|
MEMILIH ANAK POKOK BUAH-BUAHAN YANG
BERKUALITI DI TAPAK SEMAIAN
Satu cara
yang mudah untuk mengetahui sama ada pokok yang ditanam itu sihat atau
tidak adalah melalui panjang pucuknya. Pokok yang sihat dan segar
akan menunjukkan pertumbuhan pucuk yang menggalakkan dan daunnya lebar
serta berkilat. Kebanyakan daunnya berwarna hijau muda dan pucuk
baru sentiasa tumbuh.
Bagi mereka
yang baru menceburi bidang perkebunan, memang sukar untuk mengenali anak
benih buah-buahan yang sihat dan cepat membesar. Pada amnya, anak
pokok yang ditanam di dalam polibeg kelihatan sama sahaja dari segi
ketinggian dan kesegarannya. Namun apabila diteliti dari dekat,
memang ada perbezaan. Walaupun ketinggiannya kelihatan serupa, kecil
atau besar saiz anak benih pokok tersebut bergantung pada sihatnya biji
benih yang digunakan dan kandungan genetiknya. Selain itu, ia juga
bergantung pada pengurusan anak benih di tapak semaian.
Perlunya
Memilih Anak Pokok Yang Sihat
Anak pokok
yang sihat sama ada daripada jenis cantuman, biji benih atau tut
sangat penting terutamanya untuk menghasilkan kemandirian sepenuhnya.
Ia juga tahan terhadap serangan penyakit dan serangga serta cepat pulih
daripada kejutan pengubahan. Sebelum ditanam, anak pokok harus
menjalani proses pengerasan (hardening). Jurteru itu, ia dapat
menyesuaikan diri apabila ditanam di ladang dan dapat hidup dengan subur.
Dengan itu secara tidak langsung kos pengendaliannya dapat dikurangkan.
Mengenali
Anak Pokok Yang Sihat
Bagi
seseorang yang pakar, anak pokok yang sihat mudah dikenali. Pertama,
anak benih tersebut masih mengeluarkan pucuk yang hijau muda. Kedua,
batang pokok kelihatan kehijau-hijauan dan segar. Ketiga, daun
kelihatan berkilat. Ini bermakna akar di dalam polibeg belum mengalami
pembatasan dan akar muda berwarna putih masih tumbuh dan dikelilingi oleh
akar rerambut. Pertumbuhan pokok tidak terbantut dan jarak ruas
daunnya besar, keluasan helaian daun juga besar dan berwarna hijau muda.
Batang anak pokok berwarna hijau tua bukannya coklat atau perang.
Mengenali
Anaki Benih Yang Kurang Baik
Pada amnya
anak pokok yang terlalu lama di dalam polibeg di tapak semaian mengalami
kesan 'pembatasan akar'. Keadaan ini terjadi apabila terlalu banyak
akar terkumpul dan pembesaran akar di dalam polibeg telah mencapai tahap
maksimum. Ini menyebabkan ruang di dalam medium polibeg menjadi
sempit dan terbentuknya gumpalan akar. Akar kelihatan
bersimpul-simpul, keras dan berwarna coklat mengelilingi polibeg.
Tanah ini dalam polibeg pula menjadi mampat. Pokok akan terbantut,
daunnya kehitam-hitaman, ruas dan lilitan batang mengecil dan pendek serta
kurang pertumbuhan pucuk muda. kesan ini akan mengurangkan
pengambilan air dan makanan, maka anak benih yang terbantut seperti ini
lambat membesar.
Pokok yang
terbantut perlu dicantas akarnya. Polibegnya perlu ditukar kepada
saiz yang lebih besar dengan campuran tanah yang sesuai atau diberi
pembajaan melalui daun. Selain itu, dahan atau ranting yang kecil
menjadi cepat tua. Kadangkala dahan-dahan tersebut diserang penyakit
mati rosot. Oleh itu kita hendaklah berhati hati apabila memilih
atau membeli pokok.
Pemulihan
anak benih juga dapat dilakukan melalui cantasan akar, iaitu akar yang tua
dan keras yang 'berpusing-pusing' di sekeliling polibeg dibuang.
Akar yang dibuang tidak akan memberi kesan pada pokok terutamanya pokok
rambutan, mangga dan belimbing. Cantasan akar ini sesuai dilakukan
pada pokok durian dan manggis. Akar rerambut baru yang berwarna
putih akan tumbuh setelah cantasan dibuat dan ketumpatan akar dapat
dikurangkan. Kesan pembatasan akar yang terlalu lama di tapak
semaian, menyebabkan pertumbuhan akar dan pokok terganggu.
Ketulenan
Anak Benih
Mengenal
pasti anak benih yang tulen sangatlah sukar melainkan melalui kepakaran.
Piawaian untuk mengenal anak pokok yang tulen belum ada lagi, tetapi
nasihat boleh didapati daripada pakar pertanian.
Penjimatan
Kos
Pemilihan
anak pokok yang seragam dan sihat akan dapat menghasilkan keseragaman
pertumbuhan di ladang dan kesuburan tanah serta mengurangkan kos
penjagaan. Pokok yang cepat membesar mudah dijaga berbanding dengan
pokok yang kecil. Pokok yang sihat mempunyai pertumbuhan akar yang
cepat untuk menyerap nutrien dan air dari tanah. Dianggarkan bahawa
kos penjagaan dapat dikurangkan sebanyak 10-30% sekiranya pokok yang bakal
ditanam itu sihat.
Sumber:
Agromedia Bil. 15
|