|
ULAT-ULAT
PENGOREK BATANG PADI
Ulat pengorek batang padi dianggap serangga perosak yang paling
penting sedikit masa dahulu. Pada keseluruhannya serangga ini tidak
lagi menjadi masalah besar kepada petani-petani kerana bilangannya
sentiasa di bawah paras bahaya. Ini disebabkan oleh amalan
penanaman dua kali setahun yang menggalakkan pembiakan musuh-musuh
semuljadi dan pengawalan dengan bahan kimia yang berkesan.
Terdapat beberapa perbezaan fizikal diantara jenis-jenis ulat
Pengorek Batang ini.
Edaran Hidup:
Kumpulan serangga-serangga ini mempunyai pusingan hidup penjelmaan
lengkap iaitu dari telur, ulat (larva), kepompong dan dewasa.
Adalah dianggarkan serangga ini mempunyai 5 hingga 10 jenerasi
setahun dan semua peringkat edaran hidup boleh dijumpai bila-bila
masa sahaja. Edaran hidup memakan masa selama 35 hingga 76 hari.
Peringkat Telur:
Penempatan telur-telur adalah bergantung pada jenis-jenis ulat
pengorek batang. Kesemua jenis serangga ini mengeluarkan telur
secara berkumpul, tiap-tiap kumpulan mempunyai 50 hingga 80 biji
telur. Telur-telur ini menetas dalam masa 5-7 hari.
Peringkat Ulat:
Ulat-ulat yang baru menetas merayap ke bahagian hujung daun padi
dimana mereka tinggal sekejap sahaja. Kemudian ulat-ulat ini akan
turun ke pangkal pokok melalui celah-celah upeh daun dan memakan
tisu-tisunya. Selepas satu minggu ulat-ulat ini keluar dari upeh
daun dan mula pula mengorek batang padi, tinggal di dalam empulor
dan melakukan kerosakan dengan memakan empulor batang. Ulat-ulat
ini bertukar kulit 5 kali dan memakan masa selama 24 hingga 46 hari.
Peringkat Kepompong:
Peringkat ini berlaku di dalam batang, jerami atau tunggul dan
memakan masa selama 6-11 hari. Peringkat ini tidak aktif atau tidak
bergerak.
Peringkat Dewasa:
Kupu-kupu menjelma daripada kepompong dan keluar daripada batang
padi melalui lubang yang telah dibuat di peringkat ulat. Kupu-kupu
ini berpasangan selepas sahaja mereka keluar daripada kepompong dan
tidak berapa lama selepas itu kupu-kupu betina mula bertelur.
Kupu-kupu ini adalah cergas di waktu malam, tertarik pada cahaya dan
kuat terbang. Mengawan biasanya berlaku diantara pukul 7 hingga 9
malam.
Serangan dan Tanda-Tanda Serangan:
Kupu-kupu ini tidak melakukan apa-apa kerosakan kepada tanaman
padi. Hanya ulat-ulat sahaja yang melakukan kerosakan kepada
tanaman padi. Sekiranya serangan berlaku semasa pokok padi di
peringkat pertumbuhan, pucuk-pucuk tidak terbuka, bertukar menjadi
keperangan dan kekeringan. Tetapi daun-daun di bahagian bawah atau
pangkal tetap menghijau dan subur. Keadaan serangan seumpama ini
dipanggil "mati pucuk" dan anak-anak padi yang diserang menjadi
kering tanpa mengeluarkan tangkai buah. Apabila ulat menyerang
pokok-pokok padi yang sedang berbunga, buah-buah padi akan menjadi
putih dan tidak berisi.
 |
 |
 |
|
Peringkat Ulat |
Peringkat Kepompong |
Peringkat Dewasa |
|