PENGAIRAN RENJIS - MIKRO:
SISTEM PENGAIRAN YANG UNGGUL BAGI TANAMAN POKOK

(Dipetik dari majalah Teknotani April 1993)


Merupakan satu sistem yang berupaya membekal air terus kepada tanaman tanpa perlu mengairi keseluruhan kawasan ladang.  Ini termasuklah sistem pengairan titis, sistem pengairan renjis-mikro dan sistem pengairan jet-mikro.  Tiap-tiap sistem pengairan ini mempunyai keutamaan dan kejelikan yang tersendiri.  Walau bagaimanapun ia dapat digunakan mengikut keadaan tanah, tanaman ataupun cuaca.  Apa yang jelas ialah ketiga-tiga sistem pengairan ini boleh dipasang di bawah kanopi pokok dan air dibekalkan terus kepada zon akar tiap-tiap pokok.

Sistem pengairan renjis-mikro dan jet-mikro direkacipta untuk membekalkan air dalam bentuk seperti rintikan hujan yang halus.  Secara umumnya air disalurkan ke ladang melalui rangkaian talian paip dan dibekalkan terus kepada tiap-tiap pokok atau tanaman dengan menggunakan perenjis mikro atau perenjis jet.  Perbezaan utama diantara sistem perenjis-mikro dengan perenjis jet-mikro ialah sistem pertama mempuyai jet perenjis air yang berpusing, manakala sistem kedua mempunyai jet perenjis air yang statik.

Perenjis-mikro selain digunakan untuk membekal air kepada tanaman, ia juga boleh digunakan untuk membekalkan baja dalam bentuk larut dan racun herba untuk mengawal rumpai serta sebagai sistem penyejuk bagi rumah kaca.

Kecekapan Sistem Pengairan

Keperluan air oleh pokok lazimnya ditentukan berdasarkan kepada kadar perpeluhan atau kandungan kelembapan tanah pada satu-satu masa.  Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Perkhidmatan Pengembangan Israel mendapati bahawa sistem perenjis-mikro mempunyai paras kecekapan penggunaan di antara 94-97% lebih tinggi daripada sistem pengairan lain yang diuji.  Kecekapan yang tinggi adalah kerana sistem ini berupaya membekalkan air terus kepada sasaran yang dikehendaki iaitu zon akar tanaman.  Justeru itu, sistem akar pokok dapat menggunakan kebanyakan air yang diperolehinya untuk tumbesaran akar yang sekata tersebar dan padat di keseluruhan kawasan yang telah memperolehi air.  Situasi ini juga dapat menjamin pembekalan air dan baja yang cukup ke bahagian akar pokok.  Bagi tanaman pokok yang bergantung kepada hujan sebagai sumber air utama pula memerlukan air tambahan untuk beberapa ketika terutama pada musim kering untuk mengekalkan tumbesaran pokok yang berterusan kerana tumbesaran pokok terutama akar berkembang mengikut corak kedapatan air.  Dalam situasi ini, sistem perenjis-mikro berupaya untuk membekalkan air secara cekap dan tepat seperti yang diperlukan oleh akar yang sedang berkembang.

Kadar penyebaran air yang uiform yang diperolehi daripada sistem pengairan renjis-mikro memudahkan petani untuk mengira jumlah air yang diperlukan oleh pokok.  Kadar penggunaan air yang terkawal juga dapat mengelakkan masalah 'run-off' dan 'water-ponding' di permukaan tanah.  Kadar pengairan pula boleh dirancang dan disesuaikan dengan keadaan tanah dan cuaca.  Dengan kadar pengairan yang tepat, masalah air berlebihan melebihi keperluan dan kekurangan udara di zon pengakaran tidak akan berlaku.  Pembasahan tanah yang uniform juga membolehkan petani mengesan status kelembapan tanah dengan tepat. Corak pengakaran pokok didapati mengikut corak penyebaran air dalam tanah. 

Keutamaan Dari Aspek Teknikal dan Ekonomi

Sistem perenjis-mikro boleh membekalkan air 40-80% keluasan kawasan tanaman.  Kawasan yang hendak diairkan boleh dirancang mengikut perkembangan sistem akar tanpa kos tambahan.  Bentuk penyebaran air juga boleh diubahsuai sama ada dalam bentuk bulatan penuh, bulatan separuh atau berjalur.  Perenjis yang dipasang kepada talian tiub yang mudah dilentur memudahkan kerja pemasangan rangkaian tiub di bawah tanah.  Cara ini juga dapat menghindari tiub daripada dirosakkan oleh burung atau tikus.  Unit perentis bagi perenjis-mikro boleh dipasang dengan alat yang boleh mengawal aliran air bagi memasukkan kadar penyebaran air yang uniform.  Ia juga tidak dipengaruhi oleh jenis perenjis yang digunakan da juga topografi.

Pemeriksaan visual ke atas tiap-tiap unit perenjis boleh dibuat dengan mudah dan cepat dan hanya memerlukan masa pemeriksaan yang pendek jika dibandingkan dengan masa yang diperlukan untuk memeriksa tiap-tiap 'emitters' dalam pengairan titis.  Sistem penapis yang ringkas dan kasar juga memberikan masa pusingan untuk membersih yang lebih panjang.  Sistem perenjis-mikro juga boleh dipadankan dengan aktiviti pembajaan.  Lantaran ia dapat menjimatkan tenaga dan kos buruh.  Justeru itu sistem perenjis-mikro adalah sistem pengairan yang cekap dan kepelbagaian fungsi yang mana menguntungkan petani yang menanam tanaman berpokok seperti buah-buahan.

 [ke Laman Utama]    [ ke belakang ]



Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
09 July 2009 12:02:11 AM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
© Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tidak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.