Pada masa kini kebanyakan tanaman dibiakkan dengan
berbagai kaedah menggunakan teknologi yang berbeza tetapi melalui asas
pembiakan yang sama. Asas pembiakan tanaman yang betul perlu
diketahui terlebih dahulu sebelum mengusahakan sesuatu projek
pertanian bagi menjamin hasil dan mutu yang dikeluarkan.
Terdapat beberapa asas pembiakan tanaman yang boleh
dijadikan panduan oleh umum dalam mengusahakan kultura kebunan.
Di sini diterangakn asas pembiakan tanaman yang sering dipraktikkan
mengikut kesesuaian tanaman tersebut.
Pembiakan Biji Benih
Tanaman yang dibiakkan melalui biji benih adalah
tanaman semusim seperti padi, jagung, sayur-sayuran dan juga tanaman
hiasan. Biji benih biasanya mengalami pendebungaan kacuk dan
faktor ini tidak menjamin tanaman yang dibiakkan akan menghasilkan
anak yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti induknya. Bagi
tanaman yang hendak dibiakkan dengan cara ini, pemilihan biji benih
perlu dilakukan untuk mendapatkan baka yang tulen. Pemilihan
boleh dibuat dengan mengambilkira beberapa faktor seperti berikut:-
Pembiakan Vegetatif (Tampang)
Pembiakan vegetatif atau tampang adalah cara
pembiakan dengan menggunakan bahagian tertentu tanaman seperti keratan
batang, pucuk daun dan rizom. Ia dilakukan bagi tanaman yang tidak
mengeluarkan biji benih atau sukar berbunga. Kaedah pembiakan
ini kerap menjadi pilihan kerana caranya mudah dan dapat menghasilkan
pokok dengan baka tulen. Kaedah ini juga dapat memendekkan
tempoh matang di mana pokok mengambil masa lebih pendek untuk berbunga
atau berbuah, tetapi tumbesaran tanaman dengan cara ini adalah terhad.
Kaedah keratan, tut, cantuman, belahan rumpun dan bebawang selalu
dilakukan, tetapi kajayaan pembiakan ini bergantung kepada pemilihan
bahan tanaman, keadaan iklim, tanah, air dan juga kemahiran.
Keratan batang terbahagi kepada keratan batang
keras, sederhana dan lembut. Bahagian tanaman yang sihat serta
mempunyai beberapa mata tunas dipilih. Keratan tanaman sepanjang
15-20 cm digunakan. Keratan dipotong serong sedikit di bawah
mata tunas atau pangkal ruas. Biasanya daun-daun tanaman dibuang
untuk mengelakkan pokok yang disemai kekeringan. Keratan disemai
menggunakan media semaian 2:1:1 (dua bahagian tanah, satu bahagian
bahan organik dan satu bahagian pasir). Kaedah ini selalu
digunakan bagi membiakkan tanaman hiasan.
Keratan pucuk berdaun digunakan bagi tanaman yang
berbatang lembut jenis herba dan renek. Keratan rizom digunakan
untuk tanaman seperti kunyit dan halia. Semaian yang dilakukan
perlu disiram dan diletakkan di tempat redup sehingga tanaman
mengeluarkan pucuk.
Kaedah tut merupakan cara pembiakan yang biasa
digunakan bagi tanaman buah-buahan. Tut melalui proses
pembuangan kulit kayu untuk tujuan pengakaran. Kulit ranting
atau dahan pokok dengan saiz 1-2 cm garis pusat dipotong kira-kira 5
cm panjang dan dibuang kulitnya. Bahagian yang terdedah
disapukan dengan hormon penggalak akar dan ditutupkan dengan tanah
campuran. Bahagian tersebut dibalut dengan plastik untuk
menghalang kemasukan air dari luar. Media yang digunakan adalah
campuran dua bahagian tanah atas dan satu bahagian bahan organik
bersama sedikit air.
Manakala kaedah cantuman sering digunakan bagi
mendapatkan klon pokok yang dikehendaki. Cara ini dapat menjamin
baka tulen diperturunkan kepada anak oleh induk. Terdapat
berbagai kaedah cantuman seperti mata tunas, cantuman baji dan
sanding. Kaedah ini kerap digunakan bagi tanaman buah-buahan
seperti durian, rambutan dan lain-lain lagi.
Disamping itu, pembiakan dengan kedah belahan
rumpun boleh dilakukan bagi pokok yang hidup berumpun. Ia dapat
menghasilkan tanaman yang banyak daripada satu induk. Pokok
dibelah kepada beberapa belahan yang dikehendaki dan ditanam.
Tanaman yang boleh dibiakkan dengan cara kebanyakannya terdiri
daripada tanaman hiasan.
Kaedah menanam dengan menggunakan bebawang boleh
ditanam terus tanpa perlu disemai. Bahan tanaman dipilih
daripada pokok yang sudah tua atau matang. Tanaman yang
dibiakkan dengan cara ini antaranya mempunyai peratus hidup yang
tinggi. Sayuran jenis bawang dan beberapa pokok hiasan dibiakkan
melalui cara ini.
Berbekalkan pengetahuan tentang bahan tanaman,
kemahiran dan pengalaman pembiakan pelbagai jenis tanaman boleh
dilakukan sendiri yang mampu memberikan kepuasan kepada individu yang
menceburi dalam bidang pertanian sama ada sebagai hobi atau kemersial.