CENDAWAN
(Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999)
Cendawan ialah
sejenis sayur yang lazat dan berkhasiat. Ia mengandungi pelbagai zat
pemakanan yang baik untuk kesihatan. Keistimewaannya: ia mampu
mengurangkan kolesterol tubuh dan menghalang pendarahan otak.
Cendawan memerlukan bahan organik
yang telah reput seperti kayu dan daun sebagai makanan. Ia terdiri
daripada dua bahagian iaitu bahagian di atas permukaan media pertumbuhan
(substrat) yang dinamakan jisim berbuah dan di dalam substrat iaitu bahagian
tampang. Jisim berbuah terdiri daripada tudung yang sedap dimakan dan
tangkai. Di bawah permukaan tudung terdapat insang-insang yang
menghasilkan biji benih iaitu spora. Bahagian tampang berfungsi untuk
menyerap bahan makanan melalui struktur seperti akar yang terdiri daripada
miselium iaitu sekumpulan bebenang hifa yang halus. Miselium mengeluarkan enzim
yang dapat menghancurkan bahan organik sebelum ia diserap untuk pertumbuhan dan
pembiakan.
Jenis cendawan yang banyak ditanam di Malaysia pada masa ini ialah cendawan
tiram putih (Pleurotus florida), tiram kelabu (P. Sajor-caju),
abalon (P. cystidiosus), shitake (Lentinus edodes) dan cendawan
telinga kera (Auricularia polytricha). Cendawan abalon, tiram putih
dan kelabu yang segar amat popular, diikuti cendawan kering shitake, cendawan
butang dalam tin, abalon dan cendawan jerami padi.
Dewasa ini terdapat ratusan pengusaha
yang menanam cendawan. Antara faktor yang mendorong mereka berbuat
demikian ialah cendawan mengandungi khasiat pemakanan dan perubatan, mendapat
keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat, bahan sampingan pertanian dan
industri yang banyak (hampar kapas, habuk kayu getah dan habuk kelapa sawit)
dapat menjimatkan kos substrat dan pasaran cendawan segar yang cerah.
Umumnya, mereka terdiri daripada penanam padi, penanam sayur, pengusaha kantin,
pesara dan kakitangan kerajaan. Negeri Selangor mempunyai paling ramai
penanam cendawan diikuti dengan negeri Kedah, Pahang, Perlis, Johor dan Melaka.
Kebanyakan mereka memperoleh teknologi penanaman cendawan daripada agensi
kerajaan seperti MARDI dan Jabatan Pertanian (50.40%), negara luar seperti
Thailand, Taiwan, Australia dan Jepun (26.48%), buku dan kawan (20.49%) dan
universiti tempatan (2.56%).
Perantaraan pasaran cendawan segar
terdiri daripada pasar tani dan pasar malam bagi pengusaha umum, pengguna
institusi (hotel, restoran, pasar raya) dan juga pengeksport. Harga
bergantung pada jenis dan kualiti cendawan segar yang dipasarkan. Pada
umumnya harga runcit antara RM3.00-RM11.00/kg.
Oleh sebab permintaan melebihi
bekalan, harga dan import cendawan meningkat dari setahun ke setahun.
Contohnya, pada tahun 1996 cendawan segar yang sejuk dan terproses telah dimport
sebanyak 25 ribu tan bernilai RM52 juta, berbanding dengan hanya 3 ribu tan
bernilai RM22 juta pada tahun 1990. Pada tahun 1993 harga runcit bagi
cendawan tiram kelabu dan tiram putih segar di Semenanjung Malaysia
masing-masingnya RM7.08/kg dan RM7.33/kg. Harga ini telah meningkat kepada
RM7.16/kg dan RM8.11/kg pada tahun 1997. Menurut FAMA, pengeluaran
cendawan segar tempatan pada tahun 1989 ialah 17 tan dan pada 1990 berkurangan
kepada 15 tan dan dijangka terus berkurangan pada tahun-tahun berikutnya.
Pihak institusi merupakan pengguna
terbesar komoditi cendawan ini. Jumlah penggunaan setiap bulan bagi
cendawan segar, cendawan kering dan cendawan dalam tin, masing-masing ialah
41.79%, 50.55% dan 7.75%. Manakala purata harga belian masing-masing pula
ialah RM11.00/kg. RM71.00/kg dan RM2.14/tin.
Jumlah cendawan segar yang dibeli
oleh pihak institusi dalam masa sebulan ialah 1 501 kg. Jumlah ini terdiri
daripada 310 kg. tiram putih dan kelabu, 591 kg. abalon, 17 kg. cendawan jerami
padi dan 583 kg. cendawan butang dan shitake. Jumlah pembelian cendawan
dalam tin sebulan pula ialah 20 530 kg. (20.52 tan) iaitu 4 060 kg. tiram putih
dan kelabu, 3 910 kg. abalon dan 12 560 kg. cendawan butang. Bagi cendawan
kering, jumlah permintaan sebulan ialah 2 013,07 kg.
Jenis masakan yang dihidangkan dengan
menggunakan cendawan bagi restoran dan hotel mengikut keutamaan ialah sayur
campuran, masak dengan daging, masak dengan ayam atau itik, masak dengan ikan,
sup cendawan dan masak cendawan sahaja. Pada tahun 1990, Malaysia
mengimport cendawan segar atau disejukkan hanya 54 tan bernilai RM336 ribu,
tetapi meningkat kepada 487 tan bernilai RM2 juta pada tahun 1996. Import
cendawan yang diproses juga meningkat kepada 24 ribu tan bernilai RM50 juta pada
tahun 1996 berbanding hanyak 3 ribu tan bernilai RM21 juta pada tahun 1990.
Memandangkan penggunaan dan
pengimportan cendawan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun maka
pengeluaran cendawan tempatan oleh pengusaha sangatlah cerah. Pengusaha
cendawan tempatan yang sedia ada atau yang baru melibatkan diri perlu
menggandakan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin
meningkat disamping dapat mengurangkan bil import cendawan oleh Malaysia. -
Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.
ASAM JAWA
(Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999)
Khabarnya pokok asam jawa adalah
tumbuhan semula jadi benua Afrika. Kini tersebar luas ke serata dunia.
Ibu negeri Senegal diberi nama Dakar dalam bahasa tempatan yang bermaksud pokok
asam jawa. Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia oleh pedagang
Arab. Kini, India ialah negara yang mempunyai ladang asam jawa yang paling
ekstensif di dunia. Sebanyak 250 0000 tan asam dihasilkan setiap tahun,
3000 tan daripadanya dieksport ke Eropah dan Amerika Utara.
Pokok yang tua boleh mencapai
ketinggian sehingga 25 m. Ia boleh hidup lama dan masih mampu mengeluarkan
hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Batang utama pokoknya pendek.
Dahan dan cabang pokok terbuka luas. Dahan pokok amat kuat dan tahan
tiupan angin kencang. Kanopi pokok berbentuk seperti kubah yang bulat
melebar. Tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana sama ada pada tanah
yang subur atau tanah bermasalah. Sesuai dijadikan pokok teduhan.
Amat menarik jika ditanam sebagai penghias di bahu jalan.
Daunnya berwarna hijau terang,
panjangnya 10-15 cm daripada jenis pinat dengan anak daun berbentuk bujur
sebanyak 10-20 pasang. Daunnya sentiasa menghijau, tetapi apabila cuaca
terlalu panas daun-daun ini akan gugur. Daun ini bertangkup pada waktu
malam. Bunga asam jawa kecil, berwarna kuning air dan tumbuh di cabang.
Kelopak bunga berwarna merah jambu. Ia akan gugur apabila bunga
mengembang.
Bunga akan mengeluarkan lenggai yang panjang, melengkung sedikit, permukaannya
cengkik dan mengelembung beralun yang menunjukkan ada biji benih yang terkandung
di dalamnya. Warnanya coklat karat. Apabila matang, lenggai menjadi
rapuh dan mudah terbuka. Apabila merekah, nampak isinya (pulpa) berwarna
coklat gelap dan biji berwarna coklat kehitam-hitaman, keras dan berkilat.
Hampir setengah daripada berat lenggai terdiri daripada pulpa yang rasanya
masam. Pulpa ini mengandungi gula (30-40%) dan asid organik seperti asid
sitrik, tartarik, asitik dan askorbik (Vitamin C). Pulpa ini juga
merupakan sumber bahan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya
kalsium. Walaupun mengandungi banyak gula, pulpanya tetap masam.
Mudah dibiak,
hasilnya banyak
Pokok ini mudah dibiakkan sama ada
menggunakan biji benih atau secara tampang. Bijinya tahan lama dan mudah
bercambah. Apabila ditanam dengan biji, ia mula berbuah selepas 6-8 tahun
manakala yang ditanam secara tampang akan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam.
Tangkai buah asam jawa sangat kuat. Di India, biasanya buah dibiarkan
masak di atas pokok hinggalah kandungan airnya berkurangan sebanyak 20%.
Bagi pasaran segar, buah dipetik dengan menggunting tangkainya supaya lenggai
tidak rosak. Dahan digoncang supaya buah yang masak gugur dan dikutip.
Pokok yang matang boleh menghasilkan 150-200 kg buah sepokok setahun atau lebih
kurang 12-16 tan sehektar (30-55%) pulpa, 11-30% kulit dan gentian dan 33-40%
biji.
Enak rasa sebagai
perisa
Buah
asam jawa boleh dimakan segar. Biasanya ia dijadikan jus yang dicampur air
gula sebagai minuman segar, terutamanya di kawasan tropika. Kini jus asam
jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit. Selain itu,
asam jawa juga merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan/makanan
seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain
lagi. Mudah didapati di pasaran dalam bentuk pulpa, berbiji atau tanpa
biji yang dibungkus. Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari
zaman nenek moyang hinggalah kini, hinggakan terdapat pepatah Melayu yang
berbunyi 'garam di laut asam di darat, dalam periuk bertemu jua'. Pepatah
ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam masakan.
Di pantai timur Malaysia khususnya,
asam jawa diproses menjadi sejenis pencuci mulut. Asam jawa disalut
dengan gula pasir dan dibalut seperti gula-gula. Enak rasanya. Di
negara Amerika Selatan, asam jawa diproses untuk dijadikan bebola manisan,
minuman berkarbonat, sirap, jeli, jem, ais krim, bahan awet dan wain. Di
Thailand pula, biji asam dikisar untuk dicampurkan ke dalam serbuk kopi.
Penyembuh yang
mujarab
Kegunaan asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya. Dari
segi komersial, asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan
sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan
begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat
berkesan dalam mengatasi masalah kehadaman, penyakit hempedu dan kekurangan
vitamin C (scurvy).
Sudah menjadi kelaziman, asam jawa
digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan.
Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak.
Apabila sedikit garam dicampur ke dalam air asam, ia boleh digunakan sebagai
sapuan bagi melegakan sakit sendi.
Daun asam jawa sama ada yang kering
atau yang telah direbut boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan
terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat
sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan
buasir.
Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh
digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik. Air rebusannya digunakan
dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan
pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk
merawat bisul.
Pelbagai fungsi,
nilainya amat bererti
Di Afrika Barat infusi (air seduhan)
lenggai asam jawa digunakan dalam pewarna untuk mewarna kulit kambing.
Pulpanya pula digunakan sebagai bahan 'fixative' bersama-sama kunyit atau annato
dalam pewarna (dye). Apabila pulpa ini dicampur air masin, ia amat baik
digunakan untuk mencuci dan mengilatkan barangan perak, tembaga dan loyang.
Daun asam jawa boleh dijadikan
makanan kepada ternakan lembu, kambing dan ulat sutera. Manakala daun dan
bunga boleh dijadikan 'mordant' kepada bahan pewarna. Di Selatan India,
bunga asam jawa adalah sumber madu yang baik dan madu tersebut berwarna kuning
keemas-emasan.
Tepung biji asam digunakan untuk
merawat kapas dan jut dalam industri tekstil di India. Dalam industri yang
lain pula tepung asam jawa digunakan dalam membuat perekat kertas, perawatan
belulang, pembuatan plastik, gam kayu, penstabil batu-bata, bahan pengikat bagi
bahan penyata habuk papan dan pemadat bahan letupan. Biji asam juga
menghasilkan sejenis minyak yang berwarna ambar (kuning jingga) yang digunakan
sebagai "varnish" dan pengilat cat.
Kayu pokok asam jawa daripada jenis
kayu keras, berat, kuat, tahan lama dan rintang terhadap serangan perosak.
Digunakan untuk membuat perabut rumah, panel dinding, roda, gear untuk kilang,
pembajak, dinding sampan, pemegang pisau dan alat-alat lain, anak lesung
penumbuk beras dan lain-lain lagi. Selain itu, kayu juga boleh digunakan
sebagai bahan bakar. Abu kayu yang terbakar boleh digunakan bagi merawat
dan menanggalkan bulu daripada kulit kambing. Dahan/cabang atau akar
pokok boleh digayakan untuk dijadikan tongkat (untuk mereka yang melebihi 40
tahun) -
Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.
PEGAGA
(Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999)
Pegaga telah lama digunakan sejak
kurun ke-17 sebagai herba untuk merawat pelbagai penyakit. Melalui
penemuan sains moden, pegaga terbukti sebagai salah satu tumbuhan herba yang
berkhasiat dan amat baik digunakan seperti yang diamalkan oleh orang-orang
dahulu, sesuai dengan zaman teknologi yang serba canggih ini.
Pegaga boleh dimakan oleh semua
peringkat umur termasuk kanak-kanak sama ada sebagai ulam, dimasak atau dibuat
jus. Mengikut ceritanya masyarakat India purba makan dua helai daun pegaga
sehari untuk awet muda dan kulit yang sihat. Ketika itu mereka juga
menggunakan pegaga atau Centella asiatica untuk merawat penyakit kusta,
ulser, luka-luka dan batuk kering. Dalam perubahan moden, sejenis sebatian
yang dikenali sebagai asiatikosida, diekstrak daripada daun pegaga dan digunakan
untuk mengubati penyakit kusta. Pegaga juga dikatakan mujarab mengubati
ulser, kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya. Manakala air pegaga
pula dijadikan sebagai minuman 'penyejuk' badan bagi masyarakat Cina.
Mereka juga percaya pegaga adalah herba serbaguna yang dapat mengubati sistem
saraf dan meredakan tekanan perasaan. Ahli perubatan Cina dahulu kala
menggunakan pegaga untuk mengubati demam dan selsema.
Dalam masyarakat Melayu pula, pegaga
telah lama digunakan di kampung-kampung sebagai ulam atau dibuat kerabu.
Mengikut kepercayaan orang Melayu juga, pegaga sangat baik untuk wanita lepas
bersalin kerana dikatakan mempunyai khasiat untuk menguncupkan rahim.
Keseluruhan pokok pegaga termasuk akar dibersihkan, lalu dikisar dengan sedikit
ibu garam untuk menjadikan air atau jus pegaga. Amalan ini amat baik
diteruskan walaupun selepas pantang, kerana pegaga dapat membersihkan darah,
membaiki peredaran darah dan mempunyai kandungan mineral yang tinggi terutama
kalsium dan zat besi. Air atau jus pegaga boleh diadun bersama gula merah
atau madu untuk memperoleh rasa yang lebih enak.
Dalam perubatan tradisional, amalan
makan pegaga atau minum jus pegaga dikatakan mujarab untuk membantu masalah
insomnia, darah tinggi, lelah (asthma) dan tiada nafsu makan. Selain itu,
daun pegaga yang dilumat dapat menghentikan pendarahan pada luka kecil dan
mengelakkan jangkitan kuman. Cara ini juga digunakan untuk mengubati kudis
dan menghilangkan gatal-gatal kulit. Pegaga juga dikatakan memberi kesan
pada beberapa peringkat pembetukan tisu seperti menghilangkan parut, membina
kolagen, merangsang pertumbuhan rambut dan kuku serta memperkuat gigi.
Pegaga bukan sahaja popular di Asia,
tetapi juga diiktiraf oleh masyarakat barat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO). Mereka makan pegaga sebagai herba untuk kecergasan minda seperti
meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran terutama untuk kanak-kanak.
Mereka juga menggelar pegaga sebagai 'herba ajaib' kerana dapat membantu
peredaran darah dan meningkatkan kesihatan kulit.
Di samping mengembalikan kecergasan
badan, pegaga juga dikatakan dapat mengubati beberapa penyakit lain seperti
rheumatism, sakit tekak, tonsilitis, hepatitis dan juga digelar sebagai
"arthritis herbs", iaitu herba yang mujarab untuk mengubati penyakit arthritis.
Pada masa ini pelbagai produk daripada pegaga mudah didapati di pasaran seperti
teh herba, kordial dan sebagai campuran kepada herba-herba lain. Salah
sebuah syarikat kosmetik terbesar di dunia juga menggunakan ekstrak pegaga dalam
pengeluaran alat solek mereka.
Pokok pegaga amat mudah ditanam.
Biasanya pegaga yang dijual di pasar, dikutip bersama akarnya sekali.
Akar-akar pegaga lebihan makan boleh dicucukkan sahaja di dalam pasu atau di
mana sahaja pada tempat yang ada sedikit teduhan. Ia akan tumbuh subur
serta mudah merebak. Jadikanlah pegaga sebagai salah satu koleksi tanaman
ulaman tradisional anda. -
Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.
Menurut kajian yang dibuat oleh
Natural Product Discovery (NPD), usahasama antara Malaysia dan Massachusette
Institute of Technology (MIT USA) telah menjumpai bahawa kandungan yang
terdapat dalam pegaga boleh bertindak sebagai agen anti-kanser. Kini
pegaga menduduki satu daripada tangga 10 teratas dalam senarai jenis herba yang
terlaris di Amerika Syarikat dan Eropah. Pegaga merupakan salah satu herba
yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu
daripada spesis tumbuhan ubat yang paling penting perlu diperlihara dan
dibiakkan. Menurut kajian yang dijalankan di luar dan dalam negara, pegaga
dapat memberi kesan positif terhadap penyakit-penyakit berikut:-
Sistem Pernafasan
Sistem Penghadaman
Sistem Imun Badan
Sistem Kardiovaskular
Demam
Gangguan Dalam Tubuh
Penyakit Kulit
Sakit Tulang dan Sakit Sendi
Sakit Puan
Akal Fikiran
Insomnia
Berita gembira bagi yang lemah tenaga
batin, dengan mengamalkan pegaga air atau nama saintifiknya Hydrocotyle
Asiatica setiap hari, seseorang itu dapat menguatkan kembali tenaga batinnya.
Petua:
7 helai daun pegaga air dikisar
bersama dengan 200 ml air. Kemudian, 1 sudu madu lebah asli dimasukkan ke dalam
ramuan tadi. Perahkan juga sedikit limau nipis. Amalkan petua ini
setiap hari dan rasai keberkesannya.
Sumber: Wawasan
Pertanian Bilangan 16/2002
KUNYIT
(Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 5/1999)
Selain memberi warna kuning yang
menarik, kunyit juga menyedapkan rasa makanan dan mempunyai khasiatnya yang
tertentu. Serbuk kunyit juga salah satu bahan serbuk kari. Ia
memberi warna dan bau harum disamping pelbagai perisa dan bahan rempah yang lain
seperti jintan putih, buah pala, kulit kayu manis, ketumbar dan cili.
Dalam perubatan tradisional, kunyit
banyak digunakan dalam campuran rempah ratus dan jamu. Mengikut
kepercayaan orang Melayu, ibu kunyit boleh membersihkan rahim dan mengecutkannya
bagi wanita selepas bersalin. Walau bagaimanapun, biasanya kunyit tidak
digunakan bersendirian tetapi dicampurkan dengan lada hitam atau lempoyang.
Kunyit juga dikatakan boleh mengubati sakit perut, reumatisme, demam, batuk,
penyakit lelah dan cirit-birit. Bagi mengurangkan rasa gatal sakit mata,
tititskan air rebusan kunyit ke dalam mata. Manakala kunyit yang dicampur
dengan kapur dipercayai dapat menghilangkan kurap susu yang biasa dialami oleh
bayi yang baru lahir. Dalam masyarakat Melayu Sarawak, bunga kunyit
digunakan oleh wanita selepas bersalin sebagai ulam. Ia dikatakan sama
khasiatnya dengan ibu kunyit iaitu menyembuhkan luka bersalin, memulihkan rahim
dan awet muda. Tetapi dinasihatkan jangan makan terlalu banyak. Bagi
masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung pula, tidak terhadap kepada wanita
bersalin sahaja, amalan makan bunga kunyit sebagai ulam dipercayai dalam
menambah seri muka. Daun kunyit pula digunakan dalam berbagai-bagai jenis
lauk seperti rendang, masak lemak dan masakan secara rebus, untuk mendapatkan
aromanya serta membangkitkan selera.
Dalam perubatan tradisional India,
kunyit digunakan sebagai herba pencuci. Sesetengah masyarakatnya
menggunakan kunyit sebagai sapuan (pes) pada bahagian badan untuk mengubati
penyakit kulit dan gatal-gatal. Ahli perubatan Cina percaya kunyit boleh
melancarkan perjalanan darah, melegakan sakit, menghilangkan kesan lebam dan
darah beku serta bagus untuk mengubati sakit perut dan bahagian tangan.
Dalam perubatan Thai pula, kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular
tedung. Ada penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan pundi hempedu,
menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati, membantu proses
ungkaibina lemak, mempunyai kesan antimerangsang tindakan dan non-steroidal.
Salah satu ciri yang menentukan mutu
kunyit ialah kandungan curcumin dan minyak patinya. Curcumin ialah salah
satu pigmen kunyit yang mengandungi ciri perubatan. Minyak pati kunyit
didapati boleh menyembuhkan bengkak dan sakit artritis serta boleh menentang
kuman. Kunyit juga banyak digunakan sebagai bahan solekan tradisional
seperti krim muka dan bahan lulur untuk melembutkan dan membersihkan kulit.
Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999.
KEAJAIBAN HERBA
(Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999)
Herba ialah tumbuhan yang ditanam dan
diproses untuk dimanfaatkan dalam berbagai-bagai kegunaan. Ia sering
digunakan sebagai bahan dalam masakan, barang kosmetik, haruman, perisa dan
penjagaan kesihatan. Namun, kegunaannya yang biasa dan paling popular masih
terletak pada ciri-ciri penyembuhannya. Ia digunakan sama ada sebagai ubat
herba, salap, ubat-ubat berasaskan herba atau dalam makanan kesihatan.
Dari segi perubatan pencegahan dan
rawatan penyakit, memang sudah berzaman herba digunakan. Kegunaannya dalam
penjagaan kesihatan telah dicatatkan dalam pengubatan Ayurveda (sistem
pengubatan tradisi India) dan farmakopeia Cina hampir 5,000 tahun yang lalu.
Di Mesir, herba ditanam dalam taman-taman yang ada kaitan rapat dengan rumah
ibadah 4,000 tahun yang lalu. Mandian herba dan wangi-wangian daripada
kemenyan/setanggi amat popular di awal tamadun orang-orang Mesir, Rom dan Grik.
Dari segi sejarah dan kebudayaan
Melayu pula, herba bukan sahaja digunakan dalam pengubatan, tetapi ia juga
dimakan sebagai ulam. Ulam dianggap sayuran tradisi yang penting dalam
diet harian. Ia dimakan segar, dicecah dengan sambal belacan/sos lain atau
dicelur. Dipercayai, ulam dapat menguatkan tubuh dengan meningkatkan
sistem imun dan pencernaan. Dalam keadaan ini, ulam dimakan sebagai ubat
pencegahan. Lazimnya, segala jenis ulaman dipercayai dapat menyegar dan
mempermuda kulit. Ia popular di kalangan wanita sebagai bahan awet muda.
Seiring dengan perkembangan
ubat-ubatan moden, tiruan dan antibiotik pada awal abad ke-19, herba kekal dengan
peranannya yang penting dalam penjagaan kesihatan. Di negara yang ramai
penduduknya seperti India dan China, iaitu mencecah angka 1 bilion, jenis terapi
yang utama masih lagi dalam bentuk tumbuh-tumbuhan atau ekstraknya. Sistem
pengubatan Cina menggunakan lebih 80% bahan tumbuh-tumbuhan dalam
ubat-ubatannya. Di Amerika Syarikat juga, produk tumbuh-tumbuhan masih
merupakan sumber penting dalam pengskripsian ubat-ubatan walaupun bahan sintetik
menguasai pasaran. Lebih kurang 25% preskripsi yang dikeluarkan oleh
farmasi di negara itu dari 1959-1980 mengandungi ekstrak tumbuh-tumbuhan.
Mengikut anggaran WHO (Pertubuhan
Kesihatan Sedunia), hampir 80% penduduk dunia bergantung pada rawatan secara
tradisi. Bilangannya semakin bertambah termasuklah daripada golongan yang
muda. Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, seluruh dunia terutamanya negara
maju dilanda gelombang berbalik ke bahan semula jadi. Bahaya dan keracunan
yang berkaitan dengan penggunaan ubat dan antibiotik sintetik secara
sembarangan, telah menyedarkan Barat dan Timur hakikat penggunaan ubat-ubatan ke
arah kehidupan semula jadi yang lebih sihat dan selamat. Di negara barat
kecenderungan ke arah kehidupan yang lebih alamiah dan menyeluruh telah
mencetuskan kewujudan kedai makanan kesihatan yang menjual pelbagai ekstrak dan
teh asli dengan banyaknya. Di timur Eropah, perubatan tradisional telah
digabungkan dengan perubatan moden yang mengandungi 60% tumbuh-tumbuhan yang
digunakan dalam preskripsi.
Prospek herba
Herba digunakan dengan meluas dalam
pelbagai jenis produk. Daripada pengubatan tradisional hingga ke ekstrak
yang mengandungi bahan aktif yang standard, hinggalah produk kimia yang tulen
digunakan dalam ubat-ubatan. Herba juga digunakan dalam industri makanan,
minuman, perisa dan wangi-wangian, minuman, perisa dan wangi-wangian. Yang
paling banyak mengaut keuntungan ialah industri farmasi dan makanan kesihatan.
Dari awal abad ke 19, tanaman herba
telah merevolusikan dunia pengubatan. Selain mempunyai nilai ringgit,
nilai sebenar herba terletak pada ciri-cirinya yang dapat melegakan kesengsaraan
manusia dan bilangan manusia yang dapat diselamatkan oleh tumbuh-tumbuhan ubatan
sepanjang zaman.
Di Malaysia, kekayaan kita sebenarnya
terletak pada kepelbagaian biologi flora dan faunanya. Sebagai sebahagian
daripada hutan hujan tropika, kawasan ini dianggap sebagai yang paling
berevolusi dan kaya dengan 20,000 spesies tumbuhan. Dipercayai ia belum
tersentuh sejak zaman air batu dan memenuhi kawasan seluas 19.12 juta ha.
Kini terdapat sebanyak 2,000 spesies tumbuh-tumbuhan yang dilaporkan mempunyai
nilai perubatan dan jumlah ini merupakan khazanah kimia yang sangat berharga
yang boleh dimanfaatkan untuk penjagaan kesihatan. Industri Malaysia masih
diperingkat awal. Kebanyakan herba yang digunakan dimport dan China,
Indonesia dan India. Melalui tinjauan etnobotanikal dan hasil kajian
daripada farmakologi dan ujian klinikal, beberapa jenis herba yang dianggap
berpotensi untuk dikomersialkan telah dikenalpasti seperti pegaga (cantella
asiatica), hempedu bumi (andrographis paniculata), kemangi (ocimum
sanctum), dukung anak (phyilanthus niruri) dan banyak lagi. (Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 7/1999).
Senarai Herba yang Berpotensi di
Malaysia
Lidah Buaya Aloe Vera (L) Burm.f. - Famili: Liliaceae
- produk penjagaan kulit / krim muka
- minuman dan makanan kesihatan
- syampu
- krim antiseptik
Hempedu Bumi/Akar Andrographis paniculata (Burm.f) wall.ex.Ness - Famili: Acanthaceae
- ekstrak herba untuk peningkatan kesihatan dan sistem ketahanan badan
- dadah
- kapsul dan pil kesihatan
Pegaga Cantella asiatica (l.) Urban - Famili: Umbeliferae / Apiaceae
- produk penjagaan kulit
- ramuan-ramuan herba berbentuk kapsul
- makanan kesihatan
- minuman herba
- dadah
Kunyit Curcuma demestica Loir - Famili: Zingiberaceae
- perisa makanan
- diet tambahan
- krim muka
Limau bali merupakan limau yang dapat
tumbuh dengan baik dan tidak menghadapi saingan daripada negara-negara
pengeksport limau. Limau boleh dibahagi kepada tiga kumpulan:-
Kumpulan dari Cina
Mempunyai buah berbentuk seperti pir, berisi kuning dan berkulit tebal.
Varieti utama ialah Shatian-yu yang ditanam di Johor, Negeri Sembilan dan
Melaka.
Kumpulan dari Thailand
Mempunyai buah yang lebih kecil. Varietinya ialah Limau Siam dan Limau
Bali Siam yang terdapat di Kubang Pasu, Kedah.
Kumpulan dari
Indonesia
Mempunyai buah berisi putih, tidak
berasid dan berkulit tebal. Antara varieti yang popular ialah Tambun Manis
dan Tambun Masam, bersempena dengan nama kawasan tanaman limau bali yang
terkenal di Kinta, Perak. Kultivar ini amat popular kerana berjus serta
kandungan asidnya rendah.
Penemuan Varieti Limau Bali MELOMAS
Sebagai pusat sumber genetik tanaman
limau, negara kita kaya dengan pelbagaian genetik limau bali dan jenis-jenis
limau lain. Oleh sebab ini, kultivar limau bali boleh dibaiki untuk tujuan
ekport. Manakala varieti baru boleh dibangunkan dengan agak cepat daripada
janaplasma ini. Pokok daripada biji benih yang ditanam di persekitaran
rumah atau tumbuh liar kesemuanya pokok unik dan berpotensi yang boleh
dieksploitasi bagi pemilihan varieti yang baik.
Mutu buah MELOMAS
Buah bersaiz kecil hingga sederhana dengan berat anggaran 1-1.2 kg.
Buah agak bulat dan kulit mudah ditanggalkan.
Kulit nipis, hijau kekuningan apabila matang dan terdapat bulu halus di permukaannya.
Isinya putih kuning dan samar-samar merah jambu dan kurang berserabut.
Berjus, rasanya manis, wangi, kandungan gula tinggi, kandungan asid rendah dan tidak ada rasa pahit selepas makan.
Amalan Kultur
Dapatkan mata tunas yang disahkan
bersih daripada penyakit dan cantumkan kepada pokok penanti jenis Swingle
citrumelo atau Troyer citrange. Jarak tanaman pokok cantuman ialah 6m x
7m. Bagi pokok tut dan pokok yang dicantum pada pokok penanti cergas,
jarak tanaman ialah 7m x 8 m.
Jadualkan masa pembungaan supaya
pokok mengeluarkan hasil pada waktu permintaanya baik seperti musim perayaan
Tahun Baru Cina dan perayaan Kuih Bulan. Ini dapat dilakukan dengan
mengaruh pembungaan pada bulan Julai/Ogos untuk perayaan Tahun Baru Cina dan
bulan Mac/April untuk perayaan Kuih Bulan.
Pengaruhan bunga untuk musim
pengutipan pertama boleh dicapai dengan memangkas pokok. Misalnya untuk
perayaan Kuih Bulan, pokok dipangkas selepas buah dikutip untuk perayaan Tahun
Baru Cina. Seterusnya pokok akan mula berbunga pada bulan Mac. Masa yang
diambil dari berbunga hingga buah dikutip ialah 5 1/2 bulan. Buah akan
dikutip pada bulan September iaitu musim perayaan Kuih Bulan. Apabila
memangkas, semua ranting yang telah berbuah, ranting mati dan berpenyakit
dibuang. Untuk musim pengutipan kedua, pembungaan untuk pengutipan
perayaan Tahun Baru Cina bermula pada bulan Julai/Ogos. Tiada pemangkasan
dilakukan kerana buah sedang membesar untuk pengutipan pada bulan September.
Selepas memangkas, baja organik (tahi
ayam) ditaburkan pada kadar 3 kg (pokok muda) hingga 30 kg (pokok melebihi 6
tahun). Baja sebatian dan batu kapur magnesium dibekalkan dari semasa ke
semasa. Pada musim berbunga, racun kimia digunakan untuk mengawal kanker
bakteria, penyakit samar, antraknos, koya, teritip, pengorek buah, lalat buah
dan pelombong daun.
Apabila mencapai saiz sebesar bola
golf, penjarangan buah dilakukan dan hanya sebiji buah ditinggalkan pada setiap
dahan hujung. Buah kemudian dibungkus dengan kertas setebal dua lapisan.
Buah boleh dipetik 5 1/2 bulan selepas berputik. Pada tahap ini buah limau
bali cukup matang dan sesuai untuk dipasarkan. Pada kematangan ini buah
limau bali telah mencapai tahap kemanisan yang sesuai dengan jumlah pepejal
larut lebih kurang 10% dn pH 6.0. Jumlah pepejal larut limau bali Melomas
lebih baik daripada Tambun Manis. Limau Bali Melomas boleh disimpan selama
4 minggu pada suhu 14-15oC tanpa menjejaskan mutu dan citarasanya.
Semasa penyimpanan kulit buah limau bertukar warna menjadi sedikit kekuningan.
Buah limau bali Melomas juga sesuai untuk pemprosesan minimum memandangkan buah
ini besar, mahal dan remeh untuk mengupas dan membersihkannya. Setelah
dibuang kulit, ulas-ulas limau bali boleh dibungkus dalam bekas propilena dan
disimpan pada 2-5oC selama 3 minggu. Kulit limau bali boleh
juga diproses menjadi halua, jeruk dan dijadikan snek.
Bahan tanaman Melomas atau cantuman
boleh didapati di MARDI dengan harga RM8.00 (tut) dan RM10.00 (cantuman).
(Dipetik
dari majalah Agromedia Bil. 5/1999).
FERTIGASI
(Dipetik
dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002)
Kaedah fertigasi merupakan satu
kaedah baru yang ditemui bagi menjalankan penanaman sayur-sayuran dalam tempoh
masa jangka pendek. Kaedah ini tidak memerlukan tanah sebagai media
tanaman. Medium-medium yang boleh digunakan seperti sabut kelapa, pasir
sungai, sekam padi, vermikulit, perlit dan habuk kayu. Beberapa jenis
sayur-sayuran seperti tomato, cili, terung panjang, timun jepun, kobis bulat,
lobak putih dan tembikai wangi sesuai menggunakan kaedah penanaman secara
fertigasi.
Nutrien
Nutiren atau baja diberikan kepada
tanaman secara sistem pengairan. Nutrien disalurkan dalam bentuk larutan
dan dititiskan ke pangkal tanaman untuk membasahi zon perakaran.
Nutrien-nutrien yang dititiskan
terdiri daripada nutrien NPK (Nitrogen, Fosforos dan Kalium) sebagai unsur
utama. Manakala pemakanan makro pula terdiri daripada unsur-unsur surih
seperti Kalsium (Ca.) Magnesium (Mg), Sulfur (S), Ferum (Fe), Mangan (Ma),
Kuprum (Cu), Kobaltam (Co), Zink (Zn), Boron (Bo), Klorin (CI) dan Molibdenum
(Mo). Kaedah ini juga dikenali sebagai 'Hodroponik Beraggregat'.
Larutan-larutan nutrien yang dianggap sebagai nadi kepada kaedah fertigasi ini
diagihkan dalam tiga cara itu secara Aliran Graviti, Pam Elektrik dan Penyuntik
baja. Aliran graviti boleh dilakukan secara manual oleh pengusaha mengikut
kehendak dan jangka masa yang ditetapkan olehnya. Air dan baja yang telah
dibuat, disalirkan ke tangki penyimpanan yang diletakkan di tempat yang tinggi.
Dengan menggunakan tenaga graviti,
baja tadi akan disalirkan ke tanaman. Cara ini lebih praktikal digunakan
oleh petani-petani memandangkan kosnya yang lebih rendah. Manakala pam
elektrik dan penyuntik baja pula menggunakan tenaga elektrik dan motor untuk
pembajaan. Tempoh masa pembajaan telah ditetapkan oleh pengusaha.
Oleh itu kosnya adalah lebih tinggi. Seringkali kedua-dua cara ini
digunakan oleh penyelidik-penyelidik untuk mendapatkan keputusan penyelidikan
yang tepat.
Setiap tanaman mempunyai kadar
nutrien yang berbeza. Para pengusaha hendaklah bijak dalam melakukan
formulasi nutrien dan peka kepada tindakbalas pokok terhadap setiap formulasi
nutrien yang dibuat. Tindakbalas ini menunjukkan kesesuaian tanaman
terhadap formulasi nutrien yang dirumuskan.
Kelebihan
Dengan menggunakan kaedah fertigasi,
masalah tanah seperti keluasan tanah terhad, tanah tidak subur, perumah penyakit
dan perosak dapat diatasi kerana mikroorganisma penyebab penyakit yang selalu
dibawa oleh tanah boleh dikawal kerana tanah tidak digunakan. Nutrien
lengkap dititiskan mengikut jumlah, keperluan tanaman serta peringkat
pertumbuhannya. Nutrien yang dibekalkan tidak terbazir kerana digunakan
terus oleh akar tumbuhan. Oleh itu, keperluan tenaga buruh bagi tujuan
kerja-kerja membaja dan merumput dapat dikurangkan.
Masalah merumpai bukan lagi menjadi
masalah utama. Oleh itu penggunaan racun ke atas tanaman dapat
dikurangkan. Penggunaan baja adalah lebih cekap kerana baja yang diberi
adalah mengikut formulasi yang diperlukan oleh tanaman. Hasil yang
diperolehi adalah lebih tinggi dan boleh mencapai pada kadar kira-kira 700% jika
dibandingkan dengan cara penanaman dengan menggunakan tanah sebagai medium.
Hasil tanaman tidak tercemar oleh tanah dan akan kelihatan lebih bersih.
Keperluan
infrastruktur
Rumah Lindungan
Rumah lindungan didirikan bagi mengekalkan kelembapan, mengelakkan pancara ultra
unggu serta terik cahaja matahari yang berlebihan.
Sistem pengairan (titisan)
Sistem Pengiaran terdiri daripada pusat kawalan nutrien, paip ladang dan penitis
(2L/H).
Punca Air
Air boleh didapati dari kolam, telaga, telaga tiub dan lain-lain. Air yang
digunakan hendaklah bersih, jernih, bebas daripada penyakit dan pencemaran,
tidak berbau dan mempunyai kandungan oksigen yang tinggi.
Baja Fertigasi
Baja yang disediakan haruslah sesuai dengan tanaman agar dapat menghasilkan
hasil yang tinggi.
Alat Pengukur pG dan EC Larutan
Terdapat banyak pilihan yang boleh digunakan bagi mengiiut nilai pH dan nilai
EC. Biasanya 'pocket size' pH meter dan EC meter atau 'portable pH/EC/TDS
meter'.
Media
Kadar pegangan air adalah dalam 60-80% dan udara 20-40%. Contoh:
campuran habuk sabut kelapa dan arang sekam padi (1:1).
Biji Benih F1 hibrid (Holland seed) menjadi pilihan. Tahap ketahanan rintang
penyakit lebih terjamin, merupakan biji benih yang berkualiti dan untuk
mendapatkan kadar percambahan yang maksimum.
Bekas Tanaman
Bekas tanaman yang sering digunakan adalah polybeg 12" x15" atau 12" x 17".
Cara-cara Penyediaan Kaedah Fertigasi
Batu kelikir yang berukuran 1.3-1.9 cm diletakkan di dalam beg plastik atau
saluran yang berdindingkan simen atau kaca gentian. Titisan nutrien
dimasukkan dari bahagian permukaan beg tersebut secara graviti. Tititsan
nutrien ini dibiarkan untuk 5-10 minit sehingga kelihatan larutan tersebut
keluar semula dri bahagian bawah beg.
Rumah lindingan haruslah dibina bagi mengelakkan larutan nutrien menjadi cair
apabila hujan. Bahan-bahan lain seperti Ttildenet boleh juga dibuat
atap tetapi mestilah tidak menyekat kemasukan cahaya matahari dengan banyak ke
dalam struktur tersebut. Frekuensi dan volume penyiraman seharusnya
disesuaikan dengan keadaan cuaca, jenis dan umur tanaman, fasa pertumbuhan
tanaman dan jenis media yang digunakan. Jika keadaan cuaca hujan,
frekuensi penyiraman hendaklah dikurangkan kerana media akan menjadi terlalu
basah dan memberi kesan kepada pertumbuhan akar tumbuhan tersebut.
Keseimbangan yang sesuai antara air, udara, baja yang hendak digunakan dan media
tanaman hendaklah dititikberatkan.
Nilai EC (jumlah baja yang larut dalam air) dan nilai pH (tingkat persamaan)
sesuatu larutan adalah penting. Ini akan menunjukkan berapa banyak unsur
nutrien yang tersedia buat tanaman tersebut. Jumlah nutrien tidak dapat
distandardkan kerana perbezaan antara iklim, media dan jenis tanaman.
Kadar kepekatan (EC) yang diberikan untuk tanaman haruslah disesuaikan dengan
situasi dan keadaan. Nilai pH yang sesuai adalah antara 5.0-6.0 kerana
pada kadar ini, semua unsur nutrien dapat diserap oleh tanaman.
Waktu penyiraman, jumlah penyiraman, EC/pH ini, EC/pH out, suhu, RH dan
keadaan cuaca harus dicatatkan. Data-data ini nanti akan membantu
pengusaha dalam mengambil keputusan untuk merubah satu-satu formulasi.
Anggaran kos dan belanjawan (0.4 hektar) mengikut Sistem Institut Pertanian
Serdang (tahun 2002) adalah seperti berikut:-
RM
Rumah lindungan
8'x8'x60' (60 unit @ 1700)
102,000.00
Sistem
pengairan:
- rumah pelindung 8"x40"
dan konkrit (1 buah @ 3,000 = 3,000)
- tangkinutrien 600G + tangki stok nutrien (5 buah @ 700 = 3,500)
- paip ladang (main line, sub line & 6,00 penitis @ 2.50 = 15,000)
- pam elektrik, timer dan fitting (1 set @ 1,500)
- upah pemasangan RM5,.000
28,000.00
Punca air pH dan
EC hendaklah dalam keadaan baik
20,000
Baja fertigasi
(1 pusingan) (60-80 set @ 250 = 15,000-20,000)
Alat pengukur pH
dan EC (portable)
1,2000.00
Media - campuran
arang sekam & habuk sabut (600 @0.70)
4,200.00
Polibeg 250 kg @
9.00
2,250.00
Biji benih 1000
biji/bks (9 bks @ 250.00)
2,250.00
JUMLAH
159,900.00
Anggaran kos dan belanjawan mengikut Sistem Harrani (tahun 2002)
Rumah lindungan
20' lebar x 170' panjang (5 unit @ 8,700)
43,500.00
Sistem pengairan
30,000.00
JUMLAH
73,500.00
Anggaran yang dibuat ini, hanyalah melibatkan kos pembinaan sahaja.
Kos operasi pula adalah seperti sistem yang dijalankan oleh Institut Pertanian
Serdang.
Anggaran Kos dan Belanjawan Mengikut Sistem MARDI
Jumlah kos pembinaan serta kos operasi yang terlibat adalah sebanyak RM350,000
ribu. Ini kerana MARDI lebih tertumpu kepada sistem kawalan suhu dan
kelembapan yang canggih. Segala penyelenggaraan projek ini diselenggarakan
sepenuhnya dengan menggunakan sistem komputer. Sistem ini lebih menekankan
kepada aspek penyelidikan dan bukanlah untuk tujuan komersial.
Kesimpulan
Walaupun kos yang terlibat adalah agak tinggi, namun dengan kaedah fertigasi,
beberapa masalah yang timbul dalam sistem penanaman secara konvensional dapat di
atasi. Sistem penanaman tanpa tanah telah dapat menghapuskan penyakit yang
berasal daripada tanah. Sebagai contoh penyakit layu bakteria yang selama
ini telah menjadi masalah utama bagi tanaman tomato dan cili dapat diatasi.
Selain itu penanaman juga dapat dilakukan sepanjang tahun kerana musim hujan
atau kemarau tidak mempengaruhi kegiatan penanaman. Pengusaha dapat
merancang masa dan jumlah pengeluaran hasil mengikut keperluan pelanggan dan
pasaran. Kelebihan ini memberi keuntungan kepada pengusaha kerana semua
faktor penentu harga adalah dibawah kawalan pengusaha sekiranya penanaman dibuat
mengikut jadual dan perancangan menepati permintaan pasaran.
Rajah Sistem Fertigasi
(Dipetik
dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).
(Dipetik
dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002)
Telah diakui usaha menanam sayur mampu memberi pulangan yang lumayan.
Keuntungannya akan bertambah sekiranya bijak merancang bagi tujuan menjimatkan
kos pengeluaran terutama dalam penggunaan baja. Kos membaja dalam tanaman
sayur agak tinggi berbanding dengan lain-lain tanaman.
Sisa tanaman dan habuk gergaji boleh digunakan sebagai media tanaman.
Bahan ini biasanya akan dibuang oleh pengusaha tanaman selepas memungut hasil.
Satu lagi bahan utama yang penting dalam pembuatan baja organik ialah sekam
padi. Sekam padi merupakan bahan organik yang baik untuk mengemburkan
struktur tanah, tambahan pula bahan ini murah dan mudah didapati.
Penggunaan najis ayam juga sesuai untuk menggalakkan pembiakan dan kesuburan
bakteria yang banyak membantu dalam proses pereputan.
Teknik pemprosesan
Sisa pertanian digaul dengan najis ayam, habuk gergaji dan sekam padi.
Campuran ini kemudiannya dilonggok meninggi kelihatan seperti busut. Bahan
campuran ini akan dibalik-balikkan selepas dua minggu dan bacaan suhu dibuat
pada setiap minggu dengan menggunakan alat termometer. Sewaktu proses
pereputan berlaku, bahan campuran ini akan mengeluarkan suhu yang tinggi dan
suhu akan dipantau sebanyak tidak melebihi 70 celcius. Sekiranya suhu
mencecah 70 celcius, siraman air perlulah dibuat untuk mengelakkan bahan ini
terbakar dengan sendirinya. Bahan-bahan organik ini mulai reput selepas
satu bulan dan akan bertukar struktur keseluruhannya menjadi peroi dan berwarna
hitam selepas enam bulan. Pada peringkat ini, baja organik ini sudah cukup reput
dan boleh digunakan di ladang.
Kebaikan baja organik
Perbelanjaan membaja tanaman sayur berkurangan lebih dari 50%. Rasa sayur
yang dihasilkan juga lebih rangup dan manis terutamanya lobak merah dan kobis
bunga. Penggunaan baja organik dapat mengurangkan serangan musuh perosak.
Satu lagi kebaikan penggunaan baja organik ini ialah mengelakkan berlakunya
pembaziran dan tidak mengamalkan pembakaran terbuka yang lazimnya diamalkan oleh
kebanyakan petani. Penggunaan baja organik juga membantu memulihan
struktur tanah yang diusahakan secara intensif. Struktur tanah akan
menjadi gembur dan banyak mengandungi bahan organan. (Dipetik
dari majalah Wawasan Pertanian Bil. 16/2002).
Selaras dengan hasrat Menteri Pertanian yang ingin menjadikan Malaysia sebagai
pengeluar utama pertanian makanan di rantau ini, sayur-sayuran dan buah-buahan
adalah antara komoditi yang bakal dipertingkatkan pengeluarannya untuk memenuhi
permintaan tempatan yang meningkat, penggantian import dan merebut peluang
pasaran eksport yang semakin berkembang.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan telah memperkenalkan pendekatan
Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), iaitu sebuah kawasan yang dimaju dan
digazetkan sebagai kawasan pengeluaran sayur-sayuran, tanaman ladang (singkat
masa) dan buah-buahan. Pengwujudan TKPM secara langsung menyelesaikan
rungutan para pelabur mengenai ketiadaan tanah untuk kegiatan pengeluaran
pertanian secara komersial dan moden.
Konsep TKPM
Secara umumnya, pembangunan TKPM dilaksanakan ala pembangunan Taman
Perindustrian di mana kerajaan akan mengazet dan memajukan sesuatu kawasan yang
telah dikenalpasti sebelum dijual atau disewa kepada pihak pengusaha untuk
aktiviti perindustrian. Bezanya, TKPM hanya untuk disewakan kepada
pengusaha khusus untuk aktiviti pengeluaran pertanian makanan seperti
sayur-sayuran, tanaman jangka pendek yang lain dan buah-buahan tidak bermusim
yang mempunyai 'gestation period' yang pendek seperti nanas, tembikai dan melon.
Bagi menarik penglibatan pihak swasta, tapak-tapak tanah yang strategik dan
berpotensi yang berhampiran dengan pusat pertumbuhan penduduk, industri dan
akses kepada sistem pengangkutan utama akan dipilih untuk dimajukan sebagai
TKPM.
Pelaksanaan Projek
Pembangunan TKPM melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan
pihak swasta. Kerajaan Negeri berperanan mengenalpasti tanah untuk
pembangunan TKPM, menyediakan khidmat sokongan teknikal kepada pengusaha,
manakala Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam aktiviti pembersihan kawasan,
penyediaan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan masuk, sistem saliran
utama dan kemudahan pengairan utama, penyediaan khidmat sokongan teknikal kepada
pengusaha dan agen pengembangan. Pihak swasta pula akan menyediakan
infrastruktur dalam ladang seperti jalan ladang, sistem pengairan dan saliran di
ladang serta mengusahakan tanaman.
MoU
Bagi memudahkan pelaksanaan program di atas, pengagihan peruntukan Kerajaan
Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, MoU telah/ akan ditandatangani oleh Menteri
Pertanian dengan Menteri-menteri Besar. Dalam MoU tersebut kerajaan Negeri
diminta agar tidak menukar tanah selain dari kegunaan untuk TKPM.
Pemilihan peserta dibuat dari kalangan usahawan tani sedia ada di persekitaran
kawasan projek, usahawan atau pihak swasta yang berminat dan mempunyai modal.
Untuk memastikan projek berjaya, peserta akan diberi pendedahan yang mencukupi
mengenai teknologi penanaman dan pengurusan ladang.
Faedah TKPM
Menerusi projek ini, pengeluaran makanan sayuran yang terancang, cukup dan
berterusan dapat dibekalkan untuk menampung keperluan penduduk yang bertambah.
Pengamalan teknologi yang sesuai dan terkini dapat disebarkan dengan cepat bagi
menghasilkan sayuran berkualiti dan selamat disamping peserta projek boleh
mendapat pendapatan lumayan dari hasil keluaran mereka oleh kerana kos
infrastruktur, bahan imput dan kos pemasaran dapat dikurangkan melalui operasi
secara pukal dan berkumpulan.
TKPM perlu bukan saja untuk menjamin pengeluaran bahan makanan yang berterusan
tetapi juga bagi meningkatkan pengeluaran sayuran yang berkualiti serta memberi
peluang kepada penduduk tempatan dan usahawan menceburi dalam bidang penanaman
sayuran dan bahan makanan bagi meningkatkan pendapatan mereka. Disamping
itu, ia dapat mengurangkan pengimportan bahan makanan.
Dengan andaian satu hektar dapat mengeluarkan 12 tan sayuran bernilai RM1.00/kg.
dan 3 kali pengeluaran hasil setahun, adalah dijangka sebanyak 21,000 tan
sayuran dan bahan makanan bernilai RM12 juta akan dapat dikeluarkan secara
terancang dari TKPM ini dalam tahun pertama dan meningkat sehingga 106,740 tan
bernilai RM106.7 juga di akhir tahun kelima Rancangan Malaysia ke Lapan.
Kemudahan infrastruktur asas akan disediakan oleh Jabatan dan usahawan-usahawan
dengan pihak swasta dipelawa untuk melabur dan berusaha aktif dalam pengeluaran
sayuran dan tanaman ladang secara komersil menggunakan teknologi yang sesuai.
BUNGA ROSELLE
(Dipetik
dari Majalah Kesihatan
- Rapi Bil. 133 1 Februari 2010)
Bunga Roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa l, nama ini berbeza di
setiap negara seperti bunga rosella (Indonesia), zuring (Belanda), oseile rouge
(Perancis) atau karkadeh (Sudan). Pohon roselle tumbuh daripada biji atau
benih yang mempunyai ketinggian sehingga mencapai 3-5 meter dan mengeluarkan
bunga hampir setiap tahun. Ia berwarna cerah, kelopak bunga berwarna merah gealp
dan agak tebal. Walaupun berbeza nama tetapi khasiatnya dan manfaatnya
tetap sama. Contohnya:-
Kelopak Bunga
Diproses untuk dijadikan makanan seperti manisan, jeli, minum dan serbuk (teh).
Daun Muda
Dimakan sebagai ulam atau salad.
Biji
Mengandungi minyak tertentu.
Khasiat Roselle
Ia adalah sumber utama vitamin C untuk badan kita dan kandungan vitamin C ini
melebihi 20 kali ganda daripada keluarga limau (citrus). Dianggarkan 100
gm kelopak bunga segar mengandungi 3 kali ganda daripada buah anggur hitam, 10
kali ganda daripada buah belimbing dan 2.5 kali ganda daripada buah jambu.
Selain itu, roselle juga mengandungi vitamin D, Vitamin B1, B2, niacin,
riboflavin, karoten, zat besi, asam amino, polisakarida, Omega 3 dan kalsium.
PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
12 February 2010 12:04:17 PM