Telah diketahui umum bahawa tanah asid sulfat adalah masam (acidic).
Maka, airnya juga masam dan tidak sesuai untuk tanaman. Oleh itu di
kawasan tanah berasid hanya air hujan sahajalah satu-satu sumber air yang
ada dan sesuai untuk tanaman. Ia penting bagi sistem pengairan
tanah berasid. Pengurusan air yang cekap dan berkesan boleh
meningkatkan mutu hasil tanaman ladang.
Pengurusan air yang
dimaksudkan ialah kaedah membekalkan air secara tiruan bagi menggantikan
air yang hilang daripada tanah atau mengalirkan air yang berlebihan
keluar, supaya hasil tanaman yang memuaskan diperolehi. Kaedah ini
melibatkan kerja-kerja seperti perancangan, reka bentuk, pembinaan dan
operasi. Perancangan kerja-kerja ini memudahkan penghantaran air
dari punca bekalan ke ladang.
Bagi mengumpul dan menakung
air hujan, sebuah kolam berukuran 60 m panjang, 50 m lebar dan 1 m dalam
diperlukan. Bagi institusi penyelidikan ia boleh dibina berhampiran
dengan bangunan pejabat, makmal atau rumah kaca. Bagi petani pula
ia boleh dibina berhampiran rumah kediaman mereka. Bahagian dasar
dan tebing kolam ditutup dengan plastik ('high density polyethylene
membrane'). Plastik jenis ini dapat mengelakkan air yang ditakung
meresap keluar dan air tanah yang masam tidak meresap masuk ke dalam
kolam. Telah dilaporkan bahawa plastik jenis ini tahan digunakan
selama lebih 20 tahun. Air hujan yang turun dari bahagian atap
bangunan disalurkan ke dalam kolam. Kolam yang dibina ini mampu
menakung sebanyak 3 juta liter air dan cukup untuk kegunaan di ladang
sepanjang tahun.
Sebuah pam berkuasa elektrik
diletakkan di sudut kolam. Ia berfungsi untuk mengepam air ke
ladang melalui paip PVC. Dari sini, air disalurkan ke petak kajian
atau batas tanaman melalui paip polietilena. Terdapat dua jenis
pengairan yang boleh digunakan, iaitu pengairan percikan (menggunakan jet
penyembur) atau pengairan titisan (menggunakan spot vortex emitter).
Air dipam dua kali sehari. Setiap kali selama 20 hingga 30 minit.
Kolam air ini bukan sahaja dapat membekalkan air untuk tanaman, tetapi
juga menjadikan pemandangan lebih cantik dan menarik.
Parit utama perlu digali di
kawasan ladang bagi membolehkan air yang berlebihan dialirkan kelaur,
terutamanya ketika musim hujan. Kebersihan parit amat perlu supaya
pengaliran air tidak tersekat.