Petai (Parkia speciosas Hassk.) dan Jering (Pithecellobium lobatum Senth.)
adalah jenis tanaman dari keluarga Legumino-sae. Biji petai dan jering
amat digemari sebagai makanan ulam. Petai mengandungi banyak zat terutama
vitamin A, C dan zat galian. Zat pemakanan pada jering adalah kalsiam dan
besi. Petai dan jering boleh dibuat rendang, direbus, masakan sambal
tumis, acar dan jeruk. Di segi kesihatan, khasiat kedua jenis ulam ini
dikatakan boleh mengubati penyakit kencing manis.
PETAI
Petai berupa pohon yang tingginya antara 5-25 m.
Daunnya jenis berselang, bipinata dengan anak-anak daun yang kecil.
Kepala bunga berbentuk bebola di hujung julaian tangkai yang panjangnya 20-45
cm. Setiap kepala bunga menghasilkan beberapa buah petai. Setiap
buah mengandungi 10-18 biji petai berkulit tipis dan berbau menusuk.
Biji petai yang digunakan mempunyai kulit buah yang berwarna hijau ketika
matang. Kulit petai tua bertukar menjadi perang atau hitam.
JERING
Jering berupa pohon yang tingginya mencapai 10-26 m.
Daunnya bersirip ganda dua. Anak-anak daun muda berwarna ungu-coklat.
Bunganya berumbai tumbuh pada ketiak-ketiak daun yang sudah gugur.
Buahnya berupa lenggai berbentuk pipeh dan berbelit berwarna ungu tua.
Lenggai berisi 5-7 biji yang mempunyai kulit ari tipis berwarna coklat
mengkilap.
Kesesuaian iklim dan tanah
Petai dan jering boleh ditanam di tanah rendah hingga
dataran tanah yang tinggi 1,500 m daripada paras laut. Iklim kawasan yang
cukup lembap dan panas adalah sesuai untuk pertumbuhan pokok yang subur.
Tanah mestilah mempunyai saliran yang baik. Tanah
jenis peroi dalam terutamanya di kawasan cerun sedikit adalah paling baik.
Tanah gembur, tanah liat berpasir atau liat peroi juga didapati sesuai.
Penanaman
-
Menyedia anak benih
Petai dan jering ditanam daripada biji. Sebanyak 3-4 biji benih ditanam
di dalam beg plastik berukuran 15 cm x 25 cm. Hanya pilih satu anak
benih yang subur sahaja selepas percambahan.
Campuran tanah di dalam beg plastik mengandungi 2 bahagian pasir, 1 bahagian
baja asli reput dan 1 bahagian tanah lapisan atas.
Berikan naungan daripada cahaya matahari terik dengan menggunakan daun kelapa
pada peringkat permulaan menanam. Kurangkan lindungan
berperingkat-peringkat sehingga ditanam ke ladang. Anak benih ditanam di
ladang apabila lebih kurang 15-20 cm tinggi.
-
Jarak tanaman dan cara menanam
Jarak tanaman yang sesuai ialah 15 m x 15 m atau 20 m x 20 m empat segi sama
(jaraknya lebih rapat untuk tanah yang kurang subur). Pancang dan gali
lubang sebesar 30 cm x 30 cm x 30 cm dan campurkan tahi lembu dan baja seperti
rock phosphate.
Tanam pokok pada awal musim hujan. Buang beg plastik
sebelum menanam pokok. Selepas menanam, padatkan tanah di sekeliling
pokok dan ikatkan pada kayu sokongan.
PENJAGAAN
- Membaja
Pokok petai dan jering boleh dibaja dengan baja dagangan ataupun baja organik.
- Baja Dagangan
Dua jenis baja yang diperlukan ialah baja tumbesar dan baja buah
Baja Tumbesar : N:P205:K20 (14:14:14)
atau N:P205:K20: Mg0
(15:15:6:4)
Baja Untuk Buah : N:P205:K20: Mg0
(12:12:17:2)Tabur baja bertompok-tompok atau ke dalam parit kecil di sekeliling sudut
pokok dan gaulkan ke dalam tanah.
Syor pembajaan
|
Untuk Pokok (tahun) |
Jenis
Baja |
Kadar
Pembajaan
(kg/pokok/tahun) |
Masa |
|
1 |
Tumbesar |
0.5 |
3 bulan sekali terutama pada awal musim hujan. |
|
2 |
Tumbesar |
0.1 |
3 bulan sekali terutama pada awal musim hujan. |
| 3 |
Tumbesar |
2.0 |
2-3 kali setahun terutama pada awal musim hujan |
|
4 |
Tumbesar |
3.0 |
2-3 kali setahun terutama pada awal musim hujan |
|
7 |
Untuk buah |
6.0 |
1/2 bulan selepas musim buah. |
|
8-10 |
Untuk buah |
7.0 |
|
|
11-14 |
Untuk buah |
8.0 |
|
|
15 |
Untuk buah |
9.0 |
1/2 bulan sebelum berbunga |
-
Baja Asli
Baja tahi lembu dan tahi kambing amat sesuai digunakan sebagai baja asli.
Baja-baja ini hendaklah dilonggokkan kira-kira 0.6 m - 0.9 m dari pangkal
pokok. Kadar ialah lebih kurang 4 pungkis sepokok, setiap 6 bulan
sekali. Baja-baja ini janganlah ditabur kerna akan menjadi cepat kering
dan kurang berkesan.
Mengawal Rumpai
Apabila pokok masih muda, rumpai di keliling pokok boleh
dikawal dengan mencangkul atau mencabut dengan tangan. Rumpai diantara
pokok dan di keliling pokok yang lebih matang boleh dikawal dengan semburan
paraquat sebanyak 20-25 c.c./4.5 liter air. Buatkan sungkupan dengan
daun-daun dan rumpai kering.
Mengawal Musuh dan Penyakit
Pokok petai biasanya diserang oleh ulat-ulat pengorek batang
pada peringkat tumbesarannya. Sebagai kawalan, kebersihan kebun hendaklah
dijaga. Semburan racun seperti trichlorphon atau gamma BHC 0.1% bahan
aktif boleh digunakan untuk serangan yang teruk.
MEMUNGUT HASIL
Pokok petai menghasilkan buah selepas 5-10 tahun ditanam dan
jering mula berbuah selepas 10-15 tahun ditanam. Kutip buah daripada dahan
tinggi dengan menggunakan kacip bergalah. Potong tangkal buah serta
rantingnya sekali sepanjang 25 cm. Buang daun-daun dan ikat buah-buah
dengan tangkainya.
RANTAIAN KE LAMAN-LAMAN PETAI DAN JERING