Oleh NIZAM YATIM, SAFINA RAMLI,
AZRAN FITRI RAHIM,
MUHAMAD ZAID
ADNAN,
dan SHAMSIAH ZULKAFLI
KUALA LUMPUR 15 April – Harga beras di seluruh negara mencatatkan kenaikan
mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai
berpunca daripada peningkatan harga beras global.
Tinjauan mendapati beras Super Special 5% Tempatan jenama Jasmine naik antara
RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram
berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding
RM24.80.
Pemantauan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati
ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.
Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, peningkatan harga
itu perlu dibendung segera supaya tidak membebankan rakyat.
“Kita menerima laporan mengenai wujud kenaikan ini yang didakwa peniaga
berpunca daripada peningkatan harga di peringkat global,” katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harga beras dunia yang kini berada pada paras AS$780 (RM2,464) setan metrik
berbanding AS$360 (RM1,137) setan metrik pada akhir tahun lalu.
Harga tersebut dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200
(RM3,792) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran
memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa
singkat.
Kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed
berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan
metrik kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja.
Mohd. Yusof berkata, orang ramai yang tidak mampu membeli beras mahal perlu
beralih menggunakan beras gred super tempatan kerana ia dikawal oleh kerajaan.
“Tiada kenaikan terhadap beras jenis ini yang ditetapkan antara RM1.65 hingga
RM1.80 sekilogram bagi harga runcit mengikut zon,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan kuantiti beras
kawalan berkenaan berikutan terdapat aduan beberapa kawasan di seluruh negara
berlaku kehabisan bekalan.
“Perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana ia menjadi alternatif kepada
orang ramai yang tidak mampu membeli beras jenis lain yang semakin meningkat
harga,” katanya.
Di ALOR STAR, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail
berkata, harga beras di negeri itu naik kira-kira RM1 hingga RM2 sejak minggu
lalu.
Menurut beliau, pejabatnya menerima lebih 100 panggilan telefon daripada
pengguna yang mengadu kenaikan harga beras secara mendadak.
“Ada pengguna yang mengadu bahawa dia perlu membayar RM17.50 berbanding
RM15.50 untuk sekampit berat 10 kilogram.
“Tinjauan saya juga mendapati banyak pekedai mendakwa mereka terpaksa
menaikkan harga berikutan terpaksa membeli beras dengan harga yang mahal
daripada pemborong,” ujarnya.
Menurutnya, Kedah merupakan jelapang padi negara dan masalah kekurangan beras
tidak sepatutnya berlaku di negeri itu.
Di KOTA BHARU, harga beras gred super tempatan di sekitar bandar itu
meningkat sebanyak 20 sen sejak minggu lalu, menjadikan ia kini berharga RM2.50
sekilogram.
Harga beras Siam pula meningkat secara mendadak iaitu antara 30 dan 40
peratus dengan beras gred A naik daripada RM2.50 sekilogram kepada RM4
sekilogram berikutan permintaan yang semakin bertambah dan kekurangan bekalan.
Harga beras tempatan dijangka terus meningkat berikutan kebanyakan penduduk
yang menggunakan beras Siam mula bertukar kepada beras tempatan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hanya sebilangan peniaga menaikkan harga
beras gred super tempatan kerana bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa
disebabkan bahan ruji itu adalah barangan kawalan.
Di KUANTAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) Pahang mendapati beras import seperti Basmathi mengalami kenaikan
harga antara lima hingga 20 peratus sejak krisis pengeluaran barangan makanan
itu berlaku.
Kecuali beras import, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung
kekurangan bekalan gred super tempatan di Pahang.
Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, orang ramai perlu faham, kerajaan
hanya mengawal harga beras gred super tempatan yang mengandungi 15 peratus
kandungan beras hancur dan ke bawah.
“Kita tidak mengawal harga beras import seperti jenis Basmathi,” katanya.
Di SHAH ALAM, tinjauan mendapati beras-beras import seperti Basmathi Super
Special naik antara RM1 hingga RM4 sekampit.
Seorang peruncit di Seksyen 8, Nartini Mustar, berkata, beliau agak terkejut
apabila melihat harga pada kampit-kampit beras yang baru sampai di kedainya tiga
hari lalu naik mendadak.
Menurutnya, bagi beras Super Special 5 % Tempatan jenama Jasmin naik antara
RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit lima kilogram
berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding
RM24.80.
“Pelanggan-pelanggan juga merungut dengan kenaikan yang mendadak bagi beras
jenama tersebut yang menjadi pilihan ramai,” katanya.
Bagaimanapun di Johor Bahru dan Kuching, tinjauan mendapat harga beras masih
kekal pada paras biasa.