|
PANDUAN MENANAM TERUNG
Nama
Botani
Famili |
:
: |
Solanum
melongena
Solanaceae |
VARIETI:
-
Hock Chew
Bentuk buah adalah panjang dan sedikit bengkok serta kulit buah berwarna ungu.
Bilangan buah/pokok adalah 30-32 biji. Panjang buah 25-27 sm.
-
Pingtung Long
Bentuk buahnya panjang lurus yang berukuran 28 sm seberat 110 g.
-
Farmers Long
Bentuk buahnya panjang dan lurus berukuran 28 sm, garis tengah ialah 3.5 m dan
kulit berwarna ungu serta tipis dan berisi putih.
-
Extra Long
Sangat panjang, ramping dan lurus. Isinya berwarna putih dan halus.
Buahnya berukuran 30-40 sm panjang dan garis tengahnya 2.5 - 3 sm.
-
MTE 1
Disyorkan oleh MARDI. Bentuk buahnya sepanjang 18-25 sm dan garis
tengahnya 2.0 - 3.5 sm. Warna buahnya biru tua/ungu dan berat buah 90-100
g/biji.
-
MTE 2
Disyorkan oelh MARDI. Bentuk buah adalah bulat dan warnanya biru
kehijauan/mungu muda. Saiz buah 7.5-9.0 sm garis tengah. Beratnya
ialah 160-250 g/biji.
IKLIM DAN TANAH
Terung tumbuh subur di kawasan
ketinggian sehingga 900 a.p.l. Ia memerlukan perubahan kecil dalam suhu
harian dan keadaan sekitar terlindung. Pengairan diperlukan pada musim
panas. Terung hidup subur di atas berbagai jenis tanah yang mempunyai
saliran yang baik dan kaya dengan baja organan. pH tanah ayng paling
sesuai ialah 6.0 - 7.0
PENYEDIAAN TANAH
-
Di ladang
Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm (6-9 inci). Sediakan
batas berukuran 1.2 m (48 inci) lebar dan 22-39 cm (9-12 inci) tinggi.
Panjang batas mengikut keadaan kawasan. Jarak antara batas ialah 45 cm (18
inci). Gaulkan tahi ayam reput ke dalam tanah sebanyak 50 kg bagi 50 meter
persegi (500 kaki persegi).
-
Dalam Pasu
Dalam pasu dan bekas-bekas lain. Gunakan tanah campuran mengandungi 3
bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir.
Isikan tanah campuran tersebut ke dalam pasu hingga 5 cm (2 inci) dari permukaan
pasu.
MENYEDIAKAN ANAK
BENIH Bagi tanaman di ladang, sediakan
kotak semaian berukuran 45 cm (18 inci) panjang, 22 cm (9 inci) lebar dan 10 cm
(4 inci) tinggi. Isikan kotak semaian dengan tanah campuran yang
mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir
(klik sini untuk lihat gambar rajah).
Semai 3 gm biji benih ke dalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih
dengan lapisan nipis tanah. Jarak antara barisan biji benih ialah 5 cm (2
inci) dan 2 cm (1 inci) antara biji benih. Siram dengan penyiram yang
mempunyai semburan halus dua kali sehari. Kotak semaian mesti dilindungi
cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan. Ubah anak benih ke ladang
3-4 minggu selepas disemai. Sebelum diubah ke ladang dedah anak benih
kepada cahaya matahari yang penuh selama 3-4 hari untuk mengeraskannya.
MENANAM
Di Ladang
Anak benih yang berumur 3-4 minggu boleh diubah terus ke batas. Sebelum
mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang digali.
Kemudian, gali anak benih dengan segumpal tanah dan tanam terus ke batas.
Jarak tanaman ialah 90 cm (36 inci) antara pokok dan 60 cm antara baris.
Dalam Pasu
Tanam terus 3-4 biji benih ke dalam pasu sedalam 2-5 cm (1 inci).
Tinggalkan sepokok sepasu 2 minggu selepas menanam.
MENYIRAM
Siram tanaman pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.
MEMBAJA
Di Ladang
Tabur baja NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok dengan kadar 1 sudu
besar atau 10 gm sepokok setiap dua minggu.
Dalam Pasu dan Bekas-bekas lain
Tabur 1 sudu teh atau 5 gm baja NPK Blue Special (12:12:17:2) sepasu di keliling
pokok setiap minggu.
SUNGKUPAN
- Di ladang -Gunakan rumput-rumput kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan.
- Dalam Pasu dan Bekas-bekas Lain -Gunakan rumput-rumput kering.
MERUMPUT
Bersihkan batas-batas daripada rumput rumpai dengan menggunakan tangan, cangkul atau tajak. Bajak tanaman di
pasu cabut rumpai yang tumbuh.
MENYEDIAKAN SOKONGAN
Di Ladang
Satu kayu sokongan sepanjang lebih kurang 1 1/2 meter (5 kaki) dipacak
berdekatan tiap-tiap pokok. Dahan-dahan pokok diikat dengan tali rafia
supaya buah terung tidak terkena permukaan tanah.
Dalam Pasu dan Bekas-bekas Lain Cara sokongan yang diamalkan adalah sama dengan sokongan yang dibuat di ladang
tetapi kayu yang digunakan berukuran 1:2 pH (4 kaki) panjang.
KAWALAN SERANGGA DAN PENYAKIT
Serangga
Sembur racun serangga carbaryl (Sevin
pada kadar 1 sudu besar (10 gm) segelen air) untuk mengawal ulat lipat daun,
kumbang daun dan pengorek buah.
Penyakit Layu Bakteria
Penyakit ini boleh dielakkan dengan membuat penelitian yang kerap,
pengurusan yang baik serta sistem pengairan yang sempurna dan melakukan sistem
tanaman pusingan. Teknik-teknik cantasan terkini pula boleh membantu
meningkatkan hasil
(sila lihat panduan mencantas/pangkas
pokok).
Penyakit Reput Buah
Gunakan racun kulat maneb (seperti
Megamaneb pada kadar 1 sudu besar atau 10 gm segelen air) untuk mengawal
penyakit reput buah dan racun kulat benomyl (seperti Benlate) pada kadar 1 sudu
teh atau 3 gm segelen air untuk mengawal bintik daun.
MEMUNGUT HASIL
Di Ladang
Mulalah memetik buah 6 minggu selepas
mengubah. Pungutan hasil dibuat setiap 4 hari. Anggaran hasil ialah
sebanyak 75 hingga 125 kg bagi 50 meter persegi.
Dalam Pasu dan Bekas-bekas Lain
Mulalah memetik buah 10 minggu
selepas menanam. Anggaran hasil ialah 1 kg. sepokok.
KULTIVAR-KULTIVAR
TERUNG
Umumnya kultivar terung boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu:-
Kultivar Primitif
Sejenis kultivar terung tempatan yang berbuah kecil dengan kelebarannya
kira-kira 3 cm berbentuk samada bulat, bujur atau lonjong seperti jari telunjuk
dan berwarna samada hijau, putih atau hijau berjalur putih. Kultivar ini
ditanam secara kecil-kecilan dan hanya dijual di pasaran tempatan sahaja.
Kultivar ini berbuah bulat biasanya dipanggil terung kampung atau terung rapuh
manakala yang bujur atau lonjong dipanggil terung telunjuk.
Kultivar Moden
Terdiri dari kumpulan kultivar berbuah besar dengan kelebaran yang melebihi 3 cm
dan dipasarkan secara meluas. Kumpulan ini boleh dibahagikan kepada tiga
jenis kultivar iaitu:-
Kultivar Bulat
Buah berbentuk kbulat, lebarnya boleh melebihi 10 cm berwarna unggu, kadangkala
hijau atau putih.
Kultivar Bujur / Lonjong
Buah berbentuk bujur atau lonjong, lebarnya kadangkala melebihi bujur atau
lonjong. Lebarnya kadangkala melebihi 10 cm dan panjangnya 2-3 kali lebar
buah. Warna buah biasanya unggu atau unggu gelap, namun ada juga berwarna
putih atau hijau.
Kultivar Panjang
Buah berbentuk panjang lebarnya 5-8 cm dengan panjang melebihi 3 kali ganda
kelebaran buah. Warna buah biasanya unggu muda atau unggu, kadangkala
hijau atau putih.
Pengendalian Lepas Tuai
Sila klik di sini untuk penerangan pengendalian lepas tuai.
RANTAIAN LAMAN TERUNG
Sila klik pada tajuk-tajuk di bawah
ini:-
|