KE ARAH MENINGKATKAN HASIL PADI 7 TAN SEHEKTAR

  1. Meratakan tanah sawah

  2. Mengadakan pintu kawalan air

  3. Menggunakan biji benih padi sah dan berdaftar

  4. Mempraktikkan amalan kultura yang betul

  5. Membaja mengikut syor

  6. Mengawal makhluk perosak secara bersepadu

  7. Sentiasa memberi perhatian kepada sawah padi

  8. Menuai apabila padi 85% masak

PENDAHULUAN

Panduan kepada usaha-usaha meningkatkan produktiviti padi seluruh Negeri Perak ke arah hasil 7 tan/hektar adalah seperti berikut:-

  1. Penyediaan Tanah

    - tanah mesti rata untuk membolehkan kawalan air yang lebih berkesan di peringkat awal
      pertumbuhan pokok.
    - parit ladang perlu dibina untuk mengalirkan air keluar.
    - sawah dibajak 3 kali (2 rotor kering dan 1 kali rotor basah).
    - jika rumput terlalu banyak, sembur dengan racun rumput Paraquat pada kadar 2 liter/
      hektar.
     

  2. Pengurusan Air Sawah

    Penanaman padi secara tabur terus memerlukan kawalan air yang baik supaya rumpai boleh dikawal dengan berkesan.  Pengurusan air yang berkesan boleh dicapai bila paras sawah berkeadaan rata dan pengaliran air boleh dikawal melalui pintu kawalan air di tiap-tiap lot sawah yang bukan saja membekalkan air secukup perlu tetapi juga pada keseluruhannya menjimatkan penggunaan air.

    - paras air mesti dikawal mengikut peringkat pertumbuhan umur padi

    - sekiranya terpaksa menabur di dalam sawah yang sudah dimasuki air, air yang
      berlebihan, hendaklah disalirkan keluar.  Had paras maksima air ketika menabur biji benih
      ialah 5-10 cm.

    - kurangkan gangguan yang mengocak air supaya air tidak menjadi keroh - memberi kesan
      buruk pada percambahan dan pertumbuhan pokok.
     

  3. Pemilihan Jenis Padi (varieti)

    Jenis padi yang ditanam hendaklah disyorkan oleh Jabatan Pertanian mempunyai ciri-ciri seperti berikut:-

    - benih yang tulen
    - rentang penyakit karah
    - sederhana tinggi dan pokok tumbuh tegak
    - tidak mudah rebah
    - masak serentak
    - tahan gangguan air di peringkat awal
    - tidak mudah relai
     

  4. Amalan Kultura

    - pilih biji benih yang bernas sebelum direndam

    - rendam bijibenih selama 24-36 jam dan ditos/peram 12-18 jam.  Jangan peram terlalu
      lama menjadikan akar-akar biji benih panjang serta kusut dan ini akan menyulitkan kerja-
      kerja menabur.

    - menggunakan kadar benih yang sesuai iaitu 60-140 kg/hektar untuk cara tabur terus.  Jika
      keadaan tanah sawah yang saliran kurang baik, perlu dibuat jalur untuk air mengalir keluar
      dan masuk.

    - penyulaman hendaklah ditabur semula jika ada ruang yang kosong 7-10 hari selepas
      menabur.
     

  5. Kegunaan Baja

    Peningkatan hasil padi adalah bergantung penuh kepada faktor kesuburan tanah yang dapat membekalkan nutrien utama (nitrogen, fosferus, kalium) dan lain-lain unsur surih seperti kalsium, magnesium, zink, silika, kuprum dan boron. 

    Kawasan yang mempunyai masalah kemasaman perlu dirawat dengan pengapuran berjadual dengan kadar 2-3 tan/ha.  Baja subsidi mesti digunakan sepenuhnya.  Baja tambahan 12:12:17:2 atau 15:15:15 dengan kadar 125-250 kg/hektar perlu ditabur di peringkat bunting kecil (85-90 hari lepas tanam).
     

  6. Pengurusan Perosak Bersepadu

    Pengurusan Perosak Bersepadu adalah merupakan satu pendekatan pengurusan kawalan perosak yang menggabungkan semua aktiviti-aktiviti pertanian seperti penggunaan jenis padi, amalan kultura, kawasan biologi dan penggunaan kimia secara bijaksana dan terhad, dengan mengambilkira aspek-aspek ekonomi dan sosial.  Pengurusan Perosak Bersepadu mengurangkan penggunaan racun perosak dan kos pengeluaran serta tidak mencemarkan alam sekitar.

    Kawalan Perosak Secara Biologi

    Terdapat dua aktiviti yang disyorkan iaitu:

    Pemeliharaan ikan keli dan menternak itik Muscovy / Itik Jawa.  Aktiviti-aktiviti ini dapat mengawal serangga dan rumpai.

    Penggunaan Racun Perosak Secara Betul

    Di peringkat awal pertumbuhan pokok padi (40 hari pertama) tidak digalakkan, untuk membuat semburan racun serangga/racun rumpai.  Racun digunakan hanya jika sekiranya serangan dan penyakit melebihi Tahap Tindakan Kawalan selepas ditinjau.  Pembersihan batas digalakkan dengan menggunakan mesin galas.

    Pengawasan Dan Ramalan

    Pengawasan dan ramalan merupakan proses pengumpulan maklumat dan tinjauan perosak di sawah bagi menentukan perosak-perosak utama seperti bena perang, ulat batang, tikus dan siput gondang emas.

    Adakan Briged Kerja yang bergerak sama ada secara gotong royong atau kontrak bagi membuat kerja-kerja pengawasan dan peramalan.

    Kawalan Tikus Secara Bersepadu

    Serangan tikus boleh meningkat dari satu musim ke satu musim di kawasan yang tidak menanam serentak dan keadaan sawah, batas dan taliair, jalan ladang yang semak.  Keutamaan diberi kepada kawalan secara biologi dengan penggunaan burung pungguk jelapang.  Sebagai pemangsa tikus, 98-99 peratus makanannya adalah tikus dan ianya tidak mengancam binatang ternakan kerana tabiatnya memburu mangsa di waktu malam.  Kotak-kotak sarang didirikan di kawasan ladang pada kadar sebuah kotak sarang bagi setiap 20-40 hektar.  Adakan tempat hinggap yang berdekatan dengan sarang tersebut seperti kayu T yang dipasang dengan jarak 100-250 meter dari kotak sarang bagi membantu burung pungguk jelapang memburu mangsa.
     

  7. Kawalan Rumpai

    Salah satu sebab kemerosotan hasil padi ialah masalah rumpai.

    - guna racun rumpai pra cambah 10-14 hari lepas tabur, ini diikuti dengan racun 2,
      4-D butyl ester.
    - merumput dengan tangan sebelum pembajaan nitrogen.
     

  8. Kawalan Serangga

    Musuh semulajadi seperti labah-labah, kumbang tanah, kumbang kura-kura hendaklah dikekalkan di dalam sawah supaya serangga perosak tidak datang menyerang tanaman padi.  Dua (2) minggu selepas menabur, mulakan pengawasan dan jika terdapat populasi perosak tinggi, dapatkan khidmat jabatan untuk pengesyoran racun yang sesuai.
     

  9. Kawalan Penyakit

    Bijibenih dirawat terlebih dahulu dengan racun kulat.
     

  10. Penuaian dan Pengendalian Lepas Tuai

    Air sawah dikeringkan 20 hari lepas padi terbit dengan sepenuhnya.  Pengeringan air membantu mempercepatkan pengerasan biji dan masak serentak.  Tuai apabila tangkai mengandungi lebih dari 85% biji padi yang masak.  Biji padi yang disimpan hendaklah dikeringkan sehingga kelembapan 14%.

[ke Halaman Padi]      [ke Halaman Utama]


Khas Untuk Pengunjung

PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA
TEL: 605-6883112 Fax: 605-6888329
Tarikh Kemaskini Terakhir:
 
09 July 2009 01:04:14 AM


dan Ruangan Webmaster

Penafian:
Hakcipta Disember 2007 Pejabat Pertanian Daerah Manjung Terpelihara.  Pejabat  ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Pejabat ini juga tiada kaitan dengan mana-mana rantaian laman
tak rasmi yang terdapat dalam laman ini.  Sebarang pertanyaan berkenaan laman ini, sila hubungi webmaster:
mariam@perak.gov.my / mariam@malaysia.net / cantik57@hotmail.com
Sesuai dengan paparan IE versi 7.0 & ke atas dan Mozilla Firefox versi 2.0 & ke atas dengan resolusi 1024 X 768 pixel.