PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN
Pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan,
kewangan dan ekonomi serta menjadi matlamat pengusaha pertanian bahawa
setiap pelaburan yang dilakukan mampu memberi pulangan menguntungkan.
Tumpuan kerajaan
kepada sektor pertanian bukan satu langkah ke belakang, sebaliknya
usaha dipergiatkan bagi menjadikan sektor ini sebagai perniagaan untuk
jangka panjang. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah
melakukan perubahan, tidak lagi mengikut cara lama sebaliknya
menggunakan bioteknologi dan teknologi moden bagi menambah nilai hasil
pertanian negara.
Kerajaan tidak melihat pertanian sebagai sektor yang mundur akan tetapi sebagai
sektor industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara selain
mengurangkan import makanan. Oleh yang demikian, kita perlu
merubah tanggapan bahawa pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang
mempunyai sedikit nilai ditambah serta menjana pendapatan yang rendah
kepada salah satu cabang perniagaan yang berpotensi untuk dimajukan.
Sektor tani merupakan kegiataan utama ekonomi
masyarakat luar bandar. Kaum bumiputera merupakan golongan
tertinggi yang terlibat dalam perniagaan. Dengan itu,
pembangunan sektor pertanian bukan setakat menjana sumber tumbuhan
baru, malah dapat membantu usaha merapatkan jurang sosioekonomi di
dalam negara.
Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha
meningkatkan rantaian nilai serta meneroka aktiviti berasaskan
pertanian yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, perladangan
komersial berskala besar dan menggunakan ICT serta memanfaatkan
sepenuhnya potensi dalam bioteknologi. Masyarakat tani pula
perlu mengambil peluang yang tersedia ini bagi memajukan diri dan
sektor pertanian keseluruhannya. Bioteknologi merupakan satu industri baru dan
penting, berpotensi menjana sumber kekayaan baru. Usaha akan
dipergiat bagi membangunkan industri bioteknologi sebagai peneraju
baru pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi kepada penggunaan
bioteknologi dalam pertanian.
Perjalanan untuk menjadikan sektor tersebut sebagai
satu perniagaan memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian
supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan tani bagi menerajui
usaha merevolusikan sektor pengeluaran makanan.
Untuk berjaya di dalam bidang pertanian kita perlu
ada role model petani-petani berjaya. Skala pertanian yang kecil
masih menjadi masalah besar dan menghalang para petani meningkatkan
pendapatan mereka. Petani harus bekerja pada skala ekonomi yang
dapat meningkatkan pendapatan dengan mengkomersialkan usaha yang ada.
Di sinilah letaknya peranan bank dan agensi berkaitan untuk membatu
petani mengusahakan sektor pertanian secara komersial.
Masyarakat tani perlu mengubah mentaliti dan
pendapat selama ini bahawa hasil pengeluaran mereka hanya cukup untuk
keperluan sendiri dan akan dijual sekiranya ada lebihan. Aspek
kualiti bukan keutamaan dalam pengeluaran mereka. Mereka perlu
yakin bahawa aktiviti pertanian masa kini bukan sekadar memenuhi
keperluan sara hidup sahaja malah ianya satu perniagaan yang boleh
memberikan kekayaan. Berdasarkan perkembangan semasa iaitu
dengan penggunaan jentera, pentadbiran secara tradisional yang
menghasilkan produktiviti rendah boleh ditingkatkan melalui teknologi
sedia ada.
Sektor pertanian yang sedang rancak dibangunkan
oleh kerajaan meliputi industri asas tani yang ketika ini telah
mencapai nilai ditambah dan berpotensi menyediakan 128,000 pekerjaan
baru secara langsung dalam jangka masa lima tahun akan datang.
Potensi sektor ini tiada batasannya jika diusahakan dengan teliti.
Menjelang tahun 2020, sektor pertanian perlu berada di tahap kejayaan
yang membantu membina imej sesebuah negara maju.
Di negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan
beberapa negara maju lain, petani dipandang tinggi kerana mereka
tergolong daripada orang-orang kaya. Ini disebabkan sektor
pertanian yang diusahakan oleh mereka memberi pulangan menguntungkan.
Menurut pakar ekonomi berkaitan pertanian, orang kaya dalam sektor
pertanian sebenarnya bukan terdiri daripada golongan petani sejati
tetapi adalah golongan pelabur dari sektor swasta atau individu yang
mempunyai modal besar untuk mengusahakan industri pertanian secara
komersial. Pertanian merupakan satu bidang yang memerlukan modal
besar dan hanya mereka yang sanggup melabur akan memperolehi kejayaan.
Untuk memastikan pertanian yang diusahakan
menguntungkan, usahawan tani perlu sedia berubah terhadap cara
berfikir, bertindak dan membuat keputusan sebagai seorang usahawan.
Setiap perbelanjaan dan pendapatan direkod bagi mengetahui untung rugi
sesuatu projek yang diusahakan. Trend pasaran, risiko dalam
bidang pertanian, keadaan persekitaran, cuaca dan lain-lain yang
berkaitan dengan faktor pengeluaran perlu sentiasa diberikan
perhatian.
Bagi memastikan bidang pertanian merupakan
perniagaan yang menguntungkan dan mampu memberikan kekayaan, aspek
kuantiti dan kualiti sentiasa dipertingkatkan. Kualiti produk
yang dihasilkan akan menentukan harga pasaran hasil yang akan dijual.
Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses nilai
tambah seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran
perlu juga diberikan keutamaan.
Pertanian dalam negara mampu berdaya saing
sekiranya semua pengusaha dalam bidang pertanian turut mengambilkira
program pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani. Pengusaha-pengusaha pertanian boleh
mendapatkan pengiktirafan melalui pensijilan Amalan Pertanian Baik
(APB) seperti sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) daripada
Jabatan Pertanian Malaysia, Sijil Amalan Ladang Ternakan (SALT)
daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia dan Skim Pensijilan
Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) daripada Jabatan Perikanan
Malaysia. Selain daripada produk yang dikeluarkan berkualiti dan
selamat untuk dimakan, pensijilan diperolehi secara tidak langsung
dapat menepati piawaian pengeluaran antarabangsa yang membolehkan
hasil keluaran dipasarkan ke luar negara.