jelas kelihatan, kulit menjadi berkilat dan mudah
dikupas.
Penuaian dilakukan dengan menggunakan gunting atau sekateur. Buah
dipetik dengan cara memohon tangkai yang agak panjang pada kali pertama.
Pada kali kedua tangkai dipotong lebih rapat dengan permukaan buah.
Jika tangkai yang agak panjang dibiarkan pada buah, tangkai tersebut boleh
mencederakan antara satu sama lain semasa berada dalam bekas pengisi
seperti bakul atau kotak. Pemetikan cara merabut atau menarik buah
dengan tangan tidak digalakkan kerana boleh mengoyakkan kulit buah.
Buah yang dipetik seelok-eloknya dimasukkan ke dalam bekas yang mampu
dibawa oleh pemetik dan digalas pada bahu atau pinggang, atau dimasukkan
terus ke dalam bakul atau kereta sorong. Amalan mencampakkan buah
atau membiarkan buah gugur ke permukaan perlu dielakkan kerana ini
menyebabkan buah menjadi lebam.
LIUKAN (Citrus reticulata Blanco)
Berasal dari daerah Liuzhou, China dan sangat popular dengan kulit luarnya
yang bersih serta cantik dengan berwarna oren. Namun warna buahnya
kekal hijau apabila matang jika diusahakan di kawasan tanah rendah dan
mempunyai harga pasaran yang lebih rendah daripada varieti lain.
Varieti limau ini mampu menghasilkan buah yang banyak, tetapi ianya mampu
bertahan untuk beberapa musim sahaja dan perlu diganti. Varieti
limau ini juga mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening' dan juga penyakit
virus tristeza.
CHAOZHOU HONEY MANDARIN (Citrus reticulata Blanco)
Berasal dari daerah Chaozhou, Cina. Menghasilkan buah yang besar
seperti limau madu tetapi mempunyai kandungan jus yang tinggi dan tidak
berasid. Varieti ini tidak sepopular varieti limau madu.
Buahnya berasa tawar jika dituai pad musim hujan dan masalah buah kembung
merupakan masalah utama dan mudah dijangkiti oleh penyakit 'greening'.
KWANTUNG MANDARIN (Citrus reticulata Blanco var.tangerina Hort.ex.Tan)
Ia sangat diminati oleh masyarakat tempatan dan biasanya dibiak secara
cantuman tunas dan limau dari varieti ini sangat mudah dijangkiti oleh
penyakit virus tristeza. Varieti ini mampu menghasilkan buah dalam
kualiti yang banyak sehingga petani perlu melaksanakan proses penjarangan
buah. Hasil mesti dituai pada masa yang tepat, iaitu ketika buah
berwarna oren, dan jika dituai sebelum sampai masanya ianya menghasilkan
buah yang berasa masam dan tidak sesuai untuk dipasarkan.
PONKAN (Citrus reticulata Blanco var.ponki Hort.ex.Tan)
Limau daripada varieti
ini menghasilkan buah yang bermutu tinggi. Varieti ini paling banyak
diusahakan di Cameron Highlands dan kadang-kadang dikenali sebagai
Hokkienkam. Walaupun ia menghasilkan buah yang bermutu tinggi tetapi
hasil tanaman kurang memuaskan berbanding dengan varieti limau yang lain.
LIMAU PURUT
Limau purut berbau lebih kuat
dan tajam. Berasal dari kepulauan Asia Tenggara, ia merupakan
tumbuhan herba yang mula mencipta nama. Pokoknya mudah dikenali dari
struktur daunnya yang berwarna hijau pekat dan berbentuk seperti nombor
lapan. Buah limau purut juga boleh dibezakan dengan mudah kerana
buah yang matang berwarna kuning, berbentuk seperti buah pir dan kulitnya
menggerutu. Pokok ini hidup subur di kawasan yang mempunyai pancaran
cahaya matahari yang kuat, tidak memerlukan naungan dan boleh hidup selama
beberapa tahun. Lazimnya buah limau purut tidak mengeluarkan jus
yang banyak tetapi setitis jusnya setanding dengan 10-15 titis bau dan
rasa masam jus limau nipis. Nama lain bagi limau purut (Citrus
hystrix) ialah limau kaffir dan 'leech lime'.
Daun limau purut telah lama digunakan sebagai bahan perubatan dan masakan. Bau dan rasa ini
tidak boleh didapati daripada daun limau yang lain. Daun limau purut
juga pernah digunakan untuk menambah rasa ruak atau arak beras.
Limau purut mengandungi beberapa minyak pati yang mempunyai nilai ubatan
yang tinggi antara alfa, beta-pinena, sitronelal, neral dan limonena.
Kajian terbaru menunjukkan ekstrak daun limau purut mempunyai sifat
antipertumbuhan kuman, boleh menghalang pembesaran sel kanser, mengurangkan tanda-tanda alahan, mengurangkan tekanan darah tinggi dan
menaikkan nafsu makan.
LIMAU BALI
(Citrus grandis (L) Osbeck)
Limau Bali adalah buah yang
terbesar dalam kumpulan citrus. Ia berasal dari kawasan Asia
Tenggara terutamanya Indonesia, China dan Thailand. Di Malaysia,
limau ini dikenali juga sebagai Limau Besar atau Limau Betawi.
Sila klik di sini untuk mendapatkan
panduan menanam dan penerangan seterusnya - klik !
LIMAU NIPIS (Citrus Aurantifolia)
Sila klik di sini untuk mendapatkan
panduan menanam dan penerangan seterusnya - klik !
LIMAU LANGKAT (Citrus suhuiensis)
Sejenis Limau Mandarin.
Penerangan lanjut mengenai limau ini adalah dalam format pdf. Sila
klik di sini untuk mendapatkan panduan menanam dan penerangan seterusnya -
klik !
Penghasilan Buah:
Pokok limau langkat yang dibiak secara tampang, sama ada secara cantuman
atau tut akan mengeluarkan hasil selepas 2-4 tahun ditanam di ladang.
Limau Langkat dan limau madu berpotensi mengeluar hasil daripada 8 tan/ha.
pada tahun ke empat sehingga 24 tan/ha. pada tahun ke enam dan seterusnya.
Tempoh jangka hayat ekonomik untuk kebanyakan jenis limau ialah antara
15-20 tahun.
Musim Buah:
Limau langkat adalah pokok buah yang tidak bermusim tetapi mempunyai musim
utama pengeluaran buah (bulan Oktober hingga November dan bulan Mac hingga
April).
Kematangan Buah:
Cara yang biasa digunakan bagi menentukan tahap
kematangan buah limau langkat ialah berdasarkan perubahan warna kulit,
saiz dan ketumpatan buah. Buah limau mencapai tahap matang apabila
warna kulit berubah daripada hijau kepada sedikit kekuningan.
Kebiasaannya buah limau langkat matang dalam masa 8 1/2 bulan dan 9 1/2
bulan bagi limau madu selepas bunga kembang dan boleh dipetik.
Apabila matang, kulitnya menjadi lembut dan senang dikupas.
Pengutipan Hasil:
Pengutipan hasil biasanya dilakukan menggunakan gunting bagi mengelakkan
kecederaan mekanikal kepada buah. Buah hendaklah dipotong
bersama-sama dengan tangkainya sepanjang antara 3-5 cm. Buah-buah
yang dipetik biasanya diisi ke dalam bekas atau bakul rotan kecil yang
dilapik daun limau supaya tidak cedera.
Pengendalian Pascatuai:
Pengendalian dan pengangkutan di ladang
Pengangkutan dari ladang ke pusat
pengumpulan atau ke pusat
pembungkusan/pemprosesan boleh dilakukan dengan kereta sorong, treler atau
kaedah lain bergantung kepada saiz ladang. Penghantaran ke pusat
pengumpulan atau ke pusat pembungkusan/pemprosesan perlu dijalankan dengan
cepat bagi mengawal penurunan mutu dan kerosakan yang tinggi.
Pengedalian di rumah pembungkusan (pemilihan,
pembasuhan,
pengeringan, penggredan, pembungkusan, penyimpanan)
Di rumah
pembungkusan buah limau akan
melalui beberapa proses sebelum sampai kepada pengguna iaitu pemilihan,
pembasuhan, pengeringan dan penggredan.
Pengedaran dan pengagihan (penjualan)
Kebanyakan buah limau yang dihasilkan adalah untuk pasaran
tempatan dan diedar melalui pengangkutan jalan darat.
LIMAU BALI MELOMAS
Varieti : KK 2 (Melomas), PO 51 (Sha Thing), PO 52 (Tambun).
Sila klik di sini untuk mendapatkan panduan
menanam dan penerangan seterusnya - klik !
PEMBAJAAN DAN PENGAPURAN
Tanaman limau memerlukan
pembajaan yang teratur dan sempurna untuk mendapatkan hasil yang maksima
dan berkualiti. Tanaman limau memerlukan baja hanya selepas ia mula
tumbuh. Baja semburan boleh disembur tiga atau empat kali setahun.
Keadaan tanah yang berasid menyukarkan penyerapan elemen-elemen seperti
boron (B) dan mengnesium (Mg) oleh akar tanaman limau. Keadaan tanah
yang kurang baik dan kadar larut resap yang tinggi menyebabkan penggunaan
baja dalam kualiti yang besar.
Bagi kompaun (15:15:15) dan
12:12:17 + TE) boleh diberi pada kadar 3 atau 4 kali setahun, berdasarkan
umur pokok limau. Disamping itu, tanaman limau juga memerlukan
pengapuran (magnesium limestone) dan kadarnya berdasarkan kepada umur
pokok limau tersebut. Selain baga kompaun dan pengapuran, tanaman
limau juga memerlukan baja organik seperti tahi ayam pada kadar 2-4
kg/sepokok/setahun.
Umur pokok
(tahun) |
Baja Kompaun
NPK (15:15:15) (g) |
Magnesium
Limestone (g) |
|
1 |
133 |
20 |
|
2 |
326 |
50 |
|
3 |
606 |
90 |
|
4 |
907 |
136 |
| |
Baja Kompaun
NPK (12:12:17 + TE)(kg) |
Magnesium
Limestone (g) |
|
5 |
1.5 |
182 |
|
6 |
1.5 |
182 |
|
7 |
1.5 |
182 |
|
8 |
2.0 |
227 |
|
9 |
2.0 |
227 |
|
10 |
2.0 |
227 |
|
10-15 |
2.6 |
318 |
|
15-20 |
3.0 |
364 |
Disamping itu, tanaman limau
juga agak sensitif terhadap kekurangan elemen-elemen miktro seperti zink,
magnesium dan lain-lain. Untuk mengatasi masalah ini, baja semburan
yang mengandungi elemen-elemen ini perlu disembur pada kuantiti yang cukup
untuk menentukan hasil yang maksima. Jadual di bawah menunjukkan
elemen-elemen mikro dan kuantiti yang diperlukan oleh tanaman limau untuk
hasil yang optima.
|
Elemen |
Kadar |
|
Zink |
1.5
g zink sulfate dengan kalsium hidroksida dalam satu liter air. |
|
Molybdenum |
0.06 g sodium molydbdate / satu liter air. |
|
Magnesium |
3.0
g metallic sulfate dengan 1 g. kalsium hidroksida / satu liter air. |
|
Boron |
0.25 g. soluble borate. |
Baja untuk tanaman limau boleh
ditabur pada jarak 30-60 cm daripada cabang terluar pokok tersebut ataupun
baja boleh juga ditanam ke dalam lubang sedalam 15 cm di sekeliling pokok
tersebut.
PROSES PENYEDIAAN BAHAN TANAMAN SECARA CANTUMAN
KAEDAH TUT, CANTUMAN BAJI DAN PEMANGKASAN POKOK
Sila klik di sini untuk mendapatkan
penerangan seterusnya - klik !
PENYAKIT-PENYAKIT TANAMAN LIMAU
-
PENYAKIT 'GREENING"
"Greening Disease (Liberobacter asiaticum)
Penyakit Grening
tanaman limau adalah penyakit yang merbahaya bagi kemajuan industri limau di
negara ini dan berasal dari negara China. Penyakit ini disebabkan oleh
sejenis hidupan yang sangat kecil dan disebarkan oleh serangga pembawa dari
jenis kutu leloncat. Di Malaysia, serangga pembawa yang dikenalpasti ialah
Diaphorina citri. Kuw. Penyakit ini boleh
mengurangkan jumlah hasil mutu buah. Pada kadar serangan yang teruk, pokok
limau boleh mati.
Cara Kerosakan Berlaku:
Serangga pembawa
Penyakit Greening yang dewasa berukuran 2-3 mm panjang dan berwarna coklat
keperangan. Serangga dewasa dan anak akan menghisap cecair daun terutama
daun-daun muda. Apabila serangga pembawa menghisap pokok lain, cecair yang
telah sedia ada di dalam badan serangga itu akan dipindahkan kepada pokok
tersebut. Oleh itu, sekiranya serangga pembawa menghisap cecair daun
daripada pokok yang berpenyakit, penyakit greening akan disebarkan dari pokok ke
pokok.
Tanda-tanda Penyakit:
Penyakit Greening
boleh dikenali apabila salah satu atau lebih daripada satu tanda-tanda berikut
kelihatan pada pokok limau:-
-
Warna kekuningan
boleh dilihat di antara urat daun.
Tanda ini bermula dari satu dahan dan merebak ke dahan lain.
-
Tompok-pokok hijau
pada daun.
-
Pertumbuhan tunas
menjadi rapat dan tegak.
-
Tunas dan ranting
layu dan mati.
-
Buah-buah muda
menjadi kuning oren atau merah bertompok.
Bentuk buah tidak seimbang bulat dan akhirnya gugur.
Langkah-langkah Pengawalan:
Program kawalan
yang disyorkan adalah berbentuk kawalan bersepadu yang merangkumi tiga aspek
penting: iaitu penggunaan bahan tanaman yang bebas daripada penyakit,
kawalan punca penyakit dan kawalan serangga pembawa penyakit. Langkah-langkah
kawalan adalah seperti berikut:-
- Gunakan bahan-bahan tanaman yang bebas daripada penyakit
- Pemeriksaan tanda-tanda penyakit
Perhatikan
tanda-tanda penyakit dan tandakan pokok yang berpenyakit serta pokok-pokok di
dalam lingkungan 30 meter di sekeliling pokok yang berpenyakit tersebut.
Kawalan Punca Penyakit:
Cantas ranting
yang menunjukkan tanda penyakit dan rawat bahagian yang dicantas dengan racun
kulat yang sesuai. Ranting yang telah
dicantas dan semua buah dari pokok yang berpenyakit hendaklah dimusnahkan dengan
membakar atau menanam sedalam tidak kurang daripada satu meter. Jika
serangan teruk, pokok limau yang berpenyakit hendaklah ditebang dan dibakar atau
ditanam. Langkah ini dapat menghalang penyakit daripada merebak ke
bahagian atau pokok limau yang lain.
(Klik untuk
lihat panduan mencantas/pangkas pokok).
Kawalan Serangga Pembawa penyakit:
Sembur pokok-pokok
yang telah ditanda dengan racun serangga bagi menghapuskan serangga pembawa.
Racun serangga seperti Dimethoate atau Deltamethrine boleh disembur dua minggu
sekali terutama semasa pengeluaran pucuk muda kerana pada masa ini populasi
Diaphorina citri adalah tinggi. Untuk memastikan
program kawalan yang berkenaan, langkah-langkah pengawalan ini perlu diulang
setiap dua minggu sekali.
PENYAKIT KERUPING
"Scab" (Elsinoe fawcetti)
Keruping biasanya kelihatan timbul di permukaan
kulit buah dan daun. Bermula dengan luka kecil yang kelihatan seperti
titik yang pudar bertukar menjadi kekutil yang mengandungi tisu gabus berwarna
perang pucat. Daun akan bertukar menjadi berkerekot dan bertukar bentuk
dan akhirnya dahan-dahan muda akan dijangkiti. Penyakit ini merebak dengan
cepat di peringkat semaian. Kawalan kultura seperti pengudaraan yang
sempurna dan pengairan secara 'overhead sprinkler' pada semaian semasa pokok
sedang berpucuk selama 2-3 minggu disyorkan. Gunakan racun kulat,
terutamanya pada peringkat semaian ketika pokok sedang berpucuk muda untuk
mengelakkan masalah ini.
PENYAKIT VIRUS TRISTEZA
(Tristeza Virus" (CTV)
Simptom adalah sama seperti pokok yang diserang
pada akar, termasuk terencat pertumbuhan. Pada jenis yang rentan penyakit
ini, simptom batang berjalur, kekuningan urat daun dan kematian pucuk dapat
dilihat dengan mengupas kulit. Penyebaran virus ini bergantung kepada
keadaan iklim. Di tanah rendah di mana suhu panas, virus ini tidak merebak
begitu cepat. Anak benih yang ditanam haruslah dibiakkan melalui kaedah
cantuman tunas hujung dan mesti rintang kepada virus tristeza. Anak benih
yang mula membesar disyorkan diberi rawatan suhu panas dengan meletakkan
pokok-pokok tersebut di dalam rumah plastik. Menyembur racun serangga
untuk mencegah vektor kutu daun dua kali setahun disyorkan.
PENYAKIT PHYTHOPTHORA
(Phythopthora Canker" (Phythopthora spp.)
Cabang-cabang menjadi kering dan tiada pertumbuhan
baru. Bila akar reput, seluruh pokok menjadi kering dengan cepat.
Simptom adalah daun yang berwarna kuning yang hampir sama dengan simptom
kekurangan unsur nitrogen. Pada pangkal batang, luka kecil berwarna hitam
muncul kemudian berkembang dengan keluaran gam berwarna coklat menjadi
tanda-tanda gummosis. Pengeluaran gam bermula dengan kematian kulat dan
menjadi nekrosis pada kayu. Penyakit ini boleh dikawal dengan berkesan
melalui kaedah mencantum tunas pada pokok penanti yang rintang. Mencantum
mata tunas lebih tinggi ke atas pokok penanti 25-30 cm dan paras tanah supaya
pokok baka tidak terkena percikan air. Kawalan rumpai di sekeliling pokok
juga perlu bagi memastikan sekitaran sentiasa kering. Sekiranya pokok
dijangkiti, semburan racun kulat boleh dilakukan sekurang-kurangnya setiap 3
bulan sekali.
(Sila lihat panduan cantuman pokok).
PENYAKIT KANKER LIMAU
"Canker" (Xanthomonas campestgris)
Simptom kelihatan pada daun, ranting dan buah pada kesemua varieti limau.
Kerosakan pada seluruh pokok terutamanya pada daun dan buah. Kanker
berasal daripada liang-liang kecil berwarna gelap kemudian coklat dan
dikelilingi oleh liang berwarna kuning. Bila besar, ia kelihatan sebagai
gabus yang bahagian tengahnya pecah. Luka terjadi pada bahagian gabus dan
bawah permukaan daun. Pengusaha boleh menanam pokok-pokok penahan angin
untuk mengurangkan kerosakan fizikal pada pokok. Racun kulat hendaklah
disembur jika jangkitan agak serius. Langkah-langkah pembasmian bakteria
yang berkesan termasuk (1) mengumpul dan membakar daun-daun berpenyakit yang
gugur (2) merendam mata tunas dalam 1000 ppm streptomycine (antibiotik) selama
satu jam sebelum mencantum di peringkat tapak semaian.
PENYAKIT KULAPUK HITAM
"Sooty Mold" (Capnodium citri)
Biasanya berlaku di kawasan yang panas dan lembap.
Bila kulat tumbuh dengan banyak (berwarna hitam berjelaga pada daun), ia
menghalang daun dari menerima cahaya. Kulapuk hitam tidak memberi kesan
pada pertumbuhan pokok tetapi ianya menjadi amaran kehadiran serangga-serangga
perosak tanaman yang juga membawa penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus.
Ianya juga memberi kesan kepada warna kulit buah semasa matang. Ianya
disebabkan oleh beberapa jenis kulat, tetapi yang utamanya ialah Capnodium
citri. Kulat ini bukanlah parasit tetapi hidup dengan memakan madu di
permukaan pokok yang dikeluarkan oleh serangga tertentu terutamanya afid, 'scale
insect' dan larva kepada 'Whitefly'. Tiada kawalan perlu dibuat ke atas
penyakit ini. Dengan mengawal serangga-serangga pembekal madu atau gula
kepada kulat ini, ianya akan terkawal secara tidak langsung. Kulapuk boleh
juga dihilangkan dengan menyembur minyak jenis yang tidak merosakkan pokok.
HAMAMA "Mites"
(Tetranychus spp.)
Terdapat beberapa jenis hamama yang menyerang
limau. Diantaranya Hamama merah (Citrus red mite), Hamama leper (Citrus
flat mite), Hamama lebar (Broad mite) dan Hamama perak (Citrus silver mite).
Hamama menyerang dengan menghisap cecair daun muda dan putik buah. Kulit
buah akan menjadi kasar dan berwarna perang dan berkerutu. Kawalan
hendaklah dijalankan dari peringkat putik buah lagi dengan menggunakan racun
hamama yang sesuai dan berkesan.
LELOMPAT PSYLID
"Psylids" (Diaphorina citri)
Perosak ini adalah serangga vektor penyakit
'greening' limau. Jika serangga ini berada di kawasan yang dijangkiti
penyakit 'greening', besar kemungkinan penyakit akan merebak dengan cepat di
ladang. Serangga dewasa menghisap cecair dan pucuk dan bertelur di
celah-celah daun. Kehadiran perosak boleh dikesan dengan meneliti pucuk
limau dan juga menggunakan perangkap pelekat berwarna kuning. Serangga ini
boleh dikawal dengan menggunakan racun serangga jenis sistemik yang berkesan dan
mempunyai kesan sampingan yang minima terhadap serangga agen kawalan biologikal
seperti parasitoid dan pemangsa.
KUTU DAUN
"Aphids" (Aphis spp.)
Kutu daun menyerang tunas baru dan daun muda.
Serangga ini suka menyerang bahagian pucuk daun muda, peringkat bunga dan putik
buah. Bahagian yang diserang akan menjadi cacat dan berkerinting dan
terbantut tumbesarannya. Kutu daun merupakan vektor pembawa virus penyakit
tristeza limau. Kutu daun boleh dikawal dengan penyemburan racun serangga
jenis umum yang tidak toksik pada serangga agen kawalan biologikal seperti
kumbang ladybird. Pembiakan kumbang pemangsa dan agen parasit boleh juga
mengawal populasi kutu daun.
KUTU TRIP
"Thrips" (Thrips spp.)
Menghisap cecair daun, pucuk dan bunga.
Tunas daun jadi hitam, kering dan gugur. Bunga menjadi kering dan gugur.
Pucuk terbantut. Kulit buah berwarna keperakan terutama di bahagian
tangkai buah, daun kelihatan kekuningan, menebal dan kedua sisi tepinya
menggulung ke atas. serangan sering berlaku pada musim panas.
LALAT BUAH
"Fruit fly" (Bactrocera papayae dan Dacus spp.)
Lalat bertelur pada buah yang hampir masak atau
masak. Telur menetas dan larva mengorek masuk ke dalam serta makan isi
buah. Terdapat larva lalat di dalam buah bila dikupas. Bahagian yang
diserang mudah dijangkiti penyakit kulat atau bakteria. Akhirnya boleh
menjadi busuk, reput dan gugur. Sembur dengan bahan penarik seperti umpan
protin bercampur racun serangga. Ini amat berkesan kerana ianya membunuh
kedua-dua jantina lalat buah.
KOYA
"Mealy bugs" (Planococcus citri Russo.)
Serangga ini menyerang pucuk, daun matang, ranting
dan buah. Bahagian yang diserang akan mempunyai tompok-tompok putih akibat
koya. Kesan sampingan kehadiran koya ialah terdapatnya kulapuk hitam pada
bahagian bawah daun dan permukaan buah. Ini adalah hasil dari pertumbuhan
kulat keatas embun madu yang dikeluarkan oleh koya. Pokok akan kelihatan
seperti berjelaga. Semburan campuran minyak putih dan racun serangga dapat
mengawal perosak ini.
PELOMBONG DAUN
"Leaf Miners" (Phyllocnistis citrella Staint)
Ulat (warna hijau) mengorek ke dalam daun dan menghisap cecair sap epidermis. Setiap ulat berada dalam satu lombong
bersinar keperakan dan berkelok-berkelok. Daun menjadi cacat,
berkedut-kedut dan bergulung. Selalunya terdapat kepompong berwarna oren
di tepi daun.
KEPINDING
"Stink Bug" (Rhynchocoris humeralis Thnbg dan R. Serratus Don.)>
Kepinding yang berwarna hijau ini menghisap cecair
dari bahagian daun muda, pucuk dan buah. Daun yang dihisap akan menjadi
layu dan kering. Sementara itu, buah pula akan berongga di bahagian isinya
dan serangan di peringkat putik boleh menggugurkan buah. Serangga ini
boleh dikawal dengan membuat tinjauan ladang yang kerap dan memungut peringkat
nimfa dan dewasa dengan tangan. Semburan racun serangga jenis umum boleh
mengawal prosak ini.
PENGOREK KULIT LIMAU
"Rind Borer" (Prays endocarpa Meyr.)
Ulat ini menyerang jenis limau yang mempunyai
kulit tebal seperti limau bali. Ulat akan mengorek ke dalam kulit buah dan
mengeluarkan serpihan tahinya ke permukaan buah. Buah akan kelihatan buruk
dan berbinjul-binjul dan ini akan menurunkan nilai komersialnya. Semburan
dengan racun serangga di peringkat putik sebelum membalut dapat mengawal perosak
ini.
PEROSAK TANAMAN LIMAU
-
Lalat Buah (Bactrocera dorsalis)
Lalat bertelur dalam buah-buah yang hampir masak/matang dan selepas telur
menetas, larva mengorek dalam buah dan memakan tisu. Balut buah
dengan kertas seawal yang boleh. Kutip semua buah-buah yang telah
diserang dan tanam. Gunakan bahan penarik jantan untuk mengurangkan
populasi serangga jantan.
-
Pelombong Daun (Phyllocnistis citrella)
Larva korek dan makan tisu dalam daun. Daun menjadi cacat dan
berkedut atau bergulung. Sembur racun hamama dimethoate 0.1% b.a.
setiap dua minggu sekali.
-
Pengorek Buah Limau (Citripestis sagititiferella)
Larva mengorek dan memakan tisu. Dewasa menghisap cecair dari buah.
Timbunan sisa makanan akan kelihatan pada lubang yang dikorek.
Kumpul dan musnahkan buah yang diserang. Menggunakan bahan penarik
jantan untuk mengurangkan populasi serangga jantan.
-
Hamama (Panonychus citri Tetranychus spp.)
Dewasa menghisap cecair dari tangkai, daun dan buah, menjadi tompok
kuning. Serangan pada permukaan daun dan ini akan menyebabkan banyak
daun gugur terutama pada musim kemarau. Sembur dengan kimia seperti
propagite dan amitraz 0.1% bahan aktif pada 3 minggu sekali.
-
Kutu Thrips (Scirtothrip dorsalis)
Menyerang pada bahagian tangkai daun muda dan putik buah. Daun yang
diserang akan menebal dan kedua-dua sisinya menggulung ke atas.
Tunas daun menjadi hitam, kering dan gugur. Sembur dengan racun
kimia seperti malathion (0.1% bahan aktif) setiap dua minggu sekali.
-
Kutu Lompat (Diaphorina citri)
Menyerang bahagian pucuk dan menghisap cecair. Ia juga menjadi
vektor kepada penyakit. Sembur dengan racun seperti imidachloropid
(0.005% bahan aktif).
POKOK PENANTI
Pemilihan pokok penanti menjadi faktor utama penanaman pokok limau. Pokok penanti diperkenalkan
untuk menangani masalah penyakit reput batang phythopthora dan penyakit
virus tristeza. Biasanya anak pokok 'mandarin' dan 'sweet orange'
yang dibiakkan secara tut tidak dapat dielakkan daripada serangan penyakit
tersebut. Oleh yang demikian pokok penanti yang digunakan hendaklah
rintang terhadap kedua-dua penyakit ini.
Varieti Troyer Citrange
digunakan sebagai pokok penanti untuk 'sweet orange' manakala varieti
Cleoptra digunakan sebagai pokok penanti untuk tanaman limau mandarin.
Varieti-varieti seperti Poncisrus trifoliate (L) Raf. Rangpur Line,
Cleoptra mandarin dan Citrumelo didapati rintang terhadap kedua-kedua
penyakit ini. Namun varieti-varieti ini tidak dapat mengawal
penyakit 'greening'.
Penggunaan P. trifoliata
sebagai pokok penanti akan mengakibatkan pertumbuhan awal yang kurang
memuaskan di ladang kerana pokoknya kerdil. Banyak varieti limau
yang asli seperti limau nipis dan citron didapati kurang tahan terhadap
kedua-dua penyakit ini. Oleh yang demikian, jenis-jenis limau dan
citroid lain perlulah dinilai sebelum dijadikan sebagai pokok penanti.
Pemilihan pokok penanti yang
baik ditentukan oleh lima kriteria seperti berikut:-
- ketahanan terhadap penyakit reput batang phythopthora
- bersesuaian dengan iklim dan keadaan tanah di tempat yang ditanam
- bersesuaian dengan varieti yang dicantumkan
- memberi hasil yang maksima ataupun memuaskan
- toleran terhadap penyakit phythopthora dan virus tristeza
Petani hendaklah mencantum mata
tunas lebih tinggi ke atas pokok penanti (25-30 cm dari paras tanah)
supaya batang pokok baka tidak kena percikan air dari tanah dan tidak
disyorkan mencantum lebih 30 cm kerana masalah pertumbuhan. Terdapat
lebih banyak kelebihan daripada masalah yang timbul daripada penggunaan
pokok penanti untuk tanaman limau di Malaysia. Kadangkala pokok
penanti yang digunakan menghasilkan buah yang berasa masam dan mengambil
tempoh yang lebih lama untuk berbuah. Tetapi dengan adanya pokok
penanti, petani mampu mengelakkan tanaman limau daripada diserang oleh
penyakit phythopthora dan penyakit virus tristeza yang menjadi faktor
utama kurangnya hasil tanaman limau. Di samping itu, pokok penanti
yang tumbuh biasanya pada paras yang renek dan ia memudahkan pengurusan
harian petani-petani tanaman limau
(Klik
untuk lihat proses cantuman pokok).
Kebanyakan daripada pokok
penanti yang berkualiti masih diimport dari negara-negara seperti Amerika
Syarikat dan Australia dan ia juga boleh diperolehi daripada Jabatan
Pertanian, MARDI dan daripada nurseri-nurseri yang terpilih. BIji
benih untuk vrieti Rangpur Lime boleh didapati dengan mudah tetapi varieti
ini kurang tahan terhadap penyakit reput batang.
Buah limau berkhasiat ubatan
KISAH KEJAYAAN
|