AMALAN-AMALAN TANAMAN TERUS PADI

Tanaman terus padi ialah satu amalan tanaman di mana biji-biji benih padi ditabur terus ke sawah. Biji-biji benih akan bercambah, dijaga sehingga pokok-pokoknya besar dan matang. Dengan amalan tanaman terus, pengubahan anak semaian padi tidak perlu seperti yang terdapat dalam amalan biasa.

Amalan tanaman terus padi boleh diusahakan dalam keadaan kering dan basah atau separuh basah. Cara menanam boleh dibahagikan kepada 2 cara, iaitu secara tabur dan dengan menggunakan jentera penanam biji. Dalam keadaan kering, kedua-dua cara (tabur dan dengan jentera penanam biji) boleh diusahakan. Tetapi di dalam keadaan basah atau separuh basah, tanaman terus secara tabur adalah lebih sesuai.

Berikut adalah kebaikan dan keburukan cara-cara menabur dan menanam dengan jentera:

CARA TABURAN

Sesuai untuk kedua-dua keadaan iaitu basah dan kering.

Tabur terus dengan tangan

  • mudah diuruskan

  • sesuai untuk kawasan kecil

  • taburan tidak serata

  • kekosongan di bekas-bekas alur jalan semasa menabur

Mesin Penabur Kuasa Tangan

  • tabur serata

  • hanya menggunakan tenaga pusingan tangan

  • kekosongan di bekas alur jalan semasa menabur

Mesin Penabur Berinjin

  • tabur serata

  • taburan seperti dari ruangan udara

  • lebih cepat (25 min/ha)

Taburan Dari Ruangan Udara Dengan Pesawat Udara

  • cepat dan sesuai untuk kawasan luas

  • pada amnya kadar benih digunakan lebih banyak

  • cara ini masih belum diamalkan tetapi berpotensi

CARA MENANAM DENGAN MESIN

Sesuai untuk keadaan kering.

Tugalan atau Jemput (selepas membuat alur dengan mesin)

  • mengambil masa yang lama

  • banyak tenaga dan rumit

  • jarak tanaman tidak serata

  • kadar biji semata rumpun tidak serata

Mesin Penanam Biji

  • boleh disangkutkan ke belakang mesin pembajak putar.

  • penyediaan tanah dan penanaman dijalankan sekaligus.

  • sesuai untuk tanaman berbaris

  • cepat dan kemas.

  • masalah kegelinciran dan lekatan lumpur di tanah basah.

Mesin-mesin Lain Yang Boleh Digunakan:

  • Mesin injector planter

  • Mesin fluid driller

mempercepatkan percambahan biji benih untuk mengatasi pembiakan rumpai
mengambil masa dan berkehendakkan kemahiran
-  tidak sesuai dalam keadaan basah

 

KEADAAN SESUAI UNTUK TANAMAN TERUS PADI

Tanaman terus padi memerlukan beberapa keadaan tertentu seperti infrastruktur pengairan yang lengkap, kesesuaian tanah dan kawalan rumpai serta musuh yang ketat untuk menjamin kejayaannya.

Infrastruktur Pengairan Yang Lengkap

Pengurusan air yang betul sangat penting di beberapa peringkat tanaman. Pengurusan air yang tidak betul bukan hanya mengganggu percambahan tetapi juga mempengaruhi pembiakan rumpai, musuh-musuh tanaman dan kerosakan permukaan tanah daripada kesan roda semasa menuai dengan jentera penuai. Infrastruktur yang lengkap ialah sistem perparitan pengairan serta pengaliran yang boleh mengawal paras air dengan tepat.

Untuk kawalan air yang lebih cepat, parit-parit kecil sedalam dan selebar 0.5m di sekeliling petak boleh mengawal paras air dengan memuaskan.

Jika permukaan tanah tidak rata di kawasan yang luas, parit-parit tambahan atau alur-alur mengalirkan takungan air mesti dibina supaya gangguan kepada percambahan benih boleh dielakkan.

Pelan keratan menunjukkan sistem perparitan tanaman terus padi

 

Pelan sistem pengairan dan pengaliran tanaman terus padi


Kesesuaian Tanah

Jika tanaman terus dilakukan dalam keadaan kering, tanah mestilah mudah dihancurkan. Tanah-tanah ringan yang tidak menjadi ketul-ketul besar dan keras semasa dibajak akan memberikan kambusan yang baik kepada benih-benih dan melindunginya daripada musuh-musuh. Di kawasan-kawasan tanah yang berat seperti tanah liat, dan pengaliran air yang kurang cepat, tanaman terus secara tabur dalam keadan basah adalah lebih sesuai. Tanah yang berat ini mudah diusahakan dalam keadaan basah dan tidak akan menjadi ketul-ketul. Penyerapan airnya perlahan, oleh itu permukaan tanah perlu diratakan untuk mengurangkan takungan-takungan air yang akan mengganggu percambahan.

Kawalan Rumpai

Kawalan rumpai yang berkesan adalah satu daripada punca kejayaan tanaman terus padi.  Oleh sebab rumpai membiak dengan cepat dalam sebarang keadaan, percambahannya mesti diganggu sehingga pokok padi menjadi sudah besar dan dapat memberi naungan untuk mengawal pembiakan rumpai itu. Satu daripada cara kawalan rumpai yang berkesan ialah melalui penyediaan tanah yang sempurna. Selain daripada mengawal rumpai, pembalikan lapisan tanah juga akan menambahkan organan ke tanah.  Di kawasan yang sentiasa diusahakan, pembiakan rumpai biasanya kurang, dan kawalan secara penyediaan tanah yang sempurna boleh mengatasi masalahnya nanti.

Untuk kawasan yang mempunyai rumpai yang tebal, kawalan menggunakan racun herba mungkin perlu. Berdasarkan kepada ketebalan rumpai, satu atau dua pusingan semburan paraquat (@ 2 liter/ha atau lebih) perlu dibuat sebelum tanah diusahakan dan ditanam. Walau bagaimanapun, usaha kawalan rumpai mesti ditentukan keberkesanannya sebelum benih ditabur atau ditanam kerana kawalan selepas menanam sungguh merumitkan. Kawalan selepas menanam ialah kawalan rumpai yang membiak dalam keadaan berair. Jenis-jenis rumpai ini seperti rumpai berdaun lebar yang biasanya boleh dikawal dengan semburan racun herba 2,4-D  butyl ester sebanyak 2 kg/ha 30-35 hari selepas penanaman/ penaburan.

Kadar Benih dan Jenis Padi

Kadar benih yang digunakan sekarang ialah 40-100 kg sehektar, tertakluk kepada cara tanaman. Jika tanaman terus dengan mesin diusahakan, kadar benih ialah 40 kg/ha dan jika ditabur kadar benihnya boleh ditinggikan hingga ke 100kg/ha. Tujuan meninggikan kadar benih ialah untuk meninggikan bilangan pokok tanpa pembiakan rumpun dan untuk kawalan rumpai secara menaungkan keadaan sekeliling.

Jenis padi yang digunakan sekarang ialah jenis biasa yang didapati sesuai seperti MR-1 (Setanjung) dan MR-10 (Sekembang).

Rawatan Biji-Biji Benih

Untuk menjamin percambahan yang serata, cepat dan bermutu, biji padi perlu dipilih supaya benih yang bernas sahaja ditanam. Satu daripada tujuannya ialah untuk mempercepatkan percambahan, dengan itu pokok-pokok padi boleh membiak lebih cepat sebelum benih-benih rumpai membiak.

Pilihan benih yang bernas boleh dibuat melalui perasingan atau tapisan dengan menggunakan bancuhan air garam yang boleh menimbulkan sebiji telur ayam (@1.08SG). Untuk mengawal penyakit yang terdapat pada biji-biji, benih boleh direndam dalam air panas pada suhu 54-55 darjah celcius selama 10 minit.

Benih kemudian boleh dipracambah mengikut kegunaannya. Biasanya, benih pracambah digunakan jika tanaman terus secara tabur diamalkan. Untuk benih pracambah, benih mesti direndam selama 6 jam dan kemudian diperam dalam keadaan lembab selama 42 jam.

Pembajaan

Kadar dan masa pembajaan dalam amalan tanaman terus adalah penting untuk menentukan mutu hasilnya. Kadar dan masa pembajaan yang diamalkan untuk tanaman terus sekarang ialah seperti berikut:

Baja Kadar N Masa Membaja
  Baja Asas (Campuran) 30 kg/ha 15 hari selepas tanam
  15:15:7.5 Pembajaan Permukaan 1(Urea) 20 kg/ha 35 hari selepas tanam
  Pembajaan Permukaan 2 (Urea) 20 kg/ha 55 hari selepas tanam
  Pembajaan Permukaan 3 (Urea) 20 kg/ha 75 hari selepas tanam


Kadar baja ini tertakluk kepada kesuburan tanah setiap kawasan. Pada umumnya kadar NPK 90:30:30 kg/ha didapati mencukupi.

Kawalan Musuh dan Serangga

Disebabkan kadar benih untuk tanaman terus adalah 2 hingga 4 kali ganda daripada kasar benih tanaman biasa, jumlah pokok padi yang membiak juga bertambah. Kedaan ini meninggikan naungan kepada musuh tanaman seperti tikus dan serangga.

Untuk mengelakkan daripada serangan-serangan tersebut langkah yang perlu diambil ialah:

  • membersihkan kawasan sekeliling supaya tempat-tempat perlindungan musuh termusnah

  • amalkan kawalan lebih awal bagi tujuan mencegah. Pencegahan awal bagi tikus didapati amat berkesan.

Untuk serangan ulat serangga, gunakan bahan pencegah kimia carboruran dengan kadar yang biasa diamalkan untuk alat batang dan penyakit merah.

Kadar Masa Menggunakannya
   0.5 kg/bahan aktif/ha 15 hari selepas tanam
   0.5 kg/bahan aktif/ha 30 hari selepas tanam


Penuaian

Kira-kira 30 hari sebelum menuai, kawasan mesti dikeringkan untuk membolehkan jentera penuai lengkap menjalankan kerja-kerja menuai. Tujuan mengeringkan sawah ialah untuk mengelakkan kerosakan permukaan tanah daripada bekas-bekas roda ini akan merumitkan kerja-kerja meratakan tanah. Padi tanaman terus boleh juga dituai dengan tangan.

Jadual Kerja Tanaman Terus

Masa Kerja Kadar
 30 hari sebelum menuai  Keringkan kawasan -
 30 hari sebelum menanam  Bersihkan kawasan -
 25 hari sebelum menanam  Bajak putar pertama, ratakan kawasan
 serta bina parit sekeliling
-
 20 hari sebelum menanam  Racun rumpai pertama 2 liter/ha paraquat.
  7 hari sebelum menanam  Racun rumpai kedua,
 ratakan kawasan jika menabur
2 liter/ha paraquat.
  3 hari sebelum menanam  Siapkan benih melalui pilihan 40-100 kg/ha.
  2 hari sebelum menanam  Rendam benih 6 jam dan peram 42 jam,
 keringkan air ke paras permukaan tanah
 untuk menabur.
-
  Hari menanam  Tabur/mesin, jika gunakan mesin padi
 tidak perlu direndam.
-
  3 hari selepas menanam  Memasukkan air jika menabur. 4 cm dalam
 10 hari selepas menanam  Masukkan air jika ditanam dengan mesin. 4 cm dalam
 15 hari selepas menanam  Tabur racun serangga carbofuran. 
 Tabur baja asas (campuran) 15:15:7.5
0.5 kg/b.a./ha
200 kg/ha
 20 hari selepas menanam  Merumput jika perlu. -
 30 hari selepas menanam  Tabur racun serangga carbofuran. 0.5 kg/b.a./ha.
 35 hari selepas menanam  Pembajaan nitrogen (urea) 45 kg/ha
 55 hari selepas menanam  Pembajaan nitrogen (urea) 45 kg./ha
 75 hari selepas menanam  Pembajaan nitrogen (urea) 45 jg./ha
 110 hari selepas menanam  Keringkan kawasan. -
 120-140 hari selepas menanam  Menuai.

-

[ke Halaman Padi]      [ke Halaman Utama]


Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
09 July 2009 01:02:20 AM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.