Nama
Saintifik
Nama Biasa
Famili |
: Mangifera indica Linn.
: Mangga atau mempelam
: Anacardiaceae |
 |
VARIETI MANGGA / KLON YANG DISYORKAN:
Chok Anan
(MA 224)
Manual
Tanaman Mangga Chok Anan (format pdf) - klik !
MA 223
Berasal dari Thailand. Dikenali dengan nama 'Nam Doc Mai'.
Mangga ini sangat sesuai ditanam di kawasan utara Semenanjung Malaysia.
Buah berbentuk bujur dan membengkok sedikit di bahagian hujung.
Saiz buah sederhana besar dan purata berat buah adalah diantara 400-450
gm sebiji. Kulit buah masak berwarna kuning emas dan isinya
berwarna kuning. Rasanya manis, berbau harum, berjus dan bersabut
sedikit. Klon ini didaftar pada 19 Oktober, 1990."
MA 204
Berasal dari Kodiang, Kedah. Popular dengan nama 'Melele'
dan telah didaftar pada 13 November, 1978, saiz buah sederhana,
berbentuk bulat membujur dan mempunyai puting yang nyata di bahagian
tangkai buah. Kulit buah berwarna hijau kekuningan. Isinya
berwarna kuning, berjus dan beraroma, isinya bersabut sedikit.
MA 200
Dikenali dengan nama Malgoa. Mempunyai buah yang besar dan
berbentuk bulat seperti jantung. Kulitnya lembut dan berwarna
hijau, kekuningan bila masak. Isinya berwarna kuning tua, tebal
dan tidak bersabut. Rasanya manis bila masa di pokok dan baunya
sedap. Buahnya masak tidak serata dan eloklah dipetik hanya ketika
telah betul-betul masak. Jenis ini boleh ditanam dan berbunga di
merata tempat dan tidak bermusim. Pada keseluruhannya jenis ini
tidak begitu sesuai ditanam secara berleluasa kerana masalah buah yang
tidak masak serata dan hanya disyorkan ditanam di halaman rumah.
MA 194
Dikenali dengan nama Apple Manggo, Rumani. Mempunyai buah yang
kecil hingga sederhana besar dan berbentuk bulat seperti epal.
Kulitnya lembut dan berwarna kuning kehijauan dan kadang-kadang
kemerahan sedikit. Isinya berwarna oren hingga kemerahan, tebal,
halus dan tidak bersabut langsung. Rasanya manis dan berbau sedap.
Buahnya mestilah dipetik apabila telah cukup masak sebab jika dipetik
sebelum cukup tua, buahnya akan terasa masam. Jenis ini didapati
boleh ditanam dan berbunga di merata tempat di negara ini dan tidak
begitu bermusim. Sesuai ditanam di halaman rumah kerana cepat dan
selalu berbuah.
MA 165
Berasal dari
Negeri Kelantan. Dikenali dengan nama MAHA 65. Didaftarkan
pada 28 Januari 1972. Buah bersaiz besar (450-600 gm sebiji),
berbentuk panjang dan leper. Kulit buah berwarna hijau kekuningan
bila masak. Isinya berwarna kuning muda, tebal tanpa sabut, tekstur
isinya halus, rasa yang manis dan tidak beraroma. Pengeluaran buah
adalah tinggi tetapi mudah merekah sebelum matang.
MA 162
Berasal dari
Port Dickson. Dikenali dengan nama 'Foo Fatt' atau 'Golek'.
Didaftarkan pada 28 Januari, 1972. Buah bersaiz sederhana besar dan
purata berat buah ialah 500 gm sebiji. Buah berbentuk bulat
memanjang dan bengkok di hujung. Kulit buah berwarna hijau
kekuningan apabila masak. Isinya tebal, berwarna oren, bertekstur
halus dan rasanya manis tetapi tidak beraroma.
MA131
Mula dikenali di Kedah dan dipanggil Mangga Haji Dollah.
Telah didaftar dibawah klon Nombor MA 131 pada 28 Jun 1971. Juga
ditanam di pekan Terong, Perak (4 ha. di Kg. Sungai Hantu dan 1 ha. di Kg.
Sungai Kerang) dan diikenali dengan nama tempatan Mangga Nangka Udang
dan juga Nangka Betik. Buah bersaiz besar dengan ukuran
panjang 26 cm dan lebar 12 cm. Bentuknya memanjang serta membuat
sedikit di bahagian pangkal hujung buah. Berat purata sebiji boleh
mencapai hingga 2 kg. Kulitnya sederhana tebal dan berwarna hijau
kekuningan pada peringkat matang dan berwarna kuning kehijauan bila masak.
Isinya tebal, halus dan berwarna kuning kemerahan setelah masak.
Isinya masam-masam manis dan beraroma sedikit.
Pokok penanti adalah jenis tradisional seperti mempelam telur yang berumur
lebih 20 tahun. Klon nangka udang yang dicantum adalah daripada
Negeri Kedah. Oleh kerana saiz buah adalah besar dan berat (1.8-2.3
sebiji) serta harga runcit pada RM5.00-RM8.00 / kg. maka buah ini
mempunyai pasaran tertentu sahaja (niche market).
MA 130
Nama lain Kuala Selangor, Betek Cendroh Gajah. Mempunyai
buah yang sederhana hingga besar dan berbentuk bulat bujur dan kembong
di tengahnya. Kulitnya berwarna hijau kekuningan bila masak.
Isinya berwarna oren kemerahan, tebal dan manis dan sedikit bersabut.
Baunya kurang memuaskan dan mutunya dianggap sederhana sahaja.
Hasilnya tinggi dan sentiasa berbuah setiap musim. Jenis ini
didapati boleh ditanam dan berbunga di merata tempat di negara ini.
MA 128
Klon berasal
dari Sungai Nibong, Kuala Selangor. Popular dengan gelaran
Harumanis. Telah didaftarkan pada 28 Mei 1971. Buahnya
sederhana besar dengan berat diantara 400-450 gm sebuah. Bentuk buah
adalah bujur dan bengkok sedikit di bahagian hujung. Kulit buah
berwarna hijau walaupun telah masak. Isinya tebal, berwarna oren,
berjus, tekstur isinya halus, mempunyai bau yang harum dan rasanya manis.
MA 123
Mempunyai buah yang sederhana besar dan berbentuk bulat dan bulat
bujur. Warna kulitnya hijau bila masak. Isinya berwarna
oren, tebal, manis dan berair. Mutunya sederhana dan baunya tidak
begitu enak. Hasilnya baik, lebih kurang 40 biji sepokok semukim
dari pokok yang berumur 5 tahun. Pada keseluruhannya jenis ini
sesuai ditanam secara berleluasa atau di halaman rumah.
KEPERLUAN ASAS TANAMAN
Iklim
Iklim tropika dan subtropika adalah sangat sesuai. Pokok boleh
tumbuh dengan optimun pada suhu 24oC-27oC
dengan taburan hujan diantara 750 mm - 2500 mm setahun dan wujudnya musim
kemarau yang jelas selama 1-2 bulan bagi merangsang pokok mangga untuk
berbunga. Keadaan kering juga diperlukan semasa bunga kembang bagi
menggalakkan proses pendebungaan, persenyaawaan dan pembentukan putik buah
yang baik. Hujan yang berlebihan pula akan menyebabkan serangan
penyakit dan perosak pada bunga dan seterusnya mengurangkan pembentukan
putik buah. Dalam keadaan terbuka, angin yang deras akan memberikan
kesan buruk kepada kelekatan bunga, putik dan buah mangga. Oleh yang
demikian, pokok-pokok lindungan untuk menahan kederasan angin seperti
tanaman rhu, bintangor, medang dan belinjau adalah digalakkan.
Faktor Tanah
Kawasan tanah yang terlalu berpasir, berbatu dan cetek, bertakung air
beralkali dan berbatu kapur adalah tidak sesuai untuk tanaman mangga.
Tanaman mangga sentiasa memerlukan salinan yang baik walaupun ia tidak
begitu sensitif terhadap keadaan keasidan tanah dengan julat kesesuaian pH
diantara 5.5 - 7.5. Tanaman mangga didapati tidak tahan terhadap
saliniti yang berlebihan. Tanah yang mempunyai saliniti 2 mmhos atau
kurang pada kedalaman 0-125 cm amatlah sesuai.
Kawasan yang mempunyai paras air yang tinggi, mangga patut ditanam di atas
batas atau busut. Penanaman cara begini biasa terdapat di kawasan
MADA Kedah dimana busut disediakan. Biasanya pokok mangga di kawasan
begitu adalah lebih kecil dan cepat berbuah.
AMALAN KULTUR
Bagi kawasan berbukit-bukit,
kecerunannya hendaklah tidak melebihi 20o. Teres
penanaman, jalan ladang dan langkah-langkah pengawalan hakisan perlulah
dibuat bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan dan penjagaan ladang.
Kawasan yang bertekstur sederhana memadailah dibajak piring sekali dan
diikuti dengan bajak putar. Kawasan yang bertekstur keras pula
disyorkan dua kali bajak piring dan bajak putar.
BENIH TANAMAN
Boleh dibiakkan dengan kaedah
cantuman mata tunas atau baji dan kaedah lain yang sesuai.
((i)
lihat panduan cantuman mata tunas / baji
(ii)
cantuman pokok). Pokok penanti
dari jenis mangga telur digunakan kerana ianya sangat sesuai, peratus
percambahan tinggi, saiz kecil dan mudah diperolehi. Buah yang
digunakan untuk tujuan pokok penanti mestilah cukup matang bagi
mendapatkan peratus percambahan yang tinggi disamping memudahkan
kerja-kerja memproses.
Selepas diproses, biji benih
dirawat dengan racun kulat dan disemai di dalam kotak semaian yang berisi
pasir halus dari sungai. Siraman dibuat 2-3 kali sehari.
Semaian dibuat di bawah lindungan 45% telus cahaya. Percambahan
berlaku selepas 2-3 minggu biji benih disemai. Anak-anak pokok
penanti boleh diubah ke dalam polibeg setelah berumur 4-5 minggu.
Media tanah campuran ialah 7:3:2 atau 5:2:1 (tanah:baja organik:pasir)
dimasukkan ke dalam polibeg berukuran 20.3 cm x 30.5 x 0.125 cm.
Anak-anak pokok penanti boleh diletakkan di dalam rumah teduhan atau di
semaian terbuka.
Siraman kepada anak pokok
penanti dibuat setiap hari. Racun kulat digunakan apabila perlu.
Pembajaan dibuat dengan menggunakan baja kimia diselangi dengan baja
organik seperti tahi ayam. Ini disyorkan kerana ia dapat mengekalkan
kesuburan tanah lebih lama. Kerja-kerja cantuman boleh dibuat
setelah pokok penanti berumur 4-5 bulan. Teknik yang biasa dilakukan
ialah cantuman mata tunas kerana ia mudah dilakukan, kos yang lebih
rendah, peratus kejayaan tinggi, pokok lebih tahan dan pertumbuhan lebih
cepat.
SISTEM
PENANAMAN
Untuk memaksimumkan pengeluaran
hasil mangga dan juga memperolehi harga pasaran yang baik, penanaman
campuran klon mangga adalah disyorkan. Bagi kawasan yang telah
ditanam dengan klon tunggal dan menghadapi masalah pembungaan dan
pengeluaran buah, campuran klon boleh diperolehi dengan kaedah cantuman
dewasa di ladang, di mana pokok asal akan ditebang sehingga tinggal
ketinggian lebih kurang 1 meter dari permukaan tanah. Tunas baru
akan mula terbit sebulan kemudian. Kerja-kerja mencantum dengan mata
tunas boleh dilakukan 5 bulan selepas menebang pokok dan hasil akan
diperolehi 2 tahun selepas mencantum.
PENANAMAN DI
LADANG
Sebaik-baiknya dilakukan pada
awal musim hujan. Bagi kawasan tanah yang rata dan landai, sistem
segi empat, segi tiga sama dan siku keluang boleh digunakan, manakala di
kawasn yang curam pokok ditanam mengikut kontur bagi mengurangkan masalah
hakisan tanah. Jarak tanaman ialah 9m x 9m bagi klon yang bersifat
tinggi dan besar dan 7.5m x 7.5m bagi klon yang sederhana besar.
Lubang tanaman digali,
berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm. Asingkan tanah atas daripada tanah
bawah. Gaulkan 10 kg baja organaik dan 200 gm CIRP dengan tanah atas
dan masukkan semua ke dalam lubang, diikuti dengan tanah bawah untuk
dijadikan busut. Lubang dibiarkan selama 1 bulan. Semasa
menanam, lubang digali semula sebesar beg plastik anak mangga yang hendak
ditanam. Buangkan plastik sebelum anak benih ditanam. Kayu
pancang atau kayu penyokong digunakan supaya anak pokok tidak patah atau
tumbang bila ditiup angin. Sungkupan diletak di pangkal pokok bagi
mengekalkan kelembapan dan mengawal rumpai. Penyiraman dijalankan
setiap hari.
PEMBAJAAN
Pembajaan yang sempurna
menjamin tanaman mangga tumbuh subur dan memberi hasil yang optimum.
Pembajaan tanaman ini dipengaruhi oleh faktor seperti jenis tanah dan
untuk tanaman tersebut.
Program
pembajaan untuk tanaman mangga
|
Peringkat Pertumbuhan |
Umur Pokok
(Tahun) |
Jenis Baja Sebatian
(N:P:K:Mg) |
Kadar Baja
Kg/Pokok/
/Tahun |
Cara dan Masa Membaja |
|
Masa menanam |
Pembajaan asas |
CIRP
Baja Organik |
0.2
10 |
Dimasukkan ke dalam lubang dan gaul
bersama tanah atas. |
|
Tumbesaran |
1
2
3 |
15:15:15 atau
14:13:19:2 atau
15:15:6:4
Baja Organik |
1.0
10-15
|
Bahan organik ditabur dan digaul di
permukaan tanah, dipangkal pokok sekali setahun. Baja sebatian
ditabur/secara poket di bawah julai daun 3-4 kali setahun. |
|
Berbuah |
4
5
6
7
>8
|
12:12:7:2+TE atau
12:6:22:3 atau
13:13:20:2+TE
Baja Organik
|
2.0
2.5
3.0
4.0
4.0
15-40 |
Baja sebatian ditabur 3-4 kali sethaun.
Baja organik ditabur dan digaul di permukaan tanah, di pangkal pokok
sekali setahun. |
PEMANGKASAN
Pemangkasan (cantasan) adalah
amalan penting yang perlu dilakukan. Ia dapat mengekalkan
perseimbangan di antara dahan dan ranting supaya kelihatan lebih menarik
disamping mendapat penghasilan buah yang lebih tinggi dan seragam.
(sila lihat panduan pangkasan pokok).
PENGURUSAN
AIR
Tanaman mangga memerlukan
keadaan kering untuk mula berbunga dan berbuah. Di kawasan di mana
kemarau berpanjangan dan pokok mengalami kekurangan air, putik buah akan
mengalami keguguran dan pembesaran buah akan terjejas. Untuk
mengelakkan keadaan ini, pokok perlu diberi pengairan sekurang-kurangnya
selama tujuh minggu sebaik sahaja selepas pembungaan penuh. Kadar
keperluan air sepokok sehari oleh tanaman adalah berbeza mengikut
peringkat tumbesarannya.
Apabila pembentukan putik buah
bermula, pengairan perlu diberi berterusan sehingga buah hampir matang
iaitu lebih kurang 7 minggu kemudian. Selepas itu ianya
diberhentikan bagi mengelak buah dari merekah kerana tumbesaran buah
terhad dan juga bagi mempercepatkan proses kematangan buah.
Memandangkan iklim di Malaysia yang panas, disyorkan pemberian air
dijalankan 2 kali sehari dan jumlahnya tidak melebihi kadar keperluan
harian yang ditetapkan.
PENJARANGAN
DAN PEMBUNGKUSAN BUAH
Amalan menjarangkan buah
dilakukan serentak semasa membungkus buah. Biasanya buah dijarangkan
sehingga 2-3 buah setangkai sahaja untuk dibiarkan membesar.
Penjarangan diamalkan bagi mendapat hasil buah yang bermutu serta saiz dan
bentuk buah yang hampir seragam.
Buah mangga biasanya dibungkus
pada peringkat 40-45 hari selepas berputik iaitu apabila buah mangga
sebesar telur ayam. Hanya buah yang bersih dan tidak cacat sahaja
dipilih untuk dibungkus. Sebelum membungkus, buah mangga perlu
disembur dengan racun serangga dan racun kulat yang disyorkan.
Buah mangga dibungkus dengan
kertas yang biasanya dijadikan beg yang saiznya boleh menampung buah yang
telah matang. Setiap beg dikhaskan untuk membungkus sebiji buah
sahaja walaupun terdapat beberapa buah dalam satu tangkai. Beg
kertas ini perlu diberi tanda dengan warna-warna yang berbeza bagi
memudahkan pemetikan. Kerja-kerja ini penting kerana pembungaan
berlaku berperingkat-peringkat dan ini menyebabkan peringkat kematangan
buah juga berperingkat-peringkat.
TEMPOH KEMATANGAN
Pengiraan umur buah mengikut
kalender merupakan cara yang mudah untuk menentukan kematangan buah
mangga. Catatan umur buah yang sesuai dituai dikira sasma ada
daripada pemekaran bunga atau pembentukan putik buah. Masa yang
sesuai untuk penuaian beberapa varieti mangga adalah seperti berikut:-
Tempoh
kematangan mengikut klon
|
Klon |
Umur dari peringkat berputik (minggu) |
Chok Anan
(MA 224)
Golek (MA 162)
MAHA 65 (MA 165)
Masmuda (MA 204)
Harummanis (MA 128)
Nam Dorkmai (MA 223)
Tok Boon
Epal
Malgoa
Sala
Maha 65
Lebai Mohamad |
10
12
16
13
12
12
15
15
12
12
16
13 |
Buah yang matang tenggelam di
dalam air kerana ketumpatannya lebih daripada 1. Sementara buah yang belum
matang pula timbul dalam air dan ketumpatannya kurang daripada 1. Penentuan cara ini sesuai bagi buah
mangga Masmuda dan Cokanan. Selanjutnya buah yang matang (buah yang
tenggelam dalam air) boleh diasingkan lagi mengikut darjah kematangan
menggunakan larutan garam biasa (NaCI) pada kepekatan yang berbeza-beza.
PENGUTIPAN HASIL
Pengutipan buah mangga
bergantung kepada pasaran dan destinasi pemasaran. Buah yang dituai
hendaklah mencapai peringkat kematangan yang sesuai. Kerja-kerja
penuaian perlu dijalankan dengan cermat dan teliti supaya mutu buah
terpelihara.
Penuaian boleh dilakukan dengan memotong tangkai buah serapat yang boleh
dengan daun terakhir menggunakan kacip pemotong. Pemetikan cara ini
dilakukan dengan tangan dan sesuai bagi pokok yang rendah atau pokok yang
buahnya mudah dicapai apabila menggunakan tangga. Bagi pokok yang
tinggi dan tangga tidak boleh digunakan, alat-alat tertentu seperti
perangkap jaring yang dipasang pada galah yang panjang boleh digunakan.
Buah yang dipetik boleh
mengeluarkan lelehan getah sekiranya buah ditarik dari tangkainya.
Lelehan getah ini boleh menurunkan mutu buah sekiranya ia dibiarkan
kering. Untuk mengurangkannya disyorkan memotong tangkai buah lebih
panjang ketika memetik buah. Elakkan getah dari meleleh ke permukaan
kulit buah dengan menyusun tangkai buah menghala ke bawah.
PENGENDALIAN
LEPAS TUAI
Pengendalian di Ladang
Buah yang dituai, dikutip dan dikumpulkan di kawasan teduhan yang
terlindung dari pancaran matahari dan disusun di atas guni atau sponge.
Selepas buah dikumpulkan, ia perlu disusun semula dalam bakul-bakul
plastik yang berjaring. Bakul-bakul tersebut perlu dilapik dengan
sponge atau alas yang sesuai untuk mengelakkan buah-buah dari tercedera
atau rosak semasa pengangkutan dari ladang ke pusat pembungkusan.
Pengendalian di Pusat
Pembungkusan
Di Pusat Pembungkusan, buah dipillih (untuk mengasingkan yang rosak),
dibasuh, dikering, digred, diperam, disimpan dan dibungkus untuk
dieksport. Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang dijalankan:-
Membasuh
Kertas pemebalut dibuangkan, tangkai dipotong sehingga tinggal tidak
melebihi 0.3 cm. Buah dimasukkan ke dalam tangki air dan digosok
dengan sponge atau kain. Kelaskan buah yang mempunyai ciri-ciri dan
saiz yang sama.
Pengeringan
Buah yang sudah dibasuh dikeringkan dengan meletakkannya di atas para yang
beralas sponge bagi mengelak buah dari tercedera. Buah tersebut
perlu disusun selapis sahaja dan tidak terdedah kepada cahaya matahari
atau bahan-bahan panas. Biasanya kipas angin digunakan dalam proses
pengeringan.
Penggredkan
Kerja-kerja penggredan buah dilakukan semasa menyusun untuk dikeringkan.
Aktviti penggredan dilakukan untuk memenuhi kehendak pasaran dan
meningkatkan kualiti buah. Mutu buah digredkan di bawah 3 gred iaitu
Gred A, Gred B dan Gred C. Boleh dikelasifikasikan sebagai besar
(>500 gm), sederhana (350-500 gm) dan kecil 250-350 gm).
Pemeraman
Biasanya buah mangga yang dikutip akan masak dalam masa 3-4 hari.
Proses pemeraman dilakukan sekiranya buah yang akan dipasarkan masih belum
masak. Beberapa kaedah digunakan seperti membalut buah dengan
kertas, diperam dalam bakul atau kotak. Penggunaan gas etelina juga
diamalkan untuk mendapatkan keseragaman buah yang masak dan kulit yang
menarik. Untuk tujuan ini, sebuah bilik pemeraman khas diperlukan.
Gas etelina pada kadar 5 bpj didedahkan kepada buah mangga selama 19 jam
dan suhu dikawal diantara 20oC-30oC
dengan kelembapan bandingan pada kadar 85-90%.
Pembungkusan
Jenis pembungkusan yang disyorkan bagi tujuan pemasaran adalah menggunakan
kotak kertas. Saiz kotak berbeza-beza tetapi atasnya perlu mempunyai
lubang-lubang udara dengan muatan yang terhad kepada kuantiti atau berat
yang telah ditentukan. Sebaik-baiknya buah mangga hendaklah diisi
selapis sahaja dan dibahagian dalam kotak tersebut perlu ada sekatan atau
ruang-ruang kecil bagi setiap buah untuk mengelakkan buah daripada
bergerak yang mana boleh merosakkan buah. Buah-buah tersebut juga
boleh dibungkus dengan kertas lembut atau bahan-bahan lain sebagai kusyen
atau sponge.
PENYIMPANAN
Buah-buah yang telah diproses
dan tidak dapat dijual terus perlu disimpan di dalam bilik sejuk yang
mempunyai suhu antara 9-10oC.
Penyimpanan secara ini adalah bertujuan melambatkan buah mangga dari
menjadi rosak. Buah mangga dapat disimpan selama 4-7 hari buah akan
masak. Sekiranya tiada bilik sejuk, penyimpanan secara biasa boleh
diamalkan. Buah dimasukkan ke dalam kotak atau bakul, disusun
selapis dan dilapik dengan sponge. Seterusnya, kotak diletakkan di
atas para. Pastikan tiada buah yang rosak atau berpenyakit kerana
ini akan memudahkan jangkitan penyakit atau merosakkan buah-buah yang
elok.
PENGANGKUTAN
Untuk pasaran tempatan dan bagi
menjamin kualiti buah, lori yang digunakan perlu mempunyai pengedaran
udara yang baik, dan bertutup di atas supaya buah tidak terdedah kepada
sinaran cahaya matahari. Kotak atau bakul buah tidak disusun terlalu
tinggi dan padat kerana ia membuatkan buah tertindih dan rosak.
Kontena berhawa dingin digunakan bagi pengangkutan jauh agar buah dapat
disimpan lebih lama dan tidak mudah rosak.
KENALI PENYAKIT MANGGA
-
Penyakit Antranos Buah
Penyakit Antraknos buah dan
hawar jambak bunga adalah disebabkan oleh kulat yang sama dan menjadi
penghalang utama dalam pengeluaran mangga di kawasan tropika.
Penyakit ini boleh menyebabkan putik mangga gugur. Penyakit ini
juga menyebabkan kerosakan yang tinggi pada buah-buah selepas dipetik
jika tidak dikawal.
|
 |
|
Tanda-tanda penyakit:
Penyakit ini bermula dengan bintik-bintik hitam kecil di permukaan kulit
buah. Bintik ini membesar dan bercantum menjadi tompok-tompok hitam.
Biasanya terdapat retak-retak pada tompok hitam tersebut. Dalam
keadaan lembab, tompok-tompok hitam tersebut diselaputi oleh lapisan
spora-spora berwarna merah muda, biasa dalam bentuk cecincin berpusar.
Jika terdapat hujan semasa pembetukan buah, kulit buah akan ditumbuhi
bintik kecil yang keras dan timbul, kulit buah menjadi capuk-capuk dan
berkerak. Jika musim hujan lebat, kulat-kulat yang terdapat di
bahagian atas buah akan turun mengikut aliran hujan menjadikan buah
dijangkiti penyakit ini. Apabila buah semakin matang, di hujungnya
menjadi hitam dan isinya reput menjadi warna perang kehitaman.
Antraknos juga menyerang buah matang di peringkat penyimpanan sebelum
dipasarkan.
Agen penyebab:
Patagen penyakit Antraknos ini ialah kulat Colletotrichum
gloeosporioides Penz.
Kawalan:
Sembur dengan racun kulat seperti maneb, mancozeb, propineb,
chlorothalonil, captafol, benomyl, thiolpanatemethyl dan racun kulat jenis
kupram. Ini boleh diguna secara berasingan, campuran atau berselang
seli.
Sembur dengan tiga campuran racun iaitu racun kulat, baja daun dan racun
serangga contoh: mancozeb, baja daun dan deltamethrin. |
-
Penyakit Antraknos Jambak Bunga
Tanda-tanda penyakit:
Penyakit yang paling serius, boleh menyebabkan kehilangan hasil yang
teruk. Bunga dan putik-putik kecil yang diserang penyakit ini akan
gugur dan menyebabkan pokok tidak berubah. Serangan semakin teruk di
musim hujan dan lembab.
|
 |
|
Tanda-tanda penyakit bermula dengan bintik kecil, nekrotik dan berwarna
hitam pada kudup, bunga, tangkai bunga dan keseluruhan jambak bunga.
Bintik-bintik tersebut membesar dan bercantum menyebabkan keseluruhan
jambak bunga menjadi hitam dan kering.
Kawalan: Seperti kawalan penyakit antraknos buah. |
-
Penyakit Antraknos Daun
Penyakit kulapuk hitam
selalunya dikelirukan sebagai penyakit jelaga hitam. Kulat
penyakit ini berbeza dengan kulat jelaga hitam kerana kulat ini adalah
adalah sejenis parasit obligate. Penyakit ini tidak menyebabkan
kerosakan yang teruk walaupun ia sering terdapat. Kulit ini
juga mengurangkan permukaan fotosintesis. Perhubungan yang
rapat antara kulat ini dengan koya adalah kerana manisan yang
dikeluarkan oleh koya menggalakkan pertumbuhan kulat ini.
|
 |
|
Penyakit ini bermula dengan
bintik nekrotik yang kecil tersebar di seluruh permukaan daun.
Lama kelamaan bintik-bintik membesar berbentuk bulat atau bersegi.
Dalam cuaca lembab atau hujan bintik-bintik menjadi lebih besar dan
dalam pelbagai bentuk. Tompokan ini berwarna perang muda hingga
kelabu keperangan di tengah dan perang gelap kehitaman di sekelilingnya.
Di musim kemarau tompokan menjadi kering dan gugur dan menyebabkan
daun berlubang-lubang seperti ditebuk.
Agen penyebab:
Patogen penyakit Antraknos ini ialah kulat Colletotrichum
gloeosporioides Penz.
Kawalan: Sama seperti antraknos buah. |
-
Penyakit Bintik Alga
Penyakit ini terjadi
apabila pokok kurang subur, keadaan tanah yang tidak baik dan pokok
yang ditanam terlalu rapat. Pada serangan yang teruk, alga ini
menutup permukaan daun dan ia juga menyebabkan kulit pada batang pokok
mangga mengelupas. |
 |
|
Terdapat tompok-tompok
berwarna perang seperti karat yang berukuran 5-8 mm pada permukaan
atas dan bawah daun. Lama kelamaan tompok yang berwarna karat
tadi menjadi pudar dan berubah warna menjadi perang kehijauan.
Dengan sendirinya tompokan itu akan hilang dan meninggalkan tompokan
putih, kering dan menjadi kehitaman menyebabkan kawasan untuk
fotosintesis pada permukaan daun kurang.
Agen
penyebab:
Penyakit
bintik daun alga ini disebabkan oleh alga hijau yang diberi nama
Cephaleuros virescens Kunze.
Kawalan:
-
permbaiki amalan-amalan pertanian seperti saliran, dll.
- pembajaan baja yang baik.
- sentiasa kawal serangga seperti hama dan penyakit kulat yang lain
dari semasa ke semasa.
- pokok yang ditanam terlalu rapat hendaklah dilakukan cantasan untuk
memperbaiki
pengudaraan kawasan tersebut dan supaya banyak terdedah kepada cahaya
matahari. |
-
Penyakit Kulapuk Hitam
Penyakit ini adalah
penyakit yang biasa didapati dan menyebabkan kerosakan yang teruk pada
daun-daun mangga. Daun mangga pada peringkat pucuk sangat peka
kepada penyakit ini. Jika serangan teruk, pucuk-pucuk pokok
mangga akan mati terutama di musim-musim hujan. Penyakit
antraknos daun ini adalah punca kepada jangkitan penyakit hawar jambak
bunga dan antraknos buah. Oleh itu kawalan penyakit antraknos
daun adalah penting untuk menghalang kerosakan pada jambak bunga dan
buah.
Tanda-tanda penyakit: |
 |
Serangan
kulapuk hitam kelihatan seperti tompokan hitam seperti baldu dan
terdapat di dalam berbagai-bagai betuk hingga sebesar 1 cm.
Tompokan ini selalunya banyak, meliputi seluruh permukaan daun.
Biasanya terdapat di permukaan atau daun, juga terdapat pada tangkai
dan ranting.
Agen
penyebab:
Penyakit ini disebabkan oleh kulat Meliola mangiferae Earle.
Kawalan:
Kawalan
penyakit ini boleh dibuat dengan menghapuskan koya-koya.
Penyemburan racun serangga dan racun kulat dari semasa ke semasa untuk
mengawal perosak-perosak utama akan melindungi pokok dari serangan
penyakit ini. |
-
Penyakit Jelaga Hitam
Penyakit jelaga hitam
tersebar luas dan biasanya terdapat pada tanaman mangga tetapi ia
bukanlah jenis parasitik. Ia mendapat makanan dari manisan yang
dikeluarkan oleh kutu daun, koya-koya dan lain-lain serangga.
Jelaga hitam menutup permukaan daun dan mengurangkan fotosisntesis
menyebabkan pokok mangga mengeluarkan buah yang sedikit dan pokok
kelihatan tidak sihat. |
 |
|
Haifa jelaga hitam ini juga
menyerap air menyebabkan permukaan daun sentiasa berkeadaan lembab dan
ini akan menggalakkan penyakit-penyakit lain merebak. Jelaga
hitam juga menyebabkan mutu buah rnedah untuk pemasaran. Jelaga hitam biasanya
terdapat pada batang, dahan, ranting , daun dan juga pada buah.
Pada daun dan ranting, kulat ini kelihatan seperti jaringan haifa yang
longgar atau lapisan nipis atau lapisan tebal seperti baldu.
Pada buah pula jelaga hitam kelihatan seperti selaput nipis berwarna
hitam yang bercorak seperti aliran airmata.
Agen
penyebab:
Penyakit
ini disebabkan oleh beberapa jenis kulat jenis Ascomycete.
Kebanyakan spesies ini mempunyai peringkat mengawan dan tidak
mengawan. Konidianya adalah jenis gelap dan begitu juga
perithecianya. Pertumbuhan berbagai jenis kulat ini menyebabkan
kerja mengenalpasti spesies sukar. Genera yang biasa didapati
pada mangga ialah:-
Tripospermum, Limaciluna, Trichopelteca, Chaetothyrium,
Antennulariella,
Capnodendron, Scorias (Neocapnodium), Scolecoxyphium dan Polychaeton.
Kawalan:
Kawalan
serangga yang mengeluarkan manisan. Sembur dengan racun
malathion, white oil, demoton-S-methyl dan methamidophos.
-
Penyakit Bintik Kerah (Crusty leaf
spot)
Penyakit ini biasa ditemui
pada daun-daun tua yang pokoknya kurang subur. Pokok di kawasan
dusun, tapak semaian dan pokok yang ditanam di kawasan rumah selalu
diserang oleh penyakit ini. Penyakit ini hanyalah menyebabkan
bintik-bintik pada daun dan tidak begitu merbahaya. |
 |
|
Penyakit ini kelihatan
seperti bintik gelap yang timbul, keras serta berbentuk bulat atau
lonjong. Bintik ini terdapat pada permukaan bawah daun.
Bintik keras ini berukuran lebih kurang 1 mm dan senang ditanggalkan
dari daun. Di permukaan atas daun pula bintik ini kelihatan
kekuningan dan di tengahnya bintik berwarna gelap. Daun-daun
pada dahan-dahan di bahagian bawah pokok kerap diserang penyakit ini.
Agen
penyebab:
Disebabkan oleh kulat yang bernama Zimmermaniella trispora P. Henn.
Kawalan:
Sembur
racun kulat untuk mengawal penyakit lain adalah mencukupi bagi
menjauhkan penyakit ini. Lakukan pembajaan yang betul dri semasa
ke semasa.
|
-
Penyakit Cendawan Angin
Penyakit ini adalah yang
paling merbahaya menyerang bahagian kulit dahan, ranting dan batang
utama pokok mangga. Pokok mangga yang berumur 5-15 tahun yang
mempunyai kanopi agak tebal amat mudah dihinggapi oleh penyakit ini.
Penyakit ini menyebabkan dahan yang diserang menjadi layu dan kering.
Keadaan ini akan mengurangkan kanopi dan juga keupayaan berbuah. |
 |
|
Pada peringkat awal,
terdapat bebenang putih seperti sutera di atas permukaan kulit batang.
Dalam keadaan yang sesuai bebenang tersebut terus membaluti batang dan
lama kelamaan warnanya bertukar menjadi merah muda. Bebenang ini
akan kering bila batang yang diserang menjadi kering dan mati.
Pada peringkat ini, maisila yang sterile berwarna merah muda menjadi
semakin tebal lalu membentuk selaput.
Agen
penyebab:
Disebabkan oleh kulat Corticium salmonicolor Berk et Br. dari keluarga
Corticiaceae.. Kulat ini mengeluarkan dua peringkat, iaitu peringkat
"corticium" dan "necator" Di peringkat "corticium" spora
dikeluarkan di atas lapisan hymenium. Pada peringkat "necator"
konidia dikeluarkan dari "sporodochium".
Kawalan:
Sentiasa
jalankan pengawasan supaya penyakit ini dapat dirawati sebelum jadi
teruk. Pangkas batang yang teruk diserang dan bakar. Sapu
bahagian yang diserang dengan racun kulat jenis tridemorph dan
lain-lain.
PEROSAK TANAMAN MANGGA DAN CARA MENGAWALNYA
-
Kumbang belangkas (Hypormeces squamosus)
Memakan pucuk, daun muda dan tangkai buah yang belum matang.
Buah akan luruh awal dan tidak akan masak walaupun diperam.
Balut buah di peringkat kecil. Sembur dengan dizinon atau
cypermethrin.
-
Kumbang pengerat pucuk (Deporaus marginatus)
Menyerang tanaman pada peringkat berpucuk. Sebur dengan
carbaryl, cypermethrin, deltamethrin atau dichlorvos.
-
Kumbang curculion (Alcidodes spp.)
Menyerang pucuk muda. Terdapat tanda hitam memanjang di
bahagian tangkai pucuk. Pucuk akan bantut dan mati.
-
Kumbang pengorek buah (Cryptorrjynchus mangiferae)
Mengorek lubang di peringkat putik lagi. Lubang akan tertutup
apabila buah semakin besar.
Sila klik di sini untuk keterangan lanjut !
-
Ulat
pengorek pucuk (Chlumetia transversa)
Larva mengorek bahagian pucuk dan terus memakan bahagian tengah
tangkai pucuk. Pucuk menjadi kecut dan mati.
-
Ulat
pengorek batang (Rhytidodera simulans)
Menyerang pokok matang. Ulat yang menetas di dalam ranting
mengorek masuk ke dalam pucuk dan terus menuju ke dalam batang.
Ranting atau dahan yang diserang mempunyai lubang-lubang dan daun layu
atau mati. Cantas dan musnah ranting yang diserang.
Kawalan dengan racun serangga seperti malathion atau carbaryl.
Masukkan paradichlorobenzene (ubat gegat) yang hancur ke dalam lubang,
ditutup dengan tanah liat.
-
Lelompat daun (Idioscopus nitidulus)
Dewasa dan nimfa menghisap sap dari daun muda, menjadikan daun kecil.
Kawalan dengan imidachloprid, carbaryl atau cypermethrin.
-
Lalat
Buah (Bactrocera dorsalis)
Menyerang buah yang hampir masak menjadikannya busuk dan berair.
Bungkus buah di peringkat sebesar telur ayam. Guna umpan protein
dicampur dengan racun serangga. Sembur dengan acephate,
cypermethrin, deltamethrin, dimethoate atau fenthion.
|
SPESIFIKASI PIAWAIAN DAN GRED MANGGA
(sumber: FAMA)
Skop
Spesifikasi piawaian dan
gred ini adalah untuk buah mangga yang dipasarkan di pasaran domestik yang
merangkumi buah jenis Harumanis, Maha, chokanan dan Nam Dok Mai.
Definasi Terma
Bagi tujuan
spesifikasi tersebut, terma-terma yang digunakan akan bermaksud:
- Tahap Kematangan
Terdiri daripada enam indeks kematangan seperti berikut:-
Indeks 1:
Buah muda berwarna hijau, kusam dan jika dimasukkan ke dalam bekas berisi
air (ujian densiti) buah akan timbul. Tidak sesuai untuk dipasarkan.
Indeks 2:
Hijau muda berkilat. Buah telah matang dan warna hijau.
Indeks 3:
Hijau kekuningan
Indeks 4:
Kuning Kehijauan
Indeks 5:
Kuning. Buah berwarna kuning keseluruhan dari pangkal hingga hujung
buah.
Indeks 6:
Kuning sedikit jingga. Buah telah terlalu masak dan lisut.
Tidak digalakkan untuk dipasarkan.
- Kotor
Terdapat pasir, lumpur, getah buah dan lain-lain yang boleh dibersihkan.
- Segar
Buah yang cantik dan bersih.
-
Cacat Bentuk
Bentuk buah yang ganjil dan tidak seperti bentuk biasa buah mangga.
-
Rosak
Buah yang rosak akibat kecederaan mekanikal seperti luka, pecah, lebam dan
busuk reput akibat serangan penyakit dan makluk perosak, lisut dan nyahwarna
luar biasa, lecur terbakar serta kesan seperti cacat rupa yang melebihi 25%
permukaan kulit buah.
-
Cacat Rupa
Mempunyai kesan tompok hitam akibat serangan lalat buah dan/atau kesan warna
kelabu akibat terkena getah semasa penuaian pada permukaan kulit buah.
Kesan-kesan ini terdapat pada 10%-25% permukaan kulit buah.
Keperluan Minima
Agak bebas daripada rosak
disebabkan kecederaan mekanikal dan penyakit, kotoran dan sesuai untuk
dimakan oleh manusia. Telah mencapai peringkat kematangan yang
mencukupi (indeks 2- indeks 5).
Pengelasan Gred dan Saiz
- Gred 1
Dari varieti sama dan
kandungan bahan pepejal larut > 8oBix
Keseragaman tahap kematangan (kelonggaran maksimum: 5%)
Kesegaran (kelonggaran maksimum: 5%)
Kecacatan: cacat rupa, cacat bentuk, kotor (kelonggaran maksimum:
10%)
Kerosakan (kelonggaran maksimum: 5%)
Saiz yang seragam (berat >500 gm) (kelonggaran maksimum: 5%)
- Gred 2:
Dari varieti sama:
Keseragaman tahap kematangan (kelonggaran maksimum: 5%)
Kesegaran (kelonggaran maksimum: 5%)
Kecacatan: cacat rupa, cacat bentuk, kotor (kelonggaran maksimum:
15%)
Kerosakan (kelonggaran maksimum: 10%)
Saiz yang seragam (berat 350-500 gm) (kelonggaran maksimum: 10%)
- Luar Gred:
Buah yang tidak memenuhi ciri-ciri di atas
Pembungkusan dan Perlabelan
Pembungkusan:
Buah mangga daripada gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas
yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada
kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan.
Perlabelan
Tiap-tiap unit pembungkusan
hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat berikut:-
- Tarikh
- Nama / kod penanam
- No. kad pengenalan
- No. Pendaftaran Syarikat
- Alamat
- Komoditi
- Berat Bersih
- Gred
Persampelan
Bilangan sampel dan kaedah
persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 78: 1973
Method of Sampling Fresh Fruits atau kaedah statistik yang dipersetujui.
Untuk keterangan lanjut,
sila hubungi:-
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
Kementerian Pertanian Malaysia
Bangunan FAMA POINT, Lot 17304, Jalan Persiaran Satu
Bandar Baru selayang, 68100 Batu Caves
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 603-61389622 Faks: 603-61383650 / 61385200
Emel:
fama@pop.moa.my
Laman web:
http://www.famaxchange.org/index.php
Rantaian ke Laman Mangga
|