Nama Botani : Cymbopogen citratus
(DC.) Stapf.
Nama lain : Sereh makan (Indonesia), Takrai (Thailand) Lemongrass (Inggeris)
Famili : Graminae
Serai makan ialah sejenis tanaman saka dari famili Graminanea.
Terdapat 2 spesies serai makan yang dikenali umum di peringkat antarabangsa sebagai 'lemongrass' iaitu Cymbopogon citratus dan Cymbopogon
flexus. Penanaman C. flexus lebih tertumpu di kawasan Malabar, di India. Spesis C. citrates tersebar luas di kawasan beriklim tropika,
cukup cahaya matahari dan hujan. Taburan hujan yang seragam dengan jumlah antara 250 cm dan 300 cm paling baik, walaupun tanaman ini agak
tahan kepada kemarau. Tanaman ini juga sesuai dikebanyakan jenis tanah kecuali tanah yang terlalu liat dan salirannya tidak memuaskan.
Tanah gembur dari jenis lom berpasir adalah terbaik.
Serai Wangi
Nama Botani : Cymbopogon nardus (L.) rendle
Nama lain : Sereh wangi (Indonesia), Citronella (Inggeris)
Famili : Graminae
Bahan Tanaman:
Serai ini dibiak dengan menggunakan anak berakar. Anak-anak serai perlu
diambil daripada rumpun yang telah tua, berumur 8 - 9 bulan. Di dalam sesuatu rumpun, hanya anak-anak yang cergas iaitu sihat dan besar
digunakan sebagai bahan tanaman. Daun-daun dipotong meninggalkan batang setinggi 15-20 cm bersama dengan akar.
Penyediaan
Tanah:
Tanah hendaklah disediakan lebih awal supaya kerja menanam boleh dilakukan
semasa permulaan musim hujan. Satu pusingan bajak piring diikuti
oleh satu pusingan bajak putar biasanya mencukupi untuk mendapatkan tanah
yang gembur. Sekiranya kawasan terlalu banyak rumpai, racun rumpai
perlu disembur 2-3 minggu sebelum pembajakan.
Penanaman:
2-3 batang serai ditanam bagi setiap lubang tanaman. Jarak tanaman
dan kepadatan tanam bergantung kepada kesuburan tanah. Untuk tanah
yang kurang subur, jarak tanaman yang rapat digunakan dan sebaliknya bagi
tanah yang subur. Julat jarak antara baris ialah antara 0.6 m hingga
1.0 m manakala jarak antara lubang dalam sesuatu baris ialah antara 0.3 m
hingga 1.0 m. Kepadatan 20,000 rumpun sehektar adalah sesuai untuk
diamalkan dikebanyakan jenis tanah.
Pembajaan:
Serai makan
dikenali sebagai tanaman yang menghauskan tanah. Oleh itu pembajaan
yang sesuai adalah mustahak untuk menjamin kesuburan tanah dalam jangka
panjang. Keperluan pembajaan daripada segi kuantiti dan kekerapan
bergantung kepada status kesuburan tanah. Biasanya baja ditabur 3
kali, sekali sebagai baja asas dan 2 kali sebagai baja tambahan.
Baja asas ditabur dan digaul ke dalam tanah semasa atau sebaik sahaja
penanaman dilakukan.
Baja
tambahan pula dibubuh setiap 2 bulan selepas tanam. Jumlah baja yang
diperlukan bagi sehektar tanaman di tanah mineral ialah 80-100 kg N;
40-80 kg. P2 05 dan 40-80 kg. K20. Bagi tanah gambut, kapur sebanyak
2.5 t/ha perlu juga ditabur. Sebagai panduan, jadual pembajaan yang
dicadangkan untuk sehektar tanaman menggunakan baja sebatian ialah seperti
berikut:-
| Baja Asas |
- |
Sebatian
NPK 12:12:17:2 + unsur pekit sebanyak 250 g |
| Baja
Tambahan |
- |
Urea 65
kg setiap kali pembajaan dibubuh pada 2 dan 4 bulan selepas tanam. |
Kawalan
Rumpai:
Ladang
tanaman perlu juga dikawal daripada rumpai terutamanya di peringkat awal
pertumbuhan. Sekiranya penyediaan tanah dijalankan dengan baik, satu
atau dua kali merumput biasanya mencukupi. Sehingga kini belum ada
laporan mengenai serangga atau penyakit ke atas tanaman serai makan.
Penuaian:
Penuaian
serai makan untuk kegunaan segar boleh dilakukan 6-8 bulan selepas
ditanam. Rumpun-rumpun digali menggunakan cangkul. Akar serta
daun dipotong meninggalkan batang dengan upeh daun sepanjang 10-15 cm.
Bagi tanaman yang berkepadatan 20,000 rumpun/ha, biasanya serumpun serai
menghasilkan antara 30 dan 40 batang yang boleh dipasarkan. Daun dan
batang yang biasanya dibuang boleh juga disuling untuk pengeluaran minyak
pati.
Untuk
pengeluaran minyak pati pula, penuaian pertama juga dilakukan setelah
tanaman berumur 6-8 bulan. Daun-daun dipotong lebih kurang 10 cm di
atas paras tanah. Rumpun-rumpun dibiarkan tumbuh semula, dibaja dan
dipotong semula setiap 3-4 bulan. Selepas kira-kira 4 tahun
penanaman semula perlu dilakukan kerana hasilnya semakin rendah.
Hasil daun segar setiap kali penuaian/pemotongan ialah antara 8 dan 12
tan/ha. bergantung kepada umur dan kesuburan tanaman. Oleh itu,
anggaran hasil bagi tahun pertama ialah 16-24 tan/ha (2 kali penuaian) dan
bagi tahun-tahun berikutnya ialah 32 hingga 48 tan/ha.
Pengeluaran
Minyak Pati
Keharuman
dan perisa serai makan disebabkan oleh minyak pati yang terkandung didalam
daunnya. Minyak pati serai makan berwarna kuning hingga cokelat,
kemerahan dan berbau seperti limau 'lemon'. Minyak ini terdiri
daripada beberapa sebatian, kandungan utamanya ialah sitral iaitu sejenis
aldehid. Peratusan sitral minyak pati daripada C. citratus ialah
antara 65% hingga 85%.
Pengendalian
Lepas Tuai
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.
KOS
Kos-kos yang terlibat secara amnya, bagi projek penanaman serai seluas 1 ekar
(0.4 hektar) semusim.
Benih - Benih serai harganya dari 6-10 sen sebatang, bergantung pada kawasan dan
jenis. Ada sesetengah projek ladang kontrak, pengusaha harus membayar lebih
sedikit untuk benih kerana benih-benih terpilih sahaja yang disediakan oleh
pemproses.
JCB/Backhoe - RM300-350/ hari (bergantung pada kawasan)
Traktor pembajak/rotor - RM120-300/ekar (bergantung pada kawasan)
Baja, Racun rumpai & Racun serangga - Bergantung pada jenis dan harga di
sesetengah tempat.
Upah (menanam & harvest) - bergantung pada anda.
Cash Flow Serai…sila
lungsur laman di sini !
Rantaian ke Laman Serai