PANDUAN MENANAM PERIA

 

Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia (L.) dari keluarga cucucrbitaceae. Asal usulnya tidak diketahui, tetapi kini ditanam hanya di kawasan beriklim torpika.  Buah-buah muda boleh dimasak dengan cara digoreng atau direbus untuk dijadikan masakan berkuah.  Kepahitan buah boleh dihilangkan denga cara merendam dalam air garam.

Komposisi makanan yang terdapat dalam peria ialah protin, karbohidrat, lemak, serabut, kalsium, besi, fosforus, kalium, natrium, karotena beta, vitamin B1, vitamin B2, vitamin C dan niacin.

VARIETI

Terdapat 3 jenis tempatan yang biasa ditanam iaitu jenis buah panjang, jenis buah pendek dan jenis peria katak.  saiz buah adalah berbeza antara 8-35 cm panjang can 2-6 cm garis pusat.  Jenis buah panjang adalah popular dan mengeluarkan hasil sebanyak 25-30tan/hektar

KEPERLUAN ASAS TANAMAN

Faktor Iklim
Memerlukan air yang banyak dan saliran yang baik, hujang 168 mm/bulan dan suhu yang tinggi.  Selain itu, kawasan penanaman perlu mendapat cahaya matahari yang cukup.

Faktor Tanah
Sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah yang kaya dengan bahan organik seperti tanah gambut, tanah liat ringan dan tanah liat berpasir.  pH yang sesuai ialah antara 5.5 - 6.5

KULTIVAR YANG DISYORKAN

Sehingga kini hanya satu kultivar yang disyorkan iaitu Peria Tempatan.  Pokoknya bercabang pada setiap buku batang utama dan dahan-dahan primer.  Daunnya ringkas dan mempunyai lima cuping.  Warna bunga (jantan dan betina) kuning.  Pokok mula berbunga 33 hari (jantan) dan 43 hari (betina) selepas ditanam.  Buah berwarna hijau muda dan berbentuk silinderm panjang 25 cm dan berat 380gm.  Buah dipungut 15 hari selepas berbunga.  Hasilnya 20-25 tan/ha.

PENANAMAN

Gunakan benih yang bermutu tinggi.  Sejumlah 3 kg biji benih diperlukan untuk sehektar penanaman.  Biji benih perlu dirawat menggunakan racun kulat captan pada kadar 15 g/10 kg benih.  Ini akan memberi peratus pertumbuhan yang elok di tapak semaian tanpa serangan perosak dan penyakit.

Bagi penanaman di ladang, biji benih ditanam secara terus ke batas sedalam 2-3 cm dengan jarak tanaman 1.5 m x 0.5m (7400 pokok/ha).  Benih ditanam satu baris sebatas.  Dua biji benih ditanam bagi setiap lubang lebih kurang 2 cm. antara satu sama lain.  Selepas 10 hari, anak benih dijarangkan kepada sepokok selubang.

Memasang Junjung / Penyokong

Memandangkan sayur jenis ini adalah bertabiat memanjat, kayu-kayu junjung atau penyokong adalah diperlukan.  Junjung perlu disediakan selewat-lewatnya dua minggu selepas menanam iaitu sebaik sahaja pokok telah mengeluarkan sulur-sulur paut.

Sistem para-para dawai adalah penyokong yang sesuai untuk tanaman peria.  Sistem ini menggunakan tiang-tiang junjung yang berukuran 2.5 m panjang dan bergaris pusat 6 cm.  Tiang-tiang ini dipacak di atas batas dengan jarak lebih kurang 4 m persegi.  Kemudian dawai kasar No. 10 dipasang di bahagian atas menghubungi kayu-kayu junjung tadi.  Ini diikuti dengan memasang dawai sederhana No. 14 di atas tiap-tiap batas dan dawai kecil No. 18 dengan jarak 18 cm antara satu sama lain sehingga memenuhi semua kawasan.

Apabila tinggi pokok lebih kurang 20 cm, tali-tali perlu dipasang pada tiap-tiap pokok dan kemudian diikat ke para-para dawai.

 


Pembajaan

Jenis Tanah

Jenis Baja

Kadar
(tan/ha/musim)

Masa
(minggu lepas tanam)

Cara

 Tanah Bris
 (Rudua)
Tahi ayam
(12:12:17:2)
 10
1
-1*
2,5, & 8
Tahi ayam digaul dalam tanah
keliling pokok
 Tanah Bris
 (Baging)
Tahi ayam
(12:12:17:2)
 25-30
1
-1*
2,5, & 8
Tahi ayam digaul dalam tanah
keliling pokok
 Bekas Lombong
 (Pasir)
Tahi ayam
(12:12:17:2)
30
1
-1*
2,4, 6, & 8
Tahi ayam digaul dalam tanah
keliling pokok
 Bekas lombong
 (gambut)
Tahi ayam
(12:12:17:2)
5
0.8
-1*
2, 5, & 8
Tahi ayam digaul dalam tanah
keliling pokok
 Tanah Lombong
 (mineral)
Tahi ayam
(12:12:17:2)
5
0.8
-1*
2, 5, & 8
Tahi ayam digaul dalam tanah
keliling pokok

* satu minggu sebelum tanam

Pengairan:
Peria memerlukan air yang cukup untuk membesar.  Penyiraman prlu dilakukan 1-2 kali sehari mengikut keadaan hujan, secara manual atau sistem pengairan renjis.

Pemangkasan
Pemangkasan perlu dilakukan dengan mencatas dahan-dahan sisi, terutama sekali bahagian bawah.  Daun-daun yang tua di bahagian bawah juga perlu dicantgas untuk menggalakkan pengudaraan antara pokok.

Membalut Buah
Tujuan membalut buah adalah untuk mengawal lalat buah bagi meningkatkan kualiti.  Buah peria hendaklah dibalut semasa peringkat putik berukuran lebih kurang 6 hingga 8 cm panjang. 

Pengairan
Boleh dilakukan dengan menyiram atau menggunakan sistem pengairan renjis.

Saliran:
Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran.  Parit ladang dibina untuk menyalirkan air berlebihan ke parit utama.

KAWALAN PENYAKIT DAN SERANGGA

Serangga yang biasa menyerang pokok dan buah peria adalah seperti berikut:-

  1. Kumbang Daun (Aulacophora flavomarginata)

    Menyerang daun dan akar.  Terdapat lubang-lubang di tengah daun.  Serangan teruk akan menyebabkan daun menjadi perang dan mati.  Larva yang berada dalam tanah akan memakan akar pokok dan menyebabkan pokok layu.

    Kawalan:  Sembur seluruh pokok dengan racun serangga seperti carbaryl jika ada tanda serangan.
     

  2. Lalat Buah (bactrocera spp)

    Menyerang buah ketika peringkat pokok sedang berbuah.  Buah yang diserang berkeadaan berlubang dan menjadi busuk.  Buah muda yang diserang teruk akan berubah bentuk dan menjadi terbantut.

    Kawalan:  Bungkus buah muda dan musnah buah-buah diserang.
     

Diantara penyakit yang mungkin menyerang tanaman peria ialah:-

  1. Penyakit Kulapuk Berdebu

    Disebabkan oleh kulat Erysiphe cichoracearum menyerang daun melalui angin dan air.  Tompok-tompok maisilia putih dan berdebu kelihatan di permukaan daun dan merebak ke seluruh permukaan daun.  Daun bertukar menjadi kekuningan, akhirnya perang, kering serta berkedut.  Pokok yang diserang kurang berbuah dan buah yang dihasilkan berkeadaan kecil.

    Kawalan:  Musnah daun-daun yang diserang.  Sembur dengan racun kulat seperti thiophanate-methyl atau carbendazim apabila terdapat tanda-tanda penyakit dan diulangi 7-10 hari sekali jika perlu.
     

  2. Kulapuk Downy (Downy middew)

    Kulat Pseudoperonospora cubensis, Berk & Curtis Rostovzex menyerang daun melalu angin.  Terdapat bintik-bintik berbentuk siku berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun.  Buah-buah terbantut, lapisan bawah daun diselaputi oleh spora.  Daun-daun kemudiannya menjadi perang dan akhirnya mati.

    Kawalan:  Musnah daun-daun yang diserang.  Sembur dengan racun kulat mancozeb atau chlorothalonil apabila terdapat tanda-tanda penyakit.  Ulangi selang 7-1 hari sekali jika perlu.

Penyemburan racun perosak hendaklah diberhentikan beberapa hari sebelum mengutip hasil.  Tempoh diladang mengikut hasil selepas semburan akhir adalah seperti berikut:-

Jenis Racun Hari
Carbaryl
Carbendazim
Chrorothalonil
Copper oxychloride
Cuprous oxide
Cymoxanil
malathion
mancozeb
maneb
paraquat
thiophanate-methyl
tribasic copper sulphate
zineb
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
3
3
3
tiada
tiada
14
3
14
14
tiada
14
tiada
14

Pengawalan Rumpai:
Perlu dilakukan ketika pokok-pokok masih kecil lagi.  Merumput ketika pokok-pokok sayur tersebut sudah besar dan menjalar mungkin akan lebih susah.  Racun rumpai pracambah metolachor boleh disembur selepas bijibenih peria ditanam.  Selain dari itu, kerja-kerja merumput perlu dilakukan.

Membuang Tunas:
Pembuangan tunas yang terbentuk pada dahan utama dan menjalarkan pokok dilakukan untuk menggalakkan pembentukan buah yang besar.  Buah-buah muda yang terselit di celah daun perlu dibetulkan supaya pembesaran buah tidak terganggu.

Kematangan, Pengutipan dan Pengendalian Hasil
Peria dijangka boleh dipungut hasil lebih kurang 8-9 minggu sleepas ditanam.  Pungutan hasil dibuat 1-2 hari sekali iaitu apabila kulit buah menjadi agak licin dan berwarna hijau muda.

Pengendalian Lepas Tuai
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.


 

PERIA - Pahit tapi Berkhasiat
(Sumber: Buletin Pengguna, Oktober 2007)

Peria mempunyai pelbagai khasiat termasuk protein, lemak, mineral, serat karbohidrat, vitamin dan kalsium.  Peria digunakan untuk merawat penyakit kencing manis.  Caranya minum perahan daripada 4-5 biji peria setiap pagi.  Bijinya yang dihancurkan boleh dicampur ke dalam makanan.  Selain itu, ia boleh dijadikan air rebusan atau serbuk.

Daunnya pula boleh merawat buasir.  Caranya, campurkan perahan daun peria ke dalam segelas susu dan minum setiap pagi selama sebulan.  Akar yang dihancurkan boleh disapu pada tempat buasir.  Peria juga boleh mengatasi masalah darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan rasa gatal.  Yang perlu dilakukan, campur segelas perahan peria dan secamca teh perahan limau.  Ia perlu diminum sedikit demi sedikit setiap hari selama 4-6 bulan.

Masalah ketagihan alkohol juga boleh diatasi dengan meminum air daun peria.  Ia juga boleh mengatasi masalah hati disebabkan pengambilan alkohol berlebihan.  Peria mengandungi tonik bertindak sebagai julap dan mampu meningkatkan selera makan.  Untuk mengurangkan rasa pahit, rendam ia ke dalam air garam sebelum dimasak.

Kandungan peria

Buah
83.92%
4-10%
1.5-2%
1.2-1%
0.8-1.7%
-
-
-
-
-
Air
Karbohidrat
Protein
Lemak
Serabut, mineral besi, fosforus, kalsium dan vitamin C.
Daun    
82-86%
17%
2.3%
0.1%
0.8%
-
-
-
-
-
Air
Karbohidrat
Protein
Lemak
Serabut, mineral besi, fosforus, kalsium dan vitamin B.
Biji    
50-65% - Asid eleostearik


Khasiat Makanan

Buahnya yang belum masak dijadikan sebagai sayur yang digoreng, dibuat sup, dikukus, direbus, masak kari dan sebagainya.  Buah, pucuk dan bunganya dijadikan sebagai perisa dalam masakan.  Buahnya boleh dijadikan sebagai jeruk, dikeringkan dan ditinkan.  Isi yang meliputi biji peria boleh dibuat manisan.

Khasiat Ubat-ubatan

Semua bahagiannya boleh dijadikan sebagai jus sebagai ubat luaran untuk penyakit kulit, serta dimakan bagi mengubati penyakit artritis, demam panas, masalah hati, reumatisme, asma, membunuh cacing dalam perut dan urus serta masalah kaum wanita.  Sebahagian bahagian tumbuhan boleh membantu melawaskan buang air besar.  Buahnya dimakan atau direbus sebagai ubat harba antimikrob, antitumor, membunuh cacing dalam perut dan usus, cirit-cirit, mengecutkan otot, minuman tonik, tonik perut, ubat kencing manis, merawat kulit terbakar, luka-luka, semput dan sakit perut.  Buah yang dimasak sebagai lauk boleh mengubati batuk, bengkak sistem penafasan dan banyak kahak.  Jus buah hijaunya diminum bagi mengubati cirit-birit dan bengkak usus besar.

RANTAIAN LAMAN WEB

 [ke Laman Utama]   [ ke belakang ]

 



Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
08 July 2009 11:36:44 PM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
© Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tidak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.