|
PANDUAN MENANAM
TIMUN DAN
TIMUN JEPUN
Nama Botani
Famili
|
: Cucumis Sativus
Linn
: Cucucbitacea
|
|
Sila klik pada tajuk-tajuk di bawah ini:-
|

|
|
 |
Varieti:
-
MT 1
Varieti MARDI ini ditanam di pantai timur. Lambat mengeluarkan hasil
(7-11 minggu selepas menanam). Buahnya pendek dan banyak (10-15
biji/pokok). Hasil dari varieti ini adalah 15-25 tan/hektar.
-
MT 2
Varieti MARDI. Cepat mengeluarkan hasil. Buahnya sederhana
besar dan sangat ranggup. Pungutan hasil ialah 5-10 minggu selepas
menanam. Hasilnya ialah 20-30 tan/hektar.
-
Simpang Pulau
Varieti ini popular di Perak. Kulit buah berwarna hijau tua.
Buah sederhana besar. Hasil adalah 20-25 tan/hektar.
Pengenalan:
Timun boleh ditanam di ladang ataupun di sekeliling rumah. Pokoknya tidak
memerlukan ruang yang luas kerana ia adalah sejenis sayuran yang menjalar,
yang perlu hanyalah cacakan kayu atau pagar-pagar tegap supaya pokok dapat
memanjat. Timun tidak memerlukan perhatian yang rapi seperti
pokok-pokok lain.
Sebagai ulam timun mengandungi
Vitamin A dan kelebihan zat ini tidak dapat ditandingi dengan sayur-sayuran lain
seperti kacang bendi dan labu. Timun mengandungi Vitamin A yang setanding
dengan cili hidup iaitu lebih kurang 130 IU/Ox (4.6 IU/gm).
Kesusuaian Tanah:
Tanah yang sesuai untuk tanaman
timun ialah tanah yang gembur, mengandungi cukup bahan-bahan organan,
mempunyai saliran yang baik dan berkeupayaan memegang air. Pokok
timun memerlukan hawa panas tetapi tidak terlalu terik, kerana kalau terik
ia memerlukan lebih baja dan air. Jika penanaman dimulakan di
pertengahan musim kemarau, pokok menjadi kerdil, kerana kekurangan air di
dalam tanah untuk pokok menghisap. Sebaik-baiknya penanaman
dimulakan di akhir musim hujan di mana udara lebih sejuk disamping suhunya
menggalakkan benih timun bercambah dengan cepat.
Tanah digembur dengan cangkul
atau ditenggala dengan trektor. Buat batas berukuran 1.2 m lebar x
7.6m panjang dan 23-26 cm tinggi. Bubuh baja organan (tahi lembu
atau tahi ayam yang reput dan bakaran sampah sarap) di setiap lubang
tanaman atau di dalam parit kecil yang dibuat di kedua belah batas.
Banyak baja bergantung kepada kesuburan tanah (11.5 kg/batas atau 12.6 tan
metrik/ha).
Penanaman:
Benih timun boleh ditanam terus
atau dicambahkan dan diubah ke ladang. Jarak tanaman yang disyorkan
ialah 60 cm x 60 cm (2' x 2'). Dua barisan tanaman timun boleh
ditanam atas tiap-tiap batas. Benih timun ditanam terus ke lubang
dengan kadar 2-3 biji benih selubang. Siram dua kali sehari.
Percambahan akan berlaku selepas 3-4 hari. Selepas 10 hari anak
pokok yang kurang subur dibuang dengan meninggalkan 1-2 pokok di satu
tempat.
Benih timun boleh juga
dicambahkan di dalam kain bersih yang basah, dan seterusnya tiga anak
semaian diatur di dalam 'kerek'. Anak-anak semaian di dalam 'kerek'
diubah ke ladang selepas 4-6 hari. Pilih anak semaian yang subur
sahaja untuk diubah. Pembajakan berikut boleh digunakan:-
14 bahagian Sulphate of Ammonia
11 bahagian Double Superphosphate
5 bahagian Muriate of Potash
11 bahagian Kieserite
atau gunakan baja sebatian NPK
Hijau (15:15:15). Baja dua minggu sekali sebanyak 14_28 gm
sepokok/sekali, iaitu bila anak semaian berumur 10-12 hari. Tabur
keliling pokok atau ke dalam parit kecil yang dibuat di kiri kanan barisan
anak-anak timun. Pokok timun memerlukan sokongan sebaik-baik sahaja ia
mengeluarkan jari-jari, iaitu apabila anak pokok berumur 14-16 hari.
Pokok timun perlu disiram
sekurang-kurang sekali sehari sehinggalah hasilnya dipungut. Dalam
musim hujan pokok-pokok timun tidak sepatut disiram terlalu kerap.
Merumput patut dilakukan supaya tidak ada persaingan untuk zat makanan
antara rumput dengan pokok timun dan untuk mengelakkan pembiakan musuh dan
penyakit. Merumput dilakukan dengan tangan atau dengan cangkul.
Membuat
Junjung / Penyokong:
Pokok timun bertabiat
menjalar dan memerlukan junjung / penyokong untuk memanjat. Kayu
junjung/penyokong yang dibuat daripada kayu hutan, buah dan lain-lain
sistem para. Sistem trellis yang menggunakan tiang-tiang kayu,
para-para dawai dan tali rafia tahan lama tetapi kos adalah lebih tinggi.
Pembajaan:
Timun memerlukan nutrien sebanyak 150-200 kg N, 30 kg P, 160-200 kg dan 20
kg Mg bagi sehektar. Baja organik dan inorganik yang disyorkan adalah
seperti berikut:-
|
Pusingan |
Masa |
Jenis Baja |
Kadar/batas
(7.5m x 1.2m) |
Amaun/hektar
(650 batas) |
1
2
3
4 |
Sebelum menanam
2 minggu
4 minggu
6 minggu |
Baja organan
NPK 15:15:15
NPK 12:12:17:2
NPK 12:12:17:2 |
6
kg
300 kg
450 kg
450 kg |
4
tan
200 kg
300 kg
300 kg |
Pengairan:
Memerlukan lembapan yang
cukup untuk hidup subur. Penyiraman perlu dilakukan 1-2 kali sehari,
kecuali pada hari hujan, secara manual atau sistem pengairan renjis.
Musuh:
Musuh yang selalu menyerang
timun ialah penyakit ulat dan kumbang Aulacophora, ulat lalat buah (dacus
spp.) dan kutu daun. Gunakan racun serangga untuk mengawal
musuh-musuh ini.
Penyakit:
Penyakit yang selalu menyerang
timun ialah Bintik Berpusar, Kulapok Downy dan Kulapok Debu. Gunakan
racun kulat untuk mengawalnya.
Pungutan
Hasil:
Buah timun dapat dipungut lebih
kurang 30 hari selepas ditanam. Pungutan dibuat dua hari sekali.
Ia akan terus mengeluarkan hasil selama 25-30 hari. Buah yang masak
mempunyai kulit yang licin sementara yang muda kulitnya kasar dan
berkilat.
PANDUAN MENANAM TIMUN JEPUN SECARA
SISTEM HIDROPONIK
Pengenalan:
Sistem ini merupakan kaedah
penanaman tanpa tanah di mana bahan makanan dibekalkan melalui larutan
nutrien dan garam galian. Oleh kerana sistem hidroponik memerlukan
modal yang tinggi, jenis tanaman yang bernilai tinggi seperti timun Jepun
disyorkan. Setakat ini, keluasan tanaman ini yang diusahakan secara
hidroponik masih kecil. Namun demikian sistem ini berpotensi
diperluaskan untuk pasaran tertentu di bandaraya.
Pengeluaran secara sistem hidroponik
perlu dilaksanakan di bawah struktur pelindung hujan. Antara kebaikan
sistem ini ialah:-
pengeluaran hasil bagi satu unit
kawasan adalah lebih tinggi kerana pengambilan baja lebih efisien dan jarak
tanaman yang lebih rapat
menggalakkan pengeluaran sayuran yang
berterusan sepanjang tahun
menggalakkan impak percikan air hujan
ke atas tanaman dan seterusnya kerosakan tanaman
FAKTOR-FAKTOR
PENTING DALAM PEMILIHAN SISTEM
Pasaran
Pasaran merupakan faktor penting dalam menentukan jenis sayuran yang diusahakan
dan juga teknologi pengeluaran yang sesuai. Pasaran pula ditetapkan
mengikut lokasi dan permintaan terhadap jenis sayuran. Permintaan pasaran
terhadap sayuran tertentu dan secara berterusan sepanjang tahun menggalakkan
penggunaan sistem ini.
Kemampuan Kewangan
Penggunaan teknologi ini memerlukan kos permulaan yang agak tinggi, pengusaha
perlu mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh.
Tenaga Kerja
Dalam keadaan di mana tenaga kerja terhad, sistem ini sangat sesuai disyorkan
sebagai alternatif.
Pengetahuan dan Pengalaman
Pemilihan kaedah pengeluaran yang sesuai juga bergantung kepada kemahiran
pengusaha. Pengetahuan dan pengalaman dalam penyelenggaraan tanaman secara
sistem hidroponik adalah penting untuk memastikan kejayaannya.
KULTIVAR YANG
DISYORKAN
Dua kultivar yang disyorkan adalah
Sakata Seeds No. 67 dan Sakata Seeds No. 69. Ciri kedua-dua kultivar ini
adalah seperti berikut:-
|
Kultivar |
Sakata Seeds No.67 |
Sakata Seeds No. 69 |
Nisbah bunga
betina : jantan
Masa berbunga (lepas disemai)
Warna buah
Bentuk buah
Berat buah
Lain-lain ciri |
50
: 50
35-37
Hijau tua
Lurus
90-100 gm
Duri halus putih di permukaan buah |
80
: 20
35-37
Hijau tua
Lurus
90-100 gm
- |
JENIS SISTEM
Jenisnya ialah Intermittent
Nutrient Flow Technique (INFT). Bagi sistem ini bakul-bakul kecil
yang mengandungi anak benih, diletakkan di dalam lubang pada penutup palong
dengan akarnya mencecah larutan nutrien. Pelan latar asas sistem INFT
(lihat Rajah 1).
PERALATAN SISTEM
Peralatan yang diperlukan untuk
sistem ini adalah seperti berikut:-
- Tangki air berkapasiti 1000
liter
- Pam letrik berkuasa 2 H.P.
- Bekas takongan atau palong
berukuran 4 m panjang x 0.2 m lebar x 0.1 m dalam
- Paip masuk air, jenis P.E.
Grade D, berikuran 50 mm untuk mengepam air ke dalam palong.
- Paip buang air, jenis P.E.
Grade 0, berukuran 100 mm untuk mengumpul air yang mengalir dari palong.
Bekas air adalah
penting dalam sistem hidroponik. Air tadahan hujan atau air paip boleh
digunakan. Bagi air paip, kandungan klorinnya perlu diawasi sebelum air
digunakan. Kandungan klorin boleh dikurangkan dengan membiarkannya dalam
takongan sehari.
Bagi sistem ini,
larutan nutrien dipam dari tangki air secara berkala ke dalam palong.
Pam untuk menggerakkan dan mengalirkan air dijadualkan berjalan selama
setengah jam setiap satu jam mulai pukul 7 pagi hingga 7 malam (pam dijalankan
8 kali dengan jumlah 4 jam sehari).
Bekas takongan
biasanya dalam bentuk palong dan saiznya berbeza mengikut keperluan.
Bekas takongan ini digunakan untuk mengisi larutan nutrien yang mengalir dan
boleh dibuat dengan kayu (lihat Rajah 2)..
Palong-palong dibuat daripada plywood setebal 1 cm. Saiz palong adalah
400 cm panjang x 20 cm lebar x 10 cm dalam. Palong-palong ini perlu
dilapikkan dengan plastik hitam tebal. Bagi kawasan seluas 10 m x 20 m,
ia boleh menempatkan 80 palong.
Styroform yang
dipotong mengikut ukuran palong digunakan sebagai penutup palong.
Lubang-lubang yang boleh memuatkan bakul semaian ditebok di styroform mengikut
jarak tanaman yang akan diusahakan. Bagi tanaman timun Jepun, jarak
lubang adalah 40.5 cm. Palong-palong boleh diletakkan di atas para-para
yang dibuat daripada kayu (lihat Rajah 3).
Empat palong boleh diletakkan di atas satu rak di mana empat palong ini
mendapat bekalan air dari satu paip masuk dan satu paip buang.
Palong-palong hendaklah diletakkan mencondong ke sebelah (dengan cerun 1:100)
supaya air dapat mengalir daripada bahagian masuk air kepada bahagian buang
air melalui tekanan graviti. Air yang dikumpulkan dalam tangki dipamkan
semula ke dalam palong-palong tersebut.
Dalam sistem
INFT ini, kepingan styroform berukuran 17.6 cm lebar x 5 cm tinggi dari 1.2 cm
tebal diletakkan di bahagian tengah dan hujung tiap-tiap palong sebagai
sekatan. Ini adalah untuk memastikan sedikit air dapat bertakong semasa
pam tidak berjalan. Kaedah ini juga menjamin tanaman tidak terjejas
sekiranya berlaku masalah terputus bekalan letrik. Semasa pam tidak
berjalan, takongan air baja yang bertakung kerana adanya sekatan dalam setiap
palong memadai untuk keperluan tanaman.
(Sila lihat pelan struktur sistem hidroponik) !
PEMILIHAN
STRUKTUR PELINDUNG
Struktur
pelindung hujan digunakan untuk pengeluaran sayuran secara hidroponik.
Struktur ini sama seperti rumah dan dibuat daripada kayu tetapi bumbungnya
adalah bahan plastik yang lutsinar dan tidak berdinding. Struktur jenis
kayu adalah lebih murah dan senang dibina walaupun tempoh hayatnya lebih
pendek daripada jenis besi.
Bentuk yang
popular adalah gergaji dan gable. Jenis tiang yang disyorkan adalah kayu
keras (Kelas B). Bagi bumbung, kayu kelas C yang berkualiti sederhana
boleh digunakan (lihat Rajah 4 dan 5).
PENYEDIAAN
LARUTAN NUTRIEN
Sebelum anak
benih dialih, bancuhan baja dalam tangki dibuat terlebih dahulu.
Campuran baja yang dibuat adalah mengikut jenis tanaman yang diusahakan,
kerana setiap tanaman mempunyai keperluan baja yang berlainan. Tanaman
timun Jepun memerlukan kadar Kalium dan Kalsium yang berbeza. cF atau
condutivity factor dan pH larutan baja juga perlu sentiasa dalam lingkungan
yang disyorkan iaitu pH 5.5 - 6.5 dan 20 - 30 cF.
Contoh formulasi
baja dalam tangki hidroponik
|
Jenis Nutrien |
g/1000 liter air |
|
Larutan A: CaNO3 |
900 |
|
Larutan B: KNO3 |
600 |
|
MgSO4 |
450 |
|
KH2PI4 |
160 |
|
EDTA-FE4 |
7.9 |
|
ZnSO3 |
0.4 |
|
MnSO4 |
1.5 |
|
CuSO4 |
0.3 |
|
NH4Mo4 |
0.1 |
|
H3BO3 |
1.7 |
Formulasi baja larutan pekat di
dalam pasaran biasanya dirumuskan sebagai Rumusan A dan B, di mana rumusan A
adalah kalsium nitrat dan rumusan B adalah campuran lain-lain nutrien.
Setiap rumusan adalah larutan pekat dan perlu diasingkan untuk mengelakkan
pemendapatan jika kedua rumusan pekat ini dicampurkan. Dalam persediaan
larutan baja di dalam tangki yang luas seperti 1000 liter, rumusan A dan B
dicampur dengan kadar 1:1. Campuran kedua-dua rumusan dalam tangki air
yang besar tidak akan menyebabkan pemendapatan.
PENANAMAN DAN
PENYELENGGARAN POKOK
- Menyemai biji benih
Sebanyak 3 g biji benih timun Jepun diperlukan untuk sistem hidroponik di
rumah lindungan berukuran 10 m x 20 m. Semaian tanaman disediakan
terlebih dahulu sebelum diletakkan ke dalam palong tanaman. Semaian
biasanya dilakukan 5-7 hari sebelum dialih. Sedikit rockwool digunakan
sebagai media percambahan dalam setiap bakul. Bakul-bakul yang telah
disemai dengan biji benih ini diaturkan ke dalam bekas yang diisi dengan
sedikit air baja dan diletakkan di kawasan yang redup.
- Jarak tanaman
Bekas-bekas yang mengandungi anak benih yang sihat dan subur sahaja dipilih
untuk dialihkan ke palong tanaman. Bekas-bekas ini diletak di dalam
lubang palong yang berjarak 40.5 cm antara satu sama lain sepanjang palong.
Jarak tanaman diantara pokok di dalam palong lain adalah 40.5 cm tiga segi
sama. Sebanyak 700 pokok diperolehi dari kawasan 10 m x 20 m
(lihat Rajah 6).
- Menyedia trellis
Sistem trellis perlu disediakan kerana varieti Sakata adalah jenis
indeterminate. Sokongan kayu untuk dawai-dawai trellis di sediakan di
kedua hujung palong dan di tengah palong. Tinggi sokongan kayu adalah
20 cm. Dawai halus dipasang selari dan melintang dengan panjang palong
dengan jarak 60 cm antara satu sama lain (lihat
Rajah 7).
Pokok timun Jepun dilatih dan diikat dan diikat ke dawai trellis supaya
dahan-dahan cabang menegak dan cabang-cabang akan berada di bahagian atas
trellis dawai yang disediakan apabila pokok membesar. Dahan-dahan
berlebihan di bahagian atas dan di bawah trellis akan dibuang supaya
pengudaraan mencukupi dan tidak menggalakkan keadaan lembab yang boleh
menyebabkan serangan penyakit.
- Kawalan perosak
Semburan racun kulat perlu pada peringkat pertumbuhan awal. Semburan
racun serangga perosak dibuat apabila diperlukan sahaja. Kadangkala
semburan baja daun terutama kalsium diperlukan untuk menjamin kesuburan
pokok (terutama untuk megelakkan penyakit blossom end rot bagi tanaman
tomato).
Pengawasan yang rapi perlu dijalankan dan langkah-langkah kawalan diambil
segera apabila serangan perosak atau penyakit melebihi Paras Ambang
Ekonomik. Semburan racun perosak sekiranya perlu, dijalankan secara
semburan setempat iaitu menyembur pada pokok tanaman yang diserang perosak
atau penyakit sahaja. Kumbang daun (penyakit kulapuk downy), kutu daun
(penyakit kulapuk berdebu) dan lalat buah (penyakit antraknos lecur anak
benih dan penyakit virus) adalah diantara perosak dan penyakit timun Jepun.
PEMBACAAN pH
dan cF
Alat meter ringkas untuk membaca
paras pH dan kepekatan bahan larut cF perlu untuk menyelenggara keadaan
larutan baja dalam tangki atau palong. Bacaan ini amat penting untuk
memastikan larutan baja mengandungi zat yang secukupnya dan tidak kurang atau
terlebih daripada keperluan tanaman. Pemerhatian terhadap kekurangan air
dalam takungan perlu dibuat dan ditambah bila perlu. Bacaan cF dan pH
perlu ditahap yang disyorkan dan penambahan larutan dibuat untuk mendapat
bacaan yang sesuai.
PENGUTIPAN
HASIL
Hasil dikutip 35-37 hari selepas
disemai apabila panjang buah timun Jepun berukuran lebih kurang 20 cm.
Timun digred berdasarkan saiz, warna, kesegaran, tahap kecederaan mekanikal
dan kesan serangan penyakit dan serangga. Buah-buah timun yang baik
perlu diasingkan daripada buah-buah yang rosak akibat serangan penyakit atau
serangga, bengkok, terbantut dan berwarna kuning. Pembersihan dengan air
tidak digalakkan kecuali jika terlalu kotor.
Buah-buah yang dipilih dibungkus
dalam beg plastik polietilena yang mempunyai lubang-lubang kecil. Untuk
memanjangkan tempoh penyimpanan buah timun, ia perlu disimpan di dalam bilik
sejuk pada suhu 15oC dengan kelembapan relatif diantara 90-95%.
Pada suhu ini, timun boleh disimpan selama 2 minggu tanpa mengalami penurunan
mutu yang ketara.
Pengendalian Lepas Tuai
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.
SPESIFIKASI
PIAWAIAN DAN GRED
Spesifikasi piawaian dan gred
ini meliputi timun hijau keputih-putihan dan timun susu daripada varieti
Cucumis sativus L. yang ditanam di Semenanjung Malaysia.
- Indeks I
Muda. Timun berkenaan belum mencapai tahap kematangan. Terdapat
jalur-jalur hijau meliputi sehingga keseluruhan permukaan kulit daripada
bahagian pangkal hingga hujung timun.
- Indeks 2
Matang. Timun berkenaan telah mencapai tahap kematangan.
Jalur-jalur hijau meliputi sekurang-kurangnya dua pertiga daripada permukaan
timun dan selebihnya berwarna keputih-putihan.
- Indeks 3
Tua. Timun berkenaan telah terlalu matang dan jika dipotong bijinya
agak keras dan 'seed cavity' agak berserat. Warna keputih-putihan
telah bertukar kepada warna kekuning-kuningan.
Keperluan
Minima
Agak bebas daripada rosak
disebabkan kecederaan mekanikal dan penyakit, kotoran, kecacatan dan sesuai
untuk dimakan oleh manusia serta telah mencapai peringkat matang.
Pengelasan Gred dan Saiz
|
Gred |
Ketentuan |
Kelonggaran (%
maksimum) |
| 1 |
Kematangan yang
seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang > 23 cm) |
5
10
15
5 |
| 2 |
Kematangan yang seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang 18-23 cm) |
10
15
20
10 |
|
Luar Gred |
Timun
yang tidak memenuhi ciri-ciri gred di atas |
|
Pengelasan Gred dan Saiz Timun Susu
|
Gred |
Ketentuan |
Kelonggaran (%
maksimum) |
| 1 |
Kematangan yang
seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang > 21 cm) |
5
10
15
5 |
| 2 |
Kematangan yang seragam (Indeks 2)
Kerosakan
Kecacatan (cacat bentuk, cacat rupa, kotor)
Saiz yang seragam (panjang 19-21 cm) |
10
15
20
10 |
|
Luar Gred |
Timun yang tidak
memenuhi ciri-ciri gred di atas |
PEMBUNGKUSAN
DAN PERLABELAN
PERSAMPELAN
Bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan
pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 1187:1990 Method of Sampling For
Fresh Vegetables, atau kaedah statistik yang dipersetujui.
ALIRAN KEWANGAN TANAMAN TIMUN
Sila klik di sini untuk
lihat contoh aliran kewangan tanaman timun sebagai panduan.
|