KELAPA WANGI (Dipetik dari majalah Teknotani April 1999)
Kelapa Wangi atau Kelapa Pandan adalah sejenis kelapa rendah
yang terkenal dengan air dan isinya yang berperisa daun pandan.
Kegunaan kelapa wangi adalah sebagai kelapa muda yang lebih
dikenali sebagai kelapa botak dan kelapa telur. Kelapa botak dihasilkan
dengan memotong satu pertiga bahagian sabut di bahagian hujung buah bagi
menampakkan isi kelapa muda. Pada ketika ini airnya manis dan begitu juga
dengan isinya. Isinya masih lembut dan enak.
Kelapa telur dihasilkan dengan mencungkil keluar keseluruhan
isi putihnya dengan menggunakan sejenis pisau yang diperbuat daripada tanduk
kerbau. Pada ketika ini airnya tersangat manis dan lapisan isi muda
terbentuk penuh, pejal dan lembut. Jangka hayat kedua-dua produk ini boleh
dipanjangkan dengan membungkusnya menggunakan 'parafilm' dan disimpan sejuk 2 C.
Buah kelapa muda ini berbentuk bulat, bujur atau di antara
bulat dan bujur. Apabila matang buah bentuk bulat dan berbiku tiga.
Warna kulit buah ialah hijau dengan sedikit keperangan dan bertukar menjadi
perang apabila matang. Saiz buah tua lebih kecil daripada buah muda.
Mesokap berwarna putih.
Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur 3-4 tahun
selepas ditanam di ladang. Ketika berumur tiga tahun pengeluarannya hanya
40-50% dan mencapai 100% apabila berumur empat tahun. Pokok kelapa wangi
mengeluarkan 12-18 jambak bunga setahun. Purata bilangan buah setandan
ialah 10-15 tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika kawasan
dibanjiri air. Setahun (tahun ke 13) ia boleh mengeluarkan 130-175 biji
buah kelapa muda sepokok. Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran
boleh mencapai 36,000 - 49,000 buah kelapa muda setahun. Kandungan air
bagi sebiji ialah lebih kurang 330 ml. Oleh kerana kelapa wangi ini
ditanam untuk kegunaan kelapa muda peringkat kematangannya perlu diketahui.
Peringkat Satu Lapisan
Isi buah kelapa muda terbentuk pada hujung (bawah) buah. Isi buah
kelapa ang terbentuk masih terlalu nipis dan kelihatan seperti agar-agar.
Di bahagian hujung yang terdapat tangkai (atas), isi kelapa masih belum
terbentuk dan tempurung masih berwarna kuning. Sekiranya buah dibelah,
hanya separuh daripada keseluruhan tempurung telah dipenuhi isi. Pada
peringkat ini tidak sesuai dipetik.
Peringkat Satu Setengah Lapisan
Di peringkat ini isi buah kelapa telah memenuhi keseluruhan buah.
Tempurung kelapa yang masih terdedah tidak kelihatan kecuali kawasan sebesar
syiling lima puluh sen di mana tempurung di bahagian tersebut hanya diliputi
oleh isi buah yang terlalu nipis seperti agar-agar. Kelapa wangi di
peringkat ini masih dianggap terlalu muda dan tidak sesuai untuk dipetik.
Peringkat Dua Lapisan
Isi buah kelapa telah terbentuk sepenuhnya dan telah meliputi keseluruhan
tempurung buah. Isi kelapa yang terbentuk masih belum keras. Di
peringkat inilah yang paling sesuai dipetik untuk tujuan kelapa muda.
PENENTUAN PERINGKAT KEMATANGAN
Mengira tandan buah
Jika mayang yang baru keluar dari celah pelepah daun dikira sebagai tandan
pertama, mayang yang keluar selepas ini dikira tandan kedua, ketiga dan
seterusnya mayang yang ke 12. Apabila mayang ke 12 telah keluar dan masih
belum terbuka, ini menandakan bahawa buah kelapa yang terbentuk pada tandan
pertama tadi telah berada pada peringkat dua lapisan kematangan. Ini
bermakna buah tersebut sesuai dipetik.
Memerhati tangkai buah
Jika separuh dari tangkai buah telah kering dan separuh lagi masih berwarna
hijau, buah tersebut berada di peringkat kematangan yang betul untuk dipetik.
Bagaimanapun semasa musim kering dan panas tangkai buah akan menjadi kering
lebih cepat dari biasa. Oleh itu faktor cuaca harus diambil kira.
Memerhati warna buah
Ketika buah masih muda sekeliling tampok buah di mana tangkai buah melekat
berwarna keputihan. Apabila buah kelapa beransur matang, bahagian berwarna
putih ini menjadi kecil. Sekiranya bahagian tersebut hanya terdapat di
sekeliling tangkai buah sahaja, ini menandakan masa yang sesuai untuk dipetik.
Walau bagaimanapun, faktor cuaca juga mempengaruhi pertukararn warna buah.
Melihat tanda buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur enam hingga
enam setengah bulan selepas persenyawaan. Kaedah yang digunakan ialah
dengan melihat tandan buah serta saiz buah kecil dan pembetukan seludang
di atas tandan buah kecil tersebut. Tandan kelapa muda yang dipetik,
tandan buah kelapa kecil dan seludang adalah selari atau atau terletak di
atas satu sama lain.
Peringkat yang sesuai untuk kelapa botak:
Di peringkat ini seludang terbentuk penuh (70-90 cm) panjang tetapi belum
memecah. Di bawah seludang ini terdapat tandan buah kecil di mana saiz
lilitan adalah diantara 18-24 cm atau sebesar bola tenis. Dengan ini
tandan yang sebaris di bawah boleh dipetik untuk menghasilkan kelapa botak.
Peringkat yang sesuai untuk kelapa telur:
Di peringkat ini seludang telah pecah dan mengeluarkan mayangnya, sebaris di
bawah terdapat tandan buah kecil di mana saiz lilitan adalah besar sedikit iaitu
antara 22-26 cm, dengan ini tandan yang sesuai untuk menghasilkan kelapa
telur.
Ia berasal dari kepulauan Asia Tenggara. Merupakan tumbuhan herba yang mula
mencipta nama. Buah limau purut boleh dibezakan dengan mudah kerana buah
yang matang berwarna kuning, berbentuk seperti buah pir dan kulitnya menggerutu.
Pokok ini hidup subur di kawasan yang mempunyai pancaran cahaya matahari yang
kuat, tidak memerlukan naungan dan boleh hidup selama beberapa tahun.
Lazimnya buah limau purut tidak mengeluarkan jus yang banyak tetapi setitis
jusnya setanding dengan 10-15 titis bau dan rasa masam jus limau nipis.
Daun limau purut telah lama digunakan sebagai bahan perubatan dan masakan.
Di Malaysia, Indonesia dan Thailand, penggunaan daun limau purut dalam masakan
amat meluas. Masakan seperti sup tom yam, sambal dan agar-agar mempunyai
aroma yang harum dan rasa yang lebih enak apabila menggunakan daun limau purut.
Bau dan rasa ini tidak boleh didapati daripada daun limau yang lain. Daun
limau purut juga pernah digunakan untuk menambah rasa tuak atau arak beras.
Limau purut dalam aromaterapi
Limau purut mengandungi beberapa minyak pati yang mempunyai nilai ubatan yang
tinggi antaranya alfa, beta-pinena, sitronelal, neral dan limonena. Kajian
terbaru menunjukkan ekstrak daun limau purut mempunyai sifat antipertumbuhan
kuman, boleh menghalang pembesaran sel kanser, mengurangkan tekanan darah tinggi
dan menaikkan nafsu makan. Dan limau purut dan minyak patinya sangat
bernilai dalam rawatan aromaterapi untuk menenangkan perasaan gelisah dan
ketegangan fikiran. Minyak patinya digunakan dalam mandi terapeutik, mandi
wap dan sebagai minyak urut badan. Baunya yang kuat dan menyenangkan boleh
menyebabkan seseorang berassa ceria, bebas tekanan, segar dan bertenaga.
Tidak hairanlah orang Melayu menggunakannya untuk tujuan mandi limau.
Kegunaan lain
Dalam masyarakat Malaysia, limau purut mempunyai kegunaannya tersendiri.
Buahnya digunakan untuk tujuan kosmetik iaitu untuk mencuci rambut dan bahagian
tubuh yang lain. Jusnya boleh mengeluarkan karat gigi dan kesan kotor yang
degil pada kulit tanpa penggunaan bahan kimia yang kuat. Beberapa titis
perahan jus limau purut ditambah dengan setengah cawan air boleh digunakan
sebagai ubat kumur supaya mulut berbau harum dan menyihatkan gusi. Di
Thailand, buah limau purut kering digunakan sebagai ubat batuk dan ubat rawatan
selepas bersalin.
Limau Sitron
Nama botani: Citrus medica L. Nama biasa: Limau susu, limau
mata kerbau, limau kapas, limau jari.
Limau sitron berasal dari kawasan sub Himalaya, Timur Laut India dan utara Burma
kemudian disebarkan ke Iran dan China. Kini limau-limau ini telah tersebar
di kawasan tropika. Limau sitron ditanam secara komersial di kawasan
Mediteranean dan Puerto Rico sebagai sumber kandi dalam pembuatan kek dan kuih
muih. Di Malaysia limau ini ditanam hanya di sekitar rumah dan di kebun
dapur untuk kegunaan harian dan sebagai ubat.
Terdapat banyak jenis limau sitron yang berbeza-beza. Limau-limau ini
umumnya boleh dikelaskan sebagai jenis masam atau berasid dan jenis tidak
berasid. Jenis-jenis limau yang terdapat di sini ialah limau susu, limau
mata kerbau, limau kapas dan limau jari. Jenis-jenis ini berbeza jelas
dari segi bentuk buah dan daunnya. Jenis yang paling menarik ialah limau
jari. Karpel buahnya tidak dapat bercantum membentuk buah yang bulat
tetapi sebaliknya melekat pada pangkal buah bak jari-jari yang memegang buah,
sebab itulah orang-orang Cina menggelarnya 'tangan Buddha'. Kulit buah
limau ini sangat harum dan banyak digunakan oleh orang-orang Cina.
Kegunaan dan Khasiat:
Limau sitron digunakan secara meluas sebagai sumber kandi dalam pembuatan kek dan
hasilan konfeksi. Buahnya telah digunakan sejak zaman dahulu sebagai
wangian dan penghalau kupu-kupu, selain untuk perasa makanan. Minyak
sitron boleh diekstrak daripada kulit limau sitron.
Pucuk segar, daun, bunga, buah dan biji limau sitron digunakan dalam perubatan
tradisional sebagai campuran ubat untuk melegakan lelah, atritis, sakit kepala, sakit perut untuk melawan parasit usus dan juga melegakan gangguan fisiologi
seperti gangguan fikiran dan syaitan. Air rendaman akarnya dibuat ubat untuk masalah penafasan dan sakit belakang di negara China.
Daun limau kapas ditumbuk bersama-sama biji sawi dan dibuat ubat pupuk untuk
sakit ngilu kepala, sejenis sakit kepala yang teruk. Untuk tujuan ini
campuran ubat tersebut dibalut terlebih dahulu dengan daun pisang yang telah
dilayur. Dahi pesakit pula disapu dengan minyak bijan sebelum dipupuk.
Di Perak daun limau kapas dicampur rumput lidah rimau dan daun langir dan
dibuat losyen untuk dimandikan pesakit yang dirasuk makhluk halus.
Limau Jari / Limau Kerat Lintang / Limau Kuku Harimau
(Citrus medica var. sarcodoactylis)
Kulitnya berbau harum dan buah ini digunakan dengan
meluas oleh orang-orang Cina sama ada di negara China atau di Malaysia.
Limau jari dicampur dengan buah lain dan dibuat ubat luaran/kosmetik
untuk penyakit gangguan fikiran,
Limau Mata Kerbau
Air
rendaman pucuknya yang segar dibuat tonik dan ubat cacing. Daunnya
dibuat campuran ubat untuk cacing selain dibuat campuran ubat untuk
ibu-ibu yang baru melahirkan anak. Daun limau ini dicampur dengan
daun tarum dan daun kesum dan ditumbuk lumat. Jusnya diminum tiga
hari berturut-turut di waktu pagi bagi ibu selepas bersalin. Buah
limau ini dibuat ubat untuk masalah gangguan fikiran.
Limau Kapya (Triphasia trifolia)
Pokok limau kapya atau
lima kuku kecil dan mempunyai sistem percabangan yang menarik, sesuai
dijadikan bonsai atau tanaman hiasan. Kecantikan pokok ini ditambah lagi
oleh buahnya yang kecil berwarna merah. Daun limau kapya dipupuk ke badan
untuk melegakan sakit-sakit angin dan sakit kulit. Daunnya juga dibuat
ramuan alat solek atau kosmetik. Jus buahnya digunakan untuk mengilatkan
kuku dan buah ini sering dimakan oleh kanak-kanak.
Limau Lemon (Citrus limonica)
Limau lemon telah
digunakan dalam perubatan sejak zaman dahulu lagi. Orang-orang
Roman dhaulu kala menggunakan limau ini sebagai penawar racun.
Jusnya diperah dan dicampur air panas untuk mengubati masalah gangguan
hati atau hempedu. Jus limau ini bertindak sebagai perangsang
hempedu dan merupakan tonik untuk hati.
Limau lemon juga digunakan untuk merawat
sistem penghadaman termasuk sedu, rasa loya dan pedih ulu hati, selain
melegakan sembelit dan menghapuskan cacing. Jus limau dipercayai
boleh melawan berbagai-bagai jangkitan kuman dan melegakan demam, sakit
tekak, konsil dan lelah. Jus ini juga berkesan melarutkan batu
karang. Jus limau ini bersifat diuretik dan boleh melegakan
atritis, rematik dan sakit kepala. Jus yang dicampur dengan kopi
dipercayai berkesan melawatan demam malaria. Jus lemon ini
dibasahkan pada kapas diletakkan dihidung untuk menghentikan darah dari
hidung yang berdarah. Jus yang disapu pada gusi pula boleh merawat
gusi berdarah. Jus limau ini juga dibuat ubat sapu untuk kulit
yang melecur oleh panas matahari.
Jus limau lemon kaya dengan asid sitrik,
gula dan gam.. Sebab itulah ia berkesan sebagai antiskorbutik,
sebagai tonik, refrigeran (melegakan demam dan dahaga) serta
menyejukkan. Kulitnya mengandungi minyak esens dan bahan pahit.
Minyak limau ini merupakan ubat rubafasien luaran yang kuat dan
berkualiti karminatif dan merangsang aktiviti perut. Ia diberi
dalam bentuk sirap, jus segar, tinktur dan minyak esens.
Limau lemon digunakan juga dalam rawatan
homeopati. Minyak limau ini digunakan untuk masalah edaran darah,
sakit berkaitan pernafasan dan sakit tekak. Jus limau lemon
dicampur isi buah avokado yang telah dihancurkan adalah rawatan yang
berkesan untuk rambut yang telah rosak oleh bahan kimia. Untuk
rawatan ini campuran tersebut dipupuk ke rambut dan dibalut selama
kira-kira 30 minit sebelum dicuci semula. Jus limau ini kaya
dengan vitamin C yang perlu untuk pemulihan tisu kulit dan juga untuk
mengekalkannnya supaya sentiasa sihat. Jus segar yang telah
dicairkan boleh digunakan sebagai bahan toner.
Limau jari
Limau mata kerbau
Limau kapya
Limau lemon
Limau Nipis (Citrus aurantifolia)
Kandungan vitamin dalam jus limau nipis tinggi dan limau ini seringkali
digunakan sebagai ramuan bahan persolekan wanita. Limau nipis adalah bahan
penting dalam banyak ubat-ubatan tradisional. Air limau nipis menyegarkan
badan yang tidak bermaya dan menyembuhkan saskit kepala. Jus limau nipis
diminum untuk mengubati batuk dan selsema. Jusnya juga baik untuk pencuci
tangan, muka dan kuku. Limau nipis adalah antara rumusan pelbagai jenis
jamu. Isi bvuahnya dihancurkan dan dicampurkan dengan cuka, kemudian
disapu di dahi untuk mengubat neuralgia. Jus buah ini dicampur sedikit
kapur dan disapu pada abdomen pada wanita yang baru lepas bersalin. Jus
limau ini juga digunakan untuk mengurangkan kesan keracunan oleh arsenik.
Daunnya ditumbuk bersama daun pinang, sirih dan diminum untuk melegakan perut.
Akar limau ini digunakan sebagai salah satu ramuan untuk penyakit cirit-birit.
Limau Purut (Citrus hystrix)
Pokok limau purut berbau harum dan dipercayai dapat menghalau ular. Pokok
ini seringkali ditanam di sudut kawasan rumah bagi menjauhkan ular.
Daunnya yang harum digunakan sebagai bahan dalam masakan seperti rendan dan
kari. Buah limau purut yang telah dibuang isinya, dimasukkan madu lebah
dan dikukus hingga masak. Buah yang telah dikukus untuk melegakan masalah
angin dalam badan. Buah limau purut juga digunakan untuk mencuci rambut
kerana baunya yang harum. Buah limau ini juga seringkali dicampur ke dalam
air mandian untuk kesihatan kulit dan menghilangkan bau badan.
Limau Sitron Liar
Sejenis limau sitron liar disebut limau hantu digunakan juga sebagai ubat.
Pucuknya yang segar dididihkan dan air rebusannya digunakan untuk melegakan
sakit perut, menambah selera makan dan mengeluarkan cacing. Air rebusan
buahnya pula diminum untuk mengelakkan gangguan syaitan. Daunnya
dilumatkan dan dibuat ubat pupuk untuk sendi-sendi yang sakit juga untuk
melegakan sakit kepala. Jus daun dicampur dengan daun-daun dan daun kesum
dibuat ubat untuk ibu-ibu yang baru melahirkan anak.
Limau Pagar (Fortunella polyandra)
Buah limau pagar berbau harum dan biasanya digunakan sebagai perasa untuk sambal
belacan. Limau ini boleh juga dibuat halwa dan digunakan sebagai ramuan
acar buah atau perasa untuk pelbagai masakan mi. Campuran putik limau
pagar dengan limau lelang dan limau cina dipercayai boleh dibuat ubat penyakit
kencing manis. Jus yang didapati daripada daunnya, dicampur dengan jus
daun limau nipis dan pinang, boleh digunakan untuk mengubati sakit perut.
Limau Bali (Citrus maxima)
Buah limau bali manis dan berjus, biasanya dimakan dalam keadaan segar. Di
Pahang, daun limau bali direbus dan dibuat ubat tuam untuk sakit-sakit dan
bengkak. Losyen yang dibuat dengan merebus daun limau bali, daun kedaung
dan mempelas gajah dibuat ubat cuci ulser kulit. Buah muda, kulit buah
masak, bunga dan bijinya dikeringkan dan digunakan oleh orang Cina untuk merawat
demam, batuk dan gastik. Bunganya wangi dan dibuat ramuan minyak wangi di
Vietnam. Minyak yang diekstrak daripada daunnya berbau harum dan
mengandungi dipentena dan linatol.
Pokok turi, nama saintifiknya Sesbania grandiflora sememangnya tumbuhan semula jadi di
Malaysia, Indonesia, Filipina dan India. Ia tahan keadaan kemarau, tanah tidak subur atau bermasalah dan kawasan air bertakung.
Lazimnya ia ditanam sebagai sayuran atau sebagai tanaman hiasan. Ada dua jenis pokok turi yang dapat dibezakan melalui warna bunganya.
Satu jenis bunganya berwarna putih, yang satu lagi bunganya samar kemerah-merahan. Pokok ini hidup subur di kawasan persekitaran
kampung, di tepi-tepi jalan dan di batas padi.
Sejak dulu lagi (entah berapa lama) pokok turi ini diberikan status sebagai tanaman makanan untuk orang miskin. Orang kampung tak berkira sangat, nak beli
sayuran mahal kurang mampu. Jadi apa yang ada di persekitaran asalkan halal dan boleh dimakan tanpa mendatangkan apa-apa kemudaratan, makan sahaja.
Pokok turi ini sebenarnya pokok serbaguna yang mempunyai banyak kelebihan.
Dari akar hinggalah ke pucuk, semuanya boleh dimanfaatkan. Ia digolongkan dalam keluarga kekacang. Pada akarnya terdapat bintil-bintil besar yang
dapat mengikat nitrogen di udara dan dikatakan dapat meningkatkan mutu tanah.
Pokok turi boleh mencapai ketinggian sehingga 10 m. Batang utamanya tumbuh menegak berbentuk selinder. Keratan rentas batang ini boleh
mencapai sehingga 25 cm.
Batangnya dari jenis kayu putih yang lembut. Ia boleh digunakan sebagai
bahan akar atau diproses untuk dijadikan kertas. Kulit batang berwarna
kelabu cerah beralur-alur dan tidak begitu elok. Daunnya dari jenis pinat
15-30 cm panjang, dengan 16-30 pasang anak duan. Tangkai bunga sepanjang
2.5 cm dengan 2-4 kuntum bunga. Bentuk bunganya seperti kupu-kupu.
Ia merupakan bunga terbesar dalam keluarga tumbuhan kekacang. Kelopaknya
sepanjang 7-9 cm.
Di Indonesia, pokok turi ini ditanam bagi menghasilkan bahan bakar. Ia
ditanam semula pada selang 5 tahun. Penanaman seluas 1 hektar dapat
menghasilkan 3m
3
bahan bakar untuk tempoh 2 tahun penebangan. Selain itu, batang turi juga
digunakan oleh petani sebagai tiang sokongan atau para-para bagi tanaman seperti
sirih, lada hitam dan vanila. Pucuk turi, bunga dan lengai yang muda boleh
dijadikan sayuran yang enak. Kandungan protin kasar daun turi amat tinggi
kira-kira 30%, begitu juga dengan mineral dan vitamin. Pokok turi berbunga
sepanjang tahun. Bunga ini jika dicelur, rasanya seperti cendawan, tetapi
bahagian tengah bunga perlu dibuang dahulu supaya hilang rasa pahitnya.
Lenggai turi yang muda dan lembut boleh dimasak dan dimakan seperti kacang
panjang. Biasanya panjang lenggai mencapai 50-60 cm dengan lebih kurang 50
biji benih. Kandungan protinnya tinggi iaitu 40%.
Pucuk turi pula boleh dipelbagaikan
masakannya. Namun, perlu diiingat daun turi ini agak pahit. Apa juga
juadah yang dihidangkan, perlu dimasak supaya hilang rasa pahitnya. Masak
lemak dengan keledek atau lobak merah ataupun dibuat urap/keluban sungguh enak
sekali. Pucuk turi dimakan oleh manusia, forajnya pula sungguh baik jika
diberi makan kepada ternakan, terutamanya ternakan ruminan. Di Pulau Jawa
pokok turi ini memang ditanam. Forajnya dijadikan makanan lembu.
Pokok ini dicantas dalam tempoh tertentu, sama aras dengan ketinggian yang dapat
dicapai oleh ternakan. Selepas dicantas, pokok ini cepat bertunas semula.
Ia tidak mempunyai kesan keracunan terhadap makanan. Dalam kajian yang
telah dijalankan di Jawa, sebanyak 1.8 kg turi segar diberi makan kepada lembu
setiap hari sebagai foraj tambahan kepada diet jerami padi. Didapati
pertambahan berat badan yang diperolehi setanding dengan lembu yang diberi makan
diet terumus. Mengikut satu lagi kajian yang telah dijalankan di
Australia, apabila pokok ini ditanam pada jarak 90 cm, ia menghasilkan 4.5 - 9.1
kg daun setahun. Apabila 12000 pokok ditanam sehektar, 50 - 100 tan daun
setahun dapat dihasilkan. Dengan kandungan air 75%, bahan kering yang
dihasilkan ialah sebanyak 12-25 tan setahun.
Kegunaannya sebagai foder sampingan kepada ternakan lembu amat menggalakkan. Kegunaan pokok turi bukanlah
setakat batang dan daunnya sahaja, ia boleh ditanam di tepi jalan sebagai
tanaman hiasan atau sebagai penanda kawasan atau pagar hidup. Dengan
kanopinya yang terbuka dan melebar, ia memberikan teduhan yang nyaman. Ia
juga boleh digunakan sebagai pokok pelindung kepada tanaman yang memerlukan
lindungan. Daunnya yang gugur menjadi bahan sungkupan serta baja kepada
tanaman lain yang berdekatan. Namun, pokok ini tidak sesuai ditanam di
kawasan tiupan angin yang kuat kerana dahannya yang lembut mudah patah.
Apabila pokok ini ditebang atau kulitnya dikikis, kulit pokok mengeluarkan
sejenis gam yang merah jernih. Gam ini menjadi hampir hitam selepas
terdedah di udara. Ia boleh digunakan sebagai pengganti gam arab dalam
pelbagai jenis pelekat. Juga, ia boleh disapu pada tangsi joran supaya
tangsi tersebut tahan lebih lama.
Dari segi kesihatan, akar, kulit, daun dan bunga turi boleh digunakan sebagai
penawar pelbagai jenis keuzuran. Tepung akar turi dari jenis pokok
berbunga merah boleh digunakan sebagai penuam atau sapuan pada bengkak sendi,
lebam-lebam atau sakit akibat terseliuh bagi mengurangkan rasa sakit. Daun
juga boleh digunakan dalam kaedah yang serupa. Jus bunga turi boleh
digunakan untuk merawat pening kelapa dan hidup tersumbat. Di Ambon, jus
bunga digunakan bagi mengubati mata yang rabun dengan cara memerah jus terus ke
dalam mata. Serbuk kulit turi juga boleh digunakan bagi mengubati kudis,
jangkitan kulat pada kulit dan ulser mulut serta usus. Di Jawa, tepung
kulit pokok turi dijadikan bahan asas persolekan. Ekstrak kulit ini juga
boleh digunakan sebagai racun lipas. Cirinya yang paling istimewa ialah kadar
pertumbuhan yang amat cepat dan mudah dibiak sama ada secara tampang atau
menggunakan biji benih. Boleh hidup sendiri dengan sedikit penjagaan.
Nipah sejenis tumbuhan palma yang terdapat di kawasan paya berhampiran dengan pantai. Pokok ini banyak
terdapat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan juga Sarawak. Pokok nipah mempunyai batang yang pendek. Pada hujung batang ini terdapat
pelepah-pelepah daun yang kadangkala mencapai sehingga 6 m panjangnya. Daun nipah tirus panjang dan agak keras tersusun rapi di sepanjang pelepahnya,
dalam bentuk pinat.
Pada suatu masa dahulu, pokok nipah amat berguna kepada penduduk Malaysia. Daun-daun nipah disusun dengan rapi
dan dijalin atas sebilah buluh untuk dijadikan atap dengan menggunakan tali daripada batang bemban. Kerja menyusun dan mengikat daun nipah untuk
dijadikan atap ini memerlukan kepakaran. Kini kepakaran membuat atap nipah telah mula pupus.
Seperti manusia, atap nipah juga dimamah usia. Ia perlu ditukar setiap 3-5 tahun sekali. Untuk
menambahkan ketahanannya, daun nipah perlu direndam di dalam air sungai selama sekurang-kurangnya 1-2 minggu sebelum disusun untuk dijadikan atap. Atap
daripada daun nipah yang direndam tahan sehingga 6-8 tahun. Atap ini juga lebih mudah disusun kerana lebih lembut dan tidak mudah patah apabila dilipat.
Selain daun, pucuk nipah juga pernah digunakan secara meluas oleh penduduk kampung suatu masa dahulu. Pucuk nipah diasingkan daripada pelepahnya
kemudian dibuang selaputnya dan dijemur. Pucuk yang telah kering dipotong sepanjang 4-5 inci dan dijadikan daun rokok. Daun rokok digunakan dengan
mengisi sedikit tembakau ke dalamnya lalu digulung dan dihisap seperti rokok biasa.
Buah nipah pula mempunyai isi yang hampir menyerupai buah kabung, sedap dimakan, terutamanya apabila dimasukkan ke
dalam air batu campur. Dulu, isi buah nipah mudah diperolehi, kerap dijual di pekan-pekan kecil terutama dalam bulan puasa. Namun, kini isi buah
nipah agak sukar didapati. Ia hanya dapat dinikmati oleh segelintir penduduk kampung yang sanggup memungutnya untuk kegunaan sendiri. Sudah
tiada lagi generasi muda yang sanggup mengharung lumpur paya nipah untuk mendapatkan buahnya. Buah nipah pula mengeluarkan sejenis nira yang dapat
dijadikan gula. Perusahaan gula nipah ini terdapat di Sarawak dan pengunjung ke Sarawak masih boleh membeli gula nipah di pasar-pasar.
Bunga serta buah nipah muda boleh dipetik dan digunakan sebagai sayuran. Bahagian luar buah yang telah keras
dibuang. Bahagian dalam yang lembut dicincang memanjang dan dicelur selama
15 minit. Setelah sejuk ia diperah sehingga kering. Bahagian ini
sesuai dimasak lemak atau dibuat kerabu.
Kini pokok nipah diberi nafas baru. Daunnya yang tirus memanjang, bertekstrur keras dan tidak mudah pecah, didapati
sesuai dijadikan bunga awetan. Daun diasingkan daripada pelepahnya dengan hati-hati supaya pangkalnya tidak rosak. Daun ini dikeringkan dalam
ketuhar sehingga waranya putih kehijau-hijauan (daun yang dikering di bawah cahaya matahari akan berwarna coklat). Daun yang berwarna putih
kehijau-hijauan ini mudah diwarnakan dengan memasaknya dalam bancuhan pewarna yang sedang menggelegak. Daun yang telah menyerap warna dikeringkan sama
ada dalam ketuhar atau di bawah cahaya matahari.
Bunga nipah juga boleh dijadikan bunga kering, tetapi kandungan airnya banyak. Ia perlu dijemur di bawah
cahaya matahari selama 5-7 hari. Pengeringan di dalam ketuhar tidak menguntungkan kerana kosnya tinggi. Untuk mengurangkan kerja mengangkut
serta menjemur, bunga nipah boleh dipungut apabila mula kering di pokok. Bunga nipah kering merupakan satu bunga kering yang agak unik dan menjadi bahan
yang menarik dalam gubahan.
Pengeluaran sayur secara teknologi
tinggi, contohnya: sistem hidroponik, penanaman di bawah pelindung hujan
dan di dalam rumah hijau merupakan sistem penanaman yang intensif. Dalam
sistem ini, pengusaha lebih menumpukan kepada satu jenis sayur dan kurang
menukar tanaman atau mempraktikkan sistem pusingan tanaman. Disebabkan
kaedah sedemikian diamalkan, serangan penyakit lebih mudah berlaku.
Bagaimanapun, teknologi tinggi mempunyai kelebihan dari segi pengawalan penyakit
kerana sistem dan peralatan moden memudahkan pengusaha mengawal suhu,
kelembapan, kepekatan gas karbon dioksida dan juga kuantiti air dan baja yang
diberi kepada pokok. Dengan keupayaan kawalan keadaan sekitaran yang
sebegini, pengusaha mampu mengurangkan serangan patogen pembawa penyakit kerana
keadaan yang tidak sesuai untuk petogen aktif tanpa pengunaan racun kulat yang
banyak.
Sehingga kini pengusaha masih kurang memahami kepentingan sistem pengawalan penyakit secara bersepadu. Secara
amnya, pengusaha masih bergantung pada racun kimia untuk mengawal penyakit pada
tanaman sayur. Penggunaan racun kimia terhadap sayuran yang ditanam di
bawah pelindung hujan atau rumah hijau adalah lebih berbahaya. Walaupun
lebih berkesan kerana racun akan melekat atau berada pada tanaman lebih lama
kerana tidak dibasahi oleh air terutamanya air hujan. Penggunaan racun
kimia yang berpanjangan dan berlebihan memberi kesan yang buruk seperti:-
Kesan sisa racun yang tinggi pada sayur yang mengakibatkan gangguan kesihatan apabila dimakan
Pencemaran sisa toksik kepada alam sekitar
Pembentukan kekebalan oleh patogen terhadap racun kimia yang digunakan
Untuk mengatasi masalah tersebut, sistem kawalan penyakit secara bersepadu adalah sangat baik dilaksanakan dalam
penanaman sayuran. Amalan-amalan yang diamalkan dalam sistem kawalan ini
ialah amalan kultur yang sesuai, memastikan kebersihan petak tanaman dan
peralatan, penggunaan benih yang tahan penyakit, kawalan secara biologi dengan
menggunakan hidupan mikroorganisma disamping penggunaan racun kimia pada kadar
yang minimum. Strategi pengawalan secara bersepadu ini sekiranya
dilaksanakan dengan betul dan cermat akan memberikan kesan yang memberangsangkan
dan penjimatan kos operasi yang banyak.
Perkembangan Penyakit
Tanaman biasanya dijangkiti penyakit apabila diserang oleh 'patogen' (mikroorganisma penyebab penyakit) dan sangat
kurang oleh faktor-faktor lain yang bukan hidupan seni. Faktor-faktor sekitaran yang mempengaruhi perkembangan penyakit ialah suhu, kelembapan, cahaya
dan pengudaraan. Sekiranya keadaan sekitaran terlalu ketara seperti suhu terlalu sejuk atau terlalu panas, terlalu kering atau keadaan lain yang sangat
keterlaluan, patogen menjadi tidak aktif dan sukar membiak, maka tanaman tidak diserang penyakit. Sekiranya terdapat keadaan sekitaran yang sesuai, maka
patogen cepat membiak dan penyakit akan terjadi dengan cepat dan merebak dengan pantas pada keseluruhan tanaman. Jangkitan penyakit pada tumbuhan
dipengaruhi oleh 3 perkara iaitu tanaman atau perumah, patogen dan faktor sekitaran. Penyakit akan menjadi wabak jika terdapat patogen yang
'virulen', perumah yang rentan, dan persekitaran yang sesuai untuk patogen membiak.
Contoh penyakit di dalam rumah hijau
Kulat merupakan kumpulan patogen sayur yang paling utama. Semua jenis sayur pada setiap peringkat
pertumbuhan terdedah pada serangan kulat.
Tanda penyakit yang disebabkan oleh kulat
Lecuh atau hawar anak benih:
batang anak benih melecuh dan patah, kadang-kadang sistem akar juga rosak.
Contohnya lobak merah, bayam yang diserang oleh Phythopthora dan Phthium.
Reput akar:
Reput pada sistem akar dan pokok mati. Contohnya reput akar Rhizoctonia
pada kubis, cili dan tomato.
Hawar:
Luas tisu yang bernekrosis pada daun menyebabkan daun mati. Contohnya
hawar Phythopthora tomato.
Layu:
Tanda-tanda seperti kekurangan air pada pucuk dan daun muda. Walau
bagaimanapun jika diberi air pokok tidak akan pulih. Contohnya penyakit
layu yang disebabkan oleh Fusarium dan Verticillium yang terjadi pada kebanyakan
sayur.
Penyakit kulapuk:
Miselium kulat berkembang di dalam daun antara lapisan mesofil dan menutup
sebahagian permukaan daun. Penyakit ini boleh merebak ke batang dan buah.
Contohnya kulapuk Downy pada timun.
Mati rosot:
Kematian pada bahagian pucuk yang bermula dari hujung merebak ke batang.
Contohnya mati rosot pada cili disebabkan oleh Choanephora cucurbitarum.
Tanda penyakit yang disebabkan oleh bakteria
Bintik
Contohnya bintik bakteria pada tomato disebabkan oleh Xanthomonas
vesicatoria.
Layu
Tanda pada daun dan batang. Contohnya layu baktria tomato disebabkan oleh
Pseudomonas solanacearum.
Reput
Contohnya reput berair pada kubis yang disebabkan oleh erwinia caratovora dan
reput hitam pada kubis oleh Xanthomonas campestris.
Mati rosot
Pucuk pokok mati disebabkan oleh bakteria Erwinia dan Pseudomonas.
Tanda-tanda diserang oleh virus
Tanda pada daun
Perubahan warna seperti mozek pada daun, termasuk nekrosis dan bintik bergelang.
Contohnya layu berbintik tomato iaitu daun berubah warna dari hijau menjadi
ungu.
Tanda pada bunga
Berlaku perubahan warna pada bunga. Contohnya cili yang dijangkiti virus
rintik urat cili, sisi ranggi bunga menjadi bengkang bengkok dan hujungnya
menjadi melengkung.
Tanda pada buah
Pembentukan buah tidak menentu
dan terdapat perubahan warna. Cili, tomato dan timun yang dijangkiti virus
mempunyai permukaan buah yang kasar, buah terpulas dan kecil. Buah cili
yang muda menunjukkan jalur hijau muda selebar 1-2 mm dan buah masak bertompok
hijau dan merah seperti kematangan tidak seragam.>
Kaedah pengawalan penyakit secara bersepadu
Bagi mengelakkan patogen menjangkiti penyakit tanaman, usaha mestilah diambil untuk menghalang patogen dari satu-satu
negara atau kawasan daripada memasuki negara kawasan kita. Pihak berkuasa perlu menjalankan kaedah kuarantin serta penguatkuasaan undang-undang.
Bagaimanapun, kawalan faktor-faktor lain adalah tanggungjawab pengusaha sendiri. Beberapa kaedah boleh dilaksanakan dalam strategi pengawalan penyakit bersepadu.
Amalan kultur
Bahan tanaman bebas penyakit
Benih adalah punca utama bagi kebanyakan penyakit terutama penyakit yang
disebabkan oleh virus seperti Mosaic pada salad. Biasanya untuk
menghasilkan benih salad tanpa virus, salad ditanam pada tempat yang bebas
daripada afid (sejenis kutu daun) yang menjadi pembawa virus. Mosaic virus
timun pula boleh dikawal dengan memberikan rawatan udara panas pada suhu 70
oC selama 3 hari pada biji benih. Rawatan ini tidak membantutkan kecergasan
percambahan biji tersebut sekiranya biji benih betul-betul kering semasa
rawatan. Larutan racun kulat thiram (0.2% bahan aktif) yang digunakan untuk
merendam biji benih beberapa jenis sayur selama 12 jam pada 30o>C
boleh mengelakkan penyakit yang disebabkan oleh beberapa spesies kulat.
Kultivar rintang penyakit Pengunaan kultivar yang tahan penyakit adalah kaedah yang paling mudah secara
teorinya untuk mendapatkan kawalan penyakit. Bagaimanapun, ketahanan satu-satu kultivar itu tidaklah untuk kesemua penyakit. Oleh itu pengusaha
haruslah mengetahui penyakit utama tanaman dan dapatkan benih yang tahan kepada serangan tersebut. Pada masa ini, terdapat banyak benih sayur yang tahan
kepada penyakit-penyakit utama tetapi harganya mungkin agak tinggi. Kadang-kadang sukar mendapatkan benih yang rintang terhadap sesuatu penyakit.
Contohnya penyakit layu bakteria tomato yang disebabkan oleh bakteria Pseudomonas sp. Kaedah penggunaan pokok penanti yang tahan penyakit
digunakan seperti penggunaan tanaman terung dan jenis tomato liar yang sangat tahan kepada bakteria ini telah berjaya diusahakan. Tomato dicantumkan
dengan pokok penanti untuk mendapatkan ketahanan penyakit tersebut. Kaedah ini boleh juga dilakukan untuk mengelak penyakit layu fusarium pada tomato.
Tanah atau medium bebas penyakit
Terdapat beberapa penyakit yang sangat berbahaya kepada tanaman dalam sistem kawalan atau di dalam rumah hijau yang disebabkan oleh patogen dari dalam tanah.
Terutamanya beberapa jenis kulat yang menyebabkan penyakit layu vaskular, reput pangkal dan reput akar, bakteria dan nematod. Lazimnya mikroorganisma
termasuklah patogen, hidup di permukaan tanah sehingga 20 cm ke dalam tanah dan antara kedalaman inilah juga sistem perakaran sayur berada. Maka serangan
patogen yang membiak di dalam tanah mudah berlaku. Oleh itu pengusaha harus mengambilkira langkah-langkah perlu bagi mengatasi penyakit yang berpunca
daripada tanah ini. Antara langkah-langkah tersebut ialah:-
- mengamalkan sistem pusingan tanaman contohnya: tomato-salad-salad-tomato.
- membaiki sistem saliran supaya air tidak selalu bertakung.
- membiak tanah dan membiarkannya terdedah pada matahari beberapa waktu untuk membunuh sebahagian patogen yang sensitif pada cahaya.
- pastikan tanah yang digunakan sebagai medium semaian diberi rawatan untuk mengelakkan kemasukan patogen baru ke kawasan kita.
- rawatan tanah dengan wap panas melebihi 50oC boleh membunuh kebanyakan kulat nematod dan bakteria atau menggunakan bahan kimia seperti metil bromida.
- menggunakan sistem tanaman tanpa tanah iaitu hidroponik.
Kawalan persekitaran
Penanaman sayur di dalam rumah hijau mempunyai kelebihan dari segi pengawalan sekitaran bagi mengurangkan kejadian
penyakit. Keadaan ini disebabkan rumah hijau lebih mudah dipasang peralatan yang diperlukan untuk mengawal suhu, kelembapan, pengudaraan, cahaya
dan lain-lain yang sangat penting untuk pertumbuhan pokok dan perkembangan penyakit. Semua faktor ini dapat dikawal bergantung pada kecanggihan
alat-alat yang digunakan.
Suhu memainkan peranan utama dalam jangkitan penyakit kerana patogen perlukan suhu tertentu untuk membiak dan
menyerang tanaman. Contohnya penyakit hawar dan 'Botryltis' pada tomato
sukar menyerang apabila suhu melebih 30oC. Kelembapan yang tinggi di dalam rumah hijau menyebabkan serangan penyakit pada
daun, buah dan bunga seperti kulapuk (mildew), karat dan juga hawar. Oleh itu kelembapan harus dikawal sama ada dengan pengedaran udara yang baik dan
meningkatkan sedikit suhu. Kelembapan 85% atau kurang dapat menghalang percambahan spora kulat. Kandungan air di dalam tanah atau medium
juga perlu diambilkira kerana keadaan yang terlalu lembap akan menyebabkan terjadinya penyakit yang dibawa oleh kulat 'Phythopthora sp.' 'Pyuthium sp.' dan
lain-lain. Cahaya juga memberi kesan yang ketara terhadap penyakit. Penambahan cahaya di dalam rumah hijau didapati mengurangkan penyakit.
Kebersihan
Perkara-perkara yang termasuk dalam kebersihan penanaman sayuran di dalam rumah hijau kadangkala tidak begitu jelas,
sungguhpun prinsipnya sama seperti yang kita amalkan di rumah. Umumnya rumah hijau mestilah dibersihkan daripada tanaman yang telah diserang penyakit
atau pokok yang telah selesai dituai, tali-tali pengikat pokok kayu dan sebagainya. Rumah hijau perlu sentiasa dijaga supaya tidak menjadi tempat
pembiakan patogen membawa penyakit. Pengusaha perlu menjaga kebersihan dan mengawal punca-punca yang boleh membawa benih penyakit seperti:-
- struktur rumah hijau, termasuk bangku, meja, tali penyokong dan pot.
- air yang diguna harus dipastikan bersih dan tidak tercemar oleh benih kulat dan bakteria.
- air boleh dirawat dengan klorin dan tangki takungan air harus ditutup.
- sisa-sisa tanaman harus dimusnahkan atau ditanam jauh dari rumah hijau
- pot yang telah digunakan semula mestilah dibersihkan dengan membasuh dan dirawat dengan agen pembunuh kuman dengan merendamnya selama 1 jam.
- pekerja harus dilatih dan dimaklumkan tentang kebersihan kerana mereka juga boleh membawa benih kulat dan sebagainya ke dalam rumah hijau.
Kawalan secara biologi
Kaedah kawalan biologi adalah dengan menggunakan organisma lain yang boleh memusnahkan patogen sama ada melalui
penghasilan bahan-bahan perencat seperti antibiotik atau bersaing dalam pengambilan makanan atau tempat. Kawalan biologi untuk rumah hijau belum
diperkembangkan secara komersial lagi. Bagaimanapun sudah terdapat beberapa produk yang telah diuji dalam pasaran. Contohnya, Norbac 84-C
untuk penyakit bonggol batang. Quantum 4000 dan Gus 4000 untuk Fusarlum dan Rhizoctonia, Conquer untuk Pseudomonas. Kebanyakan produk ini terdapat
di U.S.A., Australia dan Eropah dan masih pada peringkat awal.
Faedah yang diperoleh sekiranya kawalan secara ini dapat dipraktikkan ialah kita dapat mengelakkan kesan sisa
racun yang tinggal di dalam sayur dan juga dapat menggelakkan kejadian kekebalan patogen terhadap sesuatu racun kulat. Selain itu, organisma berfaedah yang
digunakan boleh juga membantu menyuburkan pokok dan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi.
Kawalan secara kimia
Dalam pengawalan penyakit, racun kulat masih merupakan salah satu komponen penting dalam pengawalan secara
bersepadu untuk sayur-sayuran. Terdapat racun kulat yang digunakan untuk membendung penyakit dan ada juga untuk mengubati penyakit. Racun kulat
dikelaskan kepada arcun kulat spektrum luas (broad spectrum) dan ada yang khusus untuk sesejenis atau beberapa penyakit tertentu. Mekanisma tindakan racun
kulat boleh dibahagikan kepada dua iaitu secara aktiviti kontak iaitu membunuh patogen secara terus apabila disembur, dan sistem sistemik iaitu memasuki
sistem pokok dan tersebar ke dalam pokok, dan sesuai mengawal patogen yang menyerang bahagian dalam tumbuhan. Terdapat ciri-ciri yang harus
diambilkira dalam memilih racun kulat bagi kegunaan di dalam rumah hijau:-
selamat digunakan, kepada pengguna dan tanaman
mempunyai ciri-ciri yang baik yang boleh membunuh patogen
mempunyai tahap keracunan yang rendah bagi manusia. Oleh itu sayur yang disembur racun ini dapat dipasarkan dalam jangka masa yang pendek selepas penggunaan racun ini
dapat bertindak secara berkesan pada jangka masa yang sesuai dan kekerapan penggunaan dapat dikurangkan
mempunyai mekanisma tindakan yang boleh mengurangkan terjadinya kekebalan kepada patogen.
Racun kulat biasanya digunakan dalam 2 cara iaitu secara kerap, biasanya dari awal penanaman ataupun secara
berselangan, apabila penyakit mula ditemui atau pada peringkat yang kritikal sahaja. Setiap pendekatan ini mempunyai kebaikan tersendiri.
Penggunaan secara kerap dapat mengawal tanaman daripada dijangkiti penyakit dan pengusaha tidak perlu memeriksa kehadiran penyakit pada tanaman.
Bagaimanapun kaedah ini didapati menyebabkan penggunaan racun kulat secara berlebihan dan boleh mempercepat terjadinya kekebalan patogen. Oleh itu
kaedah kedua harus diamalkan bagi mengelak terjadinya kekebalan patogen serta boleh menjimatkan kos. Penggunaan racun kulat secara teratur dengan kadar
rendah serta gabungan amalan kultur dan kawalan keadaan sekitaran boleh merendahkan penggunaan racun kulat.
Pengawalan penyakit pada tanaman sayuran adalah suatu aktiviti yang mesti dilakukan walau dalam apa sistem
penanaman sekalipun. Setiap sistem ada kelemahannya dan akan memberikan ruang kepada patogen untuk menyerang tanaman kita. Kadang-kadang akan
muncul penyakit baru yang selama ini tidak pernah kita alami oleh sebab perubahan sistem yang kita buat. Bagaimanapun, penekanan dalam pengeluaran
sayuran haruslah menjurus kepada keselamatan pengguna dan pencemaran alam sekitar perlu diberi keutamaan. Ini bermakna amalan penggunaan racun kimia
berlebihan harus dihentikan. Pengusaha harus mengambilkira amalan lain dalam pengawalan penyakit dan dipraktikkan dengan lebih meluas.
Serangga
Cara kawalan musuh perosak sayuran
Banyak cara kawalan perosak yang kita ketahui. Kawalan perosak digunakan pada satu masa ataupun pada sepanjang
tahun. Cara yang biasa ialah kawalan kimia, kawalan biologi, kawalan kultur dan kawalan mekanikal atau fizikal. Lazimnya cara ini digunakan
secara bersendirian yang mengakibatkan munculnya masalah lain yang bersangkutan.
Kawalan kimia
Racun perosak, buat masa ini memainkan peranan penting dalam pengeluaran hasil pertanian. Bahan kimia
ini boleh digunakan secara bersendirian untuk mendapatkan hasil yang tinggi. Ringkasnya bahan kimia lebih memudahkan kawalan perosak.
Kini kawalan kimia masih memainkan peranan yang bermakna dalam bidang pertanian dan akan terus digunakan .Akibatnya
kita akan lebih bergantung pada racun perosak. Namun begitu, racun perosak juga menimbulkan masalah seperti;
Pembentukan strain perosak yang kebal terhadap racun perosak, contohnya ulat kubis Plutella xylostella (L.) di Cameron Highlands.
Kadangkala populasi perosakan hanya dapat dikawal untuk sementara waktu sahaja dan ini memerlukan rawatan yang berulangkali, contohnya perosak hama (mites) pada tanaman cili.
Terjadinya serangan perosak sekunder hasil daripada kemusnahan musuh semulajadi umpamanya 'red spider mite' atau hama pada tanaman cili, bunga kekwa dan ros.
Kesan sampingan yang bahaya pada organisma bukan sasaran seperti (1) parasit dan pemangsa (2) ikan, burung dan hidupan liar yang lain (3) manusia dan binatang ternakan dan (4) kesan keracunan
pokok pada tanaman.
Kesan buruk secara langsung kepada pengguna akibat daripada semburan racun perosak yang tidak digunakan dengan betul.
Penghapusan dan kemusnahan komponen-komponen biotik dalam agroekosistem.
Sisa racun pada produk makanan.
Oleh sebab banyak kesan sampingan yang buruk daripada penggunaan racun perosak, maka pergantungan sepenuhnya pada racun kimia tidak disyorkan.
Kawalan biologi
Kawalan biologi ialah kawalan dengan menggunakan parasit dan pemangsa atau musuh semula jadi untuk mengawal perosak
tanaman. Salah satu contoh ialah kawalan ulat Plutella xylostella dengan parasit Cotesia plutellae, Diadegma semiclausum dan Didromus collaris di Cameron
Highlands. Masalah utama cara kawalan biologi ialah memakan masa, dan racun kimia hendaklah dikurangkan dan digunakan dengan betul.
Musuh semula jadi yang lain yang boleh digunakan ialah agen mikrob seperti bakteria (contoh: Bacillus
thuringiensis), virus (contoh: NPV), kulat (contoh: Erynia radicans). Selain itu, masih banyak perosak yang agen kawalan biologinya yang berkesan
belum lagi ditemui. Oleh itu kawalan semua perosak secara biologi masih lagi tidak pada tahap yang diharapkan. Bagaimanapun, cara kawalan biologi
perlu diberi keutamaan dalam merangka kawalan perosak bersepadu.
Kawalan kultur
Kawalan kultur ditakrifkan sebagai memanipulasikan keadaan sekitar supaya kurang menyenangkan bagi perosak,
misalnya:-
ubahsuai masa menanam dan menuai
pusingan tanaman
tanaman campuran
tanaman perangkap
varieti rintang
menggunakan sungkupan
Kawalan kultur perlu diamalkan
bersama cara kawalan yang lain untuk memperolehi kesan kawalan perosak yang diharapkan.
Kawalan mekanikal dan fizikal
Kaedah ini menggunakan amalan ladang
serta cara fizikal untuk mengurangkan kerosakan tanaman, misalnya:-
penggunaan tanah dan air
alat perangkap perosak (perangkap lampu, perangkap feromon dan perangkap pelekat kuning)
kebersihan ladang
Semua cara ini ada kebaikan dan masalahnya sendiri. Semua cara tersebut kecuali kawalan kimia pada amnya
tidak boleh digunakan pada sesuatu masa bagi banyak jenis perosak. Kawalan kimia pula menghadapi banyak masalah yang lain terutama yang berhubung dengan
pencemaran produk makanan dan alam sekitar. Dengan ertikata yang mudah, Pengurusan Perosak Bersepadu adalah menggunakan pelbagai cara kawalan yang
serasi dengan mengurangkan kegunaan racun perosak dan mendapat keuntungan yang ekonomik. Melalui cara ini kerosakan tanaman dapat dikurangkan disamping
mesra alam sekitar.
FAKTOR PENTING DALAM KONSEP PPB
mengambilkira faktor ekonomik, ekologi dan sosiologi
kawalan secara PPB tidak akan memberi kawalan perosak seratus peratus
kawalan perosak dalam jangka masa panjang
racun perosak digunakan apabila perlu sebagai usaha terakhir sahaja.
konsep aras ambang ekonomik diamalkan iaitu kawalan hanya dilaksanakan apabila populasi mengancam dan mengurangkan hasil. Hasil daripada pengawalan mestilah menguntungkan.
memberi keutamaan kepada cara kawalan biologi
mengambilkira kompleks perosak yang menyerang tanaman dari masa menanam hingga kutip hasil
merendahkan populasi perosak bukan menghapuskannya
PPB merangkumi kawalan perosak, kawalan rumpai dan amalan kultur dan agronomi keseluruhan bagi tanaman tertentu.
PELAKSANAAN PENGURUSAN PEROSAK BERSEPADU
Beberapa faktor atau peringkat perlu diketahui atau dilaksanakan:-
mengkaji pilihan kawalan yang ada
pengesanan awal bagi parasitoid setempat
mengkaji kawalan biologi dan ekologi
memperkenalkan parasitoid dari luar
pakej awal PPB
memindahkan pakej PPB kepada penanam
PROGRAM PPB DI MALAYSIA
Terdapat beberapa program PPB telah dilaksanakan di Malaysia untuk tanaman koko, padi, kelapa sawit, kelapa,
pelbagai jenis buah-buahan dan sayuran. Bagi tanaman sayuran, 2 program PPB telah dilaksanakan dengan jayanya iaitu PPB tanaman kubis (termasuk sayuran
krusifer lain) dan PPB tanaman cili.
PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
09 July 2009 12:33:21 AM